Friday, February 26, 2010

Sempurnakah Cinta Kita?

6 comments
Salam Maulidurrasul buat semua..

Tanggal 12 Rabiul Awwal, merupakan tarikh keramat kelahiran Junjungan Besar Rasulullah SAW. Bila tiba tarikh ini, terbayang di kotak fikiran perarakan beramai-ramai keliling kampung dengan pakaian berwarna warni sambil berselawat. Itu sahajakah pengisiannya?

Kita dianjurkan untuk menyambut Maulidurrasul sebagai memperingati dan menghayati keperibadian Rasulullah SAW dan perjuangannya dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Selain itu, memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah sebagai salah satu usaha untuk memperbaharui komitmen kita dalam melaksanakan sunnah Baginda dan menerus perjuangan Baginda dalam menegakkan agama Allah yang mulia ini.

Di samping itu, renungkan kembali.. sempurnakah cinta dan kasih kita pada Rasulullah SAW atau hanya ungkapan di bibir cuma tanpa ada penghayatan di jiwa dan amal perbuatan..Malu sendiri saya membicarakan tentang cinta pada Rasulullah..kerana diri  sendiri  jua tidak terlepas dari alpa menyempurnakan cinta pada kekasih Allah ini kerana lebih cinta pada kesayangan-kesayangan kita dan dunia yang fanaa ini..Astaghfirullah ala'dzim..

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Renungan bersama untuk diri-diri kita yang alpa..nyatakan cinta pada Rasulullah dan hidupkanlah sunnah harian Rasulullah  dalam kehidupan kita. Antara sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: 
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.


Kedua :
Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: 
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.


Keempat :
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: 
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. 

Nasyid kesukaan kami waktu sekolah dulu..lagu asal Nada Murni yang dinasyidkan semula oleh Inteam.

The Messenger Of Allah

Your face is bright like the shining moon
Lighting up darkness of the night
We are here we think of you
Oh Muhammad Rasulullah

The coming of you makes the brightest day
Shining through along the way
You bring the love of al islam
You are the symbol of unity

( chorus )
You bring the light to the entire world
You bring the hope into human life

You lead us to the way of truth
Oh Muhammad
Oh Muhammad Rasulullah

Well my friends the time has come
To have some peace and serenity
From the love of Rasulullah
Oh Muhammmad Rasulullah

Selamat Beramal! Salam Maulidur Rasul 1431H..

Wednesday, February 24, 2010

My Potato Wedges

18 comments
Salam ukhuwwah buat semua..

Selepas entry tentang resepi potato salad hari tu, temanku Nida ada bertanyakan resepi potato wedges. Saya sebenarnya bukanlah pakar benar masak memasak ni, cuma kalau ada masa luang, saya suka mencuba resepi baru terutama yang simple dan mudah. 

Resepi potato wedges ni pun saya ambil dari internet. Ada banyak cara memasaknya, tapi ini paling mudah dan cepat setelah saya ubahsuai resepi-resepi sedia ada. Anak-anak saya cukup suka hingga tak cukup selalunya. Saya tak kisah menyediakan sendiri untuk mereka, kerana kami sudah berazam untuk tidak membiasakan mereka dengan restoren makanan segera. Lagipun, apa kurangnya air tangan ummi ni. Selamat dan jimat belanja.

Bahan-Bahan:
5-6 biji kentang (dipotong seperti wedges)
sedikit garam (atau secukup rasa)
3 sudu besar serbuk kari ikan
Sedikit serbuk lada hitam Ajishio
Air (secukupnya untuk merebus kentang)
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara memasaknya:
  1. Kentang dibasuh bersih tanpa dibuang kulitnya dan dipotong seperti wedges.
  2. Rebus kentang sehingga separuh masak
  3. Angkat dan toskan. Kemudian lumurkan dengan serbuk kari, serbuk lada hitam dan garam.
  4. Perapkan seketika.
  5.  Kemudian digoreng secara 'deep fry' hingga kekuningan.
  6. Angkat dan hidangkan bersama sos cili, mayonis atau sos Thousand Island.
Tengah berbaris untuk digoreng!
Selamat Mencuba!

Monday, February 22, 2010

Ketika Cinta Bertasbih

20 comments

Salam mesra buat semua..

