Monday, March 29, 2010

Bukan Wanita Pilihan

12 comments
Salam mesra buat semua..

Kebahagiaan istana kasih yang dibina bergantung pada pemilihan pasangan hidup. Andai pilihan yang tepat dan mengikut apa yang dianjurkan agama, Insya Allah..bahagialah yang sentiasa mewarnai segenap ruang kehidupan. Jika sebaliknya, derita dan sengsaralah jawabnya. Lebih teruk kalau terpaksa berpisah kasih dan bercerai sayang mencari haluan masing-masing.

Seorang isteri memainkan peranan penting dalam sesebuah rumahtangga. Dialah isteri, suri dan ibu pada anak-anak bakal dilahirkan. Justeru pemilihan seorang isteri mestilah bukan sekadar cantik dipandang pada luaran tapi juga cantik pada akhlak, ilmu dan pegangan agamanya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya; Wanita itu dikahwini kerana 4 perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya maka utamakanlah kerana agamanya nescaya engkau bahagia.” 

Hukama' ada berkata :
 “Jangan engkau nikahi wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau nikahi yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah.”
 
1) Wanita Ananah ( انانة ) : banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat dibuat-buat sakit.

2) Wanita Mananah ( منانة ): suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.

3) Wanita Hananah ( حنانة ) : menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dinikahinya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4) Wanita Hadaqah ( حداقة ) : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya

5) Wanita Baraqah ( براقة ) : ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6) Wanita Syadaqah ( شداقة ) : banyak cakap, tidak menentu lagi bising.

Jika anda lelaki yang mencari suri penyeri mahligai kasih..pastikan tidak memilih ciri-ciri wanita sedemikian demi kelangsungan hidup yang diidami.

Ingatan buat gadis-gadis muslimah, hiasilah diri dengan pakaian taqwa, akhlak mulia dan perelokkanlah pekerti. Nescaya kalian semua akan menjadi bakal isteri dambaan lelaki-lelaki soleh.

Tidak lupa buat yang sudah menjadi seorang isteri,seperti diriku ini, jangan buatkan suami menyesal memilih anda menjadi permaisuri hidup kerana sifat-sifat di atas. Muhasabah diri masing-masing. Berubahlah untuk kebaikan demi kebahagiaan yang hakiki  di dunia dan akhirat.

Sunday, March 28, 2010

Kini Usiamu 7 Tahun

14 comments
Salam mesra buat semua...

Bila tibanya tarikh 28 Mac, tiba-tiba hati saya jadi sebak. Tarikh keramat yang cukup bermakna dalam hidupku. Saat pertama saya menjadi seorang ibu setelah melalui saat-saat getir melahirkan bayi lelaki comel seberat 3.4kg ke dunia ini jam 3.00 pagi 28 Mac 2003. 

Sepanjang tempoh 7 tahun ini, banyak susah senang membesarkannya. Saya pernah menangis tanpa henti dalam bas semasa perjalanan dari K Terengganu - Segamat semasa meninggalkannya untuk kembali bertugas di Segamat selepas tamat tempoh cuti 60hari. Satu minggu di sana, saya hanya berendam airmata kerana rindukan Ammar apatah lagi dia menyusu badan. Lalu saya nekad membawanya bersama saya selepas tu.

Ammar seorang anak yang manja dan aktif. Sentiasa inginkan perhatian. Suka bercakap dan bercerita dan mahukan kita mendengar apa yang diperkatakannya. Kuat makan juga. Kadang-kadang suka memberontak dan degil  juga tapi ada beberapa sisi dalam dirinya yang saya kagumi.Pintar, prihatin dan bertanggungjawab.

Di bawah ni, gambar-gambar pilihanku sepanjang tempoh Ammar membesar dan memberi erti yang amat bermakna dalam hidup kami sekeluarga.

Ammar 7 bulan

Ammar 2 tahun

Bersama adik Afiq

Ammar 5 tahun -  Masa ni dah start montel..

Ammar 6 tahun


Ammar di usia 7 tahun. Makin montel dan sihat..

Menginjak usia ke-7. Sanah Helwah ya bunayya, semoga menjadi anak yang soleh, taat ibadah, patuh dan hormat pada ibubapa dan orang tua , semakin cerdas, pintar, kreatif, berdikari dan percaya diri. Ummi dan Abi hanya bisa mendoakan dan berusaha sedaya mungkin membahagiakanmu dan melengkapi keperluan duniawi dan ukhrawi buatmu. 

Teruskan langkahmu
Capailah impianmu
Luaskan ilmu dan pemikiranmu
Gapailah awanmu
Jangan lupa pada Tuhanmu
Kerana Dialah Yang Satu
Penentu kebahagiaanmu
Di dunia yang menipu
Dan di akhirat yang diburu

Friday, March 26, 2010

Nostalgia Dulu-dulu

18 comments
Salam mesra buat yang sudi membaca..

