Monday, August 31, 2009

RAHSIA DI SEBALIK WARNA

2 comments

Ahli fisiologi dan psikologi menjelaskan ada empat warna utama : merah, hijau, kuning dan biru. Biarpun tidak dapat dinyatakan daripada sudut saintifik, umum menerima warna mempunyai karektor atau sifat yang berbeza dan mempunyai pengaruh dalam setiap aspek kehidupan manusia, termasuk personaliti.

Merah - Melambangkan keadaan psikologi yang mengurangkan tenaga, mempercepatkan denyutan nadi, menaikkan tekanan darah dan mempercepat pernafasan. Warna ini mempunyai pengaruh produktiviti, perjuangan, persaingan dan berahi.

Merah terang - Mewakili kekuatan, kemahuan atau cita-cita.
Warna ini turut melambangkan agresif, aktif, kemahuan keras, penuh ghairah dan dominasi.

Merah jambu - Romantis, feminin, pengemas dan penuh jenaka.

Biru - Ketenangan yang sempurna. Mempunyai kesan menenangkan pada tekanan darah, denyut nadi dan pernafasan sekali gus membantu meningkatkan kesihatan diri.

Biru tua - Melambangkan perasaan yang mendalam. Bersifat perasa, bersikap tenang, bijaksana, tidak mudah tersinggung dan mempunyai ramai kenalan.

Biru muda - Warna ini melambangkan keteguhan dan bertahan. Bagaimanapun, penggemarnya sedikit keras kepala, sering bangga diri dan berpendirian tetap.

Kuning - Mewakili sifat kegembiraan, cukup santai, mempunyai cita-cita setinggi langit.

Kuning terang - Melambangkan sifat spontan dan toleransi. Begitu menonjol tetapi berubah-ubah sikap, suka berharap dan dermawan.

Hijau - Melambangkan adanya suatu keinginan, ketabahan dan keras hati. Mempunyai peribadi yang keras dan berkuasa. Warna ini mampu meningkatkan rasa bangga. Penggemar warna ini sering menjadi pilihan untuk mendapatkan nasihat.

Kelabu - Samar-samar karektornya. Kecenderungan lebih neutral.

Hitam - Melambangkan kehidupan yang terhenti dan memberi kesan kehampaan, kematian, kegelapan, kebinasaan dan kerosakan.

Coklat - Suka merebut, tidak bertolak ansur, pesimis terhadap kesejahteraan dan kebahagiaan masa depan.

Ungu - Warna ini adalah campuran warna merah dan biru. Sifatnya sedikit kurang teliti tetapi selalu penuh harapan.

Sumber :www.ubmm.blogspot.com

3 PERHENTIAN

0 comments
Saya tidak pernah menjangkakan akan melanjutkan pelajaran di bumi impian saya - Mesir (Egypt) kerana beberapa permasalahan yang saya hadapi ketika itu termasuk kewangan dan sebagainya. Namun kuasa dan kasih sayang Allah melebihi segala-galanya dengan rezeki dikurniakan akhirnya diri yang kerdil ini dapat menapak di bumi para anbiya' mencari ilmu Allah buat bekalan diri ke dunia abadi. Saya menjejakkan kaki di bumi anbiya' pada hujung tahun 1996. Ketika saya sampai ke Mesir musim sejuk baru bermula. Ini la tempat pertama jejak saya di Mesir..Cairo International Airport.

3 perhentian yang saya maksudkan dalam entri kali ini ialah 3 buah tempat yang menjadi tempat tinggal saya semasa menuntut di Mesir beberapa tahun dahulu. Tahun pertama saya tinggal di Abbas Zaqzouq, rumah pertama saya di Egypt - banyak menyimpan kenangan suka duka pengalaman pertama saya bergelar mahasiswi Al Azhar yang bergelut dengan perubahan budaya, situasi, emosi dan sebagainya apatah lagi apabila masih "hijau" usia saya di perantauan meninggalkan keluarga untuk mencari secebis ilmu di muka bumi Allah SWT.
Rumah itu dihuni bersama dengan 5 lagi sahabat saya ( antaranya Kak Azmah, Kak Na, Kak Saadah, Sanisah dan Kak Nun ) yang kesemuanya berasal dari Terengganu. Rumah tersebut terletak di imarah yang berdekatan dengan Kedai Sami Foto - kedai gambar yang glamer la ketika itu di kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan tersebut. Tauke kedai gambar itu saya dah lupa namanya tapi pernah sekali dia memberitahu saya - ada beberapa malizi ( malaysian ) yang mengatakan mukanya seiras aktor Sidi Oraza...saya hanya ketawa dan mengiyakan dalam hati..sekali pandang memang la macam Sidi Oraza tapi berkali-kali pandang macam....macam..muka dia la..
Tahun kedua di Mesir, saya berpindah tinggal di Rumah Akhawat Terengganu yang terletak berdekatan dengan Kuliyyatul Banat Al Azhar dan berhadapan dengan Masjid Nuri. Rumah tersebut merupakan pusat aktiviti Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT) iaitu badan kebajikan yang mengurus dan menjaga kebajikan anak Terengganu di Mesir. Saya sebenarnya lebih suka tinggal di Abbas Zaqzouq kerana suasananya lebih tenang dan lebih privacy berbanding di Rumah Akhawat Trg yang agak busy dgn aktiviti KPT..namun atas tuntutan tanggungjawab saya kepada KPT sebagai exco saya terpaksa memilih prioriti yang perlu didahulukan..lagipun kedudukan universiti sangat la dekat dengan rumah dan memudahkan saya ke kuliah walaupun terpaksa berjalan bersendirian..

