Wednesday, August 31, 2011

Bingkisan Idulfitri 1432H

4 comments

Andai wajah tak mampu bersua
Andai tangan tak bisa berjabat
Setidaknya kata masih dapat diucap
Tulus hati memohon maaf 
Atas segala dosa dan khilaf
Selamat Menyambut Idulfitri 1432H buat semua umat Islam
Khususnya untuk kalian yang sudi mengunjungi dan membaca blog Ummu Ammar
Semoga Syawwal 1432H membawa seribu keberkatan
Taqabbalallahu minna waminkum 
Kullu sanah wa antum bikhair



Tuesday, August 23, 2011

Erti Sebuah I'dulfitri

3 comments



Sayu hati menatap wajah-wajah mulus dan suci milik anak-anak Palestin ini. 
Apa agaknya erti I'dulfitri buat mereka? 
Di saat anak-anak kita tersedia dengan kelengkapan serba baru sempena I'dulfitri, mereka mungkin menahan lapar dan menangis ketakutan.



Bersyukurlah wahai diri! Bersederhanalah dalam menyediakan kelengkapan I'dulfitri. Nilai dengan bijak antara keperluan dan keinginan. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan ayat ke-67 yang bermaksud : 
“ Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian ” 

Renungkan bersama..di saat kita bergembira menyambut Syawwal yang bakal tiba, kenangilah saudara-saudara seIslam di seluruh dunia yang nasibnya tidak seindah kita. Semoga dengan itu, hati kita lebih bersyukur.


Saturday, August 20, 2011

Antara Almond London, Vantage & Sulam Labuci

2 comments

Ketika Ramadhan sudah di penghujung, 
Pasti kesibukan beralih pada I'dulfitri yang bakal menjelma.
Barangkali sibuk menyiapkan Almond London 
atau kuih muih yang sewaktu dengannya.
Atau mungkin bersengkang mata menjahit labuci 
pada baju Raya yang beberapa pasang cuma.
Mungkin juga melayan keterujaan mengayakan set Vantage yang baru dibeli. 
Pasti membulat mata tetamu yang bertandang nanti.
Belum lagi cerita pasal langsir, perabot, juadah dan lain-lain?

Peringatan buat diriku dan sahabat-sahabat semua..

Ramadhan sudah menginjak ke penghujung. Penghujung yang penuh keberkatan dan kelebihan. 10 malam terakhir yang perlu diberi sepenuh penghayatan beribadah kerana Allah telah menganugerahkan Lailatul Qadar ~ malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Lantaran mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu. 

Saat-saat ini, umat Islam dianjurkan mempertingkatkan ibadah. Membaca Al Quran, qiamullail, iktikaf, bersedekah dan lain-lain. Insan mukmin yang sejati akan memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk merebut ganjaran yang Allah sediakan. Mereka tidak mahu alpa walau sesaat tanpa mengingati Allah. Hati mereka sedih dan sayu apabila memikirkan mungkinkah Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir? Apakah mereka masih berpeluang bertemu Ramadhan akan datang?

Di penghujung Ramadhan ini..dimanakah kita??

Kalau tergolong dalam golongan yang mempertingkatkan ibadah. Alhamdulillah.

Atau, tenaga sudah kehabisan, semangat sudah berkurangan, prioriti pula sudah beralih arah? Bukan lagi pada ibadah tapi pada persiapan Idulfitri yang bakal menjelma?

Kalau begitu, layakkah kita berhari raya meraikan kemenangan?? 
Apabila kita sudah kalah sebelum waktunya?

Selamat Beramal. Semoga amal ibadah kita diterima di sisi Allah.

Tuesday, August 16, 2011

Ramadhan Yang Manis

4 comments

Ramadhan Yang Manis
(Sebuah puisi A. Samad Said)

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketaqwaan penuh terhadap Illahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.

Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa. 

Daun yang gugur tanah yang rekah
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredhai.

Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala. 

Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Illahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.

Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

Pertemuan Bukan Milik Kita

4 comments

"Sahabat yang baik ialah apabila dipandang wajahnya, membawa kita mengingati Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu, melihat gerak gerinya meninggikan takut kepada Allah, berkawan dengannya berjuang kerana Allah."



Mutiara kata ini mengingatkan saya pada keindahan persahabatan yang terjalin semasa di alam persekolahan dulu. 9 insan membina persahabatan dan berukhuwwah umpama adik beradik. Keakraban kami atas dasar ukhuwwah fillah, bertemu dan berpisah kerana Allah.  Menggelarkan ukhuwwah kami sebagai "Kemboja Putih" simbolik kepada kesucian dan keluhuran persahabatan. Namun, selepas tamat persekolahan, masing-masing membawa haluan menuju impian dan cita-cita. 

Sebahagian dari kami merantau mencari ilmu di bumi Jordan dan Mesir. Sementara dua sahabatku menyambung pengajian di dalam negara. Kini, kami semua sudah berkeluarga dan hampir semuanya bergelar pendidik anak bangsa. Biarpun lama tidak bersua lantaran kekangan masa dan jarak, teknologi merapatkan kami. Catatan ringkas dari hati saya tentang mereka.

Umm
Kami gelar Umm (Ibu) kerana dia umpama ketua kami.  Seorang yang banyak tersenyum dari berkata-kata. Tapi bila berkata-kata, penuh dengan hikmahnya. Bersamaku merantau mencari ilmu di Mesir dan kini menjadi pendidik di Negeri Bawah Bayu bersama suami tercinta dan anak-anak. Kali terakhir berjumpa Umm ialah pada hari perkahwinanku. Sudah hampir 10 tahun lamanya.

Kak Wan
Antara rakanku yang paling pandai dan cantik. Merupakan adik kepada pendakwah bebas, Ustaz Wan Sohor Bani. Menjadi suri sejati buat suami tercinta dan ibu mithali buat anak-anaknya. Sudah lama tidak ketemu rakanku yang seorang ini. Kali terakhir ialah pada tahun 2002 di Maktab Perguruan Sultan Mizan ketika sama-sama menemani suami menghadiri temuduga. 

Achik
Seorang yang tulus, jujur dan baik hati. Bersamanya, amat menyenangkan. Dia pendengar dan pelantun nasihat terbaikku. Kini bergelar pendidik di Negeri Sembilan. Semasa saya dalam pantang melahirkan Afiq, dia ada bertandang dan itulah kali terakhir bertemu wajah Hampir 7 tahun lamanya.

Alang
Kredibiliti rakanku ini sebagai pemimpin memang terserlah sejak dari alam persekolahan. Memilih terlibat dalam perjuangan Islam sepenuhnya adalah landasan terbaik buatnya. Kali terakhir berjumpanya ialah 2 tahun lepas. Ketika itu Alang sedang sarat mengandungkan anak kelima. Memang murah rezekimu, Alang!

Ateh
Rakan yang paling rapat. Insan pertama yang menghulurkan persahabatan saat pertama kaki saya menapak ke bumi Suzaidean. Berbanding yang lain, Ateh banyak menyimpan cerita tentang diri saya, kerana dialah sahabat yang banyak berkongsi rahsia cerita suka dukaku. Ateh yang ceria dan kelakar adalah pengubat duka dan penghibur kami. Banyak sekali tentang Ateh yang akan saya ingati dan kenangi.

Kak Yong
Jua rakan paling akrab. Ketika kami menghadapi masalah kewangan untuk ke Mesir, saya hampir putus asa. Jujurnya, kalau tidak kerana semangat darinya, saya mungkin tidak berpijak di bumi Mesir. Banyak suka duka, susah senang kami harungi bersama sepanjang permusafiran di bumi anbiya'. Terlalu banyak sebenarnya untuk diluahkan tentang persahabatan saya dengan Kak Yong.  

Che Sue
Sejak dari sekolah lagi, Che Sue@Ummu Mishkah seorang yang saya anggap cukup sempurna. Bijak, berkarisma, berada dan lain-lain. Seorang insan yang berkebolehan serba serbi dan prihatin. Seronok melihat kehidupannya yang bahagia dengan suami dan anak-anak yang comel. Kali terakhir bersua wajah ialah 8 tahun lalu, ketika dia dan suami melawat saya dan Ammar yang baru lahir. 

