Monday, February 01, 2010

Anugerah Komentator Januari

14 comments
Salam ceria buat semua yang setia,

Sungguh saya amat terharu dengan sokongan teman-teman blogger, followers, silent readers dan sesiapa sahaja yang sudi singgah di teratak saya yang tak seberapa ini. Kalau dulu, saya selalu  gak tertanya..ada tak orang yang akan baca blog saya ni agaknya?

Alhamdulillah, baru 6 bulan berblog di alam maya dengan 126 followers, bagi saya ia cukup bermakna. Syukran awi awi! ( Terima kasih banyak-banyak) atas sokongan dan perhatian kalian berikan kpd blog ini. Semakin bersemangat saya untuk  terus berkongsi ilmu, idea, pendapat, pengalaman dan sebagainya bersama anda semua..so, terus setia bersama saya..

Untuk menghargai teman-teman semua yang sudi meninggalkan coretan pada setiap catatan saya, inilah dia penerima Anugerah Komentator Januari 2010 iaitu dua orang ukthi fillah,  Nurul Izza dan Nadiah Sidek dari Lincoln, Nebraska, USA .

Dan ini dia, senarai 10 komentator terbanyak blog saya sepanjang bulan lepas.
  1. NURUL IZZA (15)
  2. Nadiah Sidek (15)
  3. Nida (14)
  4. mamalieyna (11)
  5. Ibuhani (10)
  6. Hamizah (9)
  7. teenage party games (7)
  8. yatie chomeyl (6)
  9. LiLy @ MumMyQiStInA (5)
  10. anna (4)

Syukran Jazilan! Komitmen sahabat semua sangat saya hargai dan saya kagumi, dan maafkan kelemahan saya kerana kadang2 dek kesibukan tugas membataskan saya untuk membalas coretan pada setiap post terbaru anda semua..Lagi satu, mungkin penghargaan dari saya tak seberapa, tapi harapan saya moga ia mampu memberi impak pada blog adik berdua..Selamat berkarya!

Saturday, January 30, 2010

Hagemaru Oh Hagemaru!

22 comments

Salam mesra buat semua..

Wajahnya comel. Berkening lebat dan rambutnya tiga urat. Gelagatnya mencuit hati dan kadang kala sangat menjelikkan.

Inilah dia Hagemaru. Hagemaru merupakan anak tunggal kepada Hagezo dan Tsuruko. Dia ialah seorang pelajar gred 4 di sekolah rendah. Watak Hagemaru digambarkan dengan sifat kedekutnya. Malah mama dan papanya turut mempunyai sifat kedekut yang melampau.

Dalam babak-babak tertentu, kelihatan Hagemaru lewat ke sekolah dan sering dimarahi guru kelasnya, Cikgu Sakura. Hagemaru dilihat sebagai tidak tahu membaca dan selalu ketinggalan dalam akademiknya . kerana sering mendapat markah ‘0′ dalam setiap ujian yang mana ia menghampakan guru kelasnya itu.Hagemaru juga dilihat sebagai seorang yang suka menipu dan memperdayakan orang lain.

Sebenarnya, anime Hagemaru diadaptasi dari  sebuah mangga sekitar tahun 1985-1986. Manga ini mendapat sambutan yang hangat di seluruh pelusuk Jepun. Dengan popularitinya, sebuah anime telah diterbitkan oleh studio animasi Shin’ei Doga pada 1988. 

Siri televisyen yang mengandungi 59 episod itu turut mendapat sambutan yang hangat, dan atas popularitinya sebuah permainan turut dicipta bagi warna Game Boy. Sejak daripada itu, Tsurupika Hagemaru disiarkan di seluruh dunia terutamanya di India melalui Pogo TV.

Di Malaysia, Hagemaru cukup terkenal di kalangan kanak-kanak kerana disiarkan hampir setiap hari di saluran 611 Astro  Ceria. Termasuklah anak-anak saya. 

Dulu masa anime ni mula-mula keluar kat TV, saya lihat anak-anak cukup suka dengan cerita anime yang satu ini. Siap gelak-gelak lagi. Saya turut menganalisis watak Hagemaru, papa dan mamanya. Bohonglah kalau saya kata saya tidak terhibur mahupun ketawa dengan kelucuan mereka. 

Lepas duk perhati watak Hagemaru ni, saya selalu terangkan pada anak-anak saya Hagemaru  bukan contoh yang baik untuk anak-anak teladani. Kerana secara sedar atau tidak ,watak kedekut, pentingkan diri sendiri, malas belajar, tidak bersopan, bercakap bohong dan sebagainya yang dimainkan oleh Hagemaru boleh mempengaruhi jiwa anak-anak yang masih kecil.. 

Wednesday, January 27, 2010

Bila Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang

17 comments

Salam mesra buat semua..

Memetik kata-kata Winston Churchill , "Pena lebih tajam daripada pedang." Sementara Napoleon Bonaparte pula pernah mengatakan, "Saya lebih takut pada sebuah pena daripada seratus meriam." 

