Thursday, June 09, 2011

Hentikan Zina!

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan, banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan secara terang-terangan. (Riwayat al-Bukhari).

Allah berfirman :
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32).




Entry kali ini adalah respon saya kepada isu hangat masa kini iaitu Adinda Evans yang dilaporkan bangga dan bersikap jujur kerana mengaku sudah tiada dara walaupun baru berusia 14 tahun. Siapa dia? Kalau berminat, anda boleh rujuk Encik Google :D

Adinda Evans hanyalah secebis dari realiti kehidupan masyarakat kita yang "sakit". Sakit yang sudah kian parah dan membarah. Zina sudah menjadi kebiasaan umpama menukar pakaian. Bukan lagi perkara jelik untuk dibicarakan malah dijadikan ukuran kehebatan dan lambang kemodenan.  


Sebagai peringatan kita bersama, berleluasanya zina adalah antara petanda awal kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah. Justeru, zina perlu dijauhi dari mendekati. Diri sendiri mahupun anak-anak dan masyarakat kita. Saya suka berkongsi panduan menghindari zina oleh Dr Hj Nik Yusri Musa. Antara panduan tersebut ialah :

Panduan 1: Menuntut Ilmu.

Tuntutlah ilmu supaya datangnya kesedaran tentang haramnya zina serta bencananya. Mengetahui hukum adalah langkah yang paling asas untuk mengukuhkan iman. Hadirilah majlis ilmu kerana belajar dengan berguru akan menjadikan kita terpimpin.

Panduan 2: Amalkan Ilmu.
Ilmu agama semata-mata tidak memadai untuk menguatkan iman dan mendatangkan kekuatan bagi menjauhi zina, andainya ilmu itu tidak diamalkan sungguh-sungguh. Selain Ilmu syariat, seseorang itu perlu mendalami ilmu tauhid dan akhlak, agar rasa sentiasa diawasi oleh Allah, bukan setakat mengetahui Allah itu Maha Melihat.

Mudah-mudahan dengan rasa sentiasa diawasi, seseorang itu akan malu untuk menghampiri zina, apatah lagi untuk berzina. Jika dilihat orang pun dia akan malu, apatah lagi jika Allah SWT yang melihat. Rasa malu kepada Allah ini adalah akhlak hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan benteng daripada terjebak kepada kemaksiatan.

Panduan 3: Dekati Orang Berilmu.

Selain menghadiri majlis ilmu secara rasmi, seseorang itu perlu mendekati orang berilmu dalam suasana tidak rasmi bagi mendapatkan pandangan, nasihat dan teguran.

Panduan 4: Berusaha Menjauhi Dosa.

Hindari dosa2 kecil yang membawa kepada terbiasanya melakukan dosa-dosa besar. Tinggalkan perkara yang makruh yang Allah tidak suka, serta jauhi sama sekali perkara haram yang Allah murkai.

Panduan 5: Menolak Segala Jalan Yang Membawa kepada Menghampiri Zina.
Dengan kata lain, menutup semua 'pintu' yang boleh mengarah kepada zina. Dalam istilah fikah, ia disebut sadduz zara'ik. Antaranya;
  1. Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, terutama mengelakkan dari berdua-duaan.
  2. Mengelakkan dari mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat serta tidak sempurna menutup aurat.
  3. Mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang tidak halal yang boleh menaikkan nafsu seperti menonton pornografi atau melihat gambar lucah. 

Panduan 6: Mengamalkan Zikir.

Zikir yang diamalkan secara berterusan dan tersusun mampu mensucikan hati. Hati yang bersih akan kuat menolak ransangan nafsu untuk berbuat dosa.

Panduan 7: Bergaul Dengan Orang Yang Baik-Baik.

Pergaulan dengan orang yang baik akhlaknya, baik amalnya dan baik ilmunya dapat membantu seseorang untuk menghindarkan maksiat, kerana yang baik akan memimpin dan mengajak kita ke arah kebaikan. Mestilah kuatkan azam untuk mencari sahabat-sahibah yang dapat membantu memberi petunjuk ke jalan kebenaran dan berusahalah mewujudkan suasana pergaulan yang baik.

Panduan 8: Sibukkan Diri Dengan Ibadah Dan Kerja Kebaikan.

Jika selama ini seseorang itu ketagih melihat filem porno di internet, dia mestilah melawan ketagihan itu dengan penuh keazaman dengan banyak mengisi masa beribadah dan melakukan kerja-kerja kebaikan yang lain.

Panduan 9: Amalkan Sunnah Nabi SAW.
Adab-adab seharian bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur kembali yang menjadi amalan Rasulullah SAW; marilah bersama kita sekeluarga amalkan. Yakinlah apabila kita bersungguh-sungguh 'ketagih' mengamalkannya dan menjadi amalan seharian, insyaAllah Allah akan memberi kekuatan untuk kita mampu mengawal diri daripada perlakuan yang tidak baik.

Sesungguhnya setiap amalan Rasulullah SAW bersulamkan doa-doa yang merupakan menjadi pelindung diri daripada pelbagai musibah.


2 comments:

skemaituehot said...

ye,hentikan zina...tp adakah ia dapat dibendung dengan perangai anak muda skunk termasuklah diri ini...jika seorang sahaja yang inginkanyer mesti tidak akan berjaya tatkala program program bersosial selalu diadakan.
walauapapun bagi diri yang tahu,hindarkanlah ia...dan kembali kepada jalan yang benar. Tujuan kiter hidup di dunia hanya untuk beribadat kepadaNya..Manakala pekerjaan itu adalah sebahgian untuk memudahkan cara kita beribadat. tetapi janganlah biarkan kemewahan mengatasi jiwa,kerna bakal mengundang bala bencana

Ummu Ammar said...

skemaituehot..

Sebelum melakukan sesuatu..tepuk dada tanyalah iman. Disinilah pentingnya asas agama yang kukuh dari ibubapa dalam diri setiap anak-anak sejak mereka kecil sebagai perisai diri apabila dewasa...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...