Destinasi ketiga saya ialah Asrama Pelajar Trg, Hayyu Asyir, Tooba Ramly. Selepas berlaku perubahan politik di Terengganu usai Pilihanraya pada tahun 1999 pusat pentadbiran KPT beralih ke Asrama Terengganu Hayyu Asyir. Saya menghabiskan waktu saya selama dua tahun di sini dan di sini jugalah tempat paling banyak memori peristiwa pahit manis yang menyaksikan jatuh bangun saya selama permusafiran saya menuntut ilmu di ardhul kinanah ini.
Kini, rindu saya tidak pernah padam pada Mesir, pada 3 perhentian saya, pada panoramanya, pada gedung ilmunya - Al Azhar, kuliah, taffaquh dsbg.. dan pada ashab dan sohabiyyat yang sama-sama berjuang menuntut ilmu dan menempuh kehidupan di perantauan ketika itu..banyak mendidik saya menjadi insan yang kental, sabar dan kuat dalam menempuh kehidupan dan berdepan dengan kemelut masyarakat terutama bidang pendidikan yang saya ceburi ini.

Saturday, August 29, 2009

TIPS MENGENAL DIRI SENDIRI MELALUI TARIKH LAHIR

2 comments

Tip Mengenal Diri Sendiri Melalui Tarikh Lahir ini dari hasil kajian Dr.Fadzilah Kamsah. Saya sudah lupa dari sumber yang mana satu saya "sedut" maklumat ini. Saje nak berkongsi dengan teman-teman..sesekali apalah salahnya jika kita menilai diri sendiri untuk memperbaiki nilai diri kita ke arah menjadi insan yang lebih baik..

Kita mulakan..

1. Pemimpin
2. Lembut
3. Kemas (Cerewet)
4. Rajin
5. Boleh berbincang
6. Angin
7. Patuh
8. Bisnes
9. Glamour

Contoh tarikh lahir : 20 05 1981
2 + 0 = 2
Maka kotak pertama adalah 2.

Kemudian campurkan kesemua nombor..
2 + 0 + 0 + 5 + 1 + 9 + 8 + 1 = 26
Kemudian hasil campur yang lebih dari 9 akan dicampur lagi seperti :
2 + 6 = 8
Maka kotak kedua adalah 8..

Selepas itu kotak pertama akan dicampur dengan kotak kedua
2 + 8 = 10
Oleh kerana hasil campur lebih dari 9 maka dicampur lagi
1 + 0 = 1
Maka kotak ketiga ialah 1..

Hasilnya..
2: Lembut
8: Bisnes
1: Pemimpin

Maka anda sudah cerminkan diri anda mungkin sifat-sifat ini ada dalam diri anda dan mana tahu mungkin suatu hari nanti dengan sifat ini anda akan menjadi seorang yang berguna..

Friday, August 28, 2009

PERGINYA SEBUTIR PERMATA : SENATOR PROF DATUK DR ISMAIL MD SALLEH

0 comments
Sudah ketetapan Ilahi, setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Kita tidak boleh mengelak dan mengubahnya walaupun sesaat. Bila tiba masa dan waktu, pasti Allah SWT akan menjemput untuk bertemu..Cuma fikirkan.. bilakah mati akan menjemput kita? Dan apakah kita telah bersedia untuk kembali menemui Allah..

B
aru-baru ini kita kehilangan Allahyarham Ustaz Asri Rabbani dan malam tadi kita dikejutkan dengan pemergian seorang cendiakiawan kita iaitu Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh. Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang telah kembali ke rahmatullah semalam akibat serangan jantung.

Pemergian tokoh akademik dan ekonomi negara hari ini adalah satu kehilangan besar dan tiada gantinya kerana pengorbanan Allahyarham yang tidak terhitung dalam mengangkat martabat dunia pendidikan, membantu memacu ekonomi negara dan membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU). Allahyarham adalah insan yang sangat dikagumi, walaupun kekurangan diri, namun itu bukan penghalang untuk mencapai kejayaan

Dr.Ismail mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia. Allahyarham juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), ketua pegawai eksekutif Twintech Holdings dan naib canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech. Allahyarham Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah doktor falsafah.

Al Fatihah...Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh. Amin.

