Saturday, March 13, 2010

Terima Kasih : Lafaz Yang Sukar Diucapkan!

11 comments
Salam mesra buat semua yang sudi membaca coretanku..

Cuti pertengahan penggal persekolahan sudah bermula. Nampaknya hujan membuka tirai cuti kami kali ini. Sudah 3 hari nikmat Allah ini mencurah-curah membasahi bumi yang seketika kontang sebelum ini. Syukur! Nyaman sekali rasa tenang yang bertamu di hati pabila hujan turun. Bunyinya yang mengasyikkan dan bau hujan yang sudah dirindui sekian lama. Syukur atas nikmatMu ya Allah..

Belum merancang ke mana-mana. Selain terlibat dengan kelas tambahan, ada beberapa tugasan yang perlu saya siapkan. Suami pula bergelumang dengan skrip jawapan pelajar yang menimbun tu. Nampaknya cuti kali ni, turut dimeriahkan dengan kerja...kerja..dan kerja.. Anak-anak pula menuntut janji pergi ke Zoo Kemaman. Mungkin itulah destinasi kali ini. Sebabnya..dah penat mendengar pujuk rayu dan ungkitan mulut-mulut comel ini..

Khamis yang lepas, keputusan SPM meninggalkan sejuta kenangan pahit manis dalam kehidupan pelajar-pelajar dan guru-guru yang terlibat dengan peperiksaan ini pada tahun 2009. Ada suka, ada duka, ada tawa, ada sendu, ada bangga, ada kecewa dan macam-macam rasa yang tercalit di kanvas hati masing-masing. 

Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah buat pelajar-pelajar SPM 2009 di sekolahku yang mendapat keputusan yang cemerlang khususnya buat kebanggaan sekolah kami - Nik Nur Eva yang mendapat 10A 1B. Jua, buat bekas-bekas pelajarku di SMKAS , Segamat dan teman-teman guru kerana mendapat keputusan SPM yang membanggakan..

Sebagai seorang guru, pengalaman menunggu keputusan peperiksaan sangat mendebarkan. Macam-macam persoalan bermain di sudut rasa. Tertunaikah tanggungjawab mendidik dan mengajar mereka? Berbaloikah penat lelah dalam usaha memastikan pelajar mendapat kejayaan yang diimpikan.?


Sedarkah pelajar, apabila mereka berjaya dan mendapat kejayaan yang cemerlang, guru turut menangis kegembiraan, walaupun mungkin tidak dizahirkan.. Penat lelah dan usaha keras akhirnya membuahkan hasil. Dicanang sana sini kejayaan anak murid tercinta. Puas! Satu perasaan yang sangat sukar untuk diluahkan..

Guru tidak minta dipuji. Tidak juga minta hadiah pelbagai. Cukup satu ungkapan yang sangat membahagiakan. Terima Kasih Cikgu! Realitinya, ucapan keramat ini bukan lagi menjadi keutamaan apabila menerima keputusan dan menempa kejayaan kecuali pada segelintir pelajar yang betul-betul memahami adabnya sebagai seorang pelajar.

Buat yang bergelar pelajar, nyatakan penghargaan kalian..cukup dengan ucapan terima kasih buat guru anda, kerana ia sudah cukup bermakna..

Thursday, March 11, 2010

Kenangan Bersama Allahyarham Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi di Kaherah

18 comments
Salam mesra buat semua..


Berita yang diterima petang tadi agak mengejutkan. Namun kembalinya seorang hamba kepada Penciptanya bukan terletak di bawah perancangan insan kerdil seperti kita kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati jua.

Sheikhul al Azhar, al Imam Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi meninggal dunia pada pagi Rabu 10 Mac di Arab Saudi akibat serangan jantung yang begitu kritikal, di waktu usianya menjangkau 82 tahun.

