Wednesday, November 14, 2012

Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus

0 comments
Pic : www defarhano.com

Saya kira sudah agak lama saya menulis tentang kemunculan beliau di Astro Oasis dalam entri bertajuk Ustaz Azhar Idrus @ Oasis, akhirnya tertunai juga harapan semua apabila beliau muncul di Oasis walaupun cuma untuk 3 hari. Diharap program ini sebagai pembuka jalan untuk UAI terus mencurah ilmu di kaca TV.

Buat yang belum berkesempatan, masih ada waktu dan peluang. Pastikan temujanji anda bersama beliau esok. Semoga mendapat manfaat dan kebaikan.

Sunday, November 11, 2012

Hati Yang Mati

3 comments

Ulama sufi terkenal, Syeikh Ibrahim Adham ada mengingatkan kita tentang 10 sebab atau tanda hati yang mati iaitu : 

  1. Kamu mengaku kamu mengenal Tuhan, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
  2. Kamu mengaku kamu menyintai Rasulullah, tetapi kamu mengabaikan Sunnahnya. 
  3. Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak mengamalkan hukum - hakam di dalamnya.
  4. Kamu memakan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukuri atas pemberian itu.
  5. Kamu mengaku syaitan itu musuh, tetapi kamu mengikutinya.
  6. Kamu mengaku adanya nikmat syurga, tetapi kamu tidak berusaha untuk mendapatkannya.
  7. Kamu mengaku pedihnya seksaan neraka tetapi kamu tidak berusaha untuk menjauhinya.
  8. Kamu mengaku KEMATIAN pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
  9. Kamu menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi kamu lupa akan keaiban diri kamu sendiri.
  10. Kamu menghantar dan menguburkan jenazah saudara seislammu, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada kematian itu.
 
Matikah hati kita?
 

Friday, October 12, 2012

Terima Kasih

10 comments

Lama sudah tidak berkata-kata di sini. Terkial-kial juga saya menyusun kata, mengakhiri episod bisu berbulan lamanya.

Oktober ini Allah telah mengurniakan saya sebuah kejayaan. Kejayaan yang sungguh indah sekali apabila ia dinikmati setelah memikul susah payah sekian lama. Alhamdulillah, pengajian sarjana saya berakhir jua dan segulung ijazah impian dalam genggaman kini. 

Saya berpaling ke belakang, melihat kembali langkah-langkah yang ditinggalkan. Ada duka yang mahu dilupakan, ada suka yang ingin terus diabadikan. Pahit manis yang diharungi sepanjang 2 tahun lebih ini adalah momen terbaik dalam hidup ini. Akhirnya saya mampu melangkaui kemampuan yang selama ini selalu saya nafikan pada diri saya. Benarlah..Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri.

Saat menuruni tangga pentas setelah dianugerahi ijazah, saya terkenang ayah di kampung yang selalu percaya akan kemampuan saya. Jua saya teringat arwah ibu yang sudah pergi.  Meskipun mereka tiada dalam dewan serba indah ini, saya ditemani kenangan-kenangan bersama mereka berdua.

Insan yang semestinya menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan saya selama ini ialah suami saya. Tiada kata untuk mengambarkan betapa saya menghargai segala pengorbanannya. Dia penyokong utama, penyuntik semangat dan pembantu setia yang sentiasa ada di sisi. Kejayaan ini jua adalah dedikasi saya untuk anak-anak tersayang. Saya mahu mereka merasai betapa pentingnya bekalan ilmu dalam kehidupan dan menjadikan kejayaan ummi sebagai inspirasi mencipta masa depan yang cemerlang dan diredhaiNya.

Tidak dilupakan keluarga yang sentiasa menyokong dan sahabat-sahabat seperjuangan yang menjadi pencetus motivasi dan pembantu yang setia selama ini.

Terima kasih ya Allah atas nikmat kurniaan-Mu ini..

Terima kasih insan-insan kesayanganku..