Biasanya kalau ada masa, kadang-kadang saya akan tidurkan anak-anak walaupun mereka sudah berusia 7 dan 6 tahun. Sebelum tidur, macam biasa.. permintaan mereka inginkan saya bercerita. Cerita apapun mereka suka. Antara cerita-cerita pilihan biasanya sekuel Sang Kancil, cerita-cerita rakyat dan kisah-kisah Nabi. 


Ammar pernah bertanyakan cerita kegemaran ummi masa kecil-kecil dulu. Saya beritahu dia saya cukup suka cerita Hikayat Sang Kancil dan Monyet  di TV. Penuh pengajaran. Malah dialog cerita tu masih melekat sampai sekarang.

Kebetulan pula, baru-baru ni..seorang kawan ada upload video Hikayat Sang Kancil dan Monyet  terbitan Filem Negara Malaysia ni di Facebook. Memang nostalgia sungguh cerita ini, lagi nostalgia bila teringat TV hitam putih nenek saya yang ada sliding door tu. 

Kalau anda membesar di tahun 80an, anda akan faham maksud saya. Cerita ini sangat popular ketika itu dan ditayang berulang kali di TV. Terkenal juga dengan tag line " Jangan monyet..jangan..!" .Kisahnya mengenai monyet yang pemalas tetapi sangat tamak dan gelojoh sehingga memakan diri. 



Apalagi, saya berkongsi video ini dengan anak-anak. Seronok mereka dapat menonton sendiri cerita favourite ummi masa kecil-kecil dulu. Di samping itu dapatlah menyelitkan pengajaran buat mereka..


Tuesday, March 23, 2010

Berpisah Kasih Bercerai Sayang

13 comments
Salam mesra bagi yang sentiasa setia..


Saya cukup terkedu dan cukup tidak suka menerima berita perceraian terutamanya di kalangan orang-orang yang saya kenali dengan rapat. Bukan sekali. Bukan dua. Malah lebih dari itu. Seorang sahabat dipaksa bercerai dengan suami oleh keluarga mertua, hanya kerana tiada zuriat. Kisah lain, suami isteri tinggal berjauhan kerana tuntutan kerjaya, berpisah kasih bila suami berpindah hati pada rakan sekerjanya sendiri. Dan macam-macam lagi..ada kisah dan sebab yang tersendiri di sebalik musibah yang berlaku.

Nampaknya cerai berai bukan lagi perkara yang pelik. Daripada artis yang hidup dalam dunia glamour sampailah orang biasa-biasa macam kita. Apakah ini trend kehidupan di dunia yang penuh cabaran dan tipu daya ini? Atau adakah cinta sebenarnya begitu rapuh bila dilanda badai ujian, tidak seutuh saat melafazkan " Aku terima nikahnya..." dulu..

Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.

Jika semua usaha-usaha ini telah mereka laksanakan, namun rumahtangga mereka masih tidak dapat diselamatkan, maka Islam membenarkan pasangan tersebut bercerai. Perceraian merupakan perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah swt. Firman Allah di surah Al Baqarah ayat 229 yang bermaksud,
 

"Rujuklah mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik"
 
Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar'ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,
 

"Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : "Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syarie, maka haram ke atasnya bau syurga" (Riwayat : Abu Daud)

Pada saya, apabila berdepan kisah perceraian, jangan cepat menghukum atau memandang serong pada pasangan yang terlibat kerana mungkin ada rahsia dan sebab musabab yang tersendiri. Muhasabah rumahtangga kita dan ambil iktibar daripada coretan kehidupan masyarakat sekeliling. Perbaiki yang rosak, kukuhkan yang utuh, hargai dan syukuri apa yang ada..

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami suami dan isteri yang soleh dan solehah serta keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah. Kekalkanlah keharmonian dalam rumah tangga kami sehingga ianya mampu menghadapi badai kehidupan yang mungkin boleh merosakkan atau meruntuhkan mahligai kerukunan rumah tangga yang telah kami bina selama ini.
 
Ameen Ya Rabbal A'laamin.

Sunday, March 21, 2010

Nilai Kasih Seorang Ibu

12 comments

Salam mesra buat semua..



Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu.

Kos upah membantu ibu :
Tolong pergi ke kedai – RM4.00
Tolong jaga adik – RM4.00
Tolong buang sampah – RM1.00
Tolong kemas bilik – RM2.00
Tolong siram bunga – RM3.00
Tolong sapu sampah – RM3.00
Jumlah – RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar di mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

Kos mengandungkanmu selama 9 bulan – PERCUMA
Kos berjaga malam kerana menjagamu – PERCUMA
Kos air mata yang menitis keranamu – PERCUMA
Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu – PERCUMA
Kos menyediakan makan minum,pakaian dan keperluanmu – PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku – PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata “Saya Sayangkan Ibu”.

