Saturday, June 04, 2011

Pesanan Buat Pengantin

Salam mesra...

Sinonim dengan cuti pertengahan tahun, kenduri kahwin meriah sana sini. Di tepi-tepi jalan bunga-bunga manggar berdiri megah dan banner tergantung sana sini. Tugasnya, memandu arah ke rumah pengantin.  

Memang hebat majlis-majlis kahwin zaman sekarang. Ingatkan orang-orang berada dan artis-artis popular jer yang kahwin bagai nak rak...rupa-rupanya sudah menular ke majlis-majlis perkahwinan di ceruk-ceruk kampung. Persiapan memang gempak biarpun duit hantaran pinjam sana-sini. Majlisnya pula banyak adat dari adab. Banyak riak dari syukur. Banyak dosa dari pahala.

Tujuan perkahwinan dalam Islam seperti dinyatakan oleh Allah dalam Al Quran :"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)  

Justeru, perkahwinan adalah ikatan mulia di sisi Islam. Perkahwinan menyempurnakan fitrah penciptaan lelaki dan perempuan. Harus dihayati dan disyukuri sebaiknya. Majlis yang diadakan hanyalah bertujuan menyebarkan perkahwinan, bukannya untuk menunjuk kekayaan mahupun kehebatan. Banyakkanlah memperbesarkan Allah dan berdoa kepadaNya, bukannya berkaraoke sampai larut malam.




Buat para pengantin dan bakal pengantin perempuan khususnya...mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, perhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, perhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, jaga hartanya dan pelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”


Buat semua yang bertemu jodoh dan mengikat janji sebagai suami isteri di musim perkahwinan ini, semoga anda bahagia sebagai suami isteri di dunia dan akhirat.



5 comments:

ibuaiman said...

Salam UmmuAmmar,

Tersentuh dengan pesanan yang diriwayatkan itu...pesanan yang amat berguna, yg kadang-kadang kita sebagai isteri tidak melaksanakannya atau terlepas pandang. Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk menjadi isteri yang solehah, penyejuk mata suami...Amin..

Memang benar apa yang diulas oleh UmmuAmmar banyak majlis perkahwinan sekarang sudah lari dari tujuan asal, sifat mahu menunjuk-nunjuk juga ada walau terpaksa membazir...namun, amat sukar untuk menegur mereka yang terlibat dengan cara yang berhikmah, hanya mampu berkata-kata dalam hati...semoga perkahwinan anak-anak kita nanti dibuat mengikut apa yg disarankan oleh Rasul, biar keberkatan itu ada, jgn bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk...biarlah apa orang nak mengata, betul tak UmmuAmmar?

ummuhamzah said...

syukran ummu ammar..
nasihat yg sangat berguna, bekalan utk seorang zaujah mengemudi bahtera rumahtangga..
saya hadiahkan post ini kpd adik saya yg baru melayari alam barunya beberapa hari lalu..
terima kasih skali lagi

Ummu Ammar said...

ibuaiman..

Betul tu. Kadang-kadang kesibukan dan keegoaan menjadi penghalang kita untuk muhasabah sejauh mana kesolehahan kita sebagai isteri kepada sang suami..

UA pun bersetuju pasal majlis perkahwinan tu. Kadang-kadang sukar utk menegur walaupun dalam kalangan keluarga sendiri. Saya sendiri pernah kena leter dan perli oleh seorang ahli keluarga hanya kerana tidak memakai inai.

Ummu Ammar said...

ummuhamzah..

Peringatan buat isteri-isteri yang sentiasa memuhasabah diri dan bakal-bakal isteri yang akan mengemudi kehidupan baru bersama suami. Semoga kita digolongkan dalam kelompok isteri-isteri solehah yang memperolehi redha suami utk mengecapi nikmat di syurga. Insya Allah

CALL ME NEPH said...

WAH...TIPS PERNIKAHAN...

LEY LAH JADI PEDOMAN NANTI..

TERIMA KASIH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...