Tuesday, September 08, 2009

10 CARA MENJAGA KESEMPURNAAN PUASA

1 comments

Hari ni..saya tak sempat nak menaip entri terbaru untuk tatapan sahabat-sahabat semua...so, untuk mengelakkan blog ini tidak diupdate saya memutuskan untuk memuatkan antara isi kandungan tazkirah saya kat sekolah pagi tadi kepada guru dan pelajar. Oleh kerana masa yang terhad, saya lebih senang menyampaikannya secara ringkas tetapi padat. Slot tazkirah ni dinamakan sebagai Mimbar Ramadhan dan diadakan setiap pagi sepanjang bulan Ramadhan dimana guru-guru bergilir-gilir membuat pengisian. Semoga entri ringkas ni menjadi renungan bersama untuk kita menilai sejauhmana kesempurnaan puasa yang kita jalani..

  1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya
  2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
  3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
  4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
  5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga
  6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. bulan Ramadan.
  7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin.
  8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
    Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.
  9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
  10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya




Monday, September 07, 2009

Catatan 16 Ramadhan

2 comments
Alhamdulillah..sedar tak sedar hari ini sudah masuk hari ke 16 kita berpuasa...Kita sudah melalui fasa pemulaan yang disediakan rahmat yang besar...dan fasa pertengahan ini pula tersedia maghfirah ( keampunan ) dari Allah SWT..bersama kita fikirkan natijah madrasah Ramadhan yang kita lepasi 15 hari yang lalu ..masih hangatkah? Atau sudah suam-suam kuku...atau mungkin sudah dingin membeku....Saya berdoa dan berharap Allah mengurniakan kekuatan untuk kita melalui tarbiah ini sebagai mukmin yang berjaya dan berhasil dengan ganjaran yang disediakan..
Hari ini, kami hanya berbuka di rumah..dan untuk juadah berbuka puasa saya menyediakan lauk favourite suami saya..ikan cencaru bakar bersama air asam..kalau tak silap ini dah masuk kali keempat juadah tersebut menjadi permintaannya sepanjang Ramadhan tahun ni...dan saya sediakan la jugak kerana selain suami, kami sekeluarga memang sukalah...
Esok cuti umum Nuzul Quran, so saya dan suami bercadang tidak akan ke mana-mana, cuma melakukan aktiviti di rumah bersama-sama anak-anak di samping dapat berehat..dalam masa yang sama dapat la saya menghabiskan skrip-skrip jawapan pelajar yang masih belum ditanda...ataupun kalau boring sangat biasanya suami akan bawak kami jalan-jalan di tepi pantai Rhu Sepuluh yang terletak kira-kira 10 minit dari rumah..di sana pun ada taman permainan so dapatlah dua hero saya tu melepaskan tuntutan jiwa kanak-kanak mereka...bermain!  
Sepatutnya esok juga kami sekeluarga akan menghadiri majlis Khatam Pintar Al Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu ( sebelah stadium yang runtuh tu..) . Ammar antara 7 murid prasekolah yang telah terpilih mewakili sekolahnya untuk menyertai program tersebut yang dianjurkan oleh gabungan kanak-kanak TADIKA Yayasan Islam Terengganu, Jabatan KEMAS, Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu tersebut. Majlis tersebut akan dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Namun atas sebab-sebab pencegahan wabak H1N1, apatah lagi perserta yang terlibat adalah ribuan kanak-kanak 5-6 tahun seluruh negeri Terengganu, maka langkah sebaiknya , program ini ditangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan lagi...
Ammar sedikit kecewa, sebabnya dia sangat teruja untuk menghadiri majlis berkenaan..Kalau tak silap sudah dekat 1 bulan lepas persiapan telah dibuat. Selain latihan bersama ustazah di sekolah, latihan dengan abi da n ummi di rumah serta latihan berpusat dilalui dengan penuh semangat. Baju Melayu , samping, songkok semuanya yang disediakan oleh pihak penganjur sudah siap tersedia, cuma tunggu untuk disarungkan saje..hari-hari dia menyatakan keterujaannya untuk menyertai program tersebut...kesian melihat kekecewaannya, saya cuba menerangkan kepada Ammar tentang sebab musabbab program itu ditangguhkan, lalu dia akur mengerti.. 
Sedikit info pasal program ni...Pada tahun 2008 yang lepas seramai 2,660 kanak-kanak tadika khatam Al-Quran dan diiktiraf dalam The Malaysia Book of Records pada Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-Kanak Tadika Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak. Program yang dimulakan sejak dua tahun lalu sudah dua kali mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) kini diteruskan dan saya tidak pasti berapakah jumlah perserta untuk tahun ini...
Selamat berpuasa dan selamat beramal...nanti kalau ada waktu terluang kita ketemu lagi..
 

Sunday, September 06, 2009

EMPAT?

0 comments

Empat? Dalam entri kali ni saya nak berkongsi tentang empat :iaitu empat perkara berharga, empat perkara yang sulit untuk kita lakukan dan empat perkara yang bernilai yang tidak kita hargai nilainya kecuali setelah kita kehilangannya..