Thursday, August 27, 2009

Persiapan Awal Raya

0 comments
Alhamdulillah di atas keizinanNya dapat lagi saya publish entri terbaru setelah beberapa hari diulit kesibukan..bukannya sibuk sangat pun..cuma aktiviti harian agak padat sehingga saya tidak sempat membuka blog ini dan berkongsi cerita dengan teman-teman semua.

Kesempatan pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu tidak saya lepaskan begitu sahaja. Peluang dan ruang yang ada ini saya penuhi dengan aktiviti yang sudah saya rancang sebelum pulang ke kampung lagi. Antaranya berbuka dan bersahur bersama keluarga saya dan keluarga mertua saya.

Namun yang paling seronoknya, saya begitu teruja berbuka puasa dan bersahur bersama ayahanda saya. Ayah sudah berusia dan uzur ..solat pun dia tidak mampu berdiri, setakat solat duduk sahaja kerana lututnya sudah tidak kuat lagi . Berjalan pun menggunakan tongkat atau berpegang pada tiang dan dinding di dalam rumah. Sedih dan sayu hati melihat keadaan ayah. Namun dia gagahkan juga untuk melunasi ibadat puasa Ramadhan ini walaupun kami beriya mahu membayar fidyah untuknya jika dia tidak mampu lagi berpuasa. Selepas berbuka saya dan suami berterawih di masjid berdekatan rumah saya...fuih!! ramainya orang datang berterawih..Alhamdulillah..nampaknya impak Ramadhan turut dirasai oleh ramai saudara-saudara kita yang lain..Moga ganjaran dan keberkatan milik bersama..

Semalam saya, suami dan anak-anak ke bandaraya Kuala Terengganu untuk membuat persiapan Hari Raya. Saja je kami mahu buat persiapan lebih awal kerana tidak mahu bersesakan di hujung Ramadhan nanti. Namun telahan kami silap kerana nampaknya ramai juga yang membuat persiapan awal seperti kami dan buktinya jalan-jalan di pusat bandar K Trg sesak dan jam teruk...satu permandangan yang jarang dapat dilihat di sini . Walaupun wabak H1N1 menular waktu kini, tapi Hari Raya punya pasal nampaknya itu semua diabaikan.

Walaupun belum masuk satu minggu berpuasa..pusat membeli belah sudah sibuk dan sesak dengan umat Islam yang membuat persiapan Hari Raya. Lagu raya berkumandang sana sini seakan Hari Raya akan menjelma sehari dua lagi.
Kami memilih untuk shopping di shopping complex yang kurang sesak dan menyediakan topeng muka untuk anak-anak. Bila dah sampai destinasi yang hendak dituju, bercinta la pulak untuk untuk mencari parking..rupanya destinasi kami pilih juga sesak dengan orang ramai. Alang-alang sudah sampai agenda tetap diteruskan.

Setelah puas membelek, menilik, memerhati, memilih dan menganalisis maka apa yang dicari sudah ketemu, berkenan di mata, berkenan di hati..apatah lagi suami saya pula sudah mengangguk setuju. Saya belikan sepasang baju Melayu untuk Abi, Ammar dan Afiq..manakala untuk saya sudah saya siapkan lebih awal..tema tahun ni...light purple.!.kemudian saya beli beberapa helai seluar dan baju untuk anak-anak saya..Cukuplah sekadar yang perlu kerana banyak lagi baju yang baru dibeli hari itu masih baru dan elok untuk dipakai..Berjimat dan berpada dengan apa yang ada itu perlu...

Tuesday, August 25, 2009

SIHATKAH PUASA ANDA?

0 comments

Bagi masyarakat Islam yang inginkan kesihatan tubuh badan yang lebih stabil, puasa secara teratur akan memperbaiki sistem daya tahan badan. Namun begitu, kadang-kala puasa yang tidak teratur menyebabkan badan menjadi lemah. Oleh itu, pakar sains perubatan telah mengklasifikasikan puasa seperti berikut:

  1. Berbuka dengan buah-buahan dan minuman daripada bahan semulajadi. Elakkan pengambilan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan. Gantikan dengan gula merah, madu lebah dan jus buah-buahan asli.
  2. Disarankan solat maghrib terlebih dahulu kerana memberi peluang kepada perut supaya mencerna makanan
  3. Semasa berbuka, sebaiknya ambillah makanan yang mudah dihadam, mengandungi serat dalam kadar yang sedikit, kurangkan makanan yang berminyak, berempah dan pedas. Perbanyakkan sayuran, tauhu dan kekacang. Kurangkan pengambilan protein haiwan seperti daging kerana ia makanan yang paling kompleks dan susah dihadam.
  4. Minum air putih atau teh herba yang mengandungi getah anggur, kembang semangkuk dan biji selasih. Ia bertujuan untuk mencuci usus dan menyenangkan membuang air besar
  5. Elakkan pengambilan kopi dan teh, kerana minuman ini mengandungi kafein yang boleh memberi banyak rangsangan kepada saraf dan jantung ketika berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada bahagian perut kerana mengandungi asid hidroklorit berlebihan yang menyebabkan gastrik.
  6. Pastikan karbohidrat di dalam badan mencukupi. Sekiranya tidak mencukupi, badan akan cepat terasa lemah dan tidak bertenaga di siang hari
  7. Tidak perlu mengambil makanan tambahan seperti vitamin dan sebagainya kerana kandungannya yang berlebihan akan terbuang menerusi air kencing
  8. Rasulullah menyarankan agar melewatkan sahur kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian pakar sains perubatan di Malaysia dan barat menunjukkan bahawa makanan yang utama dalam masa 24 jam ialah waktu sarapan pagi. Ia bertujuan untuk memelihara badan berbanding waktu lain. Amalan bersahur ini menjadi lebih penting untuk ketahanan badan terutama kepada kanak-kanak yang dilatih berpuasa kerana glukosa dalam darah akan menurun selepas bangun tidur.