Tuesday, September 18, 2012

Tarbiah Ilahi

2 comments



Kadang-kadang kita dianugerahi rezeki tidak disangka. 
Dalam masa yang sama, ujian datang menguji ketabahan.
Indah sekali pentarbiahan dari Ilahi..
Kita mungkin sombong dan riak dengan anugerah kenikmatan. 
Lantaran ujian yang diutuskan, kita redha, akur dan sedar..
siapalah kita di dunia sementara ini..
Hanya musafir menunggu waktu untuk kembali..
 

Sunday, August 12, 2012

Dia Seorang Sultan

5 comments
Saya baca ini di FB, perkongsian seorang ustaz yang punyai kenangan tersendiri ..
"Suatu hari ketika saya di tingkatan tiga, saya ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu untuk mendirikan solat Jumaat. Di dalam masjid, saya berasa hairan kerana para jemaah tidak berani menduduki beberapa helai sejadah kuning yang dihamparkan di belakang sejadah imam.

Tanpa mempedulikan orang lain, saya terus bersolat tahiyyatul masjid di atas sehelai sejadah kuning bersebelahan sehelai sejadah kuning empuk yang paling istimewa. Ketika beri'tikaf, saya mula menyedari bahawa diri saya sedang diperhatikan oleh orang ramai termasuk tuan imam.

Tidak lama kemudian, beberapa individu berbaju Melayu kuning bersamping datang ke arah saya lalu duduk di atas sejadah-sejadah kuning berkenaan. Baru saya menyedari bahawa Sultan Kelantan (Sultan Ismail Petra) duduk betul-betul di sebelah kiri saya di atas sejadah empuk tadi.

Ketika itu, saya mula rasa bersalah dan bertekad hendak mundur ke saf belakang kerana menyedari bahawa sejadah yang saya duduki di sebelah baginda sultan itu telah dikhaskan untuk seorang individu.

Ketika saya cuba berundur ke belakang, seorang pemuda yang saya yakini merupakan pemilik sejadah tersebut menghalang saya dari berundur dan beliau duduk bersebelahan saya. Ketika bersalaman dengannya, beliau menghadiahkan senyuman manisnya kepada saya. Hari ini pemuda tersebut telah bergelar 'Sultan' bagi Negeri Serambi Mekah.

Jika dahulu semasa bergelar 'Raja Muda' baginda pernah membenarkan sejadahnya dipijak oleh saya, hari ini pula setelah bergelar 'Sultan' baginda telah membenarkan mahligainya diinapi oleh ribuan rakyatnya untuk berqiyamullail.

Uniknya, jika dahulu 'Istana Air Mata' pernah mengundang kontroversi di kalangan rakyat jelata, harini 'Istana Air Mata' telah mencatatkan sejarahnya di mana ribuan rakyat jelata bersama-sama rajanya telah menitiskan air mata di suatu malam di bulan yang penuh mulia. 
 
 Qiam With Me rakyat jelata bersama DYMM Sultan Kelantan

UA : Tak pernah masuk istana.

Saturday, August 11, 2012

Setulus Kasih, Hikmah Yang Abadi

2 comments

Sungguh. Tersentuh hati saya dengan ketulusan dua kanak-kanak ini.

Tika rezeki kurniaan Allah melimpah lagi. 
Jangan sesekali berat hati untuk membantu sesama insani
Moga kemenangan Syawwal lebih beerti.

Setulus kasih, hikmah yang abadi.


Monday, August 06, 2012

Di Akhir Garisan

2 comments

Wira negara, Lee Chong Wei akhirnya kecundang. Namun semangatnya saya kagumi. Bukan senang menggalas harapan jutaan insan dan dalam masa yang sama berjuang sehabis baik. Selain dari ketahanan fizikal, ia memerlukan kekuatan mental yang bukan sedikit.


