Tuesday, February 01, 2011

Mesir & Kekecewaan

Salam bersua buat semua..

Apa khabar semua? Dengan izinNya, Alhamdulillah dapat saya mencatat di ruang ini setelah menyepi buat seketika, menyepi bukan erti hilang cuma memberi ruang untuk peperiksaan dan kuliah. Separuh lega rasanya bila semester 2 berakhir jua, cuma masih belum lega sepenuhnya, kerana ada assignment dan proposal nak kena disempurnakan. Insya Allah, semoga dipermudahkan.


Fokus saya kali ini tentang Mesir dan krisis keyakinan rakyat Mesir terhadap kepimpinan rejim Hosni Mubarak. Protes, tunjuk perasaan dan rusuhan mereka merupakan lahar yang sudah lama mendap dan membara selama hampir 30 tahun pemerintahan Mubarak. Ternyata protes yang sudah masuk hari ke 7 makin kritikal dan dahsyat sekali fenomenanya. Tentang rusuhan, perintah berkurung, banduan-banduan terlepas, rompakan sana-sini dan lain-lain. Saya yakin anda semua ada menatap perkhabarannya melalui akhbar,TV atau internet.

Hosni Mubarak..kekecewaan rakyat Mesir

Termenung saya teringatkan 10 ribu pelajar Malaysia di sana terutamanya sahabat-sahabat lama saya seperti Kak Jamaliah, Kak Ani Dayang sekeluarga dan lain-lain yang masih ada, menetap, belajar dan bekerja di Mesir. Semoga Allah melindungi dan mengurniakan keselamatan buat mereka. Khabar terkini tentang keadaan pelajar-pelajar kita di sana, boleh baca di sini.

Kalau betul ada usaha membawa pulang rakyat Malaysia di sana, saya amat berharap agar tiada diskriminasi antara pelajar perubatan atau pelajar agama, pelajar tajaan kerajaan/negeri atau pelajar persendirian..kerana hak mereka sebagai rakyat Malaysia adalah sama.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...