BERPUASA YANG TIDAK BERKESAN MENURUT SAINS PERUBATAN

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan puasa tidak mendatangkan kesan yang baik terhadap tubuh badan kerana:

  1. Makan terlalu banyak sewaktu sahur dan berbuka
  2. Makan makanan yang pedas, masam, terlalu masin, berempah dan susah dihadam seperti pengambilan daging terutama bagi pengidap penyakit batu karang, gout dan alahan.
  3. Mengulangi makan sepanjang malam.
  4. Kurang minum air pada waktu malam atau lebih minum air semasa makan.
  5. Tidur selepas kenyang makan.
  6. Tidak mengambil makanan langsung ketika waktu sahur.


MAKANAN YANG MENJEJASKAN KESIHATAN SEMASA BERPUASA


Makanan yang menjejaskan khasiat puasa kerana mengandungi bahan kimia dalam badan seperti:

  1. Kopi dan teh
  2. Air paip yang dimasak dan tidak ditapis.
  3. Makanan yang mengandungi bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan seperti burger, sosej, mee segera, air dalam tin, air dalam kotak, nugget dan sebagainya.
  4. Makanan masin perlu dielakkan semasa berpuasa kerana ia boleh menyebabkan air bertakung dalam badan (waterrittention).

Monday, August 24, 2009

Ramadhan : Antara Teruja & Rindu

3 comments
Salam Ramadhan buat semua. Sedar tak sedar sudah masuk tiga hari kita melalui madrasah Ramadhan tahun ini. Bagaimana dengan perjalanan awal Ramadhan anda semua...harap-harap ia adalah permulaan yang baik kerana permulaan Ramadhan adalah rahmat dari Allah. Rahmatnya sungguh terasa kerana cuaca yang tidak begitu panas dan agak dingin begitu mendamaikan serta kesihatan yang baik dikurniakan Allah buat saya, famili terutamanya anak-anak, dapat kami lunasi ibadat ini dengan baik.

Alhamdulillah sinar Ramadhan terus bermakna buat kami sekeluarga. Ammar pula lebih kuat dari jangkaan saya..walaupun terpaksa melayan karenahnya saya redha melaluinya asalkan dapat melatih dia berpuasa dan memahami nilai-nilainya. Saya memberi galakan dengan cuba memenuhi permintaan-permintaan juadah berbuka yang dia inginkan, tapi amboi...bukan sebarang makanan yang dimintanya..high tasted jugak anak bujang saya ni..yang termampu bolehlah saya tunaikan..yang selebihnya cari kat bazar Ramadhan, Afiq ( 4 tahun 10 bulan ) pula tidak berpuasa, jadi dia adalah "dugaan" terbesar yang terpaksa dihadapi oleh Ammar - maklumlah bila dapat makan dia akan tunjuklah aksi-aksi yang melemahkan iman abang dia yang sememangnya kuat makan tu..sabar je lah..jenuh la kami kena memujuknya..

Usai berbuka dan solat Maghrib saya, suami dan anak-anak solat terawih di masjid berdekatan..Tahun ni kami bercadang hendak berterawih di masjid dan surau yang berlainan sebanyak yang mampu..Tiga malam dah tiga masjid kami pergi, walau situasi dan suasana berbeza, jumpa kenalan yang berbeza tapi tujuan dan niat tetap sama.

Semalam, kami berterawih di Masjid Penarik yang terletak di tepi pantai, kira - kira 10 minit perjalanan dari rumah .Jemaahnya boleh tahan juga ramainya termasuk di sebelah muslimat. Dalam kelompok jemaah muslimat, saya tersentuh hati melihat seorang makcik yang persis arwah ibu saya..cara dia duduk dan iras wajahnya membuatkan saya merasa sangat rindukan ibu saya. Terasa ingin sahaja saya pergi dekat makcik tu dan memeluknya. Tapi apakan daya nanti apa pulak pandangan jemaah yang lain..saya tidak mahu mengganggu ketenteraman di rumah Allah itu dengan drama sebabak saya..