Serangan mengejut telah menimpa Sheikhul Azhar sepanjang keberadaan beliau di Lapangan Terbang al Malik Khaled Antarabangsa, Riyadh untuk melakukan perjalanan pulang ke Kaherah. Ketika Allahyarham berangkat segera menuju ke hospital beliau telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham di sana sedang melakukan lawatan rasmi menemui wakil Kerajaan Saudi untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Raja Faisal kepada beliau berikutan khidmatnya kepada Islam di mana Allahyarham termasuk salah seorang penerima anugerah tersebut pada tahun ini.

Allahyarham yang juga merupakan Sheikhul Azhar, lahir pada 28 Oktober 1928 di sebuah desa Salim as Syarqiyyah berpusat di daerah Tama, Soohaj. Beliau telah belajar dan menghafaz al Quran di kota Iskandariah.

Allahyarham menerima gelaran doktor dalam ilmu hadith dan tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat kepujian (mumtaz), kemudian beliau bekerja sebagai tenaga pengajar di kuliah Fakulti Usuluddin, dan seterusnya ditugaskan mengajar di negara Republik Arab Libya selama 4 tahun. Selepas itu, beliau bekerja sebagai dekan bagi Pengajian Pasca-sarjana Universiti Islam di Madinah.

Kemudian Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi dipilih menjadi Mufti Kerajaan Mesir pada tanggal 28 Oktober 1986, dan menduduki menduduki jawatan tersebut sehinggabeliau dilantik menjadi Sheikhul al Azhar pada tahun 1996.

Beliau merupakan salah seorang ilmuan al Azhar yang tersohor yang begitu sarat dengan pengalaman ilmu pengetahuannya, terutamanya dalam bidang tafsir.

- Sumber : www.pmram.org

Saya bukanlah sesiapa, namun saya diberi peluang oleh Allah bertemu mata dan beramah mesra bersama Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi pada tahun 2000. Catatan kenangan yang tidak mungkin saya lupakan walaupun pertemuan hanya seketika cuma. Gambar kenangan bersama Allahyarham masih dalam simpanan saya. Tapi sayang tak boleh publish kat sini kerana dalam berada dalam simpanan di rumah saya di Kuala Terengganu.

Semuanya bermula apabila Datuk Dr Haji Harun Taib, Exco Kanan Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Terengganu dan rombongan kerajaan negeri ketika itu ke pejabat Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi  di Kaherah, Mesir kerana urusan-urusan yang berkaitan pendidikan. Oleh kerana rombongan tersebut kesemuanya lelaki kecuali isteri Datuk Harun Taib, Datin Fatimah Ibrahim ( Ustazah Fatimah ). Saya dan seorang sahabat selaku Exco Hewi KPT ketika itu diminta turut serta untuk menemani Ustazah Fatimah. 

Masa urusan perbincangan kami bertiga ( termasuk Uzh Fatimah ) tidak turut serta tetapi menunggu di dalam bilik tetamu yang indah dan diberi layanan yang baik sementara menunggu. Agak lama menunggu, seusai pertemuan tersebut seorang pembantu datang menjemput kami kerana Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi mahu berjumpa Uzh Fatimah yang juga merupakan bekas mahasiswi Al Azhar.  Saya dan sahabat saya tu menumpang tuah jer.

Masih terbayang mesra senyum dan ramah budi Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi menyambut kami dan bertanya khabar. Sempat dihadiahkan kami Tafsir Al Quran karangan beliau yang masih dalam simpananku.

Itulah secebis kenangan bersama Allahyarham Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi yang sudah kembali bertemu Pencipta Yang Maha Esa. Moga amanlah bersemadi di kalangan para solihin. Pemergian beliau satu kehilangan buat umat Islam seantero dunia. Al Fatihah.
 

Tuesday, March 09, 2010

Bila Panas Badan

20 comments


Salam ukhuwwah buat semua..

