Sunday, July 31, 2011

Harapan Ramadhan

2 comments

Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna.
Agar dapat kulalui dengan sempurna.



Ramadhan Al Mubarak. Bulan paling mulia yang dinantikan umat Islam. Kini, hadirnya penuh keberkatan menjengah iman dan jiwa yang mungkin kering-kontang sekian lama. Selamat beribadah dan selamat membasuh jiwa dan rohani  dari dosa-dosa dan noda. 

Semoga hati yang ikhlas dan tulus berpuasa dan beramal akan mengecapi indahnya ibadat dan manisnya berdamping dan bercinta dengan Rabbul Jalali wal Ikram. Subhanallah.

Perbanyakkanlah amal ibadat
 Bercintalah dengan Kalamullah (Al Quran) & zikrullah
Perindahkanlah akhlak, tutur kata dan budimu
Gandakan kesabaran & kesyukuran
Hulurkan sedekah & kebajikan
Moga Ramadhan anda berhasil penuh makna!

Selamat berpuasa buat anda semua. 
Semoga kita semua berjaya menempuhi akademi Ramadhan penuh barakah ini. 

Thursday, July 28, 2011

Hidayah Ibarat Cahaya

6 comments
Beberapa kali dahi saya berkerut. Pandangan ditajamkan. Mungkin saya tersilap orang. Tidak! Memang insan itu saya kenal. Apalagi, nama di dinding FBnya jelas tertera. Jiwa guru dalam diri saya, masih kuat mengingati nama mereka biarpun mereka sudah tidak bersama lagi. Saya terkenang, saat dirinya mekar sebagai remaja berperibadi muslimah dan bertudung litup. Hati memandang rasa senang, jiwa melihat rasa tenang. 

Namun, saya bingung sendiri. Mana perginya tudung yang melitupi mahkota hiasan diri seorang muslimah? Mana hilangnya busana hijabmu yang kini berganti fesyen "neraka?" Mana hilangnya tarbiyyah dan ilmu yang dipelajari?

Saya sedih. Kecewa. Geram. Marah.


Benarlah firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang kamu kasihi tetapi hanya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Surah Al-Qasas ayat 56).

Doa saya, semoga Allah memberi dirinya petunjuk dan hidayah, meloronginya ke jalan keredhaan..Ameen.
 
 

Sunday, July 24, 2011

Inspirasi Cahaya Permata Fahrani

7 comments


Sehari dua ini kelibat Cahaya Permata Fahrani, pemain sepaktakraw Indonesia ini, mencuri tumpuan dan menjadi bualan di media dan dunia maya. Ketangkasannya sebagai tekong memang mengkagumkan. Apa yang lebih mengkagumkan, dia masih mengekalkan hijabnya.



Masih ingat pada Ruqayya al-Ghasara, pelari pecut wanita dari Bahrain?
Namanya cukup popular setelah memenangi pingat emas dalam acara Sukan Sea Doha 200 meter dan berjaya menjejakkan kaki ke medan Olimpik Beijing, China. 
Menurutnya, " Wearing Hijab has encouraged me. Its not an obstacles."
  .

Zainab Al Khatib. Pemain bolasepak wanita, pasukan kebangsaan Denmark yang memilih untuk berhijab. Menurut Zainab, ”Saya merasa selesa, boleh memenuhi kewajiban agama dan hobi saya, ” . Lanjut di sini.


Pasukan bolasepak wanita Iran ~ yang dilarang bertanding dalam Olimpik London 2012 kerana berhijab.


Atlet angkat berat, USA, Kulsoom Abdullah mempertahankan haknya 
untuk berhijab dalam bertanding. Klik sini.

Syukur, masih ada kekuatan dalam diri mereka mempertahankan kewajipan berhijab biarpun bersukan lasak. Namun bagi saya, sejauh mana mereka memperjuangkan hijab, banyak lagi sisi lain yang perlu dijaga.

Atlet muslimah tegar berhijab, namun yang peliknya, bila wanita Islam masa kini yang mampu membeli pakaian cantik berharga ribuan ringgit, perhiasan diri mencecah jutaan ringgit, namun "tertutup hati" untuk membeli tudung kepala yang boleh dibeli dengan harga tidak sampai RM10.  Tidakkah ada sekelumit gerun pada azab Allah SWT???

