Monday, June 27, 2011

Hasil Tanganku

8 comments


Tanganku akan hancur di dalam tanah,
Yang kekal hanya tulisanku di atas buku,
Mujurlah sesiapa yang membaca tulisan aku,
Doakan keselamatan aku dari azab.
~ Imam Shafie

Catatan pendek warisan dari Imam Shafie ini sangat besar ertinya. Menjadi peringatan buat kita bersama. Pastikan apa yang kita tulis mampu memberi manfaat buat yang membaca kerana ia mungkin menjadi saham di akhirat nanti. Insya Allah.

Kata orang menulis perlu dari hati, agar tulisan itu akan jatuh juga ke hati orang yang membaca. Barulah tulisan ada ertinya.

Ada pula yang mengingatkan menulislah dengan iman kerana niat, tujuan dan arah tulisan bersatu hanya untuk memberi manfaat dan mendapat ganjaran kebaikan di sisi Allah. Perlu ikhlas dan tulus, bukan untuk menunjuk-nunjuk mendamba kehebatan mahupun mengumpan pujian dan keuntungan semata.

Jangan lupa menulis perlu dengan ilmu. Tanpa ilmu, hilang erti sesebuah karya kerana ia hanya menyajikan kesesatan pada si pembaca.
 
Imam Ali bin Abi Thalib RA ada mengatakan:
"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya".  
 
Tinggi sekali motivasi yang dapat diserap dari kata-kata Saidina Ali ini. Memang benar menulis dengan ilmu, tentang ilmu dan menyebarkannya pasti impak dan manfaatnya amat besar sekali buat si penulis dan orang yang membacanya.
 
Ayuh! Buat semua sahabat-sahabat..teruskan menulis untuk kebaikan, kesedaran,  dakwah, perkongsian ilmu, motivasi, persaudaraan, peringatan dan lain-lain ..contohi ilmuwan silam yang banyak meninggalkan tulisan mereka yang digunapakai sehingga detik ini.. 
 

Friday, June 24, 2011

Ustazah Pilihan

17 comments
Salam hujung minggu..

Saya ketawa lucu bila Ammar mencadangkan saya menghadiri ujibakat untuk Ustazah Pilihan, sebuah rancangan realiti terbaru ASTRO selepas Imam Muda. Beria benar dia menyuruh. "Mana boleh.., ummi tak cukup syarat la..ummi bukan muda lagi.." Jawab saya merujuk pada usia.

Ada yang bertanyakan pendapat saya tentang kesesuaian program ini. Secara jujurnya, saya tidak merasa senang dengan kewujudan program ini. Dalam masa yang sama, saya tidak menafikan peranan muslimah sebagai sayap kiri perjuangan dalam memperkembangkan dakwah Islam, namun ruangnya tidak  seluas seperti kaum muslimin. Ada batas yang perlu dijaga, ada fitnah yang perlu dihindarkan.



Saya tidak dapat mengjangka bagaimana konsep dan bentuk program yang bakal dilaksanakan ini, namun apa yang pasti ia tidak dapat lari dari menonjolkan peribadi dan personaliti  muslimah secara terbuka, memperagakan diri menjadi tontonan umum serta mempamerkan tabarruj, fesyen dan kecantikan. 

Penonton-penonton terutamanya lelaki akan lebih memperkatakan tentang kelembutan dan kecantikan peserta dalam Ustazah Pilihan sebagaimana gadis-gadis remaja duk memuja kekacakan Imam-Imam Muda tanpa mengambil intipati berfaedah dari program tersebut.

Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita-wanita... (Surah al-Imran, ayat 14)

Saya kongsi bersama pendapat al-fadhil Ustaz Azhar Idrus mengenai program ini :


Islam amat menjaga kehormatan dan darjat seorang muslimah kerana kedudukan mereka yang mulia di sisi agama. Ingatlah saudara-saudariku, kadang-kadang manusia rakus  melakukan apa sahaja demi mencapai populariti, kemahsyuran, kekayaan dan pulangan lumayan sehingga menjadikan agama sebagai percaturan.

Saya yakin ustazah pilihan yang benar-benar pandai menilai dan memilih tidak sesekali akan menyertai program ini kerana mereka memahami erti sebenar kehormatan muslimah sejati dan tuntutan agama itu sendiri. Sematkanlah dalam dada sabda Rasulullah SAW :

” Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki 
daripada (fitnah) wanita.”
[ Hadis Riwayat Bukhari]

Tuesday, June 21, 2011

Sang Pengemis & Isteri Cantik

7 comments

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan. Di ruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ”Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.”

Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata ”Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku.” Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. 


Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.

Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis. Suami yang baru itu menjawab dengan tenang : ”Demi ALLAH ,akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu.”
RASULULLAH S.A.W Bersabda:  
”Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan”.

Anas Malik pula meriwayatkan bahawa NABI MUHAMMAD S.A.W ada bersabda yang bermaksud ; ”Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya”.
Sumber : Internet

Monday, June 20, 2011

Masih Ku Ingat

2 comments


Hari bapa adalah setiap hari. Mengenang jasa seorang insan mulia dalam hidup kita adalah selamanya dan sebanyak mungkin. Mengenang jasa pula bukan sekadar ungkapan terima kasih di bibir semata tapi perlu bersandarkan kasih sayang secara amalan. Ziarahi mereka, layani kehendak dan keperluan mereka, ubati kesunyian mereka dan apa saja usaha yang  mampu memberi mereka sinar kebahagiaan di penghujung usia..

Apabila bercerita tentang ayah, banyak yang bermain di fikiran saya, banyak yang mahu dicatatkan tentang ayah cuma tiada kata yang dapat menceritakan betapa besarnya jasa ayah dalam hidup saya. 

Masih terkenang setiap pagi membonceng basikal tua ayah ke sekolah ketika saat mula bersekolah..
Masih ku ingat betapa sabarnya ayah berteman motorsikal, berpanas berhujan, mengambil dan menghantarku ke sekolah yang jauhnya berkilo-kilo meter..
Masih teringat kegigihan ayah membanting tulang di sawah padi  bertemankan terik mentari demi mencari sesuap nasi..
Masih tergiang-giang amanat ayah sebelum sayapku terbang nun jauh ke negara orang..
Masih teringat syahdunya laungan azan ayah saat kaki menapak untuk memulakan permusafiran ilmu ke bumi anbiya'..
Masih ku ingati surat pertama bertulisan tangannya sendiri yang ku terima ketika di rantauan bersama doa dan harapannya yang tidak pernah padam..
Masih  ku ingat segala-galanya tentang jasamu, kasihmu dan budimu..selamanya..

Terima kasih atas segalanya..
Semoga hari-harimu bahagia dan tenang biarpun dirimu semakin di mamah usia..
Selamat Hari Bapa!



Sunday, June 19, 2011

Belasungkawa Buat Ahmad Rifaie

1 comments
Salam mesra..

Petang Jumaat yang hening, perkhabaran sedih saya terima dari rakanku di Segamat, Johor tentang kembalinya anak berjiwa mulia, Ahmad Rifaie. 
Catatan terdahulu tentang arwah anda boleh baca di sini.


Penderitaan di saat-saat akhir hidupnya amat luar biasa untuk dilalui. Berat mata memandang berat lagi bahu diri yang memikul. Namun, semuanya dihadapi dengan senyuman dan ketabahan, biarpun sesekali arwah menangis jua kerana tidak mampu membendung kesakitan yang ditanggung. Kisahnya adalah pengajaran buat kita yang masih bernyawa, kembalinya kita pada Pencipta adalah sesuatu yang pasti. Derita dan kesabaran arwah di dunia, pasti ada ganjaran hebat di sisiNya. 
Bahagia kita di dunia..adakah bahagia jua di akhirat?

Semoga amanlah dirimu bersemadi di sana..
di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh..
Pemergianmu kami redhai kerana Tuhan lebih menyayangimu..
Al Fatihah.

Catatan lain tentang keluhuran peribadi arwah oleh rakannya, Harun. 
Anda boleh baca di sini.


Tuesday, June 14, 2011

Dari Sekolah Pondok ke Universiti Oxford

6 comments
Salam mesra sokmo..

"Kejayaan itu dicipta oleh insan biasa yang berusaha secara luar biasa". Ungkapan motivasi ini sangat dekat di hati. Mencipta sebuah kejayaan bukan semudah yang disangka. Ia mampu berada dalam genggaman kita andai usaha mencapainya dilakukan secara luar biasa.  Biar hanya insan biasa, yang lahir di ceruk paling mundur sekalipun, andai keinginan mencipta kejayaan itu besar, maka jerih perih menggapainya adalah resepi utama yang harus dilalui.

Bercerita tentang kejayaan luar biasa, terdetik kekaguman di hati  saya dengan kehebatan anak Melayu, saudara seIslam kita yang mampu mendapat pengiktirafan sebagai pensyarah di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford.