Kemudian si anak mengambil pen dan menulis ‘Telah Dibayar’ pada mukasurat yang ditulisnya. (Sumber : Internet)   

Kata orang " A picture speaks a thousand words". Hayati wajah-wajah ibu pilihan saya ini dan dalamilah nilai kasih seorang ibu..Hargai dan sayangilah ibu kalian semua sementara mereka masih di hadapan mata..




Dedikasi buat arwah ibuku..
 
Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan
Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan

Siang malam menderita
Hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan
Ibunda berikan

Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan
Tiada bahagia jika tiada doa puja restu
Syurga itu telapak kaki ibu

Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan
Tiada bahagia jika tiada doa puja restu
Syurga itu telapak kaki ibu

Monday, March 15, 2010

Impak Wardina

13 comments
Salam mesra buat semua..


Sudah hampir sebulan sebenarnya kenyataan Wardina Safiyyah, pelakon dan personaliti TV3 meluahkah kebimbangannya pada moral artis Malaysia yang semakin menampakkan kerendahan moral mereka secara terangan-terangan di khalayak. Menurutnya ia dapat dilihat sama ada menerusi percakapan, pakaian, perbuatan dan tingkah laku.. sehingga dia tidak rela sama sekali anak-anak beliau menjadikan artis sebagai idola..

''Terus terang, saya tidak rela untuk membenarkan anak saya menjadi salah seorang peminat mereka. Malu sungguh dengan 'perangai' sebegitu. Ia bukan nilai murni yang sepatutnya diwarisi kepada mereka,'' kata ibu kepada tiga anak ini berterus terang.

Bukan setakat Wardina, mana-mana ibubapa pun yang mempunyai misi membentuk generasi Rabbani tidak sekali-sekali relakan anak-anak menjadikan artis sebagai idola. 

Untuk membaca lebih lanjut anda boleh klik di sini.

Saya bukanlah peminat Wardina. Dan Wardina bukanlah orang pertama yang mengeluarkan kenyataan dan peringatan sebegini. Sudah banyak peringatan tentang hal yang satu ini kita tatap dan kita baca di mana-mana pun. 

Setakat semalam dalam dada-dada akhbar, masih ada lagi suara-suara menghentam beliau  kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian. Saya pun pelik mentaliti sesetengah masyarakat kita ni. Susah sangatkah nak faham apa yang diperkatakan itu.? 

Terbaru : Benjy anak Azean Irdawaty yang dikaitkan dgn pengedaran dadah 

Satu demi satu  kebobrokan dunia artis dipertontonkan pada kita di mana-mana sahaja. Bersepah! Samada di media cetak, media elektronik atau di gerbang maya. Tapi dek  budaya mendewa-dewakan artis, mata mereka menjadi buta, telinga mereka menjadi pekak, akal mereka menjadi tertutup dan hati mereka menjadi buta. Buta, pekak, tertutup untuk menilai kebenaran. Membezakan mata yang baik dan yang buruk.

Firman Allah :

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Peringatan buat diri :

Allah menciptakan dunia dipenuhi nikmat dan keseronokan sebagai lantai ujian menguji hamba-hambaNya yang beriman atau sebaliknya. Rugilah orang-orang yang memilih dunia semata, mengenepi akhirat yang kekal abadi.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir." (Surah Al-An'am, ayat 32)

Kembalilah pada Islam yang suci. Teladanilah Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, insan mulia pilihan Allah sebagai contoh teladan dalam melayari kehidupan..

Firman Allah : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan ( kedatangan) hari kiamat dan ia banyak mengingati Allah." Al Ahzab (33): 21
 

Saturday, March 13, 2010

Terima Kasih : Lafaz Yang Sukar Diucapkan!

11 comments
Salam mesra buat semua yang sudi membaca coretanku..

Cuti pertengahan penggal persekolahan sudah bermula. Nampaknya hujan membuka tirai cuti kami kali ini. Sudah 3 hari nikmat Allah ini mencurah-curah membasahi bumi yang seketika kontang sebelum ini. Syukur! Nyaman sekali rasa tenang yang bertamu di hati pabila hujan turun. Bunyinya yang mengasyikkan dan bau hujan yang sudah dirindui sekian lama. Syukur atas nikmatMu ya Allah..

Belum merancang ke mana-mana. Selain terlibat dengan kelas tambahan, ada beberapa tugasan yang perlu saya siapkan. Suami pula bergelumang dengan skrip jawapan pelajar yang menimbun tu. Nampaknya cuti kali ni, turut dimeriahkan dengan kerja...kerja..dan kerja.. Anak-anak pula menuntut janji pergi ke Zoo Kemaman. Mungkin itulah destinasi kali ini. Sebabnya..dah penat mendengar pujuk rayu dan ungkitan mulut-mulut comel ini..

Khamis yang lepas, keputusan SPM meninggalkan sejuta kenangan pahit manis dalam kehidupan pelajar-pelajar dan guru-guru yang terlibat dengan peperiksaan ini pada tahun 2009. Ada suka, ada duka, ada tawa, ada sendu, ada bangga, ada kecewa dan macam-macam rasa yang tercalit di kanvas hati masing-masing. 

Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah buat pelajar-pelajar SPM 2009 di sekolahku yang mendapat keputusan yang cemerlang khususnya buat kebanggaan sekolah kami - Nik Nur Eva yang mendapat 10A 1B. Jua, buat bekas-bekas pelajarku di SMKAS , Segamat dan teman-teman guru kerana mendapat keputusan SPM yang membanggakan..

Sebagai seorang guru, pengalaman menunggu keputusan peperiksaan sangat mendebarkan. Macam-macam persoalan bermain di sudut rasa. Tertunaikah tanggungjawab mendidik dan mengajar mereka? Berbaloikah penat lelah dalam usaha memastikan pelajar mendapat kejayaan yang diimpikan.?


Sedarkah pelajar, apabila mereka berjaya dan mendapat kejayaan yang cemerlang, guru turut menangis kegembiraan, walaupun mungkin tidak dizahirkan.. Penat lelah dan usaha keras akhirnya membuahkan hasil. Dicanang sana sini kejayaan anak murid tercinta. Puas! Satu perasaan yang sangat sukar untuk diluahkan..

Guru tidak minta dipuji. Tidak juga minta hadiah pelbagai. Cukup satu ungkapan yang sangat membahagiakan. Terima Kasih Cikgu! Realitinya, ucapan keramat ini bukan lagi menjadi keutamaan apabila menerima keputusan dan menempa kejayaan kecuali pada segelintir pelajar yang betul-betul memahami adabnya sebagai seorang pelajar.

Buat yang bergelar pelajar, nyatakan penghargaan kalian..cukup dengan ucapan terima kasih buat guru anda, kerana ia sudah cukup bermakna..

Thursday, March 11, 2010

Kenangan Bersama Allahyarham Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi di Kaherah

18 comments
Salam mesra buat semua..


Berita yang diterima petang tadi agak mengejutkan. Namun kembalinya seorang hamba kepada Penciptanya bukan terletak di bawah perancangan insan kerdil seperti kita kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati jua.

Sheikhul al Azhar, al Imam Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi meninggal dunia pada pagi Rabu 10 Mac di Arab Saudi akibat serangan jantung yang begitu kritikal, di waktu usianya menjangkau 82 tahun.

Serangan mengejut telah menimpa Sheikhul Azhar sepanjang keberadaan beliau di Lapangan Terbang al Malik Khaled Antarabangsa, Riyadh untuk melakukan perjalanan pulang ke Kaherah. Ketika Allahyarham berangkat segera menuju ke hospital beliau telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham di sana sedang melakukan lawatan rasmi menemui wakil Kerajaan Saudi untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Raja Faisal kepada beliau berikutan khidmatnya kepada Islam di mana Allahyarham termasuk salah seorang penerima anugerah tersebut pada tahun ini.

Allahyarham yang juga merupakan Sheikhul Azhar, lahir pada 28 Oktober 1928 di sebuah desa Salim as Syarqiyyah berpusat di daerah Tama, Soohaj. Beliau telah belajar dan menghafaz al Quran di kota Iskandariah.

Allahyarham menerima gelaran doktor dalam ilmu hadith dan tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat kepujian (mumtaz), kemudian beliau bekerja sebagai tenaga pengajar di kuliah Fakulti Usuluddin, dan seterusnya ditugaskan mengajar di negara Republik Arab Libya selama 4 tahun. Selepas itu, beliau bekerja sebagai dekan bagi Pengajian Pasca-sarjana Universiti Islam di Madinah.

Kemudian Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi dipilih menjadi Mufti Kerajaan Mesir pada tanggal 28 Oktober 1986, dan menduduki menduduki jawatan tersebut sehinggabeliau dilantik menjadi Sheikhul al Azhar pada tahun 1996.

Beliau merupakan salah seorang ilmuan al Azhar yang tersohor yang begitu sarat dengan pengalaman ilmu pengetahuannya, terutamanya dalam bidang tafsir.

- Sumber : www.pmram.org

Saya bukanlah sesiapa, namun saya diberi peluang oleh Allah bertemu mata dan beramah mesra bersama Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi pada tahun 2000. Catatan kenangan yang tidak mungkin saya lupakan walaupun pertemuan hanya seketika cuma. Gambar kenangan bersama Allahyarham masih dalam simpanan saya. Tapi sayang tak boleh publish kat sini kerana dalam berada dalam simpanan di rumah saya di Kuala Terengganu.

Semuanya bermula apabila Datuk Dr Haji Harun Taib, Exco Kanan Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Terengganu dan rombongan kerajaan negeri ketika itu ke pejabat Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi  di Kaherah, Mesir kerana urusan-urusan yang berkaitan pendidikan. Oleh kerana rombongan tersebut kesemuanya lelaki kecuali isteri Datuk Harun Taib, Datin Fatimah Ibrahim ( Ustazah Fatimah ). Saya dan seorang sahabat selaku Exco Hewi KPT ketika itu diminta turut serta untuk menemani Ustazah Fatimah. 