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu:
1. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam). 2. Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh 
perjalanan demikian dan demikian. 
(Hadis Riwayat Muslim)



Ambillah iktibar dengan perkhabaran Junjungan Besar Nabi kita saw yang menceritakan kepada Saidina Ali tentang perempuan yang diazabkan ketika malam ‘Isra’ & Mikraj’, maksudnya: “Wahai Ali! Ketika malam diisra’kan daku ke langit, aku melihat perempuan daripada kalangan umatku yang diazabkan dengan berbagai-bagai azab maka aku menangis takala melihat bersangat azab mereka itu. Aku melihat perempuan yang digantung dengan rambutnya hingga mengelegak otaknya…” Kemudian Saidatina  Fatimah menanyakan sebab diazabkan sedemikian, Nabi menerangkan, maksudnya: “Wahai anak kesayanganku! Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu disebabkan dia (di dunia dahulu), tidak menutup rambutnya daripada kaum lelaki….”

Friday, July 22, 2011

6 Wasiat Saidina Umar Al Khattab

2 comments
Salam ukhuwwah..

Meneliti, mentadabbur dan menghayati 6 wasiat Saidina Umar Al Khattab,  ringkas tapi penuh bermakna. Ingatlah! Sesuatu yang kadang-kadang kita sukai, dambai dan sayangi sebenarnya hanyalah sementara belaka.
 
Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. berkata kepada sebahagian sahabatnya; Aku berwasiat kepadamu enam perkara :

Pertama
Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

Kedua
Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

Ketiga
Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

Keempat
Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

Kelima
Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.


Keenam
Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.” 

Thursday, July 21, 2011

Durian, Segamat & Kenangan

4 comments



Musim durian tiba lagi. Siapa yang tidak gemarkan durian pasti pening-pening dengan baunya yang unik itu. Saya penggemar durian, namun tidak suka makan dalam jumlah yang banyak dalam sesuatu masa. Cukup beberapa ulas, sudah memadai.

Bila makan durian, pasti ingatan saya melayang nun jauh ke Segamat. Tempat jatuh lagikan dikenang, ini pula tempat bermain. Selama 6 tahun menghuni bandar yang terkenal dengan durian ini, saya jatuh sayang. Banyak kenangan yang dilalui di sini. Saat manis mula bergelar guru di sebuah sekolah terbaik, SMKA Segamat, sehinggalah detik -detik payah bersendirian membesarkan dua anak lelaki kecil tanpa suami di sisi, semuanya terpahat dalam kenangan sepanjang hayat.

Saya terkenang rakan-rakan yang baik budi, yang berumahtangga dan menetap di daerah itu. Jika ke sana, pasti mereka adalah destinasi wajib saya. Terasa masih kuat ukhuwwah biarpun sudah terpisah selama 4 tahun.


Teringat Kak Sarimah, pengasuh berjasa yang menjaga Ammar dan Afiq sejak mereka berusia 2 bulan hingga mereka berusia 4-5 tahun. Masih menelefon sekali sekala, biarpun dia sudah tidak begitu memahami loghat Terengganu anak-anakku yang begitu pekat sekali. Masih berbekas ingatan saat kami berpisah dulu. Kami berpelukan erat sambil menangis teresak-esak. Banyak jasa wanita ini yang belum mampu saya balas. Saat anak-anak sakit, pasti dia tempat saya mengadu. Bila berkursus luar daerah, 2-3 hari anak-anakku dijaga seperti anaknya sendiri.



Banyak sekali kenangan yang terpahat di Segamat. Pahit, manis, suka, duka ~ semuanya membentuk fasa kedewasaan dan kematangan dalam diri yang kerdil ini. Segamat pasti akan saya kunjungi lagi suatu hari nanti..

Tuesday, July 19, 2011

Ringkas Tapi Signifikan

7 comments
Salam ukhuwwah,

Semalam, tatkala melihat rakan saya begitu asyik membaca buku Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok tulisan Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim, saya teringat saat mula bertemu naskah hebat ini dahulu. Saya sendiri tidak menyangka dapat menghabiskan bacaan dalam tempoh hanya beberapa jam sahaja.


Membaca pengalaman dan perjalanan mencari nilai kehidupannya terutamanya menerusi buku bestseller beliau, Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman umpama jiwa turut sama merasai dan menghayati setiap baris yang tertulis. Bertemankan airmata yang sesekali keluar tanpa dipaksa-paksa, sungguh saya sebenarnya jatuh cinta pada karya beliau di sebalik susun atur bicara yang ikhlas, tulus, ringkas dan bermakna. Ringkas tapi signifikan.


Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim ~ Insan yang berkongsi negeri kelahiran dengan saya ini, sesungguhnya anugerah Allah yang sungguh istimewa. Dia memperolehi kejayaan dan kecemerlangan hidup yang diimpikan oleh semua insan, namun dirinya sirna dari suluhan hidayah berpuluh-puluh tahun hidupnya. Ketika kesedaran mula menyapa, hidayah disambut tanpa berpaling lagi. 

Antara ayat yang menyentuh hati saya..

"Saya belajar Al Quran ketika usia menghampiri 41 tahun. Ketika saya sudah tewas dan bersedia menerima kematian dalam keadaan buta Al Quran, saya dijemput menunaikan haji. Saya menangis, merayu dan mengadu pada Allah atas segala kekurangan diri. Rayuan dan pengaduan yang mencerminkan ketakutan, kefakiran dan kehinaan diri pada Allah yang maha perkasa. Ketika itu bermulalah episod baru dalam hidup seorang insan yang bergelar profesor, berguru dengan seorang penghafal Al Quran yang tidak pernah menduduki peperiksaan SPM."
Profesor Muhd Kamil Ibrahim: Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok.



Sungguh indah sekali apabila hidayah yang dimilikinya kini menjadi perkongsian utama beliau bersama insan-insan di sekelilingnya lewat karya tulisannya, ceramah-ceramah, tazkirah-tazkirah dan lain-lain. Anda juga boleh berkongsi pengalaman dan ilmu di blog beliau. Klik sini. 

Buat yang belum dijodohkan dengan kedua-dua buku ini, saya cadangkan anda sendiri membacanya. Jika perasaan anda tidak terusik dan iman anda tidak tercuit, anda sememangnya berhati batu. Maaf!

Monday, July 18, 2011

Perginya Sebutir Permata

11 comments

Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam tadi di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun meninggal dunia setelah berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya.


Dr Lo'Lo adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah. Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi. - Sumber :Malaysiakini

Saya mengkagumi beliau sejak zaman persekolahan lagi. Kebijaksanaan dan ketokohannya serta semangat perjuangan yang tinggi menjadikan kehilangannya sukar dicari ganti.

Saya suka menampal bersama entry ini sajak As-Syahid Sayyid Qutb sebelum kematiannya, memberi inspirasi dan ketenangan buat insan-insan yang masih bernyawa, untuk meneruskan perjuangan  menegakkan kalimah  Allah dan mencari keredhaan Allah di muka bumi ini. Moga ia mengubat kesedihan kita di atas pemergian tokoh berjasa ini.

Saudara,
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang sudah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini..dan …
Teruskan perjalanan ke Gerbang Jaya

Saudara,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman syurga Tuhanku bangga menerimaku
Burung burungnya berkicau riang menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di alam abadi

Saudara,
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
Jangan gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar..

Al Fatihah. Semoga beliau ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan beroleh ganjaran di sisi Allah. Ameen.
Perginya sebutir permata yang tiada gantinya.

Friday, July 15, 2011

Damai Tasik Kenyir

7 comments
pic :google

Biarpun kaki belum menapak di sana..
 Ketenangan dan kedamaiannya sudah menghuni jiwa, 
Meskipun ada tugas yang menanti, 
Saya berharap dapat menghirup kedamaian dan keindahannya sepuas hati,
Tasik Kenyir, kita bertemu lagi..

Wednesday, July 13, 2011

Catatan Harapan

2 comments


Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya:
Serulah manusia ke jalan Rabb-mu (Allah) dengan jalan hikmah (hujjah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” 
(Surah an-Nahl : 125)


Bermula dari minat, blog ini lahir  pada awalnya penuh kekurangan. Minatlah yang mengeksploitasi bakatku yang secubit garam ini untuk menulis. Biarpun tidak bergelar penulis hebat, saya berharap sepatah dua kata yang tertulis di sini mampu menyumbang kepada penyuburan jiwa dan rohani ke arah merebut redha Ilahi. 

Beralaskan cerita dan rentak kehidupan, saya cuba berkongsi pengalaman, perasaan, ilmu  dan sudut pandang agar kita sama-sama lebih menghayati kehidupan kurniaan Ilahi ini dari perspektif jiwa yang sebenar.