Detik ini, kita diuji dengan musim panas. Baru panas di dunia yang jarak sang mentari sangatlah jauh dari kepala. Berbeza di Padang Mahsyar, sang mentari hanya sejengkal di atas kepala..Bayangkan!

Cuaca yang sangat panas sekarang memungkinkan segala-galanya. Kepanasan terutama apabila berada di bawah sinaran matahari menyebabkan badan keletihan, sakit kepala dan sebagainya. Saya turut merasa penangan cuaca panas sekarang ni. Keletihan, tidak selesa dan kadang-kadang tidur malam pun bisa terganggu.

Petang tadi, usai pulang dari sekolah. Saya lihat Afiq mengesat-ngesat hidungnya dengan tangan. Lain benar lagaknya. Saya menghampirinya dan lihat darah menetes dari hidung Afiq. Panik juga dibuatnya. Saya bersihkan hidungnya dengan tuala basah dan picit  hidungnya dengan lembut supaya darah yang bersisa keluar. Kemudian, saya minta dia duduk bersandar di kerusi dan menegahnya melakukan aktiviti buat seketika. Alhamdulillah. Darah sudah berhenti. Tapi, betul ke teknik saya ni?

Saya agak anda juga pernah melalui situasi sedemikian. Kata orang, hidung berdarah disebabkan panas dalam badan. Betul ke?  Di sini saya nak kongsi info  tentang hidung berdarah untuk panduan bersama..

Hidung berdarah

Hidung berdarah atau (epistaksis) biasa berlaku apabila salur darah kecil kapilari di rongga hidung pecah.

Apakah punca hidung berdarah?
  • Kecederaan di hidung
  • Udara yang terlampau sejuk atau kering
  • Menghembus hidung dengan kuat
  • Terlalu kerap bersin
  • Ketumbuhan dalam rongga hidung
  • Suhu dalam badan terlampau tinggi
Apakah yang perlu dilakukan?
Jangan panik sekiranya hidung berdarah.

Rawatan segera:
  • Duduk dan tunduk ke hadapan
  • Bernafas melalui mulut dan picit hidung di bahagian yang keras selama 10 minit
  • Terus picit hidung dan letakkan pek ais di bahagian hidung antara mata
  • Selepas 10 minit, berhenti picit hidung dan periksa sama ada darah telah berhenti
  • Elak dari bersin, menghembus atau mengorek hidung
  • Pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor

Giveaway From New Zealand

2 comments

Salam mesra buat semua..

Saya tidak pernah menyertai mana-mana contest atau giveaway sejak bergelumang dengan dunia maya ni. Jadi giveaway Nida adalah yang pertama. Walaupun mengenali  dan menjalinkan persahabatan dengan Nida hanya di alam maya, kesetiaannya dan keserasian bersama  saya  ( pernah dapat Anugerah Komentator Dis 09 ) menyebabkan saya terbuka hati menyertai giveaway sempena hari kelahirannya ini.. For you Nida..Happy Birthday! Sanah Helwah ya habibti! Kullu sanah waanti bikhair..

Syaratnya:
  1. Perlulah@wajib menjadi followers blog ini.- Yes!
  2. Letakkan blog ini dalam blog list anda.- Yes!
  3. Kalau rajin buatlah entry dalam blog anda tentang "giveaway" ini, KALAU TAK BUAT PUN TIDAK MENGAPA.- Yes!
  4. Perlulah@wajib meletakkan banner di atas di sidebar blog anda (di'link'kan ke blog ini).-Yes!
  5. Tinggalkan komen dalam entry ini yang menyatakan anda berminat untuk menyertainya.-Yes!
  6. Tiga cabutan bertuah akan dilakukan.
  7. Tarikh tutup 15 Mac 2010. - masih berbaki 6 hari..
Mereka yang bertuah akan menerima ketiga-tiga souvenir di bawah:


p/s : Terfikir jugak nak buat giveaway utk mengelakkan silaturrahim di kalangan teman2 blogger, tapi tentang apa yer?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...