Masa urusan perbincangan kami bertiga ( termasuk Uzh Fatimah ) tidak turut serta tetapi menunggu di dalam bilik tetamu yang indah dan diberi layanan yang baik sementara menunggu. Agak lama menunggu, seusai pertemuan tersebut seorang pembantu datang menjemput kami kerana Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi mahu berjumpa Uzh Fatimah yang juga merupakan bekas mahasiswi Al Azhar.  Saya dan sahabat saya tu menumpang tuah jer.

Masih terbayang mesra senyum dan ramah budi Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi menyambut kami dan bertanya khabar. Sempat dihadiahkan kami Tafsir Al Quran karangan beliau yang masih dalam simpananku.

Itulah secebis kenangan bersama Allahyarham Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi yang sudah kembali bertemu Pencipta Yang Maha Esa. Moga amanlah bersemadi di kalangan para solihin. Pemergian beliau satu kehilangan buat umat Islam seantero dunia. Al Fatihah.
 

Tuesday, March 09, 2010

Bila Panas Badan

20 comments


Salam ukhuwwah buat semua..

Detik ini, kita diuji dengan musim panas. Baru panas di dunia yang jarak sang mentari sangatlah jauh dari kepala. Berbeza di Padang Mahsyar, sang mentari hanya sejengkal di atas kepala..Bayangkan!

Cuaca yang sangat panas sekarang memungkinkan segala-galanya. Kepanasan terutama apabila berada di bawah sinaran matahari menyebabkan badan keletihan, sakit kepala dan sebagainya. Saya turut merasa penangan cuaca panas sekarang ni. Keletihan, tidak selesa dan kadang-kadang tidur malam pun bisa terganggu.

Petang tadi, usai pulang dari sekolah. Saya lihat Afiq mengesat-ngesat hidungnya dengan tangan. Lain benar lagaknya. Saya menghampirinya dan lihat darah menetes dari hidung Afiq. Panik juga dibuatnya. Saya bersihkan hidungnya dengan tuala basah dan picit  hidungnya dengan lembut supaya darah yang bersisa keluar. Kemudian, saya minta dia duduk bersandar di kerusi dan menegahnya melakukan aktiviti buat seketika. Alhamdulillah. Darah sudah berhenti. Tapi, betul ke teknik saya ni?

Saya agak anda juga pernah melalui situasi sedemikian. Kata orang, hidung berdarah disebabkan panas dalam badan. Betul ke?  Di sini saya nak kongsi info  tentang hidung berdarah untuk panduan bersama..

Hidung berdarah

Hidung berdarah atau (epistaksis) biasa berlaku apabila salur darah kecil kapilari di rongga hidung pecah.

Apakah punca hidung berdarah?
  • Kecederaan di hidung
  • Udara yang terlampau sejuk atau kering
  • Menghembus hidung dengan kuat
  • Terlalu kerap bersin
  • Ketumbuhan dalam rongga hidung
  • Suhu dalam badan terlampau tinggi
Apakah yang perlu dilakukan?
Jangan panik sekiranya hidung berdarah.

Rawatan segera:
  • Duduk dan tunduk ke hadapan
  • Bernafas melalui mulut dan picit hidung di bahagian yang keras selama 10 minit
  • Terus picit hidung dan letakkan pek ais di bahagian hidung antara mata
  • Selepas 10 minit, berhenti picit hidung dan periksa sama ada darah telah berhenti
  • Elak dari bersin, menghembus atau mengorek hidung
  • Pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor

Giveaway From New Zealand

2 comments

Salam mesra buat semua..

Saya tidak pernah menyertai mana-mana contest atau giveaway sejak bergelumang dengan dunia maya ni. Jadi giveaway Nida adalah yang pertama. Walaupun mengenali  dan menjalinkan persahabatan dengan Nida hanya di alam maya, kesetiaannya dan keserasian bersama  saya  ( pernah dapat Anugerah Komentator Dis 09 ) menyebabkan saya terbuka hati menyertai giveaway sempena hari kelahirannya ini.. For you Nida..Happy Birthday! Sanah Helwah ya habibti! Kullu sanah waanti bikhair..

Syaratnya:
  1. Perlulah@wajib menjadi followers blog ini.- Yes!
  2. Letakkan blog ini dalam blog list anda.- Yes!
  3. Kalau rajin buatlah entry dalam blog anda tentang "giveaway" ini, KALAU TAK BUAT PUN TIDAK MENGAPA.- Yes!
  4. Perlulah@wajib meletakkan banner di atas di sidebar blog anda (di'link'kan ke blog ini).-Yes!
  5. Tinggalkan komen dalam entry ini yang menyatakan anda berminat untuk menyertainya.-Yes!
  6. Tiga cabutan bertuah akan dilakukan.
  7. Tarikh tutup 15 Mac 2010. - masih berbaki 6 hari..
Mereka yang bertuah akan menerima ketiga-tiga souvenir di bawah:


p/s : Terfikir jugak nak buat giveaway utk mengelakkan silaturrahim di kalangan teman2 blogger, tapi tentang apa yer?

