Pagi semalam, gerimis pagi menemani saya ke sekolah. Hari Ahad memang membuatkan saya "bercinta" untuk ke sekolah. Apatah lagi perjalanan jauh ke sekolah yang memakan masa 1 jam lebih menuntut kesabaran yang tinggi. Namun, demi amanah yang terpundak di bahu, saya gagahi jiwa dan raga sambil mulut berkali-kali berdoa..
Jam 7.00 pagi, semasa menghampiri selekoh berhampiran Sutra Beach Resort Merang, Setiu kereta-kereta di hadapan mula bergerak perlahan. Kelihatan orang ramai mula bergegas datang. Satu kemalangan berlaku rupanya. Berdebar saya bila terpadang treler yang menghalangi jalan dan sebuah kereta Honda seolah-olah melekat di hadapannya. Serpihan kenderaan termasuk sepasang kasut polis berada di atas jalan. Saya cuba untuk tidak memandang ke arah kenderaan yang terlibat, hanya fokus memandu ke hadapan.
Menatap berita atas talian di Harian Metro pagi ini, saya termenung seketika.
Seorang lagi anggota berpangkat Koperal Sokongan Mohd Suhairi Ahmad,
33, pula meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Honda City
dipandunya bertembung sebuah treler dalam kemalangan di KM 37, Jalan
Kuala Terengganu-Jalan Kampung Raja dekat selekoh Sutra Beach Resort
Merang, di sini.
Difahamkan, dalam kejadian 6.45 pagi itu, Mohd Suhairi dalam
perjalanan dari arah Kampung Raja, Besut ke Kuala Terengganu sebelum
kereta dipandunya terbabas ketika melalui selekoh tajam lalu bertembung
sebuah treler dari arah bertentangan.
Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu Mohd Suhairi diseret sejauh kira-kira 40 meter dari tempat kejadian.
Mangsa yang bertugas di Cawangan Kem Komander dan tinggal di Flat
Polis Padang Hiliran, Kuala Terengganu disahkan meninggal dunia di
tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan
manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang
kecederaan.
Difahamkan, isteri Mohd Suhairi bekerja di sebuah syarikat swasta di Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai tiga anak.
Kejadian ini membuka mata dan hati saya untuk lebih berhati-hati di jalan raya. Khabarnya arwah berulang-alik ke Kota Bharu kerana bertugas di Kuala Terengganu. Saya yakin ramai lagi yang situasi mereka sama dengan saya, mencari rezeki jauh dari daerah sendiri. Berusahalah untuk lebih berhemah di jalan raya. Banyakkan berehat dan redha dengan situasi yang dihadapi. Akhirnya, bertawakkal agar Allah melindungi kita dari segala musibah dan kecelakaan. Semoga kita masih berpeluang menatap wajah-wajah tersayang di muka pintu. Insya Allah.
Selamat menuju ke destinasi masing-masing..
Jangan lupa destinasi abadi yang entah bila akan tiba.
Bersedialah.