Tuesday, June 14, 2011

Dari Sekolah Pondok ke Universiti Oxford

6 comments
Salam mesra sokmo..

"Kejayaan itu dicipta oleh insan biasa yang berusaha secara luar biasa". Ungkapan motivasi ini sangat dekat di hati. Mencipta sebuah kejayaan bukan semudah yang disangka. Ia mampu berada dalam genggaman kita andai usaha mencapainya dilakukan secara luar biasa.  Biar hanya insan biasa, yang lahir di ceruk paling mundur sekalipun, andai keinginan mencipta kejayaan itu besar, maka jerih perih menggapainya adalah resepi utama yang harus dilalui.

Bercerita tentang kejayaan luar biasa, terdetik kekaguman di hati  saya dengan kehebatan anak Melayu, saudara seIslam kita yang mampu mendapat pengiktirafan sebagai pensyarah di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford.

Dr Muhammad Afifi Al-Akiti ini merupakan lulusan sekolah pondok yang berjaya mencapai kecemerlangan pendidikannya sehingga menjadi bangsa Melayu pertama di dunia yang berjaya menjadi salah seorang tenaga pengajar di universiti berprestij dunia itu. Kisah lanjut peribadi hebat ini boleh anda baca di sini.



Jadikan rentetan perjalanan dan kesungguhan individu yang berjaya
sebagai motivasi buat diri kita untuk menggapai kecemerlangan 
dalam setiap perkara yang kita lakukan. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 
“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” 

Hadis Riwayat Muslim

Sunday, June 12, 2011

Umpama Mati Hidup Semula

8 comments
Salam mesra buat semua..

Saya bukan peminat bola. Apatah lagi nak membuat laporan perlawanan perlawanan akhir piala FA 2011 malam tadi. Seawalnya, saya tidak mengikuti perlawanan ini kerana sibuk membuat persiapan persekolahan anak-anak esok harinya. Cuma, hati berdoa dan berharap Terengganu dapat memenangi perlawanan ini kerana mengharapkan cuti umum untuk rakyat Terengganu yang dijanjikan menjadi kenyataan



Saat kekalahan sudah di hadapan mata, saya merasakan harapan untuk Terengganu menang dan peluang warga Terengganu bercuti musnah sama sekali. Sebahagian pemain nampak kecewa dan suram. Sorakan penonton juga tidak segalak di awal permainan.

Di hujung perlawanan, kesungguhan dan semangat juang beberapa pemain yang terus-terusan bangkit melawan kekecewaan mengheret saya untuk sama-sama menonton bersama suami dan anak-anak. Memang sikap tidak putus asa dan semangat waja yang membuatkan mereka melakukan asakan berkali-kali sehingga membuka peluang kepada kemenangan, sangat menggagumkan. 

Semangat juang inilah yang perlu diterapkan dalam setiap perkara yang kita lakukan. 
Jangan berpuas hati bila mendapat sesuatu dan jangan sekali-kali berputus asa bila bayang kejayaan umpama telur di hujung tanduk..


 Tahniah buat pasukan Terengganu. Anda kebanggaan kami.
Cuma, masih menunggu-nunggu dan ternanti-nanti pengumuman cuti dari MB Terengganu. Sedangkan Kelantan sudah awal-awal bercuti kerana kemenangan masuk final. :D

Thursday, June 09, 2011

Hentikan Zina!

2 comments
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan, banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan secara terang-terangan. (Riwayat al-Bukhari).

Allah berfirman :
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32).




Entry kali ini adalah respon saya kepada isu hangat masa kini iaitu Adinda Evans yang dilaporkan bangga dan bersikap jujur kerana mengaku sudah tiada dara walaupun baru berusia 14 tahun. Siapa dia? Kalau berminat, anda boleh rujuk Encik Google :D

Adinda Evans hanyalah secebis dari realiti kehidupan masyarakat kita yang "sakit". Sakit yang sudah kian parah dan membarah. Zina sudah menjadi kebiasaan umpama menukar pakaian. Bukan lagi perkara jelik untuk dibicarakan malah dijadikan ukuran kehebatan dan lambang kemodenan.  


Sebagai peringatan kita bersama, berleluasanya zina adalah antara petanda awal kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah. Justeru, zina perlu dijauhi dari mendekati. Diri sendiri mahupun anak-anak dan masyarakat kita. Saya suka berkongsi panduan menghindari zina oleh Dr Hj Nik Yusri Musa. Antara panduan tersebut ialah :

Panduan 1: Menuntut Ilmu.

Tuntutlah ilmu supaya datangnya kesedaran tentang haramnya zina serta bencananya. Mengetahui hukum adalah langkah yang paling asas untuk mengukuhkan iman. Hadirilah majlis ilmu kerana belajar dengan berguru akan menjadikan kita terpimpin.

Panduan 2: Amalkan Ilmu.
Ilmu agama semata-mata tidak memadai untuk menguatkan iman dan mendatangkan kekuatan bagi menjauhi zina, andainya ilmu itu tidak diamalkan sungguh-sungguh. Selain Ilmu syariat, seseorang itu perlu mendalami ilmu tauhid dan akhlak, agar rasa sentiasa diawasi oleh Allah, bukan setakat mengetahui Allah itu Maha Melihat.

