Salam mesra buat semua..
Diet dan pemakanan sihat merupakan azam tahun 2010 buat saya. Sebenarnya kalau diikutkan berat badan 60kg+ ditambah dengan ketinggian 162cm, saya tidaklah mencapai tahap obesiti tetapi saya hanya inginkan tubuh yang sihat dan cerdas untuk kekal aktif dan cergas dalam melakukan aktiviti harian.
Sebenarnya diet bukan sekadar untuk kurus dan cantik, tapi lebih penting dari itu ialah mempunyai tubuh badan yang sihat. Bila tubuh badan sihat, maka minda lebih cerdas dan positif. Seperti pepatah Arab ada mengatakan " Akal yang cerdas datangnya dari badan yang cergas."Selain dari itu, urusan ibadat menjadi lebih bermakna. Apatah lagi untuk melunaskan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.
Justeru..nak merealisaikan impian itu, bila ada masa-masa terluang pasti saya akan cari maklumat-maklumat pasal diet di internet. Banyaklah juga info yang saya dapat. Antaranya rahsia pemakanan wanita Jepun yang menampilkan badan mereka yang kekal kurus, ramping dan sihat. Saya petik artikel ni dari Harian Metro untuk dikongsi bersama teman-teman yang juga mempunyai impian yang sama..
TABIAT makan memang mampu mengubah diri apatah lagi jika rajin
meneliti corak pemakanan yang diwarisi secara tradisional di pelbagai
pelosok dunia.
Antara tabiat pemakanan yang sering menjadi tumpuan adalah diet
warisan masyarakat Asia khususnya di Jepun, China, Korea, Vietnam,
Thailand dan India manakala di Eropah, cara tradisional pemakanan
masyarakat Perancis turut menjadi perhatian.
Hasil tulisan perunding pemasaran kelahiran Jepun, Naomi Moriyama
menerusi bukunya berjudul Japanese Women Don’t Get Old or Fat,
menyelongkar petua di sebalik gaya hidup wanita negara matahari terbit
itu yang muda bertenaga. Dia bukanlah pengamal diet, tetapi rahsianya mudah saja, menikmati masakan rumah cara Jepun.
Dia juga yakin jangka hayat hidup yang panjang dan kadar obesiti
yang rendah di kalangan masyarakat Jepun banyak berkait dengan jenis
makanan disediakan di rumah.
Membesar di Tokyo dan kini tinggal di New York, Amerika Syarikat,
Naomi pernah mengalami pertambahan berat lebih 10 kilogram dengan
ketinggian hanya 150 sentimeter ketika menuntut di kolej kerana banyak
menikmati makanan Amerika.Dia dan suaminya kini bertukar kepada cara makan tradisional Jepun.Lebih langsing dan bertenaga, dia berkongsi strategi pemakanannya yang digelar sebagai tujuh rahsia dapur Tokyo.
Rahsia pertama, makanan yang menjadi keutamaan termasuk ikan, soya,
nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan. Kedua, sajian makanan adalah kecil.
Ketiga, sup miso menjadi sajian sarapan utama.
Keempat, memasak secara sederhana. Kelima, nasi menggantikan roti.
Keenam, hanya jamah makanan pencuci mulut.
Ketujuh, wanita Jepun lazimnya tidak mengamalkan diet sebaliknya hanya makan apa saja yang digemari dalam jumlah sedikit.
Naomi mengakui masyarakat Jepun juga tidak makan hingga kenyang
sepenuhnya kerana lazimnya mereka makan hingga 80 peratus kenyang.Mereka juga banyak berjalan iaitu mereka mengambil peluang untuk berjalan ke mana saja.
“Makanan Jepun memberi tumpuan terhadap tenaga makanan yang
dihasilkan dalam saiz yang memuaskan. Tidak perlu masak cara Jepun
untuk menikmati asas diet yang menyihatkan, hanya makan lebih ikan,
sayur-sayuran dan buah-buahan serta tambah beberapa pilihan menyihatkan
seperti taufu dan nasi,” kata Naomi.
Menurutnya, cara hidup dan diet itu juga membuatkan masyarakat Jepun baik lelaki atau wanita, hidup lebih lama dan sihat.Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat
wanita dan lelaki Jepun adalah 86 serta 79 tahun berbanding warga
Amerika, 80 tahun (wanita) dan 75 tahun (lelaki).
Selain itu, masyarakat Jepun mencatatkan kadar obesiti paling rendah
di kalangan negara maju iaitu kira-kira tiga peratus berbanding 11
peratus untuk Perancis dan 32 peratus Amerika.“Mungkin ramai yang kata ia sebahagian daripada genetik kami, tetapi
apabila orang Jepun mula mengamalkan cara pemakanan Barat, mereka cepat
mengalami pertambahan berat badan,” kata Naomi sambil menambah petua,
seseorang itu harus makan dengan mata.
Menurutnya, keajaiban makan cara Jepun adalah keseimbangan yang
menyihatkan dari segi inti makanan serta menyajikan makanan lazat yang
rendah kalori.Di samping itu, makanan harus disajikan cantik menerusi jumlahnya yang kecil dalam pinggan kecil molek.