Doa Buat Ammar

9 comments

Salam mesra buat yang setia bersama..

Hari ini, esok dan lusa, Ammar akan menduduki peperiksaan OTI 1. Peperiksaan pertama di Tahun Satu. Afiq masih belum terlibat dengan peperiksaan kerana baru di pra sekolah. 

Untuk Ammar, saya tidak mampu mengagak pencapaiannya. Hanya melalui latihan-latihan dan kerja rumah yang diberikan guru, tidak memadai untuk melihat perkembangan keseluruhan pelajarannya. Malam tadi, sempatlah meluangkan masa bersama Ammar mengulangkaji sekadar perlu. Si anak hanya relax sahaja. Hanya ummi yang terlebih berdebar. Rupanya inilah naluri dan perasaan seorang ibu. Menyimpan harapan melihat kejayaan seorang anak.

Ya Allah, aku mohon bantuan-Mu
permudahkanlah urusannya
rahmatilah perjalanannya
tenangkanlah hatinya
berkatilah urusannya
pada-Mu aku bersujud semoga dia diberi ketenangan
dan kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang
Ya Allah, aku mohon pada-Mu
terangkanlah hatinya untuk menerima ilmu-Mu
lapangkanlah dadanya untuk mendapat ilham dari-Mu
limpahkanlah kurnia-Mu dalam pekerjaan hariannya
amin..
 
Selamat Berjaya Sayang!

Monday, March 08, 2010

Yang Kelat Itulah Ubat

12 comments
Salam buat semua..

Suka minum teh? Saya pun suka. Memulakan pagi dengan secawan teh panas memang menyegarkan, samaada teh dicampur susu atau teh "O" cukup memadai. Nikmat sungguh kurniaan Ilahi. Kalau tak silap saya, teh ada macam-macam jenis. Ada teh putih, teh hitam dan teh hijau.


Pernah minum teh hijau? Rasanya agak kelat. Lagi elok diminum tanpa gula. Banyak kajian telah dilakukan ke atas green tea atau teh hijau dan di dapati banyak kelebihan untuk kesihatan yang boleh di manfaatkan. Info ini saya ambik dari Kosmo! Online.

Kebaikan teh hijau melampaui sempadan. Dari China hingga ke Barat. Kini, ia bukan lagi sejenis minuman yang diambil sewaktu makan petang atau malam. Tetapi, ia diminum pada bila-bila masa. Jika selama ini anda memakan pelbagai jenis ubat dan suplemen, masukkan satu lagi tip penting iaitu teh hijau yang dikongsi oleh RealAge.
 
Teh hijau harus disertakan dalam diet pemakanan seharian. Ia memiliki nutrien yang terbaik untuk kesihatan, sama ada golongan muda atau tua, lelaki atau perempuan. Jika anda masih lagi di zaman keremajaan, mulakan hari ini juga.

Kurangkan risiko kanser
Teh hijau mempunyai komponen zat yang mampu melawan sel kanser di badan. Ia mengelakkan pertumbuhan sel ini dan menghasilkan saluran darah baru bagi menggalakkan pertumbuhan sel yang baik. Kajian yang dilakukan menunjukkan teh hijau membantu mengurangkan kanser payu dara, perut, esofagus, kolon dan kanser prostat 

Lembutkan kulit
Jika kulit anda terluka, melecet atau digigit serangga, teh hijau boleh membantu.
Rendamkan sehelai kapas bersih ke dalam teh hijau dan tekankan pada bahagian kulit berkenaan. Teh hijau secara semula jadi mempunyai bahan antiseptik yang menghilangkan rasa gatal dan lebam.
Anda juga boleh mengawal bintik-bintik keradangan, kulit yang melecur, bekas tanda cacar dan mata yang bengkak disebabkan oleh tidur yang tidak cukup. 

Lindungi kulit
Di makmal kajian, teh hijau disapukan terus ke atas kulit kerana ia membantu untuk menghilangkan kanser kulit yang bertindak akibat daripada pendedahan di bawah sinaran matahari. Sebab itu juga, anda melihat lebih banyak khasiat teh hijau digunakan dalam produk krim selar kulit dan pelembap kulit.

Penstabil tekanan darah
Bacaan tekanan darah tinggi ialah 120/80 tetapi bagi mengekalkannya pada tahap tersebut bukannya mudah.
Apatah lagi dengan tekanan kerja dan tanggungjawab yang bertambah hampir setiap hari.
Amalan minum teh hijau setiap hari, mampu mengurangkan kebarangkalian menghadapi masalah hipertensi sebanyak 50 peratus.
Kandungan teh hijau membantu mengekalkan fungsi saluran darah yang mengembang dan mengecut pada kadar yang betul.

