Thursday, April 29, 2010

Kita Hanya Tetamu Senja

9 comments

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 
~ A. Samad Said

Salam mesra buat semua...

Saya suka pada puisi tulisan A. Samad Said ini. Mengingatkan kita pada sebuah perjalanan yang pasti akan berakhir jua - pulang mengadap Sang Pencipta Yang Esa..Kematian satu perkara yang pasti. Cuma detik waktunya yang tidak pasti bila..namun mengingatinya digalakkan, supaya setiap laku kita di dunia sentiasa berpaksikan iman dan taqwa padaNya..

Ibnu Umar r.a pernah berkata, “Aku pernah mengadap Rasulullah s.a.w sebagai orang ke sepuluh yang datang, lalu salah seorang dari kaum Anshor berdiri seraya berkata, “Wahai Nabi Allah, siapakah manusia yang paling cerdik dan paling tegas?” Beliau menjawab, “(Adalah) Mereka yang paling banyak mengingat kematian dan paling bersedia menghadapinya. Mereka itulah manusia-manusia cerdas; mereka pergi (mati) dengan harga diri dunia dan kemuliaan akhirat.” (HR. Ath-Thabrani, disahihkan al-Munziri)

Di antara faedah mengingat kematian adalah:
  • Mendorong diri untuk bersiap-siap menghadapi kematian sebelum datangnya.
  • Memendekkan angan-angan untuk lama tinggal di dunia yang fana ini, kerana panjang angan-angan merupakan sebab paling besar lahirnya kelalaian.
  • Menjauhkan diri dari cinta dunia dan redha dengan yang sedikit.
  • Menguatkan keinginan pada akhirat dan mengajak untuk berbuat ta’at.
  • Meringankan seorang hamba dalam menghadapi ujian dunia.
  • Mencegah kerakusan dan ketamakan terhadap nikmat duniawi.
  • Mendorong untuk bertaubat dan muhasabah kesalahan masa lalu.
  • Melembutkan hati, membuat mata menangis, memberi semangat untuk mendalami agama dan menghapuskan keinginan hawa nafsu.
  • Mengajak bersikap rendah hati (tawadhu’), tidak sombong, dan berlaku zalim.
  • Mendorong sikap toleransi, mema’afkan teman dan menerima kesalahan dan kelemahan orang lain.

Tuesday, April 27, 2010

Hidup Dalam FB!

11 comments
Salam ceria buat semua..

Facebook sudah menjadi fenomena dewasa ini. Rata-ratanya sudah mempunyai akaun  FB sendiri. Manfaatnya digunakan bagi yang pandai mengaplikasikannya untuk menjalin ukhuwwah yang terputus, berdakwah dan lain-lain. Tidak kurang pula yang menyalahgunakannya sampai membawa kepada kelalaian, pergaduhan, curang mahupun perceraian. Klik sini untuk baca entry saya tentang Facebook sebelum ni..
Jangan tak tahu ada sesetengah FB addict ni hidup untuk FB jer..Kerja FB, Makan FB, Belajar  FB, Tidur FB, semuanya FB lah! Perlu dingatkan jangan kerana FB ibadat kelalaian, kerja terbengkalai, rumahtangga terabai dan diri sendiri serabai, rugilah kita..Mana title mukmin dan muslim soleh dan solehah yang diidamkan selama ini, kalau hanya berpaksikan FB dalam setiap ruang hidup kita dan mengabaikan luang dan ruang untuk beramal kepadaNya..


Namun perlu juga direnungi bersama, bukan hanya FB yang perlu dihindari jika ia membawa kepada kelalaian dan menjauhkan kita dari mengingati Allah, malah medan lain yang sewaktu dengannya pun sama - blogs, twitter, friendster atau segala bagai lagi.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala: “Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Sunday, April 25, 2010

Pantai Ageeba Yang Ajaib

24 comments
Salam mahabbah buat semua..