Adik
Mungkin kerana sifatnya yang manja, panggilan Adik adalah paling sesuai. Memiliki suara yang sangat merdu, seringkali menjadi solo kami. Jua bergelar pendidik dan kini diulit bahagia dengan kehidupannya sebagai isteri dan ibu.

Tiada kata dapat saya luahkan, tiada bahasa yang dapat saya olahkan, tiada puisi dapat saya karangkan betapa saya sangat menghargai ukhuwwah yang terbina. Ukhuwwah fillah yang telah membentuk diri ini menjadi insan yang lebih baik. Biarpun masa dan jarak memisahkan kita, semoga kita akan bertemu dan bersua suatu hari nanti.

Pertemuan menghadiahkan kita kasih sayang
Jika cinta satu pasti bertemu ia tidak ternilai
Kerana antara hati kita

Telah tiada antaranya lagi
Yang ada hanya cinta kasih Ilahi

Kita berpisah hanya sementara

Kerana pertemuan bukan milik kita
Jasad dan suara berjauhan sentiasa
Namun cinta abadi

Biar terpisah selalu menderita

Kerana syurga menagih ujian
Sedang neraka dipagari oleh nikmat
Bertemu tidak jemu berpisah tak gelisah

Bicara kita adalah bicara sufi

Tanpa suara dan kata-kata
Kerana penghubung kita adalah suara hati
Bertemu berpisah kerana Allah

Lagu: Suara Hati

Lirik: Pahrol Mohd Juoi 

Sunday, August 14, 2011

Setiap Kali Ramadhan Tiba

8 comments
Salam Ramadhan.

Di facebook, teman seperjuangan saya ketika di Mesir dulu, ada mencatat tentang perasaan rindunya berpuasa di ardhul kinanah itu. Saya turut berkongsi perasaan sama. Jujurnya, itulah yang saya rasa setiap kali Ramadhan tiba. Biarpun sudah 10 tahun, memori indah itu masih segar dan mekar dalam ingatan. Saya pernah mencatatnya dalam entry bertajuk Indahnya Ramadhan di Mesir.

Suasana Ramadhan begitu terasa, siang dan malam "hidup" dengan aktiviti memakmurkan bulan mulia ini. Seawal pagi di bulan Ramadhan, sudah menjadi budaya di sini, musaharti iaitu orang yang bertugas mengejutkan warga setempat untuk bangun sahur akan memecah keheningan pagi sama ada dengan memukul gendang atau laungan suara yang kuat.  

Ayat-ayat suci Al Quran bergema di masjid-masjid. Sana-sini budaya membaca Al Quran dapat kita saksikan ~ sungguh mengkagumkan!. Tiada bazar ramadhan yang gah umpama pesta makanan seperti di tempat kita, cuma yang ada hanyalah deretan khemah Maaidatur Rahman (jamuan berbuka puasa percuma) di tepi-tepi jalan. Menurut suamiku, dulu dia dan rakan-rakan merupakan pengunjung setia Maaidatur Rahman setiap kali Ramadhan. Santapan lazat yang disediakan merupakan sedekah orang-orang kaya Arab yang cukup bermurah hati setiap kali tibanya Ramadhan. Cuma saya yang kurang teruja dan lebih suka memasak sendiri kerana tekak saya yang agak payah menelan makanan-makanan Arab.

Hayyu Sabie' - google

Solat terawih menjadi pilihan pastinya di Masjid Amru Al Ash, Kaherah bersama imamnya yang terkenal dengan kelunakan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci Al Quran iaitu Sheikh Muhammad Jibril. Khabarnya makmum melimpah hingga ke luar masjid dan sampai ke jalan besar. Oleh kerana lokasi yang agak jauh dan faktor keselamatan, saya dan teman-teman serumah hanya bersolat di masjid-masjid kawasan tempat tinggal kami di Hayyu Sabie' dan Madinat Nasr seperti Masjid Musa, Masjid Bukhari, Masjid Nuri dan lain-lain. Oleh kerana masjid-masjid di sini banyak dan berdekatan, kami biasanya bergilir terawih untuk merasai suasana terawih yang berbeza.