Bercakap tentang kekentalan mental dan kejituan semangat, ia adalah keperluan saya detik ini. Minggu ini minggu penting saya. Minggu kepayahan yang saya harap akan berakhir dengan baik. Saya memohon agar Allah memberi kekuatan mengusir rasa bimbang, buntu dan putus asa yang kadang-kadang bertamu tidak diundang.




12 Ogos = Submit tesis..doakan saya..:))

Semoga berjaya dalam apa jua perkara yang sedang kalian usahakan.
Moga dipermudahkan olehNya.


Friday, August 03, 2012

Wednesday, August 01, 2012

Makaroni 2 Gaya

2 comments
Kebiasaannya seorang isteri dan ibu akan sibuk di dapur pada bulan Ramadhan. Melayani selera anak-anak dan suami untuk berbuka puasa. Memasak sendiri adalah pilihan terbaik kerana air tangan seorang ibu dan isteri itu adalah keajaiban ~ mampu mengikat kasih sayang dan menambat hati yang tersayang.

Bila Ramadhan, selera anak-anak pun berubah. Nasi yang selalu menjadi pilihan utama sudah tidak disentuh bila selera sudah bertukar "western". Selain chicken chop dan spaghetti, makaroni 2 gaya ini adalah hidangan yang sempat saya usahakan untuk mereka. 

2 hidangan berbeza, 2 hari yang berlainan tetapi 1 paket makaroni yang sama.

Creamy Macaroni

Makaroni Carbonara

Saya memang peminat makaroni dan pasta, namun kepakaran memasaknya tidaklah sehebat mana. Dua hidangan makaroni di atas adalah inspirasi dan  adaptasi dari blogger yang saya kagumi kepakarannya dalam memasak dan lain-lain ~  Azie Kitchen.

Kunjungi blog beliau dan anda akan menimba banyak ilmu masakan dengan langkah-langkah mudah disediakan. Selamat memasak dengan penuh kasih sayang...:))

Monday, July 30, 2012

Kiwi Coklat

4 comments
Saya share dari FB. Kreatif dan mudah. 
Buah-buahan lain pun Ok juga kan?
Selamat mencuba...


Sumber : Home Decorating

Thursday, July 26, 2012

Kemaafan

2 comments

Rasulullah SAW memaafkan musuh yang mahu meragut nyawanya.
Sedangkan kita hanya diragut rasa dan emosi.
Forgive and forget. Memaafkan dan melupakan. 
Semudah itu jika anda lakukan kerana Allah.

 

Sunday, July 22, 2012

Puding Trifle

3 comments
 Salam Ramadhan,

Menyediakan puding trifle permintaan anak-anak untuk berbuka puasa. 
Resepinya boleh baca entry My Trifle Pudding
Selamat mencuba dan selamat berbuka puasa buat semua pengunjung blog UA.


 1

2

3

4

Thursday, July 19, 2012

Menanti Ramadhan

2 comments

Terasa rindu dan sayu untuk bertemu Ramadhan buat sekian kalinya. Syukur kerana kita masih diberi peluang untuk melalui Ramadhan sekali lagi. Justeru, ambil sedikit masa, sama-sama kita muhasabah Ramadhan yang telah kita tinggalkan. Ada yang perlu diubah jua ditambah nilai dalam ibadah dan setiap tindak tanduk kita. Buang apa yang buruk, tambah apa yang baik. Corakkanlah Ramadhan dengan warna-warna indah keimanan dan pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sedih menatap gambar ini. Saya mengharapkan anak-anak saya penuh sabar dalam menempuh ibadah puasa di bulan yang mulia ini, mensyukuri apa yang ada dan tidak mengungkit kekurangan kerana ada lagi insaf yang susah dan diuji dengan kelaparan..


Ramadhan dinanti, pemergiannya kan ditangisi. 
Tangisan kemenangan atau tangisan penyesalan? 
Kitalah yang menentukannya.  

Sempena Ramadhan 1433H, selamat berpuasa dan beribadah 
buat semua umat Islam di mana sahaja anda berada. 
Maaf Zahir Batin.

