Friday, September 23, 2011

Alahai Hantu Bonceng

8 comments

Salam ukhuwwah,

Biarpun saya bukan peminat filem dan cerita hantu, kebanjiran cerita hantu di kaca TV, filem dan media-media lain adalah fenomena yang menggusarkan. Minda anak-anak bangsa disempitkan dengan perkara-perkara khurafat dan  karut marut. Kononnya, mesej dan pengajaran terselit di sebalik jalan cerita yang disajikan. Percayalah, penonton terutama anak-anak lebih seronok melihat "hantu" dan mengajuk dialog-dialog tertentu daripada menilai mesej cerita yang dipaparkan.

Isu filem Hantu Bonceng yang khabarnya mengaut berjuta-juta ringgit menjengah di minda kita beberapa hari ini. Nampak macam isu remeh temeh. Remeh bagi sesetengah pihak, tapi amat besar bagi yang mereka yang menjaga kesucian agama khususnya lafaz kalimah syahadah.


Saya petik penjelasan Ustaz Azhar Idrus mengenai isu ini  dari blog ini untuk renungan dan panduan kita bersama:

Menurut Ust Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan  'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh. Beliau menerima panggilan daripada Zizan yang menggunakan 'private number' untuk merujuk permasalahan ini.

"Saya ni baru kena marah dengan orang kerana filem Hantu Bonceng. Saya kata  'Asyhaduanna Muhammadarr' lepas tu nampak syaitan datang..saya kata SYAITAN"
kata Zizan.

Jawab Ust Azhar Idrus. Dia boleh jadi dua hujah. Boleh jadi ada niat untuk mempersendakan Islam dan boleh jadi tidak berniat untuk mempersendakan Islam. Dalam kes ini dia mengucap ketika di dalam ketakutan, dalam cerita kelakar maka dia buat dialog mengucap
"Asyhadu an la ilaha ill-Allah, wa asyhadu ana Muhammadarr.....Syaitan! Syaitan!."

Jadi boleh dikatakan bahawa penulis skrip ini untuk menghina nabi, dan boleh juga dikatakan penulis skrip berniat untuk menggambarkan seseorang yang di dalam ketakutan tidak sempat menghabiskan lafaz syahadahnya kerana ternampak syaitan. Ia boleh jadi ada niat untuk mempersenda.

Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa. Pelakon bukannya (perlu) belajar pondok untuk berlakon filem. Tetapi Penerbit, Penulis skrip dan Pengarah sepatutnya kena rujuk dahulu perkara ini kepada Pejabat Agama atau Jabatan Kuasa Fatwa. Skrip ini boleh jadi untuk mempersendakan Islam dan boleh juga bukan berniat untuk mempersendakan Islam.

"Walaupun ia bukan untuk mempersendakan Islam, ia tetap juga HARAM sebab mendatangkan FITNAH" tambah Ustaz Azhar Idrus lagi. Fitnah ini yang perlu di jaga dan kita perlu berhati-hati. Zizan sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak pernah terniat untuk mempersendakan Islam.

"Jadi kita ambil secara baik, dia (Zizan) tidak berniat mempersenda Islam, tetapi kerana kejahilan punya fasal ia memberi fitnah." rumus Ust Azhar Idrus.

Ummu Ammar : Apa guna untung berjuta, kalau kesucian agama dipersendakan.
 

Thursday, September 22, 2011

Firasat Tertawan

0 comments

Sumber gambar digitalmukmin

Firasat Tertawan ~ Kumpulan Nasyid As Shoff

Tak tersentuh keindahan
Adalah maya keasyikan
Bercahaya malap dlm terang

Seribu hakikat meyakinkan

Daku susuri keindahan
Badai di laut tak terasa
Mencari makna ketulusan

Rapuh kegersangan..

Jernih terlukis keasyikan
Lembut bersalut kesyukuran
Ombak dan laut menyaksikan

Kasih setulus perasaan..

Tiada terhijab kepalsuan
Salju yg beku kecairan

Rindu yg lalu ku serahkan
Bagai tertawan..

Agung kudrat-Mu menyaksikan
Suluh makrifat mendodoikan
Sirnalah resah kegersangan
Dalam senyuman
Badai dilaut tak terasa

Sentuhan tangan

Firman Allah SWT:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
 
Nasyid yang banyak meninggalkan kenangan. Kenangan sebentar di bumi anbiya'. Bersama teman-teman saat senang dan sukar. Kak Saadah ~ ini untuk kamu. :)
 

Tuesday, September 20, 2011

Selera Tertumpah Di RFC

7 comments
Salam ukhuwwah.

Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menjamu selera di sini. Biarpun premis makanan segera 100% produk Muslim keluaran HPA Industries iaitu Radix Fried Chicken (RFC) sudah beroperasi hampir setahun di Kuala Terengganu, petang Khamis lepas, saya berpeluang ke sana setelah diajak rakan sekuliah.

Saya akui, saya sudah jatuh cinta sejak mula melangkah masuk sehinggalah menyudahi santapan. Kepuasan terasa kerana dapat makan tanpa rasa was-was kerana makanan yang disediakan adalah berkonsepkan ayam segar organik. Tan, rakan saya berbangsa China berkali-kali memuji keenakan hidangan dan berazam untuk datang lagi menjamu selera.

Chicken Delight
Satay ~ Sedap!
Susun atur yang kemas & moden
Salah satu sudut yang menarik
Sabda Rasulullah SAW: 
"Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap umat Islam."

Saya sudahi entry ini dengan mengajak anda berhijrah ke RFC. Intai-intailah kewujudannya di kawasan anda kerana cawangannya sudah bertambah di sana-sini. Sokongilah produk Muslim seperti mana sebelum ini anda mampu menyokong resepi Kolonel Harland Sanders, pengasas (KFC) ~ yang bukan Muslim pun..

Thursday, September 15, 2011

Kerana RM30

4 comments

"Logam tembaga yang mampu dijual sebagai barangan lusuh pada harga RM30 sekilogram, menyebabkan kabel telefon milik syarikat penyedia khidmat telekomunikasi, Telekom Malaysia (TM) Berhad, di kawasan luar bandar, menjadi sasaran mudah kecurian pihak tidak bertanggungjawab. 

Kecurian menjadi-jadi jika harga tembaga dalam pasaran naik kerana pihak tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan mudah, walaupun hakikatnya mereka menyusahkan orang ramai".

Saya petik keratan di atas dari akhbar tempatan tentang gejala kecurian kabel yang membebankan orang ramai dan menyebabkan TM kerugian berjuta-juta ringgit.

Saya kira kenyataan di atas adalah jawapan saya kepada  beberapa orang sahabat yang bertanyakan kenapa saya menyepikan diri selepas entry Semangat Yang Hilang yang lepas. Adakah semangatku benar-benar hilang melayang sehinggakan blog dan FB tidak terusik. Terima kasih buat yang prihatin~anda sememangnya prihatin biarpun sekadar tertanya-tanya jauh disudut hati.

Alkisahnya, semua itu hanyalah kebetulan. Alhamdulillah, setelah kuliah pertama Interactive Technologies I tempoh hari, saya kembali bersemangat waja untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Cuma, kesulitan bermula apabila kecurian kabel TM berlaku di kawasan perumahanku di hujung Ramadhan lepas. 

Kabel 6 tiang menjadi mangsa insan tidak berhati perut. Pasti puas hati si pencuri dapat keuntungan besar, sedangkan insan-insan lain kerugian apabila talian telefon dan internet terganggu hampir sebulan. Lebih-lebih lagi ketika menyambut 'Idulfitri yang mulia.

Alhamdulillah. Syukur pada Allah, tindakan cepat pihak TM telah berjaya menangani masalah ini apabila kabel bawah tanah menjadi alternatif agar tidak kecurian lagi. Sangat lega. Banyak kerja terbengkalai dan urusan pengajian dapat berjalan kembali.

Insya Allah, jika ada ruang dan peluang, blog ini akan diupdate seperti biasa.

Wednesday, September 07, 2011

Semangat Yang Hilang

4 comments


Sedar tak sedar hampir 4 bulan berlalu. Semester 4 sudah membuka tirainya. Tatkala menatap jadual, saya mencari-cari semangat yang sudah pudar dan hilang. Mungkinkah sudah ditelan masa “berehat” yang panjang?

Mungkin dengan menghayati kembali niat dan tujuan
Atau mengimbas kembali saat manis dan sukar 
Mahupun mengenang semula ilmu dan pengalaman yang telah dikutip selama ini
Pasti semangat dan keterujaan akan kembali menyala. 
Insya Allah. Semoga Allah mempermudahkan urusanku.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...