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, segala kenangan bersama arwah ibu hadir satu persatu bersama rindu yang amat sangat dari hati saya. Bersama desir angin malam Ramadhan yang dingin saya panjatkan doa semoga ibu saya bahagia di persemadian dan ditempatkan bersama-sama ruh orang-orang yang soleh..Amin


Sunday, August 23, 2009

KHASIAT SEBIJI KURMA

0 comments

Kurma adalah sejenis tumbuhan (palma) atau lebih dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai ‘phonex dactylifera’ yang berbuah. Kurma mempunyai khasiat yang tersendiri. Ia menjadi makanan Rasulullah S.A.W. Rasulullah telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

S.A.W. bersabda : Sesiapa yang makan 7 biji tamar ‘Ajwad’ diaakan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.”

Terdapat penemuan-penemuan yang dilakukan oleh pakar sains perubatan tentang khasiat buah kurma. Antara khasiatnya:-

Kandungan Kalium

Kurma boleh menurunkan risiko serangan stroke kerana kandungan kalium yang tinggi. Nilai kalori yang tinggi memudahkan ia dicerna oleh tubuh. Kalium amat penting bagi fungsi tubuh terutama jantung dan pembuluh darah. Fungsi mineral ini membolehkan denyutan jantung yang teratur, mengaktifkan kontraksi otot dan kestabilan tekanan darah.

Komposisi Gizi

Buah kurma tidak mengandungi lemak, namun kandungan karbohidrat dapat membekalkan energi (tenaga) yang yang tinggi. Kandungannya berkisar sekitar 60 peratus pada kurma yang lembek (yang diambil ketika lembek dan mentah) dan 70 peratus pada kurma kering (yang mengering dipohon).

Varietas kurma mengandungi gula glukosa (sejenis gula dalam darah) atau fruktosa (sejenis gula yang terdapat dalam buah-buahan). Kandungan gula tersebut mudah dicerna dan mudah dibakar oleh tubuh. Oleh itu, orang yang makan banyak buah kurma akan menjadi segar dan tahan lapar kerana penyerapan gula dalam badan berada pada tempoh yang lama

Kandungan Vitamin

Buah kurma juga mengandungi vitamin yang penting seperti vitamin A, vitamin B,tiamin, riboflavin serta niasin. Riboflavin dan niasin akan membantu melepaskan tenaga dari makanan dan tiamin membantu melepaskan tenaga dari karbohidrat. Vitamin A membantu memelihara kulit yang sihat.

Kandungan Mineral

Kurma juga mengandungi banyak mineral seperti magnesium, potassium dan kalsium. Mineral-mineral ini sangat diperlukan oleh tubuh badan. Serat dalam buah kurma berfungsi mengaktifkan usus yang memudahkan membuang air besar. Dalam kurma juga terdapat suatu hormon (potuchsin) yang membolehkan pencegahan pendarahan dalam rahim.

Thursday, August 20, 2009

SINAR RAMADHAN 1430H

0 comments

Ramadhan sudah tiba akhirnya...dekat sangat..sudah mengetuk di pintu keimanan. Bagaimana agaknya corak Ramadhan kita tahun ini..Lebih baik...lebih teruk atau... Ramadhan kali ini tiba bersama bermulanya cuti pertengahan penggal kedua persekolahan..Alhamdulillah..sekurang-kurang awal Ramadhan yang rahmat ini dapat dititipi dengan tenang tanpa bergelut dengan tugasan dan kerja..Lagipun anakanda saya yang sulung berazam nak berpuasa penuh tahun ini..so, mungkin agak mudah untuk melatihnya berpuasa pada minggu pertama tanpa berletihan ke sekolah.. Antara bangga dan teruja, jauh di sudut hati saya meragui keazaman Ammar..maklumlah dia ni kuat makan..badan pun semangat semacam..tahun lepas setakat separuh hari je..tu pun hanya sempat berapa hari...selebihnya dia mengalah..Janjinya tahun ni nak berpuasa..lagipun penangan cerita puasa Upin dan Ipin memberi motivasi dia nak berpuasa..Insya Allah...harapnya madrasah Ramadhan ini mampu mendidiknya menjadi anak yang soleh..

Kedatangan Ramadhan kali ni sukar untuk digambarkan perasaan hati saya...antara teruja, gembira, seronok, sayu, sedih...malah takut pun ada...teruja, gembira dan seronok kerana bulan Ramadhan bulan istimewa kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya..macam-macam nikmat dan ganjaran serta big give yang lain daripada Allah...sudah pasti saya berazam nak pastikan Ramadhan kali ini berkualiti dan bermakna dengan ibadah kepadaNya..

Sedih pulak...satu-satunya kerana Ramadhan ini saya tidak lagi dapat bersahur dan berbuka dengan al-marhumah ibu saya yang pergi meninggalkan kami malam 17 Januari yang lalu...malam sama ketika sambutan kemenangan PAS menawan Kuala Terengganu..terbayang lauk dan makanan kegemarannya tatkala berbuka...apapun segalanya sudah suratan..setinggi mana sayang kita kepada seseorang...dia adalah milik mutlak Allah...yang pasti seboleh mungkin Ramadhan ini saya akan pulang berbuka dan bersahur menemani ayahanda di kampung di samping menjenguk mertua saya juga.