Sunday, July 15, 2012

Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja

8 comments

Sayu hati membaca puisi nukilan Zurinah Hassan ini. Ia umpama mewakili seluruh jiwa saya, dedikasi buat anak-anak tersayang. Semoga kalian mengerti dan memahami ~ segalanya adalah kerana kasih sayang dan tanggungjawab yang tidak bertepi buatmu berdua.


                        Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja ~ Zurinah Hassan

                              Anakku
                        maafkanlah ibu
                        meninggalkamu setiap pagi
                        melepaskan pelukanmu
                        ketika kau ingin bermanja

                        di meja ini mengadap kertas-kertas
                        di meja ini mengadap tugas-tugas
                        sesekali terganggu oleh matamu yang redup
                        sesekali terpanggil oleh suaramu yang sayup
             
                        Sekecil itu..
                        aku sudah meminta pengertianmu
                        yang kita tidak dapat bermanja dengan hidup.






Friday, July 13, 2012

Bermulanya di Sini

7 comments
Saya sudah mengimpikannya sekian lama, sebuah rumah - ruang untuk diri sendiri, tempat berteduh, beribadat dan meneruskan sisa-sisa hidup yang masih dipinjamkan oleh Allah di bumi yang fana ini. Alhamdulillah, kerja-kerja membina teratak kami sudah bermula kini. Walaupun berbagai masalah dan cabaran melanda, saya berharap semoga semuanya dipermudahkan olehMu ya Allah..

Tapak rumah

Panorama belakang rumah

Kulihat hijau..


Thursday, July 12, 2012

Bukan Sekadar Resepi

2 comments
Buku karya Puan Roza Roslan ini adalah buruan saya seterusnya. Keinginan saya untuk memilikinya sungguh tinggi. Saya menunggu ruang untuk mendampinginya nanti..Buat pencinta ilmu khususnya kaum wanita dan ibu-ibu, milikilah buku ini. Saya kongsi sedikit ulasan tentang buku ini dari mata hati penerbit dan pembacanya..
 
Ya, buku ini BUKU SEKADAR RESIPI kerana di dalamnya terkandung kisah yang mencuit hati. Terkandung di celah-celah resipi yang diketengahkan terselit kebesaran dan keagungan Ilahi untuk kita renungkan. Santai, namun berisi. BUKAN SEKADAR RESIPI pasti mencuit hati pembaca.


Bukan Sekadar Resipi adalah sebuah bingkisan lahir dari hati Puan Roza Roslan. Ia adalah utusan daripada seorang ibu – kepada ibu-ibu lain – yang ingin membangunkan nilai-nilai murni di kalangan ahli keluraga. Natijahnya, pembentukan akhlak keluarga sebenarnya bermula di dapur! Air tangan masakan siapa yang lazimnya menjadi hidangan anak-anak dan seisi keluarga kita selama ini? -Sabtu M. Ali

Buku yang sangat mesra sehingga menyebabkan saya tersenyum simpul, tertawa kecil, berasa sebak dan sayu, serta ada ketikanya minda saya perlu berfikir panjang mengenangi pelbagai nikmat Allah yang sering dilupakan. Jika ada yang memerhatikan saya membaca buku ini maka ia tidak masuk akal untuk melihat kesemua elemen tersebut muncul pada raut wajah saya --Datin Norashikin Zaini

Membaca buku ini benar-benar mengimbau kenangan lalu dan mengusik jiwa. Ada ketikanya saya terpaksa memberhentikan pembacaan kerana seolah tulang ayam tersekat di kerongkong, ada  sebilah pisau menusuk ke jantung. Air mata tidak mampu disekat lagi. Ia berguguran di pipi.Gila untuk senaskah buku masakan! --Ratna Roslan

Wednesday, July 11, 2012

Semalu

0 comments
Untuk ummi.. 

Banyak lagi adaa...

