Kisah benar seorang nenek yang dihakimi kerana mencuri ubi kayu sungguh menyentuh hati. Sifat ihsan sesama insan dan rasa kemanusiaan yang tinggi adalah nilai yang begitu berharga yang perlu diteladani khususnya pada hakim yang bijaksana ini. Baca kisah ini dan semoga anda mengambil manfaatnya.
Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah
Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang
mengaku salah mencuri ubi kayu.
Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak
pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu
merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya
kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap
dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.
Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.
”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang
tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1
juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda
harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.
Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi
hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1
juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang
mahkamah.
‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap
orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang
RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan
sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.
“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semua hasilnya kepada yang tertuduh”
Sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang
sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk
membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan
terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar
oleh pengurus ladang yang mendakwanya.
Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh
kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati
nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.