Thursday, December 19, 2013

Tidurlah Sayang..

0 comments

Aqilah tertidur setelah kepenatan bermain. Saya kadang-kadang asyik menatap wajahnya yang sedang lena. Tenang dan bahagia memenuhi ruang hati. Alhamdulillah! 
Saya yakin setiap ibu pun akan berperasaan begitu.
Sungguh tenang menatap wajah anak-anak kecil yang masih suci dari dosa ni kan ?

Lukisan Senja

0 comments

 

Sungguh indah lakaran alam ciptaan Allah. 
Sempat saya rakamkan dari jendela dapur petang tadi. 
Subhanallah.
Kita jua hanyalah tetamu senja..
Akan pulang jua bila tiba masanya..


Friday, December 06, 2013

Dari Lensa Hati

2 comments

Selain menulis. saya agak meminati fotografi. Terdetik kekaguman menatap penceritaan gambar-gambar yang dirakamkan terutamanya dari mereka yang pakar. Gambar yang terakam penuh cerita dan simbolik yang kadang-kadang menyentuh naluri dan jiwa yang menatap. Apatah lagi jika yang menjadi sasaran lensa adalah keindahan alam ciptaan Allah SWT yang luas ini.

Hampir setahun saya memiliki DSLR. Keinginan belajar merakam gambar secara manual sangat meluap-luap. Namun kekangan masa membatasi segala-galanya. Sesekali saya mencuri waktu belajar dari blog-blog dan tutorial di Youtube. Sukar juga sebenarnya belajar tanpa berguru, namun sedikit sebanyak dapatlah saya menggunakan mode manual walaupun masih merangkak.

Bila ada masa, banyak subjek yang menjadi sasaran saya. Selain anak-anak, objek, tumbuhan di sekelilingku..si putih berbulu bersih ini juga adalah sasaran saya.


Saya mak budak baru belajar, kalau tak cantik, tolong ajarkan...



Monday, November 04, 2013

Damai

2 comments

Inilah panorama dari laman belakang rumah saya.
Sudut pandang yang menyejukkan mata di waktu santai atau seusai melakukan tugas di dapur. 
Paling tidak dilupakan bila membuka pintu atau tingkap dapur di waktu awal pagi yang ditemani gerimis. Subhanallah..
Angin segar yang bertiup. 
Hamparan hijau yang mendamaikan. 
Suara alam yang menenangkan jiwa.
Alhamdulillah. 
Nikmat Allah mana lagi yang mampu kita dustakan.
Cuma, kadang kala lupa untuk kita hitung ataupun kita syukuri.



Monday, October 21, 2013

Nota Hati Ummi : Afiq 9 Tahun

0 comments
 
Catatan Tertangguh : 20 Oktober 2013
 
Seawal pagi semasa hendak ke sekolah, Afiq baru bangun dari tidur. Saya menghampirinya dan mendakapnya sambil mengucapkan Selamat Hari Lahir. Dia yang masih mamai senyum sedikit. Saya agak dia lupa tarikh itu walaupun dia ternanti-nanti sebelumnya.
 
Selamat ulangtahun yang ke 9 anakku sayang. Sudah 9 tahun usiamu, banyak yang berubah. Bersama kelebihan dan keistimewaanmu tetap hadir bersama kekurangan. Kedegilan dan keras kepala yang kadang-kadang merisaukan hati ummi, ummi terima sebagai kelemahan diri sendiri dalam membesarkanmu.
 
Semoga bertambahnya usia, maka bertambahlah keimanan, ketaqwaan dan kematanganmu dalam menempuh kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran. Jadilah anak yang soleh, adik yang baik, abang yang penyayang dan yang penting hamba Allah yang beriman dan beramal. Semoga keredhaan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu.
 
"Ya Allah Jadikanlah zuriat-zuriat kami zuriat yang soleh, lembutkanlah hati-hati mereka ya Allah, masukkanlah nur dan hidayah-Mu ke dalam hati-hati mereka. Jadikanlah mereka zuriat yang senang menerima nasihat-nasihat yang baik."
 

Monday, October 14, 2013

Cream Cracker Lapis Keju

2 comments

Salam Aidiladha buat semua..

Di celah kesibukan, masih sempat untuk saya mengusahakan resepi ini walaupun bahan-bahannya sudah dibeli sekian lama. Teruja setelah merasai keenakannya dari air tangan seorang rakan semasa potluck di bilik guru, saya mengintai resepinya di internet. Ramai yang telah berkongsi resepi di blog mereka dan  ada yang lengkap step by step lagi. Cuma namanya agak pelbagai dan berbelit-belit lidah nak menyebut. Ada yang merujuknya sebagai Cream Cracker Layered Cake with Cream Cheese dan Cream Cracker Layered Cheese Cake. Saya pulak menukar sebagai Cream Cracker Lapis Keju. Apa-apa pun nama yang ingin anda berikan..yang penting mudah dan sedap. Selamat mencuba..