Takut pulak...takut kalau tak dapat memanfaatkan Ramadan ini semaksimum mungkin..takut Ramadhan berlalu tanpa ku rebut manfaat lantaran Ramadhan akan datang belum tentu milik kita..

Ahlan Ramadhan...ku nantimu dengan penuh ketawaddukan sebagai hambaNya yang fakir...moga sinarmu milikku..

MARWA AS SHARBINI : SYAHID KERANA TUDUNGNYA

0 comments


Kisah Marwa asSharbini seorang wanita mesir yang berhijab dibunuh kejam di Dewan Mahkamah Jerman dalam mempertahankan haknya sebagai seorang wanita Islam yang telah dihina dan dipermainkan oleh seorang lelaki Jerman. Marwa syahid sebagai seorang srikandi Islam di zaman fitnah ini. Allah telah memilih beliau untuk melaluinya..Alangkah bertuahnya dia..Namun apa yang dapat kita belajar dari peristiwa ini? Kita Ummat Islam di akhir zaman ini semakin dahagakan dunia Islam yang sepenuhnya. Sebagaimana Saidina Umar mengisytiharkan perang keatas kaum pemuda YAHUDI yang telah menghina aurat seorang wanita dipasar...

Tidak banyak liputan TV tentang Marwa Al-Sharbini, seorang ibu yang punya seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim. Tidak ramai pula di kalangan orang Islam sendiri sedar tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian Raja Pop. Itupun kerana media, terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari, bahkan berminggu masih belum reda isunya.

Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwa ke tempat pengkebumiannya. Beliau tidak sepopular artis tersohor, MJ, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya, yang dengannya ia syahid.

Marwa ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberikan keterangan atas kesnya. Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap menyebutnya “teroris” hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam keadaan kritikal di hospital di Dresden .

Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda Islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman Khalifah Mu’tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata: ‘Waa Mu’tasimah!’. Mu’tasim yang berada begitu jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Hari Jilbab Antarabangsa

Umat Islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengkebumian Michael Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwa, melainkan media Islam khususnya di internet.

Untuk mengingati peristiwa ini, Hari Jilbab Antarabangsa dicadangkan bagi mengenang Marwa as-Sharbini. Usul itu dilontarkan oleh Ketua Perhimpunan Mempertahankan Hijab, Abeer Pharaon melalui Islamonline. Abeer mengatakan, Marwa Al-Sharbini adalah seorang syahid bagi perjuangan muslimah yang mempertahankan jilbabnya. “Ia menjadi korban Islamofobia, yang masih dialami ramai orang Islam di Eropah. Kematian Marwa layak untuk diperingati dan dijadikan sebagai Hari Hijab Sedunia,” kata Abeer.

Seruan Abeer disambut oleh beberapa orang tokoh Muslim, di antaranya Rawa Al-Abed dari Persekutuan Persatuan Islam di Eropah. “Kami mendukung cadangan ini. Kami juga menyeru agar diwar-warkan kempen seperti ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak muslimah di Eropah, termasuk hak mengenakan jilbab,” kata Al-Abed.

Profesor bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga memberikan dokongannya atas cadangan Hari Jilbab Antarabangsa yang boleh dijadikan momentum untuk memberi tindakbalas sikap anti-jilbab di Barat. “Hari peringatan itu akan menjadi kesempatan bagi kita untuk mengingatkan Barat agar bersikap adil terhadap para muslimah dan kesempatan untuk menunjukkan pada Barat bahawa Islam menghormati hak beragama,” tegas Nusser.

Nusser menegaskan bahawa hak seorang muslimah untuk berpakaian sesuai dengan ajaran agamanya, tidak berbeza dengan hak penganut agama lain. Ia mengingatkan, kaum perempuan penganut Kristian Ortodoks juga mengenakan tudung sebelum masuk ke gereja.

Sokongan untuk mengadakan Hari Jilbab Antarabangsa itu juga datang dari Persatuan Muslim Denmark. Ketuanya, Mohammed Al-Bazzawi. “Hari Jilbab untuk mengingatkan masyarakat Barat bahawa hak muslimah untuk mengenakan jilbab sama dengan hak perempuan non-Muslim yang boleh mengenakan busana apa saja. Mereka di Barat yang berbicara soal hak perempuan, selayaknya menyedari bahawa mereka juga tidak boleh mengabaikan hak seorang perempuan untuk mengenakan jilbab,” ujarnya.

Gerakan Islam di rantau Asia juga wajar mengambil inisiatif menganjurkan Hari Jilbab Antarabangsa tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam. Dewan Muslimat PAS dan NGO berkaitan boleh mengambil peranan ini.