Cukup 2 tahun saya menulis di pentas maya ini.  Percayalah, saya sebenarnya lebih banyak belajar berbanding dengan apa yang saya tulis. Saya berharap untuk terus berblog dan menulis selagi dikurniai Allah daya dan tenaga. 

Terima kasih buat semua yang membaca dan mengikuti blog ini. Kesetiaan anda saya dambakan. Mohon dimaafi segala kekurangan.

Rasulullah SAW bersabda:
“Jika manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga macam: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak shaleh yang mendoakan kedua orang tuanya” (HR. Muslim)

 "Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah." - Pramoedya Ananta Toer

Sunday, July 10, 2011

BERSIHkan Minda

6 comments


Mereka datang dari jauh dan dekat
Utara, Selatan,Timur jua Barat,
Satu tekad, satu matlamat, satu harapan
Untuk sistem pilihanraya yang lebih telus,bersih &mampan 

BERSIH 2.0 sudah berakhir.  Samaada anda seorang pemerhati, penyokong, pendokong atau pembangkang..semoga anda mempelajari sesuatu dari peristiwa ini.  Saya agak pelik juga bila masih ada yang bertanya BERSIH 2.0 ni apa sebenarnya? Rupanya,di zaman teknologi ini masih ada lagi yang tidak celik dan sensitif pada isu-isu setempat. Sayang sekali kalau yang bertanya itu adalah golongan profesional dan bijak pandai sedangkan orang awam lain lebih terbuka, memahami dan prihatin. Rakyat Malaysia di seberang laut juga lebih tahu dan prihatin hal ehwal negara sendiri. Buktinya di sini.

Ayuh! Bukalah minda dan buat kajian secara mendalam dan menyeluruh tanpa sebarang prejudis. Rujuk pandangan cerdik pandai, analisis pro jua kontra dan cuba fahami rasional tanpa emosional. Selepas itu, anda buatlah pilihan berdasarkan kebijaksanaan dan hujah yang betul. Pasti yang kabur jadi terang, yang palsu jadi benar.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah SAW :
“Menyelidik dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah 
adalah daripada syaitan.”


Wednesday, July 06, 2011

Kerana Senyuman

15 comments



Sahsiah peribadi dan senyuman yang sering terukir diwajah Imam Muda, Hassan Adli Yahaya, berjaya memikat hati mursyid-mursyid juri untuk menobatkannya sebagai juara Imam Muda musim kedua.

“Hassan pernah dua kali dipilih sebagai Imam Muda contoh dan keperibadiannya itu turut diambil kira untuk menjadi seorang Imam Muda yang terbaik.

“Dia suka senyum, itu adalah satu lagi kelebihan Hassan,” kata Mudir Imam Muda tersebut pada sidang akhbar, di sini hari ini - Internet

Saya petik keratan berita dari internet tentang keistimewaan Imam Muda musim ke 2, iaitu seseorang yang tenang dan suka tersenyum sehingga memikat hati-hati insan sekeliling dengan keperibadiannya. 

Berbicara tentang kuasa sebuah senyuman, saya teringat saat mula mengajar di sekolah saya sekarang, selalunya  saya berwajah serius bila masuk mengajar kelas-kelas hujung (pelajar lemah&bermasalah displin). Senyuman pun agak mahal ditambah aksesori rotan pelengkap gaya. Tujuannya, saya mahu ketegasan saya membuatkan mereka fokus pada pelajaran dan tidak main-main.

Sehinggalah suatu hari, semasa memantau pelajar membuat latihan, hati saya tercuit dengan kelucuan salah seorang dari mereka, sehingga saya senyum dan ketawa.
 
Di hujung pendengaran saya, seorang pelajar membisikkan sesuatu kepada rakan sebelahnya. "Kau tau tak.. hari ni, pertama kali aku tengok ustazah senyum." Ucapan pelajar yang terkenal dengan kenakalan itu, kedengarannya cukup ikhlas. Keegoaan saya lebur. Saya terfikir apa salahnya sesekali kita senyum dan membuatkan orang senang dengan kehadiran kita. 