Tuesday, July 03, 2012

Sesekali Jangan

2 comments
Sebulan yang terakhir. Penghujung yang sungguh payah. Benarlah bila ada yang pernah membisikkan dulu ~ Cabaran sebenar adalah apabila  kekentalan semangat teruji di hujung perjuangan. Saya berharap semangat saya terus kukuh bertahan hingga awal Ogos nanti. Saya berdoa moga dipermudahkan Allah segala urusan dan dijauhi dari rasa putus asa. Saya menanti pengakhirannya bersama Ramadhan yang barakah. Bantulah hambaMu ya Allah.


Sesekali jangan kenal putus asa, kerana rahmatNya sungguh luas.

Tuesday, June 26, 2012

Ustaz Azhar Idrus @ Oasis

4 comments

Ustaz Azhar Idrus. Insan berkongsi tanah kelahiran dengan saya ini, sudah dikenali sekian lama di tempat kami. Alhamdulillah, sekarang rezekinya semakin meluas. Saya bayangkan semua orang kenal dia lantaran popularitinya yang mencetuskan fenomena kebelakangan ini, rupa-rupanya masih ada yang bertanya saya..siapa dia? Maafkan insan yang bertanya itu, mungkin dia hidup dalam dunianya yang tersendiri..:))

Di saat kuliahnya dihadiri puluhan ribu pendengar secara live atau online, insan pendakwah yang berjaya menawan hati pendengar-pendengar muda ini masih menggunakan loghat Terengganu di dalam setiap tutur bicaranya. Walaupun kekadang  kedengaran cukup kasar, tapi sebenarnya itulah keunikan loghat kami. Dalam lawak bersahaja beliau mampu menambat kemesraan dan menusup ke dasar hati pendengar dek kebenaran yang diperkatakan beliau. 


Satu perkara yang cukup saya kagumi juga ialah minat dan bakat Ustaz Azhar dalam dunia fotografi. Saksikan sendiri kehebatan sentuhan lensa ustaz di laman Digital Mukmin. Tidak hairanlah anak-anak muda meminati beliau ~ kerana dakwah dan kebolehan beliau. Buat anda yang belum pernah mendengar kuliah@ ceramah ustaz Azhar Idrus, selamat menonton Astro Oasis bermula 3 Julai. Semoga kita sama-sama beroleh ilmu dan manfaat.

Lagi kisah hidup Ustaz Azhar boleh baca di sini.

Monday, June 25, 2012

Melakar Mesir Yang Baru

2 comments

Saat catatan ini ditulis, sorakan kegembiraan rakyat Mesir yang kedengaran menerusi laman Al Jazeera bagi saya umpama manifestasi kemenangan setelah berpuluh-puluh tahun menanti. Tiada berita yang paling mengembirakan di awal Sya'baan yang barakah ini melainkan anugerah kemenangan daripada Allah buat perjuangan Islam di bumi Anbiyaa', Mesir.

Kemenangan tokoh berwibawa, Dr Muhammad Mursi bukan sekadar kemenangan buat penduduk Mesir mahupun Ikhawanul Muslimin bahkan kemenangan buat seluruh umat Islam di dunia. Tahniah Mesir! Tahniah buat Dr Muhammad Mursi!  Mencipta kemenangan itu sukar dan berliku apatah lagi perjuangan memaknakan erti kemenangan tersebut. Allah pasti bersamamu..Semoga Islam semakin kukuh dan kembali dijulang di bumi para nabi ini. Allahuakbar!

Friday, June 22, 2012

Setulus Kasih Ibu

4 comments

Ibu adalah insan istimewa. Takkan ada seseorang lain yang akan dapat menggantikan tempat seseorang ibu di dunia ini. Kisah sedih mengundang air mata ini adalah catatan penyesalan  seorang anak yang menderhaka kepada insan yang melahirkan dan membesarkannya. Kebenaran kisah ini saya tidak pasti. Sekadar berkongsi pembacaan dari laman internet yang lain. 

