Monday, August 26, 2013

Masa & Kehidupan

0 comments

Salam ukhuwwah,

Masa terus berjalan menambah angka usia kita. Semestinya, banyak yang berubah. Hakikatnya, kita sedang menempuh fasa-fasa kehidupan yang berbeza. Justeru, hidup perlu diteruskan dengan yakin dan berani. Insya Allah nusrah (pertolongan) Allah pasti mengiringi.

Ada sebab mengapa blog ini tidak terusik sekian lama walaupun keinginan menulis tidak pernah padam. Kekangan masa dan tenaga adalah penyebabnya. 

Melayan si kecil Aqilah (4 bulan) yang melalui waktu-waktu penting pembesarannya adalah keutamaanku sekarang. Tidak kurang juga memantau perkembangan abang-abangnya yang kian menginjak dewasa. Alhamdulillah. Hikmah Allah sangatlah besar..apabila jarak usia Ammar dan Afiq dengan Aqilah agak jauh, saya lebih senang menguruskan mereka malah mereka juga ringan tangan membantu menjaga adik kesayangan mereka.   


Sejak berpindah ke rumah baru, setiap hari saya akan meninggalkan mereka seawal pagi untuk ke sekolah yang jaraknya memakan masa 1 jam lebih. Saya bersyukur kerana suami memudahkan tugas saya, mengambil alih tugas mengurus anak dan rumah. Apabila pulang di waktu petang, keletihan terubat dengan senyuman dan keletah anak-anak.

Itu secebis kisah kehidupanku. Moga ada ruang untuk menulis lagi di lain waktu. Buat semua, selamat menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan walau di mana sahaja berada.

Friday, May 24, 2013

Dia Anugerah Terindah

6 comments

Salam rindu buat semua,

Kerana dia saya menyepi sekian lama. Melalui bulan-bulan mengandungkannya, adalah saat-saat manis yang tidak mungkin dilupakan. Dia memang anugerah Ilahi yang terindah. Kehadirannya adalah rahmat Allah yang tidak pernah bertepi buat insan kerdil sepertiku. Setelah hampir 9 tahun menanti, saya dianugerahi seorang puteri sehari sebelum saya menyambut ulangtahun kelahiranku yang ke 37. Terima kasih ya Allah!

Aqilah sayangku..selamat datang ke dalam hidup kami...

Sunday, January 06, 2013

Dengan Izin-Nya

2 comments

Salam mesra buat semua yang masih setia berkunjung di sini. Lama saya termangu di skrin bisu ini. Bukan sekali tapi sudah kesekian kali. Mencari-cari idea untuk dikongsi bersama. Alangkah indahnya kalau idea untuk menulis mencurah-curah seperti hujan yang membasahi bumi saat ini. Namun, segalanya milik Allah walau kejadian setitis hujan sekalipun..segalanya dalam kekuasaan Allah. Jika diberi keizinan-Nya, pasti ia akan berlaku. Apatah lagi manusia kerdil punya sisi kelemahan pelbagai macam kita, secebis kelebihan yang dikurniakan bukan milik  mutlak kita.

Saya sungguh berbesar hati ada yang masih sudi mengikuti dan menjadi follower blog ini walaupun tiada catatan terbaru sudah berbulan lamanya. Terima kasih buat yang sudi bertanya khabar. Saya masih ingin menulis dan akan terus menulis dengan izin-Nya cuma buat masa sekarang saya banyak "berehat" dari berblog. Ada sebab tersendiri yang akan saya kongsikan suatu masa nanti. Jumpa lagi, dengan izin-Nya.

Wednesday, November 14, 2012

Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus

0 comments
Pic : www defarhano.com

Saya kira sudah agak lama saya menulis tentang kemunculan beliau di Astro Oasis dalam entri bertajuk Ustaz Azhar Idrus @ Oasis, akhirnya tertunai juga harapan semua apabila beliau muncul di Oasis walaupun cuma untuk 3 hari. Diharap program ini sebagai pembuka jalan untuk UAI terus mencurah ilmu di kaca TV.

Buat yang belum berkesempatan, masih ada waktu dan peluang. Pastikan temujanji anda bersama beliau esok. Semoga mendapat manfaat dan kebaikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...