Thursday, January 07, 2010

Ajar Si Kecil Tentang CintaNya.

11 comments
Salam ukhuwwah, salam mawaddah buat semua..

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Memiliki anak yang bijak lagi soleh merupakan idaman setiap insan. Mampukah kita mendepani cabaran di dunia masakini yang penuh cabaran dan noda ini untuk melahirkan zuriat soleh yang mampu mendoakan kesejahteraan buat kita suatu hari nanti..

Menghadapi realiti anak-anak murid seagama setiap hari di sekolah , hati saya banyak mentafsir dan berfikir. Benarlah pelajaran dan ilmu agama ibubapa amat mempengaruhi sakhsiah dan aqidah anak-anak mereka. Kalau tidak, terjadilah apa yang telah terjadi..Sedih hati saya melihat sebahagian besar anak-anak bangsa seagama hidup dalam fantasi keseronokan yang mereka cipta sendiri. Tiada keinginan pada agama. Apatah lagi untuk memahami erti mencintai Allah dalam segenap aspek kehidupan. Sebagai guru, kadang-kadang saya hilang punca..di mana mahu saya mulakan dalam ruang dan peluang yang terbatas...

Justeru, harapan saya terutamanya buat ibubapa yang mempunyai permata hati penyeri hidup. Sedari kecil didiklah mereka dengan kalimah-kalimah tauhid, bisikkan di telinga mereka ayat-ayat tentang cintaNya, ceritakan pada mereka tentang keagunganNya, pakaikan mereka dengan pakaian taqwa..agar mereka membesar seiring dengan teguhnya aqidah pada Allah SWT.

Saya ingin berkongsi tips menanamkan cinta Ilahi ke dalam jiwa anak sejak dari bayi.Tips ini saya ambil dari kotak email yang dikirimkan seorang teman. Baca, hayati dan aplikasikan dalam pentarbiahan anak-anak anda..

Tahap Umur : 0 hingga 6 bulan

BAHASA
  1. Sentiasa mengucapkan kalimat La ilaha illa Allah dengan jelas dan teratur sambil mewujudkan ‘eye to eye contact’ dan memaksimakan sentuhan fizikal (misalnya: menyentuh mukanya; membuka tangannya; menggosok atau mengurut badannya selepas mandi
  2. Sentiasa bercakap dengan menggunakan bahasa yang betul untuk menunjukkan kasih sayang dan kemesraan

INTELEK
  1. Memperkenalkan tanda-tanda kekuasaan Allah. Misalnya: set anggota (pegang anggotanya yang berkenaan);
  2. Tekankan hanya Allah berkuasa memberikan kepadanya anggota itu, makhluk selain daripada Allah tidak mampu berbuat demikian.
  3. Terus baca “La ilaha illa Allah” 
  4. Memperkenalkan fungsi anggota yang dikehendaki oleh Allah: misalnya: Allah berikan mata untuk melihat tanda kekuasaan Allah.  Sekiranya Allah mengambil balik penglihatan kita, tiada siapa boleh mengembalikannya
  5. Membawanya bersiar-siar sambil bercerita betapa tinggi dan esa kekuasaan Allah, Rabb sekelian alam.
  6. Perkenalkan alam sebagai tanda kekuasaan Allah
  7. Memberikan anak peluang merasa dengan jarinya sifat yang Allah berikan kepada ciptaan-Nya.  Misalnya: panas, sejuk, kasar, licin, rata, bulat, kesat, halus.  Berikan anak rasa dengan lidahnya rasa manis, masin, pahit dan masam.  Terangkan ini sebagai tanda kekuasaan –Nya.

JIWA
  1. Solat di samping anak.  Mencium dan mendukungnya selepas solat.  
  2. Membaca al Qur’an dan ma’thurat di sampingnya.


FIZIKAL       
  1. Meletakkan anak dalam keadaan meniarap, sama ada di atas riba kita, atau di atas permukaan lantai yang tidak sejuk, bersih dan rata.  Biarkan anak cuba mengangkat kepalanya sendiri dan merayap.  Biasakan kedua tangan anak memegang kedua jari telunjuk ibu dan perlahan-lahan ibu mengangkat jarinya sehingga badan anak terangkat, sedikit demi sedikit 
  2. Bagi keseimbangan badannya, cubalah beransur-ansur menimang dan melambungnya dengan penuh berhati-hati.  Lakukan semua aktiviti ini dengan mengulang pembacaan kalimah tauhid.  Penggunaan nasyid adalah berkesan.