Sekalipun ia bukan kisah benar, ambillah kisah ini sebagai pengajaran dan iktibar. Hargai ibu saat dirinya masih di sisi..saat kasihnya masih dirasa..sebelum dirinya dijemput pulang menemui Yang Maha Esa.


Ibuku buta sebelah mata! Aku benci ibuku… Dia amat memalukanku! Tugas harian dia ialah memasak untuk pelajar dan guru di sekolah bagi menyara keluarga kami.

Pada suatu hari semasa di sekolah, ibuku datang kepadaku untuk bertanya khabar. Aku sungguh malu. Mengapa dia sanggup melakukan ini kepadaku?! Aku tidak pedulikan dia dengan menunjukkan wajah benci kepadanya dan terus lari.

Keesokan harinya salah seorang rakan darjah berkata, “EEEE, ibumu hanya ada satu mata!" Ketika itu aku hanya ingin membenamkan diriku. Aku juga mahu ibuku hilang dari hidupku! Oleh itu aku berjumpa dengannya dan berkata, “Jika engkau hanya mahu menjadikan diriku bahan ketawa, alangkah baiknya kalau kau mati saja?!!!”

Ibuku hanya berdiam diri!!! Aku tidak pun sejenak berhenti dan berfikir akan apa yang telah aku katakan kepadanya kerana aku tengah marah ketika itu..Aku langsung tidak peduli akan perasaannya…

Aku ingin keluar dari rumah itu…Oleh itu aku belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat melanjutkan pelajaran ke Singapura. Kemudian aku berkahwin. Aku membeli rumah sendiri dan mendapat anak. Aku amat gembira dengan kehidupanku.

Suatu hari ibuku datang menziarahiku. Sudah lama dia tidak berjumpa denganku dan tidak pernah berjumpa cucunya. Bila dia berdiri di depan pintu rumahku, anakku mentertawakannya. Aku menjerit kepadanya, “Sanggup engkau datang ke sini dan menakutkan anakku!"KELUAR DARI SINI SEKARANG!!! Dengan pantas ibuku menjawab “Maaf, Saya tersilap alamat” dan terus menghilangkan diri.

Satu hari surat jemputan untuk perjumpaan pelajar-pelajar lama sekolahku dulu sampai ke rumah. Oleh itu aku telah memberitahu isteriku yang aku akan pergi untuk urusan perniagaan. Selepas perjumpaan itu, aku telah pergi ke rumah usang ibuku hanya kerana ingin tahu. Jiran memberitahuku yang ibuku telah meninggal dunia. Setitik air mata pun tidak aku titiskan.

Jiran itu telah menyerahkan kepadaku sepucuk surat yang ibuku ingin aku membacanya…
“Anakku yang dikasihi, Ibu selalu teringatkan kamu setiap masa. Ibu minta maaf kerana datang ke Singapura dan telah menakutkan anakmu. Ibu gembira kerana kamu akan datang ke perjumpaan pelajar-pelajar lama. Tetapi ibu mungkin tidak dapat bangun untuk berjumpa denganmu. Ibu minta maaf kerana sentiasa memalukan kamu semasa kamu sedang membesar.

Kamu mungkin tidak tahu..Semasa kamu masih kecil, kamu telah mendapat kemalangan dan hilang satu mata. Sebagai ibu, aku tidak sanggup melihat anakku membesar dengan satu mata. Oleh itu anakku..aku menghadiahkan salah satu mataku kepada kamu…Aku amat berbangga kerana anak lelakiku dapat melihat dunia ini dengan mata ibumu ini.
Setulus kasihku kepadamu……IBUMU…

 Tatkala surat habis dibaca, raungan penyesalanku tiada maknanya lagi...

  Sayangi ibu setulus ibu menyayangi..