Mudah-mudahan dengan rasa sentiasa diawasi, seseorang itu akan malu untuk menghampiri zina, apatah lagi untuk berzina. Jika dilihat orang pun dia akan malu, apatah lagi jika Allah SWT yang melihat. Rasa malu kepada Allah ini adalah akhlak hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan benteng daripada terjebak kepada kemaksiatan.

Panduan 3: Dekati Orang Berilmu.

Selain menghadiri majlis ilmu secara rasmi, seseorang itu perlu mendekati orang berilmu dalam suasana tidak rasmi bagi mendapatkan pandangan, nasihat dan teguran.

Panduan 4: Berusaha Menjauhi Dosa.

Hindari dosa2 kecil yang membawa kepada terbiasanya melakukan dosa-dosa besar. Tinggalkan perkara yang makruh yang Allah tidak suka, serta jauhi sama sekali perkara haram yang Allah murkai.

Panduan 5: Menolak Segala Jalan Yang Membawa kepada Menghampiri Zina.
Dengan kata lain, menutup semua 'pintu' yang boleh mengarah kepada zina. Dalam istilah fikah, ia disebut sadduz zara'ik. Antaranya;
  1. Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, terutama mengelakkan dari berdua-duaan.
  2. Mengelakkan dari mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat serta tidak sempurna menutup aurat.
  3. Mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang tidak halal yang boleh menaikkan nafsu seperti menonton pornografi atau melihat gambar lucah. 

Panduan 6: Mengamalkan Zikir.

Zikir yang diamalkan secara berterusan dan tersusun mampu mensucikan hati. Hati yang bersih akan kuat menolak ransangan nafsu untuk berbuat dosa.

Panduan 7: Bergaul Dengan Orang Yang Baik-Baik.

Pergaulan dengan orang yang baik akhlaknya, baik amalnya dan baik ilmunya dapat membantu seseorang untuk menghindarkan maksiat, kerana yang baik akan memimpin dan mengajak kita ke arah kebaikan. Mestilah kuatkan azam untuk mencari sahabat-sahibah yang dapat membantu memberi petunjuk ke jalan kebenaran dan berusahalah mewujudkan suasana pergaulan yang baik.

Panduan 8: Sibukkan Diri Dengan Ibadah Dan Kerja Kebaikan.

Jika selama ini seseorang itu ketagih melihat filem porno di internet, dia mestilah melawan ketagihan itu dengan penuh keazaman dengan banyak mengisi masa beribadah dan melakukan kerja-kerja kebaikan yang lain.

Panduan 9: Amalkan Sunnah Nabi SAW.
Adab-adab seharian bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur kembali yang menjadi amalan Rasulullah SAW; marilah bersama kita sekeluarga amalkan. Yakinlah apabila kita bersungguh-sungguh 'ketagih' mengamalkannya dan menjadi amalan seharian, insyaAllah Allah akan memberi kekuatan untuk kita mampu mengawal diri daripada perlakuan yang tidak baik.

Sesungguhnya setiap amalan Rasulullah SAW bersulamkan doa-doa yang merupakan menjadi pelindung diri daripada pelbagai musibah.


Saturday, June 04, 2011

Pesanan Buat Pengantin

5 comments
Salam mesra...

Sinonim dengan cuti pertengahan tahun, kenduri kahwin meriah sana sini. Di tepi-tepi jalan bunga-bunga manggar berdiri megah dan banner tergantung sana sini. Tugasnya, memandu arah ke rumah pengantin.  

Memang hebat majlis-majlis kahwin zaman sekarang. Ingatkan orang-orang berada dan artis-artis popular jer yang kahwin bagai nak rak...rupa-rupanya sudah menular ke majlis-majlis perkahwinan di ceruk-ceruk kampung. Persiapan memang gempak biarpun duit hantaran pinjam sana-sini. Majlisnya pula banyak adat dari adab. Banyak riak dari syukur. Banyak dosa dari pahala.

Tujuan perkahwinan dalam Islam seperti dinyatakan oleh Allah dalam Al Quran :"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)  

Justeru, perkahwinan adalah ikatan mulia di sisi Islam. Perkahwinan menyempurnakan fitrah penciptaan lelaki dan perempuan. Harus dihayati dan disyukuri sebaiknya. Majlis yang diadakan hanyalah bertujuan menyebarkan perkahwinan, bukannya untuk menunjuk kekayaan mahupun kehebatan. Banyakkanlah memperbesarkan Allah dan berdoa kepadaNya, bukannya berkaraoke sampai larut malam.




Buat para pengantin dan bakal pengantin perempuan khususnya...mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, perhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, perhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, jaga hartanya dan pelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”


Buat semua yang bertemu jodoh dan mengikat janji sebagai suami isteri di musim perkahwinan ini, semoga anda bahagia sebagai suami isteri di dunia dan akhirat.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...