Sejak dari itu, saya masih tegas tapi bertempat. Sesekali bergurau dan cuba menarik perhatian mereka dengan stail tersendiri. Persekitaran pelajar banyak membekalkan pengalaman berguna bagaimana untuk menangani situasi dan senyuman adalah salah satu penawar berharga.

Oleh itu senyumlah..sebagaimana murahnya senyuman IM Hassan Adli. Saya bukan peminat  tegar Hassan Adli tetapi saya amat mengkagumi ibu beliau, Puan Arpah Mohd Nor yang membesarkan 9 anak selepas kematian suami dengan rezeki menoreh getah. Sangat  besar ketabahan dan kesabarannya sehingga Allah menganugerahinya anak sebaik Hassan Adli. Tidak hairannya, anak muda ini sentiasa menitiskan airmata apabila berbicara tentang ibu kesayangannya itu. Saya berharap untuk dikagumi dan dikenangi oleh anak-anak sendiri suatu hari nanti. Insya Allah.

Monday, July 04, 2011

Aku, Isabella & Tok Kenali

4 comments

"Dia akhirnya menyapa hidayah Tuhan yang datang, dan kini sanggup berdada dengan sebongkah ujian. Dia sanggup menjalani kehidupan yang sederhana, membuang pakaian kesombongan yang dipakainya dalam dunia seni dengan seribu sihir yang memukau. Dia telah merasai dunia ketawa, dan kini tibalah masanya untuk dunia menangis, bersama gerakan Islam untuk memanggil insan lain bagi bersama-sama merengkuh kasih-sayang Tuhan, Sang Pencipta yang penuh dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

“Aku akan mati berjuang bersama dakwah dengan panduan alim ulama. Doakan aku teman…” ujar Bob Lokman dengan lirih, juga memanggil seluruh peminatnya untuk berada di jalan hidayah ini. 

Petikan Buku : TRAVELOG HIDAYAH : AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI.

Hidayah Allah tidak mengenal siapa. Allah memilih sesiapa sahaja di kalangan makhlukNya untuk diberi hidayah dan kemuliaan. Kalau berkesempatan, saya teringin untuk menyelami kisah hidayah saudara Bob Lokman, penulis lirik lagu yang  menjadi siulan ramai, Isabella. Buku travelog hidayah ini, bukan fiksyen atau rekaan tetapi realiti sebenar perjalanan seorang manusia. 

Untuk maklumat lanjut tentang buku ini, anda boleh berkunjung ke laman penulisnya, Ustaz Riduan Mohamad Nor.

Saturday, July 02, 2011

Bibir Tersenyum, Hati Menangis

12 comments
Salam ukhuwwah..

Menyuruh orang lain bersabar dengan musibah adalah mudah, namun apabila ujian  dan dugaan terpikul di bahu sendiri, hakikatnya ia sungguh payah.


Sebagai hamba Allah, kita tidak dapat lari dari ujian dan dugaan yang meremukredamkan hati kita dengan kekecewaan dan kesedihan. Sudah lumrah manusia untuk merasa sedih dan kecewa. Lain orang lain cara menanganinya. Ada yang menzahirkan kekecewaan dengan airmata yang mencurah, ada yang berlawan dengan keegoan dan ada juga yang menangis di dalam hati, meskipun bibirnya tersenyum lebar...

Menangis dan sedih bukanlah beerti kita hilang harapan. Jauh sekali untuk menjadikan kita putus asa dengan rahmat Tuhan.  Sesekali menangis, hati kita akan bangkit sedar bahawa kita hanyalah hambaNya yang lemah dan kerdil. Sesekali menangis, jiwa kita dididik dengan indahnya sabar dan redha...Sesekali menangis, percayalah..bukan Allah tidak tahu hancur dan luluhnya hati kita menanggung kecewa dan sedih, tetapi Dia mahu kita rapat padaNya, lantaran hati-hati sebeginilah yang lebih lunak dan lembut beribadat kepadaNya. Subhanallah!

Setelah kita jatuh dan terluka, bangkitlah semula melangkah. Namun, jika kita jatuh tersungkur dan sukar untuk bangun, percayalah sinar harapan tetap ada. KasihNya sentiasa dekat, cuma kita yang selalu alpa dan lalai. 


Yakinlah, Allah tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti terdapat hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – [Surah Al-Baqarah, 2: 216]


Antara senyuman yang mampu menenangkan hatiku yang gundah..
Terima Kasih Tuhan atas kurniaanMu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...