Wednesday, June 20, 2012

Sunday, June 17, 2012

Sandwich Sosej

4 comments
Afiq menggambarkan saya seorang ibu yang hardworking dan love to cook dalam karangan pendek Bahasa Inggeris. Jauh di sudut hati, saya terharu sebabnya saya tidaklah sekerap ibu-ibu lain yang selalu ke dapur. Mungkin itu isyarat dari anakku supaya ummi lebih bermotivasi untuk ke dapur agaknya. Untukmu sayang, sandwich sosej kegemaran, ummi sajikan. Untuk yang sudi mencuba, jom kita memasak...

1

Bahan-bahan : 
Salad, tomato, lobak merah, bawang besar(holland), sosej (direbus & dihiris nipis), mayonis & serbuk lada hitam 

2

 Sosej & sayuran yang telah siap dipotong.

3
Setelah digaul mesra dengan mayonis & sedikit serbuk lada hitam. Perah sedikit lemon@limau nipis. Setelah roti dibakar, masukkan sajian ini sebagai intinya...siap untuk dimakan..:))

Selamat Mencuba.

Friday, June 15, 2012

Segenggam Harapan

2 comments

Pertemuan kali pertama dengan penyelia untuk pemurnian tesisku esok adalah sesuatu yang dinanti. Biarpun segala perasaan bersarang di jiwa, kugagahi semangat yang ada ~ ini satu proses yang harus dilalui. Moga segalanya dipermudahkan Allah.

Hasbunallah wani'mal wakil 
(Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik tempat bersandar).
Surah Ali `Imran (3): 173 

Sunday, June 10, 2012

3 Hari Di Johor Bahru

2 comments
Saya memujuk hati saat mula diarahkan berkursus di Johor Bahru, biarpun jiwa memberontak enggan. Masa yang ingin dihabiskan menyiapkan tesis terpaksa dikorbankan. Bagai tahu apa intipati kursus yang akan dihadiri, minat saya untuk pergi sedikitpun tidak muncul.  Namun, saya akur jua kadang-kadang pengorbanan itu perlu dan saya berharap agar beroleh sesuatu sepanjang 3 hari di bandaraya ini. 

Alhamdulillah, selesai jua percaturan saya menghadiri kursus ini biarpun saya cukup tidak selesa bila kursus yang bermotif membangkitkan jiwa bangsa dipenuhi kempen pilihanraya yang terdesak. Tolonglah, kami golongan pendidik yang cukup berharap agar diskusi lebih matang dan intelektual dan bukannya herdikan dan hujjah emosi tanpa asas.


Sejurus Johor Bahru saya tinggalkan..saya ambil yang pahit sebagai pengajaran dan yang manis sebagai kenangan..JB, semoga kita bertemu lagi, mungkin dalam ruang yang lebih beerti.

Tuesday, June 05, 2012

Memori Persahabatan

0 comments
Setelah hampir 5 tahun, kursus 3 hari bakal menemukan kembali saya dengan bumi Johor Bahru. Seketika saya terkenangkan saat-saat mula saya posting di Johor, beberapa kali ke JB samaada berkeretapi atau berkereta dari Segamat-JB bersama teman-teman yang kini sudah sekian lama tidak bersua wajah - Kak Haslinah kini di Kelantan, Kak Azlina, Fara & Hanim di Melaka, jua Ipah di Selangor. 

Merekalah yang memperkenalkan saya dengan setiap ceruk bandaraya yang cukup asing buatku seketika dahulu. Semasa membeli hantaran kahwin pun di sini, dan merekalah yang menemani dan membantu. Terasa rindu pula pada saat mekar persahabatan kami dulu..


Pasti perjalananku esok hari menuju JB ditemani kenangan-kenangan lama bersama mereka..Semoga dirimu sahabat-sahabatku sentiasa dilindungi rahmat dan hidayah Allah setiap masa, dunia dan akhirat.

Monday, June 04, 2012

Sketsa Nasihat : Aurat

0 comments

Pelangi Senja

0 comments

Hujan yang turun umpama rahmat membasahi bumi setelah sang mentari berkuasa sepanjang hari. Sempat saya rakamkan keindahan hujan dari laman kecilku.