Akhbar Jerman perleceh Marwa as Sharbini

Surat khabar Jerman, Die Welt versi online memuatkan komentar-komentar pembacanya yang berisi penghinaan dan pernyataan anti-Arab dan anti-Muslim.

Komentar-komentar itu adalah reaksi pembaca atas artikel berjudul “Islamisten fordern Vergeltung für Mord im Gericht” yang diterbitkan berkaitan kes Marwa Al-Sharbini itu.

Salah satu pemberi komen misalnya, menyarankan agar pelaku pembunuhan Marwa diberi tanda jasa “Federal Cross of Merit”. Pemberi komen lainnya menyebut Marwa “toilet” dan masih banyak lagi komentar-komentar lainnya yang isinya jelas membela pembunuh Marwa dan melecehkan Marwa.

Pihak Die Welt pula anehnya, enggan menolak untuk menghapuskan komentar-komentar yang provokatif itu, seiring dengan sikap media massa Jerman lain untuk tidak menulis berita tentang insiden yang menimpa Marwa. Media Jerman menganggap kes pembunuhan Marwa yang berlatar belakang islamofobia itu bukan kes yang serius. Sikap media Jerman mungkin akan berbeza jika yang dibunuh adalah seorang non-Muslim Jerman dan pelakunya seorang Muslim.

Sementara itu, atas sikap akhbar Die Welt online, website Ikhwanul Muslimin menyeru kaum Muslimin untuk menyampaikan email protes kepada akhbar tersebut agar menghapuskan komentar-komentar yang rasis dan anti-Muslim, melalui alamat email: online@welt.de

(disunting dari pelbagai sumber)

Tuesday, August 18, 2009

RAMADHAN KARIM..

0 comments

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

SELAMAT MENEMPUH MADRASAH RAMADHAN AL MUBARAK

0 comments

Kalau peminat bola mereka akan teruja dengan musim Piala Dunia..EPL dan sebagainya..Ibarat kata bila musim bola bermula..jadual mereka mula berubah, keutamaan juga berubah..segala-galanya bola...tengok bola, main bola, cakap pasal bola, mimpi bola...kalau boleh makan bola pun mereka makan agaknya...yang pasti mereka begitu seronok dan excited dengan musim bola...justeru bila tiba di penghujungnya mereka akan mula rasa kesunyian...kebosanan kerana terpaksa berpisah dengan booooolaaaa....

Kalau perempuan kaki shopping pula mereka akan teruja dengan musim jualan murah, jualan penghabisan stok, harga runtuh, mega sale, extravaganza sale dan lain-lain sale lagi...maka aktiviti menghabiskan duit dengan bershopping atau sekadar window shopping merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan...maka acara menjelajah kedai, gedung, pasaraya mula diatur...turun naik harga barang tanyalah mereka...satu-persatu mereka tahu....

Saya gambarkan dua golongan diatas tujuannya adalah untuk menterjemahkan dua situasi tersebut mengikut acuan golongan yang suka beribadat dan beramal soleh...pastinya kedatangan Ramadhan sangat dirindukan dan dinanti-nantikan ibarat kata seperti menunggu masa untuk berjumpa kekasih yang sudah setahun ditinggalkan...MasyaAllah..kuatnya penangan Ramadhan...Maka mereka mula berkira-kira untuk mengimarahkan Ramadhan dengan amal ibadah agak kualitinya lebih baik daripada ibadat pada Ramadhan yang lepas...justeru bulan yang ditunggu-tunggu ini ialah
bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keampunan.Bulan yang penuh dengan kenikmatan dan keberkatan.Bulan yang penuh kemuliaan dan keagungan.Bulan yang penuh dengan sumber rezeki.


Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan. Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah.” Surah Al-Baqarah : 185.

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Tuntas kata...peringatan untuk diriku dan semua...ayuh! kita semarakkan madrasah Ramadhan tahun ini dengan penuh kesyukuran dan ibadah yang berterusan..moga keberkatan dan kemuliaannya menjadi milik kita

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Friday, August 14, 2009

Penawar Mujarab Bagi Penat & Stress

0 comments

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :

“Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu.”

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.
Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu. Baginda s.a.w. berkata:

“Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam.”

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua. Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s.a.w. ini. Katanya “Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku.”

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca ‘Subhanallah’ (33 kali), ‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan ‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam isitu sebelum melelapkan mata. Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

Thursday, August 13, 2009

AL FATIHAH BUAT USTAZ ASRI

0 comments

Al Fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan nasyid nombor satu negara, Rabbani, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi. Beliau yang sedang menjalani rakaman program Syahadah di RTM, rebah, dipercayai akibat serangan jantung. Ustaz Asri Ibrahim dibawa ke Hospital Pantai dan diisytiharkan meninggal dunia di situ.