Pelindung memori
Teh hijau secara tidak langsung menolong mengekalkan kecergasan memori atau fungsi otak.
Seorang dewasa yang meminum dua gelas teh hijau akan merasai peningkatan masalah kognitif daripada mereka yang tidak menggemarinya.
Kenapa? Ini kerana dos antioksidan yang terkandung dalam minuman ini dapat melawan radikal bebas yang merosakkan saraf-saraf dalam otak seperti pesakit Alzheimer dan Parkinson.

Awet muda
Lebih muda dan sihat arteri anda, maka lebih muda dan sihat kita rasa dari luar. Helahnya ialah kita harus melawan plak yang terbina dalam saluran darah lalu meningkatkan risiko penyakit jantung, strok serta menambah usia biologikal. Ia juga mengurangkan tenaga di dalam badan.

Menurun berat badan
Sudah tentu perkara ini menarik perhatian ramai kerana teh hijau mempercepatkan proses pembakaran kalori dengan menghalang penyerapan lemak arteri dan kolesterol. 

Friday, March 05, 2010

Letih Adalah Nikmat Bekerja?

11 comments

Salam mahabbah buat semua..

Gambar budak cute yang keletihan kat atas menggambarkan keadaan diri saya dua hari lepas. Cukup lelah dan penat. Namun agak lega jiwa dan minda selepas segala-galanya berakhir.  Syukur akhirnya, program Sambutan Maulidur Rasul 1431H peringkat sekolahku pada 3 Mac yang lepas berjalan dengan baik. 

Selaku KP merangkap penyelaras program, program yang berlangsung separuh hari itu sebenarnya memakan masa lebih kurang 2 minggu untuk segala urusan - bermula membina kertas kerja, mesyuarat & taklimat, surat - menyurat, jemputan dan sebagainya. Menggunakan tenaga dan mencuri masaku yang bukan sedikit. 2-3 hari sebelum program, saya berkampung di sekolah sehingga petang. Makan dan minum pun setakat sempat. Tidur malam pun tak lena mengenangkan perjalanan program.

Kadang-kadang saya cukup tidak suka sifat "perfectionist" ketika bekerja yang ada dalam diri saya sehingga kerja sakan sampai makan diri. Saya bukan tidak percayakan orang dapat melakukan dengan baik, cuma rasa tanggungjawab untuk menghasilkan yang terbaik menyebabkab saya turut bersama membantu rakan-rakan guru dengan tugasan masing-masing termasuk membungkus hadiah mahupun mengurus sourvenier untuk guru dan jemputan.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik walau tidakku nafikan ada beberapa kelemahan dan kesilapan yang berlaku. Namun dapat di"cover" dengan baik bersama. Harapan saya, agar program tersebut dapat mencapai objektif dan memugar ukhuwwah di antara warga SMKS yang berjumlah lebih 1,000 orang ini.

Juara perarakan tahun ini - Rumah Satria ( Merah )

Pulang ke rumah lewat petang 3 Mac, saya umpama mayat hidup. Baru terasa keletihan setelah mengecapi nikmat kepuasan bekerja. Terbaring kelesuan dan kebisuan. Suamiku  sempat mengusik. "Amboi ummi..penat sangat ke?" Mana tak penatnya. Malas nak memanjangkan situasi. Dengan nada bergurau." Abang, kadang-kadang diam itu lebih baik". Suami saya ketawa. "Takpe, malam ini ummi "cuti" masak dan tak payah buatkan air. Rehat la.." Wah! saya cukup suka. Kadang-kadang bila letih macam ni, penawarnya adalah kasih sayang dan sufat prihatin dari pasangan.

Info pasal keletihan ni yang saya ambil dari pelbagai sumber, Baca untuk panduan..

KELETIHAN perkara biasa bagi semua orang. Selalunya kita tidak tahu punca keletihan itu dan untuk menghilangkan keletihan, berehat adalah penawar terbaik. Bagi sesetengah orang keletihan boleh menjadi masalah serius. Ia mungkin akan berlaku dalam jangka masa panjang. Malah keletihan akan menjadi bertambah letih jika tidak berusaha menghilangkannya. 
Dalam kes begini, keletihan boleh merencatkan kenikmatan hidup. Memang keletihan adalah perkara biasa. Secara perbandingan, seorang dari lima orang akan rasa letih yang luar biasa. Manakala seorang dalam 10 orang akan berasa letih berpanjangan.

Wanita akan lebih berasa letih dari lelaki. Tetapi keletihan menjadi masalah untuk semua peringkat usia. Selalunya keletihan lebih ketara di kalangan mereka yang terlalu muda atau tua.Keletihan terjadi bukan saja disebabkan masalah fizikal tetapi psikologi atau kedua-duanya sekali dalam satu masa.

Kadangkala keletihan juga disebabkan anda tidak cergas. Dengan hanya berbaring di katil selama seminggu, 10 peratus kekuatan otot akan hilang. Semakin anda tidak cergas, lebih letih anda jadinya.