“Menerusi cara itu, ia menggalakkan seseorang untuk ‘makan dengan
mata’ dengan menikmati keindahan makanan. Hasilnya, kita akan makan
dengan perlahan untuk menikmati setiap gigitan.“Ini juga bermaksud, seseorang itu akan makan dalam jumlah yang
sedikit kerana ia memberikan masa kepada otak untuk sedar bahawa tubuh
kita sudah kenyang,” katanya.
Menurutnya, secara purata masyarakat Jepun makan kira-kira 25 peratus kurang kalori setiap hari berbanding warga Amerika. Makan hanya lapan peratus kurang daripada jumlah kalori setiap hari
sambil meningkatkan aktiviti fizikal secara sederhana, mungkin memadai
untuk menggalakkan usia yang lebih panjang, menurut penyelidikan Kolej
Perubatan Universiti Florida.
Diet Jepun juga banyak pengambilan nasi iaitu kira-kira enam kali
ganda lebih banyak daripada jumlah diambil seseorang yang mengamalkan
pemakanan di Amerika. Di Jepun, semangkuk kecil nasi dihidangkan bersama hampir semua sajian termasuk sarapan. Karbohidrat kompleks yang rendah lemak itu memang mengenyangkan
justeru, seseorang itu kurang keinginan untuk makan makanan berlemak
seperti biskut dan pastri.
Menurut Naomi, masyarakat Jepun juga gila makan sayur. Sayur-sayuran
seperti lada benggala merah, lada benggala hijau, kacang hijau, terung,
bawang, tomato, kobis, lobak merah, bayam, pucuk rebung, akar teratai,
cendawan shitake, kentang manis serta rumpai laut adalah antara yang
digemari dalam pemakanan Jepun.
Malah, tiada siapa fikir ia sesuatu yang ganjil apabila mereka
menyediakan sup sayur-sayuran atau salad untuk sarapan. Sayur-sayuran
itu biasanya disediakan dengan rebusan berperisa, tumis bersama minyak
kanola atau dikukus perlahan, semua kaedah itu mengekalkan jumlah
khasiat yang maksimum.
Ikan seperti salmon, tuna, makerel dan sardin adalah sumber penting
asid lemak omega-3 yang dikenali kerana manfaat kesihatannya untuk
jantung. Cuma, diet Jepun mungkin mengandungi sodium yang tinggi, justeru
kurangkan pengambilannya terutama di dalam sos soya atau teriyaki atau
menggunakan sos berkenaan dalam jumlah yang kecil.
Rahsia diet masyarakat Jepun itu jika diteliti, sesetengahnya ada
persamaan dengan tabiat pemakanan yang diwarisi secara tradisional oleh
masyarakat Perancis. Seperti diketengahkan penulis Mireille Guiliano yang menghasilkan
buku yang cukup laris beberapa tahun lalu, French Women Don’t Get Fat,
ada sesuatu yang harus dipelajari daripada sikap orang Perancis
terhadap makanan.
Baginya, seseorang itu harus menikmati makanan, bukannya takutkan makanan.Masyarakat Perancis rata-rata bukan saja menikmati makanan mereka,
tetapi pada masa sama, mengawal berat badan menerusi perubahan kecil
dalam tabiat pemakanan.
Mireille mengakui wanita Perancis biasanya makan mengikut waktu. Mereka juga tidak kisah mengenai jumlah kalori makanan sebaliknya menjalin hubungan yang seimbang dengan makanan. Ini bermakna seseorang itu harus memberi penekanan terhadap kualiti,
bukannya kuantiti dan belajar untuk makan secara perlahan supaya dapat
menikmati makanan, sekali gus mengelak tabiat makan dengan gelojoh.
Baginya, seseorang itu boleh menikmati apa saja makanan, tetapi ia harus secara sederhana.
Makanan Perancis biasanya mengandungi beberapa hidangan, tetapi sajiannya kecil dan makanan berkenaan berkualiti tinggi. Saranan Mireille, menikmati secubit coklat berkualiti tinggi adalah
lebih memuaskan selera daripada sekeping coklat bersaiz besar.
Keseimbangan dimaksudkan penulis ini bukan saja membabitkan makanan, tetapi aspek lain. Misalnya, jika seseorang itu menikmati pencuci mulut ketika makan
tengah hari, dia lazimnya memilih hidangan makan malam yang agak ringan
atau bersenam dengan berjalan sekeliling kediaman.
Meskipun tiada kajian saintifik disentuh dalam bukunya, penyelidikan
perubatan turut menyokong hasil tulisan wanita yang mencecah usia 60
tahun ini. Kajian Universiti Pennsylvania, Amerika misalnya mendapati meskipun
kebanyakan makanan Perancis mempunyai kandungan lemak yang tinggi,
masyarakat Perancis biasanya menikmati saiz hidangan yang lebih kecil
dan kebanyakannya mengambil jumlah kalori yang lebih sedikit berbanding
kebanyakan masyarakat AS.