Salam ukhuwwah,
Masa terus berjalan menambah angka usia kita. Semestinya, banyak yang berubah. Hakikatnya, kita sedang menempuh fasa-fasa kehidupan yang berbeza. Justeru, hidup perlu diteruskan dengan yakin dan berani. Insya Allah nusrah (pertolongan) Allah pasti mengiringi.
Ada sebab mengapa blog ini tidak terusik sekian lama walaupun keinginan menulis tidak pernah padam. Kekangan masa dan tenaga adalah penyebabnya.
Melayan si kecil Aqilah (4 bulan) yang melalui waktu-waktu penting pembesarannya adalah keutamaanku sekarang. Tidak kurang juga memantau perkembangan abang-abangnya yang kian menginjak dewasa. Alhamdulillah. Hikmah Allah sangatlah besar..apabila jarak usia Ammar dan Afiq dengan Aqilah agak jauh, saya lebih senang menguruskan mereka malah mereka juga ringan tangan membantu menjaga adik kesayangan mereka.
Sejak berpindah ke rumah baru, setiap hari saya akan meninggalkan mereka seawal pagi untuk ke sekolah yang jaraknya memakan masa 1 jam lebih. Saya bersyukur kerana suami memudahkan tugas saya, mengambil alih tugas mengurus anak dan rumah. Apabila pulang di waktu petang, keletihan terubat dengan senyuman dan keletah anak-anak.
Itu secebis kisah kehidupanku. Moga ada ruang untuk menulis lagi di lain waktu. Buat semua, selamat menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan walau di mana sahaja berada.