Seingat saya, saya membesar dengan nasyid-nasyid beliau sejak dari zaman persekolahan sehingga sekarang....Suara emas beliau mampu menyuntik keinsafan dan mengajak jiwa-jiwa menyintai Tuhan dan mendidik kita menjadi hambaNya yang lebih baik termasuk diri saya yang dhaif ini. Kehilangan Ustaz Asri Ibrahim amat dirasa kerana beliau dan nasyidnya di dalam kumpulan Nadamurni dan kemudiannya Rabbani. Nasyidnya, zikirnya, doanya, malah tazkirah dan nasihatnya, adalah peneman diri dalam kehidupan dan perjuangan. Moga segalanya menjadi amal kebaikan peneman diri beliau dalam kembara pergi tak kembali itu.

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Tuesday, August 11, 2009

Ibu! Tarbiyyahlah Anak-anakmu..

1 comments
Kasih ibu terhadap anaknya tidak bermusim , berbeza kasih anak buat ibu hanya pada saat dan tika tertentu .

Dunia seperti insaf betapa hari ini ibu menjadi bahan antik yang disimpan atau diperosok ke rumah orang - orang tua dan sebahagiannya ditinggal sendirian membilang hari mati .

Kecil sizenya dan sedikit pula jumlahnya buat manusia bertaraf ibu yang mampu mengecap kebahagiaan disamping anak - anak hingga ke akhir hayat mereka .

Hanya anak - anak yang soleh/ah memiliki keupayaan menjaga dan membelai sang ibu biar usia memamah seri wajahnya sehingga sang ibu ini menghembuskan nafas akhirnya dengan tenang di pangkuan anak .

Namun anak yang sanggup bertahan dengan karenah ibu tua bukan mudah dicari . Saya membenarkan kata - kata entah dari siapa yang mengatakan : Ibu seorang boleh membelai dan membesarkan sepuluh orang anaknya namun anak yang sepuluh ini belum tentu dapat membelai dan menjaga ibunya yang seorang .

Ucapan yang saya untuk semua kaum ibu ialah " Ibu ! Tarbiyahlah anak - anakmu agar mereka menjadi insan yang soleh dan seterusnya turun ke medan lantas berjuang untuk menegakkan agama Allah swt . Saya kira , anak seperti inilah akan membuatkan ibu bangga dan bahagia ."

Firman Allah swt :

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya ( penyejuk mata hati ), dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.

( Surah al Furqan . Ayat : 74 )

Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa , bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Justeru itu , Nabi saw menegaskan :[1]

ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ

Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah . Maka ibubapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi , Nasrani atau Majusi .

( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya . Mereka jugalah penyambung warisan keluarga dan ummah , malah Nabi saw. sangat berbangga dengan ramainya jumlah ummat Baginda di akhir zaman . Sabda Rasulullah saw. [2]

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم

Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh melahirkan anak , maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummat.

( Riwayat Abi Daud dan an Nasa’I )

Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak – anak bukan suatu yang mudah , sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di zaman yang terlalu rosak persekitarannya.[3]

Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi .

Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.

Terlebih penting ialah memiliki Aqidah yang benar dan Spiritual yang yang mantap
agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat yang kian luas menular .

Pengajaran dari wasiat Lukmanul Hakim .

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman :

· Membina Aqidah kukuh agar tidak syirik .
. Asuhan agar mentaati Ibu bapa .
· Meyakini pembalasan Ilahi. ( syurga neraka & dosa pahala )
· Melaksanakan Ibadah asas seperti solat
· Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat .
. Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan .
· Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dsbnya.
· Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dsbnya.
Inilah silibus utama dalam Pendidikan Anak yang perlu kita laksanakan.

Antara lainnya sabda Rasululullah saw. :[4]

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عليها وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ في الْمَضَاجِعِ

Perintah anak – anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah meningkat 7 tahun dan pukullah mereka ( jika mereka enggan ) apabila umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka ( lelaki dan perempuan )

( Hadis Sohih Riwayat Imam Ahmad , Abi Daud , al Hakim dan al Baihaqi )

PETUA ALIM ULAMA’ DALAM MENDIDIK ANAK .[5]

ANAK NAKAL .

1. Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah saw.
2. Selawat al Fatih : 100 kali
اللَّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَ الْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ وَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَ الْهَادِيْ إِلىَ صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمَ وَ عَلَى آلِهِ وَ أَصْحَابِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَ مِقْدَارِهِ اْلعَظِيْمِ .
3. Surah Aali Imran . Ayat : 83 [6]
4. Ayat al Kursi . 170 kali
5. Surah at Taubah . Ayat 46 : 100 Kali .


Ayat – ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian .

ANAK DEGIL .

Baca ayat “ Salam Yassin ” : Ayat ke 58 dari surah Yassin .
Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di tengah malam jumaat sebanyak 313 kali . Sebelum membacanya , terlebih dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali di hadiahkan kepada Rasulullah saw , Alim Ulama’ , Para Syuhada’ , Ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya.

MELAHIRKAN ANAK YANG MENJAUHKAN DIRI DARI MAKSIAT.

Kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata , hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah . Semoga anak yang bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Semoga Allah memberkati kita semua .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...