Selalunya dalam hidup ini kita inginkan segalanya indah, mudah, selesa, senang dan lain-lainnya. Kita melatah bila kita diuji dan dihimpit masalah, kesulitan atau kesusahan. Jika kita renung diri kita, rasai betapa sihatnya kita di saat saudara-saudara kita mungkin sedang diuji dengan kesakitan, tenat, nazak atau segala mungkin penyakit yang ada. Lihat sekeliling kita, rasailah kebahagiaan dan ketenangan yang kita ada..family yang bahagia, kemudahan kurniaanNya, rezeki yang melimpah ruah di mana mungkin dalam masa yang sama ada insan yang tidak merasai semua itu...

Allah SWT telah mengurniakan kita kelebihan dan keistimewaan dalam diri masing-masing untuk digunakan dan dimanfaatkan dalam kehidupan fana ini. Manakala di sebaliknya juga Allah mengurniakan juga kelemahan dan kekurangan supaya kita tidak lupa siapa kita, milik siapakah segala kesenangan yang kita ada..dan kepada siapakah kita akan kembali...

Justeru, sahabat-sahabat..hargailah nikmat berharga kurniaanNya dengan penuh rasa syukur dan merendah diri kepadaNya sebelum segalanya hilang...barulah kita mula merayu, meminta,mengharap...dariNya dan bertoleransilah jika keadaan memerlukan kita mengikis sifat ego dan besar diri demi manfaat bersama...segalanya bertitik tolak dari dalam diri kita..barulah kita akan merasa senang walau dalam keadaan susah, rasa gembira walaupun kita sedang menangis, rasa berharta walaupun sebenarnya tiada apa..so, renung2kan...


Empat Perkara Berharga

Telah Bersabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah Akal, Agama, Malu dan Amal soleh, maka:

* Akal boleh hilang disebabkan marah.

* Agama boleh hilang disebabkan dengki

* Malu boleh hilang disebabkan tamak

* Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.

Empat Amalan Sukar & Sulit

Dari Ali r.a yang bermaksud: Sesungguhnya amalan yang paling sulit adalah empat macam:

* Memberi maaf pada waktu marah.

* Suka memberi pada waktu susah.

* Menjauhi yang haram pada waktu sunyi.

* Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.


Empat Perkara Bernilai

Dari Hatim Al-Asom yang bermaksud: Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis
orang akan nilainya iaitu:

* Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang tua-tua

* Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah di timpa bencana.

* Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang-orang sakit.

* Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati

Thursday, September 03, 2009

BAHAGIAKAH KITA?

3 comments

Alhamdulillah hari ni dapat saya mencelah di celah kesibukan untuk menjengah blog dan mengambil peluang publish entri untuk tatapan sahabat-sahabat semua. Minggu ini trial PMR masih berjalan dan saya agak sibuk kerana saya beberapa tugasan yang hendak disiapkan - projek mega Ihya Ramadhan peringkat sekolah..dan dalam masa yang sama saya ada 140 skrip jawapan pelajar untuk ditanda dan dinilai sebelum berakhirnya minggu depan. Kalau soalan objektif tidaklah menjadi masalah tapi kesemuanya subjektif - yg perlu dinilai penuh hemah dan teliti. Cabaran saya ialah saya mesti ada time management yang baik takut terlepas masa - masa terbaik kita di bulan mulia ini untuk beribadat. Apa - apa pun saya bahagia dengan dunia saya dan harapnya bahagia yang saya rasa ini bahagia hakiki seperti yang didambakan oleh semua hambaNya. Bagaimana dengan kehidupan sahabat-sahabat semua. Di bawah ni ada check list yang boleh kita renungkan untuk menilai letak duduk kebahagiaan kita dalam hidup ini...


Tanda-tanda bahagia


1. Menjauhkan diri daripada urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat

2. Himmahnya ( kemahuan) kuat terhadap ibadah dan membaca al-Quran

3. Sedikit kata terhadap apa yang tidak diperlukan

4. Sangat memelihara sembahyang fardhu yang lima

5. Menjaga diri daripada yang haram dan syubhat,sedikit mahu pun banyak

6. Bersahabat dengan golongan yang soleh dan baik

7. Bersifat merendah diri

8. Bersifat dermawan yang ikhlas

9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain

10. Bermanfaat kepada orang lain

11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya

Tanda-tanda Sengsara


1. Rakus terhadap harta dunia

2. Kemahuan kuat terhadap nafsu syahwat dan kelazatan dunia

3. Kotor dalam perkataannya serta banyak ghibah (menceritakan cela orang lain)

4. Meringan-ringankan sembahyang fardhu yang lima

5. Berkawan dengan golongan yang fasik (derhaka)

6. Buruk perangainya

7. Sombong lagi membangga diri

8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain

9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman

10. Bersifat kedekut

11. Lupa terhadap mati

(Petikan kitab Tanhibul Ghafilin) dari majalah UMMI Nov.1995

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...