Tahap Umur : 6 – 12 bulan
INTELEK
  1. Teruskan ransangan yang dibaut untuk kumpulan umur 0 – 6 bulan.
  2. Mengajar kalimah tauhid dengan sebutan yang jelas, satu-satu dan teratur. 
  3. Untuk meransang inteleknya, ibu boleh menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah dalam bentuk kad-kad gambar atau buku bergambar yang besar dan jelas gambarnya. Contoh: Set tanda kekuasaan Allah di langit ( matahari, bulan , bintang, planet ). Set kekuasaan Allah di bumi (gunung, laut, sungai, padang pasir, hutan tropika
  4. Ibu boleh menggunakan sebarang set ciptaan Allah.  Perlu diterangkan di sini bahawa terdapat beberapa faedah memperkenalkan ciptaan Allah dalam bentuk set.
  • Kajian membuktikan otak kanak-kanak amat peka kepada ransangan yang berbentuk berkedip (flashing) dan berbentuk kumpulan (set).  Pembinaan ilmu itu bersistem dan akan berkembang secara bersistem juga.
  •  Memperkenalkan ciptaan Allah dalam bentuk set melatih anak untuk meneliti persamaan –persamaan pada set makhluk yang sama jenisnya; juga meneliti perbezaan-perbezaan makhluk pada set makhluk yang sam jenis.  Latihan ini pada mulanya perlu dimulakan oleh ibu.
FIZIKAL
  1. Untuk meransang fizikal anak biarlah anak merangkak secara bersilang (criss-cross pattern) kerana ini insyaAllah membantu perkembangan otak yang seimbang (bahagian otak kanan dan otak kiri) .  Sediakan tempat selamat untuk anak merangkak dan bermain.  Galakkan anak merangkak dengan cara permainan , misalnya: meletakkan satu permainan sebagai umpan atau membuat terowong dari kotak untuk anak itu lalui.
  2. Klau boleh elakkan penggunaan alat bantuan berjalan (baby walker)  kerana ini akan mengurangkan peluang anak merangkak.                   

Tahap Umur : 12 - 18 bulan
  1. Teruskan ransangan sebelum ini
  2. Berikan peluang anak berjalan atau berlari di tempat lapang dan selamat, misalnya padang.  Pada tahap ini aktiviti ini insyaAllah membantu perkembangan bahagian tertentu otak anak (cortex).
  3. Berikan peluang anak merasa dengan jari ciptaan Allah yang dijumpai dan ditekankan oleh ibu sebagai bukti kekuasaan Allah, Rabb Yang Esa.
  4. Kalimah Tauhid dan maksudnya yang mungkin telah dihafal oleh anak, akan diulangkan sebutannya semasa menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah.  Ibu boleh menceritakan keajaiban ciptaan Allah, misalnya: bagaimana Allah meninggikan langit tanpa tiang atau tali.  Penggunaan nasyid boleh membantu.

Tahap Umur : 18 - 36 bulan
Maksud hadith:  
1.  Ajarlah anak kamu surah al Furqan ayat 2 apabila dia mula  berkata-kata
2.  Ajarkan anak kamu 3 perkara : mencintai Nabi mu, mencintai keluarganya dan membaca al Qur'an

INTELEK

 AQIDAH TAUHID      
Mengajar potongan-potongan Surah al Furqan:2 menggunakan teknik pembelajaran yang menarik dan berkesan. Ayat-ayat lain, termasuk An. Nahl17; Al 'A'laa : 1,2 3 dan 4; al Ikhlas: 1,2,3 dan 4; Al Fatihah: 1,2 dan 3; dan seterusnya mengikut kemampuan dan kesediaan anak.  Objektif utama ibu adalah memperkenalkan Allah sebagai Rabb dan melalui proses ransangan seterusnya, dia akan dibimbing untuk mentauhidkan Allah sebagai Ilah.

SEERAH  RASUL   
Pengajaran seerah para rasul, khususnya seerah Rasulullah SAW mesti membawa penekanan yang jelas kepada anak, iaitu para rasul adalah contoh manusia yang mentauhidkan Allah sebagai Rabb dan Ilah dan para rasul mengajar manusia mentauhidkan Allah, tidak menyengutukan-Nya dengan apa-apapun.  Teknik penceritaan mestilah mudah dan berkesan.  Buku-buku bergambar dapat membantu menarik perhatian dan minat anak.