Dr Muhammad Afifi Al-Akiti ini merupakan lulusan sekolah pondok yang berjaya mencapai kecemerlangan pendidikannya sehingga menjadi bangsa Melayu pertama di dunia yang berjaya menjadi salah seorang tenaga pengajar di universiti berprestij dunia itu. Kisah lanjut peribadi hebat ini boleh anda baca di sini.



Jadikan rentetan perjalanan dan kesungguhan individu yang berjaya
sebagai motivasi buat diri kita untuk menggapai kecemerlangan 
dalam setiap perkara yang kita lakukan. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 
“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” 

Hadis Riwayat Muslim

Sunday, June 12, 2011

Umpama Mati Hidup Semula

8 comments
Salam mesra buat semua..

Saya bukan peminat bola. Apatah lagi nak membuat laporan perlawanan perlawanan akhir piala FA 2011 malam tadi. Seawalnya, saya tidak mengikuti perlawanan ini kerana sibuk membuat persiapan persekolahan anak-anak esok harinya. Cuma, hati berdoa dan berharap Terengganu dapat memenangi perlawanan ini kerana mengharapkan cuti umum untuk rakyat Terengganu yang dijanjikan menjadi kenyataan



Saat kekalahan sudah di hadapan mata, saya merasakan harapan untuk Terengganu menang dan peluang warga Terengganu bercuti musnah sama sekali. Sebahagian pemain nampak kecewa dan suram. Sorakan penonton juga tidak segalak di awal permainan.

Di hujung perlawanan, kesungguhan dan semangat juang beberapa pemain yang terus-terusan bangkit melawan kekecewaan mengheret saya untuk sama-sama menonton bersama suami dan anak-anak. Memang sikap tidak putus asa dan semangat waja yang membuatkan mereka melakukan asakan berkali-kali sehingga membuka peluang kepada kemenangan, sangat menggagumkan. 

Semangat juang inilah yang perlu diterapkan dalam setiap perkara yang kita lakukan. 
Jangan berpuas hati bila mendapat sesuatu dan jangan sekali-kali berputus asa bila bayang kejayaan umpama telur di hujung tanduk..


 Tahniah buat pasukan Terengganu. Anda kebanggaan kami.
Cuma, masih menunggu-nunggu dan ternanti-nanti pengumuman cuti dari MB Terengganu. Sedangkan Kelantan sudah awal-awal bercuti kerana kemenangan masuk final. :D

Thursday, June 09, 2011

Hentikan Zina!

2 comments
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan, banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan secara terang-terangan. (Riwayat al-Bukhari).

Allah berfirman :
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32).




Entry kali ini adalah respon saya kepada isu hangat masa kini iaitu Adinda Evans yang dilaporkan bangga dan bersikap jujur kerana mengaku sudah tiada dara walaupun baru berusia 14 tahun. Siapa dia? Kalau berminat, anda boleh rujuk Encik Google :D

Adinda Evans hanyalah secebis dari realiti kehidupan masyarakat kita yang "sakit". Sakit yang sudah kian parah dan membarah. Zina sudah menjadi kebiasaan umpama menukar pakaian. Bukan lagi perkara jelik untuk dibicarakan malah dijadikan ukuran kehebatan dan lambang kemodenan.  


Sebagai peringatan kita bersama, berleluasanya zina adalah antara petanda awal kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah. Justeru, zina perlu dijauhi dari mendekati. Diri sendiri mahupun anak-anak dan masyarakat kita. Saya suka berkongsi panduan menghindari zina oleh Dr Hj Nik Yusri Musa. Antara panduan tersebut ialah :

Panduan 1: Menuntut Ilmu.

Tuntutlah ilmu supaya datangnya kesedaran tentang haramnya zina serta bencananya. Mengetahui hukum adalah langkah yang paling asas untuk mengukuhkan iman. Hadirilah majlis ilmu kerana belajar dengan berguru akan menjadikan kita terpimpin.

Panduan 2: Amalkan Ilmu.
Ilmu agama semata-mata tidak memadai untuk menguatkan iman dan mendatangkan kekuatan bagi menjauhi zina, andainya ilmu itu tidak diamalkan sungguh-sungguh. Selain Ilmu syariat, seseorang itu perlu mendalami ilmu tauhid dan akhlak, agar rasa sentiasa diawasi oleh Allah, bukan setakat mengetahui Allah itu Maha Melihat.

Mudah-mudahan dengan rasa sentiasa diawasi, seseorang itu akan malu untuk menghampiri zina, apatah lagi untuk berzina. Jika dilihat orang pun dia akan malu, apatah lagi jika Allah SWT yang melihat. Rasa malu kepada Allah ini adalah akhlak hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan benteng daripada terjebak kepada kemaksiatan.