Resepi ini saya ambil dari blog Khairul Abdullah. Terima kasih banyak-banyak. Sedikit olahan, saya menggunakan jem strawberi mengantikan sos karamel.

Bahan-Bahan
250gm Cream Cheese
75gm Butter
Setengah cawan gula @ susu pekat
1 pek Cream Cracker (anggaran dalam 40 keping)
2 cawan susu segar– untuk rendaman biskut
Setengah cawan Nestum
Sedikit serbuk koko atau Milo
Jem strawberi

Cara Membuatnya
Masukkan cream cheese, butter dan gula@susu pekat di dalam bekas dan pukul sehingga sebati.
Rendam biskut (jangan sampai lembik) dan susun di dalam loyang/bekas.
Sapukan sebatian cream cheese tadi sehingga rata. Jangan terlalu tebal.
Kemudian sapukan jem strawberi…dilayangkan agar nipis untuk melekatkan serbuk nestum dan milo.
Kemudian taburkan serbuk nestum atau milo atau kedua-duanya.
Ulang langkah tersebut sehingga selesai.
Masukkan ke dalam peti sejuk.
Hidang ketika sejuk.



Selamat Menyambut Idil Adha 1434H
Maaf Zahir Batin



Wednesday, September 11, 2013

Puyuh Chop & Coleslaw

2 comments

Puyuh.
Pertama kali masak puyuh hasil pemberian ibu saudara.
Selalunya puyuh dimasak goreng kunyit atau goreng berempah. 
Suami mencadangkan puyuh digoreng celup tepung (segera). Saya melengkapi rasa dengan menyediakan coleslaw.
Inilah hasilnya. Sajian ringkas yang menambat selera.
Selamat mencuba.

Monday, September 09, 2013

Destinasi Abadi

1 comments


Pagi semalam, gerimis pagi menemani saya ke sekolah. Hari Ahad memang membuatkan saya "bercinta" untuk ke sekolah. Apatah lagi perjalanan jauh ke sekolah yang memakan masa 1 jam lebih menuntut kesabaran yang tinggi. Namun,  demi amanah yang terpundak di bahu, saya gagahi jiwa dan raga sambil mulut berkali-kali berdoa..

Jam 7.00 pagi, semasa menghampiri selekoh berhampiran Sutra Beach Resort Merang, Setiu kereta-kereta di hadapan mula bergerak perlahan. Kelihatan orang ramai mula bergegas datang. Satu kemalangan berlaku rupanya. Berdebar saya bila terpadang treler yang menghalangi jalan dan sebuah kereta Honda seolah-olah melekat di hadapannya. Serpihan kenderaan termasuk sepasang kasut polis berada di atas jalan. Saya cuba untuk tidak memandang ke arah kenderaan yang terlibat, hanya fokus memandu ke hadapan.

Menatap berita atas talian di Harian Metro pagi ini, saya termenung seketika.

Seorang lagi anggota berpangkat Koperal Sokongan Mohd Suhairi Ahmad, 33, pula meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Honda City dipandunya bertembung sebuah treler dalam kemalangan di KM 37, Jalan Kuala Terengganu-Jalan Kampung Raja dekat selekoh Sutra Beach Resort Merang, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian 6.45 pagi itu, Mohd Suhairi dalam perjalanan dari arah Kampung Raja, Besut ke Kuala Terengganu sebelum kereta dipandunya terbabas ketika melalui selekoh tajam lalu bertembung sebuah treler dari arah bertentangan.

Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu Mohd Suhairi diseret sejauh kira-kira 40 meter dari tempat kejadian.

Mangsa yang bertugas di Cawangan Kem Komander dan tinggal di Flat Polis Padang Hiliran, Kuala Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, isteri Mohd Suhairi bekerja di sebuah syarikat swasta di Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai tiga anak.

Kejadian ini membuka mata dan hati saya untuk lebih berhati-hati di jalan raya. Khabarnya arwah berulang-alik ke Kota Bharu kerana bertugas di Kuala Terengganu. Saya yakin ramai lagi yang situasi mereka sama dengan saya, mencari rezeki jauh dari daerah sendiri. Berusahalah untuk lebih berhemah di jalan raya. Banyakkan berehat dan redha dengan situasi yang dihadapi. Akhirnya, bertawakkal agar Allah melindungi kita dari segala musibah dan kecelakaan. Semoga kita masih berpeluang menatap wajah-wajah tersayang di muka pintu. Insya Allah.