Apa yang kita minum, kopi atau teh juga memberi kesan pada keupayaan untuk tidur. Enam cawan kopi sehari atau 10 cawan teh cukup membuatkan seseorang itu sukar tidur dan letih.
Jika seseorang itu minum arak pada waktu petang, seseorang itu akan berjaga hingga ke tengah malam. Minum arak dengan jumlah yang banyak, akan membuatkan seseorang itu tertekan dan mengganggu tidurnya.

Bagaimana menyembuhkan keletihan?

  1. Perbaiki kualiti tidur - tidur di satu tempat setiap hari walau apapun yang anda rasakan. Pastikan kamar itu selesa. 
  2. Jangan makan atau minum dengan banyak pada sebelah malam. Cuba makan malam sebelum tengah malam.
  3. Kurangkan masa tidur tengah hari (napping). Jika anda tidak boleh tidur, jangan membohongi diri sendiri. Bangun dari katil, keluar dari bilik dan lakukan sesuatu yang menenangkan. Apabila benar-benar rasa mengantuk, kembali ke bilik.
  4. Tenangkan diri sebelum tidur dengan membaca atau mendengar bacaan Al Quran misalnya. Atau mandi dengan air panas sebelum tidur.
  5. Bersenam - Ramai orang yang terlalu letih tidak mempunyai masa untuk bersenam. Bersenam dalam jangka masa panjang akan mengurangkan rasa penat dan lebih bertenaga. Mulakan dengan senaman ringan. Lakukan dengan kerap dan tambah masa untuk bersenam perlahan-lahan. Lakukan setiap hari jika boleh. Lakukan senaman mudah dengan berjalan dan berenang jika anda tidak punya banyak masa.
  6. Kurangkan pengambilan kafein - elakkan minum minuman berkafein selama tiga minggu. Bukan saja kopi dan teh, ada juga minuman lain mengandungi kafein seperti minuman bergas selain sesetengah ubat penahan sakit dan pil meningkatkan tenaga. Ada sesetengah ramuan herba juga mengandungi kafein.Jika anda memang penggemar minuman berkafein, anda akan berasa sakit kepala apabila tidak minum kopi. Jika ia berlaku, jangan berhenti mengambil minuman berkafein secara mendadak sebaliknya lakukan sedikit demi sedikit.
  7. Selesaikan masalah berat badan anda - jika anda terlebih berat badan, anda akan terasa lebih selesa dengan mengurangkan sedikit berat. Tapi jangan menyekat pengambilan makanan secara mendadak pula. Selain diet, lakukan juga senaman setiap hari. Jika anda terlalu kurus, rasa letih akan berpanjangan selagi anda tidak mendapatkan berat badan yang ideal.
  8. Rancang kerja anda - pastikan anda tidak melalui hari yang terlalu memenatkan dengan menyusun semua kerja secara teratur. Pastikan juga anda tidak melakukan kerja pada saat-saat akhir .
  9. Jangan bergantung kepada makanan pemberi tenaga atau bergula. Sebaliknya makanlah karbohidrat kompleks (pasta, bijirin dan kekacang) dan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.
    Lakukan ujian darah untuk mengesan masalah tiroid atau anaemia jika lesu berlanjutan.

Monday, March 01, 2010

Anugerah Komentator Februari

10 comments
Salam mesra buat semua..

 

Entry khas menghargai teman-temanku yang sentiasa setia membaca dan bersama setiap kali saya bersiaran dengan entry-entry baru. Juga tidak dilupakan teman-teman blogger, followers, silent readers, dan  sesiapa sahaja yang sudi singgah ke laman saya ini. Syukran jazilan! Gracias!Shukriya!Arigato! Kehadiran anda amat bermakna sekali!

Tidak terhingga perhargaan dariku buat yang sudi mencatat komen pada setiap tulisan saya. Banyak yang dapat dikongsi bersama. Kadang-kadang saya malu sendiri kerana tidak mampu memberi sebanyak komen yang saya terima dari sahabat-sahabat semua. Namun, kalau punya waktu luang pasti saya jengah dan mencoret sesuatu di blog anda semua.

Anugerah komentator bulan Februari di sandang oleh Nadiah Sidek adikku yang berada jauh di Lincoln, Nebraska mengalahkan dua komentator yang tidak kurang hebatnya Izza ( Lincoln, Nebraska ) dan Nida ( North Shore, NZ). Semua jauh-jauh nun di seberang laut..

Ni dia carta Komentator bulan Februari : Terima banyak2 buat semua..klik pada nama-nama di bawah ni untuk ziarahi blog mereka..
  1. Nadiah Sidek (18)
  2. Nida (15)
  3. NURUL IZZA (15)
  4. mamalieyna (7)
  5. teenage party games (6)
  6. myself (6)
  7. Ibuhani (6)
  8. Chik Na (5)
  9. Hamizah (5)
  10. ibuaiman (4)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...