Panduan 3: Dekati Orang Berilmu.

Selain menghadiri majlis ilmu secara rasmi, seseorang itu perlu mendekati orang berilmu dalam suasana tidak rasmi bagi mendapatkan pandangan, nasihat dan teguran.

Panduan 4: Berusaha Menjauhi Dosa.

Hindari dosa2 kecil yang membawa kepada terbiasanya melakukan dosa-dosa besar. Tinggalkan perkara yang makruh yang Allah tidak suka, serta jauhi sama sekali perkara haram yang Allah murkai.

Panduan 5: Menolak Segala Jalan Yang Membawa kepada Menghampiri Zina.
Dengan kata lain, menutup semua 'pintu' yang boleh mengarah kepada zina. Dalam istilah fikah, ia disebut sadduz zara'ik. Antaranya;
  1. Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, terutama mengelakkan dari berdua-duaan.
  2. Mengelakkan dari mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat serta tidak sempurna menutup aurat.
  3. Mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang tidak halal yang boleh menaikkan nafsu seperti menonton pornografi atau melihat gambar lucah. 

Panduan 6: Mengamalkan Zikir.

Zikir yang diamalkan secara berterusan dan tersusun mampu mensucikan hati. Hati yang bersih akan kuat menolak ransangan nafsu untuk berbuat dosa.

Panduan 7: Bergaul Dengan Orang Yang Baik-Baik.

Pergaulan dengan orang yang baik akhlaknya, baik amalnya dan baik ilmunya dapat membantu seseorang untuk menghindarkan maksiat, kerana yang baik akan memimpin dan mengajak kita ke arah kebaikan. Mestilah kuatkan azam untuk mencari sahabat-sahibah yang dapat membantu memberi petunjuk ke jalan kebenaran dan berusahalah mewujudkan suasana pergaulan yang baik.

Panduan 8: Sibukkan Diri Dengan Ibadah Dan Kerja Kebaikan.

Jika selama ini seseorang itu ketagih melihat filem porno di internet, dia mestilah melawan ketagihan itu dengan penuh keazaman dengan banyak mengisi masa beribadah dan melakukan kerja-kerja kebaikan yang lain.

Panduan 9: Amalkan Sunnah Nabi SAW.
Adab-adab seharian bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur kembali yang menjadi amalan Rasulullah SAW; marilah bersama kita sekeluarga amalkan. Yakinlah apabila kita bersungguh-sungguh 'ketagih' mengamalkannya dan menjadi amalan seharian, insyaAllah Allah akan memberi kekuatan untuk kita mampu mengawal diri daripada perlakuan yang tidak baik.

Sesungguhnya setiap amalan Rasulullah SAW bersulamkan doa-doa yang merupakan menjadi pelindung diri daripada pelbagai musibah.


Saturday, June 04, 2011

Pesanan Buat Pengantin

5 comments
Salam mesra...

Sinonim dengan cuti pertengahan tahun, kenduri kahwin meriah sana sini. Di tepi-tepi jalan bunga-bunga manggar berdiri megah dan banner tergantung sana sini. Tugasnya, memandu arah ke rumah pengantin.  

Memang hebat majlis-majlis kahwin zaman sekarang. Ingatkan orang-orang berada dan artis-artis popular jer yang kahwin bagai nak rak...rupa-rupanya sudah menular ke majlis-majlis perkahwinan di ceruk-ceruk kampung. Persiapan memang gempak biarpun duit hantaran pinjam sana-sini. Majlisnya pula banyak adat dari adab. Banyak riak dari syukur. Banyak dosa dari pahala.

Tujuan perkahwinan dalam Islam seperti dinyatakan oleh Allah dalam Al Quran :"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)  

Justeru, perkahwinan adalah ikatan mulia di sisi Islam. Perkahwinan menyempurnakan fitrah penciptaan lelaki dan perempuan. Harus dihayati dan disyukuri sebaiknya. Majlis yang diadakan hanyalah bertujuan menyebarkan perkahwinan, bukannya untuk menunjuk kekayaan mahupun kehebatan. Banyakkanlah memperbesarkan Allah dan berdoa kepadaNya, bukannya berkaraoke sampai larut malam.




Buat para pengantin dan bakal pengantin perempuan khususnya...mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, perhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, perhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, jaga hartanya dan pelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”


Buat semua yang bertemu jodoh dan mengikat janji sebagai suami isteri di musim perkahwinan ini, semoga anda bahagia sebagai suami isteri di dunia dan akhirat.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...