Selamat menuju ke destinasi masing-masing..
Jangan lupa destinasi abadi yang entah bila akan tiba.
Bersedialah.

Monday, September 02, 2013

Hijau

4 comments

Kami memilih untuk mengecat sendiri rumah baru kami tanpa mengupah mana-mana tukang cat profesional. Sehingga saat ini, proses mengecat berlangsung di saat kelapangan sahaja terutamanya di hujung minggu. Keyakinan dan keterujaan yang tinggi adalah motivasi kami walaupun kemahiran yang ada tidaklah sepakar mana. 

Jika ada yang bertanya warna tema rumah kami..pastilah hijau jawapannya. Itulah warna kegemaran kami berdua sejak dulu lagi. Berkongsi warna kegemaran yang sama, proses memilih warna menjadi lebih mudah. Namun begitu, bukanlah 100% hijau semata. Kemahuan dan pilihan anak-anak juga kami turutkan untuk bilik dan ruang-ruang tertentu. Afiq memilih biru, Ammar gemarkan warna kelabu manakala untuk Aqilah kami memilih merah jambu.

Monday, August 26, 2013

Masa & Kehidupan

0 comments

Salam ukhuwwah,

Masa terus berjalan menambah angka usia kita. Semestinya, banyak yang berubah. Hakikatnya, kita sedang menempuh fasa-fasa kehidupan yang berbeza. Justeru, hidup perlu diteruskan dengan yakin dan berani. Insya Allah nusrah (pertolongan) Allah pasti mengiringi.

Ada sebab mengapa blog ini tidak terusik sekian lama walaupun keinginan menulis tidak pernah padam. Kekangan masa dan tenaga adalah penyebabnya. 

Melayan si kecil Aqilah (4 bulan) yang melalui waktu-waktu penting pembesarannya adalah keutamaanku sekarang. Tidak kurang juga memantau perkembangan abang-abangnya yang kian menginjak dewasa. Alhamdulillah. Hikmah Allah sangatlah besar..apabila jarak usia Ammar dan Afiq dengan Aqilah agak jauh, saya lebih senang menguruskan mereka malah mereka juga ringan tangan membantu menjaga adik kesayangan mereka.   


Sejak berpindah ke rumah baru, setiap hari saya akan meninggalkan mereka seawal pagi untuk ke sekolah yang jaraknya memakan masa 1 jam lebih. Saya bersyukur kerana suami memudahkan tugas saya, mengambil alih tugas mengurus anak dan rumah. Apabila pulang di waktu petang, keletihan terubat dengan senyuman dan keletah anak-anak.

Itu secebis kisah kehidupanku. Moga ada ruang untuk menulis lagi di lain waktu. Buat semua, selamat menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan walau di mana sahaja berada.

Friday, May 24, 2013

Dia Anugerah Terindah

6 comments

Salam rindu buat semua,

Kerana dia saya menyepi sekian lama. Melalui bulan-bulan mengandungkannya, adalah saat-saat manis yang tidak mungkin dilupakan. Dia memang anugerah Ilahi yang terindah. Kehadirannya adalah rahmat Allah yang tidak pernah bertepi buat insan kerdil sepertiku. Setelah hampir 9 tahun menanti, saya dianugerahi seorang puteri sehari sebelum saya menyambut ulangtahun kelahiranku yang ke 37. Terima kasih ya Allah!

Aqilah sayangku..selamat datang ke dalam hidup kami...

Sunday, January 06, 2013

Dengan Izin-Nya

2 comments

Salam mesra buat semua yang masih setia berkunjung di sini. Lama saya termangu di skrin bisu ini. Bukan sekali tapi sudah kesekian kali. Mencari-cari idea untuk dikongsi bersama. Alangkah indahnya kalau idea untuk menulis mencurah-curah seperti hujan yang membasahi bumi saat ini. Namun, segalanya milik Allah walau kejadian setitis hujan sekalipun..segalanya dalam kekuasaan Allah. Jika diberi keizinan-Nya, pasti ia akan berlaku. Apatah lagi manusia kerdil punya sisi kelemahan pelbagai macam kita, secebis kelebihan yang dikurniakan bukan milik  mutlak kita.

Saya sungguh berbesar hati ada yang masih sudi mengikuti dan menjadi follower blog ini walaupun tiada catatan terbaru sudah berbulan lamanya. Terima kasih buat yang sudi bertanya khabar. Saya masih ingin menulis dan akan terus menulis dengan izin-Nya cuma buat masa sekarang saya banyak "berehat" dari berblog. Ada sebab tersendiri yang akan saya kongsikan suatu masa nanti. Jumpa lagi, dengan izin-Nya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...