"Hidup ini tumpang menumpang... di situlah lahirnya syukur kita
kepada Allah. Pada sepinggan nasi yang kita makan, di situ ada nasi
yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam
yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja
untuk memberikan sepinggan nasi kepada kita.. alangkah kerdilnya kita di
bumi Allah SWT... maka siapakah kita untuk menolak agama Allah..?" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pemimpin bertaraf ulama ini memang kaya dengan ilmu dan hikmah. Kata-kata beliau tinggi dengan keindahan ilmu balaghahnya. Menyentuh keimanan dan menyuntik rasa sedar hingga menusuk dalam hati.
Pengalaman bertemu beliau masih kemas tersimpan dalam kamus hidupku. Waktu itu saya di negara orang. Ketika kunjungan beliau ke Mesir, satu
program ramah mesra antara beliau dengan seluruh mahasiswi Malaysia Al
Azhar telah diatur PMRAM . Bagi saya dan rakan-rakan, ia adalah peluang
yang tidak mampu dilepaskan. Oleh kerana rumah berdekatan, saya
pergi ke lokasi lebih awal dan dapat duduk bersila di barisan hadapan
berhadapan Tuan Guru. Mendengar bicara beliau yang penuh ilmu dan
hikmah di hadapan mata sendiri.