Apabila 10 Ramadhan terakhir,  masjid-masjid di sini penuh dengan jemaah. Umat Islam di Mesir semakin kuat beribadat dengan melakukan iktikaf, qiamulail dan lain-lain kerana mereka bimbang mereka tidak akan berjumpa lagi dengan bulan mulia ini. Sangat berbeza sekali suasananya di tempat kita. Makin hujung, makin kurang. Semoga, suatu hari nanti suasana itu juga akan kita rasai di sini. Insya Allah.

Berharap akan kembali menjejak kaki di bumi para nabi ini. Entah untuk keberapa kali lagi saya akan menulis tentang Mesir. Pengalaman seketika yang akan menjadi kenangan dan iktibar sepanjang hayat saya.
 


Friday, August 12, 2011

Puding Koktail Berkuah

9 comments



Memenuhi permintaan anak yang berpuasa adalah satu kemestian. Saya anggap ia sebagai motivasi secara tidak langsung buat mereka. Apatah lagi jika yang diminta itu mudah untuk ummi laksanakan. Puding Koktail Berkuah. Resepi ini sangat mudah kerana saya mengantikan puding kastard dengan puding jeli segera @ sumi jeli. Contoh seperti gambar di bawah ini.



Bahan-bahannya :

1 tin susu cair
1 tin air masak
1/2 cawan gula atau secukup rasa (boleh juga diganti sedikit susu pekat manis)
1 tin koktail buah-buahan
1 paket puding segera
Boleh juga dicampur epal hijau, epal merah, anggur, tembikai (dipotong dadu)

Cara-caranya :
  1. Panaskan susu cair, air dan gula sehingga gula larut. Jangan sampai mendidih.
  2. Angkat dan sejukkan.
  3. Masukkan koktail buah-buahan bersama jusnya.
  4. Masukkan puding segera dan hirisan epal, tembikai & lain-lain.
  5. Sejukkan di dalam peti ais atau boleh dihidang bersama ais.
Senang bukan? Selamat mencuba.

Wednesday, August 10, 2011

Butakah Kita?

2 comments
2 insan istimewa di Surabaya, Indonesia sedang membaca Al Quran bertulisan braille

Sudah terbalik barangkali,
Ada insan sempurna, dikurniakan mata,
Namun tertutup hatinya untuk membaca Kalamullah
Sedangkan, insan tidak bisa melihat
Begitu akrab dan cintakan Al Quran
Butakah kita??

Firman Allah yang bermaksud :
Maka apakah mereka tidak mentadabburi Al-Quran 
ataukah hati mereka terkunci 
( Muhammad : 24)

Sabda Rasulullah SAW: 
“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat”.
 

Monday, August 08, 2011

Mencari Ar-Rayyan

2 comments

 Daripada Sahl bin Sa’ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 

Tuesday, August 02, 2011

Nafsu Ramadhan

7 comments


Ini adalah realiti bila tiba bulan Ramadhan. Umpama pesta makanan. Semoga hadirnya Ramadhan kali ini, kita dapat perbetulkan niat dan perbaiki azam agar kelemahan yang satu ini dapat di atasi. Berpada dan besederhana itu lebih baik.
 
Firman Allah s.w.t.dalam Al-Quran pada Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud :
“Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan, 
sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” 

Selain itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
“Jangan kamu matikan hati dengan banyak makan dan minum, kerana sesunguhnya hati itu adalah seperti tanaman yang akan mati jika disiram terlalu banyak air”

Rasulullah s.a.w. turut bersabda : 
“Tiadalah wadah yang disisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, di mana dia menyangka bahawa dengan beberapa makanan, maka tulang sulbi (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan yang sepertiga lagi dikosongkan untuk pernafasan (bernafas).”


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...