Wednesday, March 16, 2011

Aku Anak Petani

3 comments
Salam ukhuwwah..

Semalam, kami ke Bandar Permaisuri untuk mencari sedikit keperluan dapur. Melalui sawah padi Kg Banggol memang sangat mendamaikan. Panoramanya sungguh mengasyikkan, lebih-lebih lagi di musim padi tumbuh menghijau. Anak-anak minta berhenti melihat aktiviti seorang petani membajak sawahnya. Burung-burung ini pula menarik perhatian saya. Layan saja la rakaman gambar dari jurugambar yang tidak bertauliah..







Jurugambar tak bertauliah..

Sawah padi banyak mengimbau kenangan menusuk perasaan. Sawah padi adalah tempat ayah dan ibu bergelumang mencari sesuap rezeki buat kami anak-anak. Masih tebal di ingatan, saat riang berlari-larian di batas-batas sawah dan bermain pondok-pondok dari jerami padi ketika menanti ayah ibu menyudahkan tugas-tugas mereka. Bila agak dewasa, kami mula membantu apa yang termampu dan peristiwa digigit lintah adalah kenangan pahit tetapi indah untuk dikenang. Sungguh saya amat rindukan semua itu.

Selagi hayat dikandung badan, saya akan menghargai setiap titis keringat ayah dan ibu yang mengalir..ketika bersusah payah mencari rezeki membesarkan dan memberi pelajaran kepada kami. Sama sekali saya tidak akan lupa kesusahan yang telah mendidik saya untuk tegar dan tabah menempuh kehidupan di muka bumi Allah ini..dan saya bangga untuk mengakui bahawa...aku anak petani..!

Sunday, March 13, 2011

Wajah-Wajah Tsunami

3 comments
Salam mesra..


Beberapa hari yang lalu, ketika mengajar tajuk Hari Kiamat, saya berbincang dengan pelajar-pelajar tentang tanda-tanda kecil kiamat. Salah satu tandanya ialah banyaknya berlaku gempa bumi dan bencana alam. Pelajar-pelajar rancak memberi info dan maklumat tentang bencana alam yang mereka baca menerusi akhbar dan internet. 

Salah satu yang membuat mereka terdiam penuh penghayatan ialah bila saya tayangkan semua video tsunami yang melanda Acheh beberapa tahun lalu. Sehari dua selepas itu pula,  kita dikejutkan dengan bencana tsunami yang melanda bahagian timur laut Jepun, bencana teruk yang berlaku dalam tempoh 140 tahun.




Paparan demi paparan kita tatapi di mana-mana tentang dahsyatnya bencana ini. Namun sejauh mana kita menginsafi dan mengambil iktibar bahawa ini adalah satu peringatan dan amaran Allah SWT bahawa dunia yang indah ini sekadar pinjaman manakala akhirat adalah penghidupan abadi. Bersediakah untuk kembali..?? Cukupkah bekalan mahu dibawa menghadap llahi?
 


(Sumber gambar : yahoo.com)


Disebalik semua kehancuran ini..mengertilah bahawa sesungguhnya Allah sedang berbicara..moga dapat difahami dan dijadikan iktibar..untuk melengkapkan diri menjadi mukmin yang lebih baik dan terbaik,, dalam usaha menggapai mardhatillah. Ayuh!

Firman Allah surah al-Hajj ayat 1 – 2 yang bermaksud
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, lagi mengerikan


Wednesday, March 09, 2011

Mencari Ilmu Mendamba Redha

3 comments
      
 Sabda Nabi s.a.w.:
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: 
"Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah  sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."

( Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sunday, March 06, 2011

Perkongsian Ilmu

2 comments
Salam mesra buat semua,

Reka bentuk pengajaran (instructional design) adalah suatu proses untuk membina bahan pengajaran seperti modul bercetak, video pengajaran, perisian komputer dan sebagainya. Proses ini mencakupi proses reka bentuk dan proses membina bahan. Namun, Richey (1986) mendefinisikan reka bentuk pengajaran sebagai sains untuk mencipta amalan pengajaran yang terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan situasi pembelajaran yang memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran berlaku. 

Rekabentuk pengajaran mempunyai prinsip-prinsip tertentu yang perlu diikuti dan dijadikan panduan. Kupasan dan perbincangan segala intipati dalam buku di bawah ni adalah tugasan semester 3 bagi subjek "Instructional Design".


 Diakhirnya, satu training module yang lengkap dan menarik dihasilkan. Sahabat-sahabat semua yang pernah membaca dan menghadam buku ini, diharap dapat berkongsi ilmu dengan saya. Kalau ada pengalaman menyediakan training module, tips-tips dan panduan amat dialu-alukan...

Buah cempedak diluar pagar, ambil galah tolong jolokkan..
Saya mak budak baru belajar, kalau salah tolong ajarkan...:D

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...