Dua-dua novelnya sudah saya khatamkan. Cuma belum berkesempatan menonton filem ini apatah lagi nak memuat turun. Pernah menonton di internet tapi saya bukan lagi anak remaja yang punya banyak waktu untuk berbuat demikian. Hanya sekerat jalan je..

Satu usaha yang baik untuk tayangan percuma filem berunsurkan islamik ini daripada disogokkan cerita hantu dan aksi ganas yang bertali arus di pawagam atau media di negara kita dewasakini. Kesannya, lahirlah acuan-acuan generasi kita dari filem -filem sedemikian. Ramai yang jadi "hantu" dari menjadi manusia!

KCB 1 dan KCB 2 yang diangkat dari karya Habiburrahman El Shirazy  ( Kang Abik ) ini merupakan alternatif hiburan islamik yang menggunakan Mesir sebagai latar cerita ini berbanding Ayat-Ayat Cinta yang menggunakan tempat di Indonesia sahaja. Itu sebab saya suka..banyak membangkitkan kenangan dulu-dulu di Mesir..

Menurut seorang sahabat, membaca novelnya lebih menarik dan  bermakna  berbanding dari menonton ceritanya. Banyak yang ingin disampaikan oleh Kang Abik tidak mampu diterjemahkan sepenuhnya dalam filem tersebut. Ada benar juga pendapat sahabat saya tu.

Friday, February 19, 2010

Bubur Lambuk Terengganu

18 comments

Salam ukhuwwah buat semua..

Petang semalam, menikmati semangkuk bubur lambuk memang membahagiakan. Pernah merasa keenakan bubur lambuk Terengganu? Kalau belum..apa kata anda cuba, pasti anda akan terpikat dengan rasanya. Kalau nak tahu, inilah favourite saya. Paling saya tak lupa bubur lambuk masakan arwah ibu saya. Sekarang, saya suka masakan ibu mertua pula. Air tangan ibu memang ajaib kan?

Kat sini, bubur lambuk cukup popular semasa bulan Ramadhan seperti di tempat-tempat lain juga. Cuma, bubur lambuk Terengganu berbeza dengan bubur lambuk negeri lain dan ada  sedikit persamaan dengan bubur lambuk Kelantan. 

 daun kadok

Istimewanya kerana menggunakan sayuran kampung seperti pucuk ubi, daun cekur manis, pucuk paku merah, pucuk paku hijau, kangkong, daun kadok, daun kesom, daun kemangin dan daun kunyit.  Lagi satu, kebiasaannya isi ikan yang dibakar menjadi rencah "pemanis'" bubur lambuk Terengganu berbeza dengan bubur lambuk tempat lain yang menggunakan hirisan daging atau ayam.

 pucuk paku merah dan hijau

Campuran sayur-sayuran kampung, lada hitam, halia dan lain-lain menjadikan bubur lambuk sajian yang menyihatkan. Kat bawah ni ada resepi. Selamat mencuba!

Bahan
2 cawan beras [rebuskan dalam slow cooker]
1/2 kg keledek [warna merah/jingga]...potong kecil
1 s/b lada hitam
2 cm. halia
5 ulas bawang merah
5 tangkai pucuk ubi
5 tangkai daun cekur manis
1 ikat daun paku merah
1 ikat pucuk paku hijau
5 pokok kangkong
2 tangkai dan kadok
4 tangkai daun kesom
4 tangkai daun kemangin
1 helai daun kunyit
1 cawan udang basah saiz kecil atau sedikit isi ayam [tak der pun tak per]
2 ekor ikan kembung [bakar dan ambil isi]
air secukupnya
garam

Cara membuat 

  1. Semua sayuran dipotong, basuh dan toskan. 
  2. Tumbuk lada hitam hingga lumat, setelah itu masukkan 10 ulas bawang merah, halia dan tumbuklah lagi sehingga lumat bersama isi ikan tadi.
  3. Masukkan keledek dan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi bersama ikan yg dihancurkan kedalam bubur nasi tadi.
  4. Masukkan udang/ayam dan kacau sehingga rata.
  5. Bila sudah hampir untuk diangkat, masukkan sayur-sayura & garam secukupnya sambil dikacau hingga cukup rata dan sayur layu.
  6. Angkat dan hidangkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...