Hujan yang kian lebat mengiringi senja yang kian tiba. Segar dan mendamaikan..


Senja kian berlabuh. 
Tatkala sang hujan reda, muncul pelangi indah ~ pelangi senja..
Subhanallah!


Friday, June 01, 2012

Kekayaan Itu Ujian

0 comments

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:  "Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).  

Ujian kekayaan dan kesenangan dengan nikmat Allah adalah ujian yang lebih hebat berbanding ujian kesusahan dan kemiskinan. Fikirkan..tatkala kesusahan, kesedihan, kemiskinan melanda..manusia akan teguh dengan sifat redha dan kesabaran, berpada dengan apa yang ada, jua berjuang dengan semangat kehidupan dan tawakal yang tinggi kepada Allah SWT.

Manakala kekayaan, kesenangan dan kejayaan kadang-kadang mengalpakan diri, mendekatkan diri kita dengan kesombongaan, melahirkan sifat tamak dan bakhil serta menjauhkan diri kita dari mengingati Allah. 

Berkongsilah kesenangan yang dipinjamkan sementara olehNya bersama insan-insan yang memerlukan...:))

Thursday, May 24, 2012

Sesekali Diuji

0 comments
Sehebat manapun kita di mata dunia, kita hanyalah hambaNya yang kerdil, rapuh dan lemah berbanding kekuasaanNya.

Sesekali ujian melanda, jiwa kita rapuh dan menangis. Mulalah sibuk mencari Allah yang kita sering lupakan. Mulalah khusyuk merayu, merindu dan merintih pada Dia yang sering kita alpakan. Cinta apakah yang kita ada untuk Dia? Layakkah kita merebut kasih sayangNya?

Tatkala ujian menimpa, selaut kekecewaan yang kita tanggung sebenarnya adalah tanda Allah menyayangi kita. Ujian dariNya mengejutkan kita dari kelalaian, membangunkan kita dari kesombongan, mengingatkan kita pada kekhilafan dan menyedarkan kita hakikat kehidupan yang sementara. Syukur kerana kita masih lagi disayangiNya, dilindungi rahmatNya yang tiada bertepi, dikurniakan hidayah dan petunjuk setiap masa...


 Rapuh ~ Opick

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka,tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Ku persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap hanya
Dirimu yang bertakhta
Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

Tuesday, May 15, 2012

Hadiah Buat Guru

6 comments

Dia ingin menghadiahkan sesuatu buat guru kesayangannya, namun dia sedar untuk  memberi dia tidak punya apa. Di saat rakan-rakan menghulurkan hadiah bersama ucapan Selamat Hari Guru, dia merasa ralat jika tidak mengabadikan sesuatu buat gurunya. Sebatang pensil kepunyaannya yang  lusuh dan sudah separuh digunakan dihulurkan sebagai hadiah bersama ucapan terima kasih yang penuh ikhlas. Guru menyambut dengan linangan airmata. Terharu dengan pemberian murid yang cukup dikenali kebaikan hati budi nya biarpun hidup dalam kesempitan. 

Biarpun kecil tapi cukup berharga. Dan pensil itu masih menjadi simpanan guru sehingga saat ini..Catatan pengalaman ini adalah benar. Kisah dari rakan saya sendiri. Sebagai guru, biarpun tidak mengharapkan apa-apa pemberian di hari guru, hargailah setiap pemberian dari anak didik kita dengan senyum mesra kerana ia adalah hadiah dari hati yang penuh keikhlasan..


 Selamat Hari guru buat semua insan yang bergelar pendidik. Di mana jua anda berkhidmat, di ceruk-ceruk kampung mahupun di bandar-bandar besar, curahkanlah bakti penuh dedikasi dan ikhlas, moga segala kesabaran, pengorbanan dan tunjuk ajarmu dinilai di sisi Allah sebagai satu ibadah. Insya Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...