Berhati-hatilah bila menyusun kata. Walaupun kita mungkin tidak menggunakan pena untuk menulis berbanding hanya menekan huruf-huruf pada keyboard komputer sahaja. Istilah "pena" yang dimaksudkan adalah tulisan atau karya yang kita hasilkan.

Menulis membuta tuli dan berpaksikan emosi tanpa ilmu, hanya memudaratkan dan boleh menimbulkan keraguan dan pertelingkahan pendapat pada pembaca. Apatah lagi apabila ia berkaitan tentang akidah dan syariat. Islam mengajar kita halus dan lembut dalam bicara dan tutur kata apatah lagi jika ditulis dalam bentuk karya untuk dibaca. Percayalah, kadang-kadang kesedaran mahupun keinsafan akan lahir dengan hanya membaca tulisan yang jujur, penuh mutiara ilmu dan ditulis penuh berhemah!

“Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu. Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengeraskan hati yang lunak seperti sutera.” - Pujangga

Sehari dua ni, nama Aduka Taruna cukup panas diperkatakan. Semuanya kerana penangan "Mata pena lebih tajam dari pedang."  Ekoran daripada itu, berpuluh-puluh laporan polis dibuat kerana tulisan Aduka Taruna yang  dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor. Blog Aduka Taruna pada hari Isnin, 25 Januari 2010 dikatakan dikunjungi hampir 113,111 kunjungan dan menerima beratus-ratus komen luahan rasa tidak puas hati pengunjung. Bahkan hari yang sama, AT telah menyerah diri dan direman 4 hari untuk siasatan..Cukup besar impak yang diterima oleh Aduka Taruna!

Renungilah kata-kata hikmah ini :

 Beruntunglah orang yang perkataannya zikir, diamnya fikir dan pandangannya iktibar.

Selamat berkarya! Menulis terus menulis..

Monday, January 25, 2010

Nil Nadi Mesir

11 comments

Salam mahabah dan salam ukhuwwah..

Saya sebenarnya suka mengunjungi travelog sahabat-sahabat yang berada di perantauan serata dunia. Membaca entry mereka tentang pengalaman hidup dalam budaya dan situasi berbeza di bumi orang sangat menyeronokkan. Apatah lagi dapat melihat panorama indah ciptaan Allah di serata dunia. Sungguh menakjubkan. Kalau nak berkunjung ke sana, memang sesuatu yang agak mustahil..so apa salahnya menumpang pengalaman sahabat-sahabat.


 Nil merupakan nadi kehidupan Mesir

Sudah lama saya tidak menulis entry tentang Mesir. Kali ini saya nak mengimbau kenangan tentang Sungai Nil. Kalau anda menyusur bandar Cairo/Kaherah melalui Sungai Nil. Panoramanya sangat mengasyikan kerana sepanjang perjalanan mata leka memandang keindahan sungai Nil. 

Masih saya ingat pengalaman menaiki bot menelusuri Sungai Nil. Hotel-hotel mewah tersergam megah di sepanjang Sungai Nil di tengah kota Kaherah. Tidak lupa kapal-kapal mewah berlabuh gagah dengan irama dentuman muzik bergema. Mungkin ada pesta agaknya. Namun lain pula kalau anda menelusuri Sungai Nil di perkampungan. Anda akan dapat saksikan kehidupan masyarakat Mesir luar bandar yang sebenarnya. Kata orang Nil adalah Mesir dan Mesir adalah Nil. Saling lengkap melengkapi.

 
 Nil di celah kesibukan Kaherah

“Nil” berasal dari perkataan greek yang bermaksud lembah sungai. Uniknya, Sungai Nil membelah 9 buah negara iaitu Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi  Sudan, dan sudah tentunya Egypt/Mesir. Sepanjang sungai ini, tertera sejarah yang cukup panjang, sesuailah ia digelar sungai terpanjang di dunia. Sungai ini berakhir di lautan Mediteranean.



 Menelusuri perkampungan Mesir di sepanjang Sungai Nil

Bahagian utara Sungai Nil mengalir hampir pada keseluruhannya merentasi gurun , dari Sudan masuk ke Mesir, sebuah negara yang tamadunnya bergantung kepada sungai ini sejak dari zaman purba lagi. Kebanyakan penduduk Mesir dan kesemua kotanya, kecuali kota-kota yang terletak berhampiran dengan pantai, terletak di sepanjang lembah Nil di utara Aswan; hampir semua tapak kebudayaan dan sejarah Mesir Kuno terletak di sepanjang tebing sungai ini.
 
Kini sungai Nil adalah simbol kepada peradaban manusia. Satu hakikat yang tidak boleh dinafi bahawa air adalah sumber kepada ketamadunan. Kerajaan Mesir bermula di lembah sungai Nil. Pada mulanya ia adalah kawasan pertanian dan secara perlahan-lahan membentuk wilayah-wilayah kecil di pinggir sungai. Pada 3200 S.M, Firaun Menes telah menyatukan wilayah-wilayah ini menjadi kerajaan Mesir dan era dinasti pun bermula.
 
Nil dan Kaherah tetap dalam kenangan. Kalau ada peluang pasti akan saya jejakinya lagi..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...