Sudah lama saya tidak menulis entry berkenaan Mesir dan beberapa catatan kenangan tentangnya yang masih berlipat kemas dalam kamus ingatan. Walaupun mungkin sudah agak lama Mesir saya tinggalkan, catatan kenangan ini adalah buat tatapan diriku dan anak-anak suatu masa nanti..


Pantai Ageeba adalah salah satu pantai tercantik sempat saya kunjungi ketika Rehlah ke Matrouh dan Siwa anjuran HEWI PMRAM ketika itu. Ageeba dalam bahasa Arab bermaksud ajaib/miracle. Pantai ini dinamakan dengan  Ageeba mungkin kerana keindahannya yang menakjubkan dan terkenal dengan 7 warna yang ada pada laut ini. Ia membiaskan 7 warna ketika matahari terbenam di ufuk barat...Subhanallah! Memang cantik..

 

Pantai Ageeba ini terletak 28 km di sebelah Barat Marsa Matruh. Ianya diindahkan dengan pemandangan yang cukup menarik ditambah dengan batu-batu yang unik di sekelilingnya. Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa jika diperhati betul-betul terdapat kalimah Allah dan Muhammad di dasarnya .Wallahu a'lam.

‘”Dan katakanlah: "Segala puji bagi Allah, Dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan". (27:93)


Jika berkesempatan, silalah berkunjung ke sana..

Wednesday, April 21, 2010

Erti Hidup Bila Usia Semakin Berganjak

16 comments

Salam mesra buat semua..


Hari ini 21 April merupakan tarikh keramat saya dilahirkan di dunia lebih 30 tahun lepas. Kini ia bertamu lagi dalam kamus kehidupan. Bertambah lagi satu tahun usiaku. 

Kata orang usia hanya sekadar angka. Ya! memang usia itu hanya angka..30, 35, 40, 45, 70, 80....tapi angka inilah yang membuatkan kita berfikir dan memuhasabah perjalanan hidup kita selama ini..berbaloikah umur dan tahun-tahun yang kita tinggalkan? Apakah setahun yang mendatang ini menjanjikan kehidupan kita yang lebih baik selaku hambaNya atau masih di takuk lama atau mungkin lebih teruk dari sebelumnya...

Erti hari lahir bagi saya bukan pada kek, hadiah, makan-makan tapi pada yang melahirkan dan pada Dia Yang Maha Berkuasa mengurniakan kelahiran ini. 

Hari ini ketika mengenangkan kepayahan arwah ibu melahirkanku sebagaimana dua kepayahan yang kulalui ketika melahirkan anak-anak..terbit rasa sebak dan rindu pada bonda yang tak pernah padam. Terima kasih..terima kasih..terima kasih..

Dan sudah pasti buat kesekian kalinya syukurku pada Dia yang mengurniakan kelahiranku  ke bumi ini dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya yang tidak bertepi..

Pada usia yang semakin berganjak ini, saya berusaha untuk tidak merungut lagi pada kehidupan ini. Apalagi yang diinginkan? Semuanya sudah dikurniakan Ilahi penuh nikmat  dan rahmat. Kesihatan yang baik. Kehidupan yang bahagia dengan suami yang baik dan anak-anak yang sihat dan cerdas jua keluarga yang harmoni. Kerjaya yang stabil dan rezeki yang melimpah ruah. Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Yang perlu direnungi, diperhalusi, diperbaiki, ialah sisa-sisa kehidupan tika masih bernyawa ini agar lebih rapat rasa jiwa kehambaan dalam setiap laku kehidupanku dengan Rabbul Jalali wal Ikram..moga erti hidup ku hanya UntukMu..permudahkanlah..restuilah..ampunilahdan lindungilah hambaMu Ya Allah!

Terima kasih buat semua atas ucapan dan doa yang saya terima di FB, blog, sms dan lain-lain. Anda semua melengkapi hidup saya.Jazakumullahi khairan kathira..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...