 AL QUR'AN 

Merkenalkan al Qur'an sebagai Kitabullah dan Kalamullah secara beransur-ansur.  Adakan sesi hafalan surah-surah pendek dalam Juz 30.  Sila perhatikan bahawa sesi ini berasingan dari sesi pembelajaran aqidah yang menggunakan ayat-ayat tertentu dari al Qur'an.  Nasyid boleh digunakan untuk memperkenalkan fungsi al Qur'an, misalnya: nasyid " al Qur'an itu petunjuk"

Wednesday, January 06, 2010

Fasa Baru Ammar

17 comments
Salam mesra buat semua..

Sejak sekolah mula dibuka pada Ahad lalu, saya agak busy dengan kerja-kerja awal tahun di sekolah. Setelah di'peram' hampir 3 hari, hari ini baru saya berkesempatan mencoret entry tentang anak bujang saya, Ammar yang memulakan sesi persekolahan rendahnya di Tahun 1. 



Alhamdulillah. Ammar sangat teruja untuk ke sekolah. Oleh kerana Ammar bersekolah di sekolah abinya di Kuala Terengganu dia perlu bangun seawal jam 5.30pagi untuk bersiap sedia untuk ke sekolah. Namun sedikit pun Ammar tidak merungut mahupun meragam. Raut wajahnya sentiasa tersenyum. Tersengih-sengih jer..Sungguh teruja dan bersemangat sekali untuk mula belajar. 

 
 Walaupun abang nampak montel jer..tp abg tetap handsome bg ummi

Walaupun sudah 2 tahun belajar di prasekolah di sekolah yg sama, nampaknya masuk Tahun 1 umpama menempuh fasa baru baginya. Saya ada memujuknya supaya bersekolah sahaja di SK Saujana bersebelahan sekolah saya. Namun Ammar enggan sama sekali. Dia tidak kisah menempuhi perjalanan dr Setiu ke Kuala Terengganu yang agak jauh setiap hari (11/2jam perjalanan). Lagaknya dia sudah biasa dan selesa di SK Bukit Tunggal. Saya akur dan dalam masa yang sama saya berasa lega kerana tidak perlu resah kerana perkembangannya boleh dipantau abinya sepanjang waktu persekolahan.

Selain anak yang excited dengan alam barunya, ummi dan abi pun apa kurangnya. Terutama saya. Bila Ammar pulang dari sekolah, tak sabar-sabar saya mahu mendengar cerita hari pertama Ammar. Tapi sayang, dek keletihan Ammar tidur sepanjang perjalanan pulang dan sambung lagi kat rumah. Saya biarkan dia berehat. Menempuh hari pertama persekolahan setelah hampir sebulan setengah bercuti pasti memenatkan buat si montel saya ini..



 Penat punya pasal..

Bila bangun dari tidur petang itu, macam-macam cerita yang keluar dari mulutnya. yang memang gemar bercakap. Saya mendengar dengan setia. Terasa lucu pun ada. Sekali sekala bertanya dan menyelitkan nasihat. Satu pengalaman baru yang saya kira amat bermakna dan berharga buat Ammar. Jauh di lubuk hati saya, saya panjatkan doa agar Allah terangkan hatinya, elokkan pekertinya, dan kukuhkan semangatnya dalam menempuh alam persekolahan yang baru bermula - satu fasa baru buat Ammar!


Sunday, January 03, 2010

Rahsia Wanita Jepun Kurus & Ramping

24 comments
Salam mesra buat semua..
Diet dan pemakanan sihat merupakan azam tahun 2010 buat saya. Sebenarnya kalau diikutkan berat badan 60kg+ ditambah dengan ketinggian 162cm, saya tidaklah mencapai tahap obesiti tetapi saya hanya inginkan tubuh yang sihat dan cerdas untuk kekal aktif dan cergas dalam melakukan aktiviti harian. 

Sebenarnya diet bukan sekadar untuk kurus dan cantik, tapi lebih penting dari itu ialah mempunyai tubuh badan yang sihat. Bila tubuh badan sihat, maka minda lebih cerdas dan positif. Seperti pepatah Arab ada mengatakan " Akal yang cerdas datangnya dari badan yang cergas."Selain dari itu, urusan ibadat menjadi lebih bermakna. Apatah lagi  untuk melunaskan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Justeru..nak merealisaikan impian itu, bila ada masa-masa terluang pasti saya akan cari maklumat-maklumat pasal diet di internet. Banyaklah juga info yang saya dapat. Antaranya rahsia pemakanan wanita Jepun yang menampilkan badan mereka  yang kekal kurus, ramping dan sihat. Saya petik artikel ni dari Harian Metro untuk dikongsi bersama teman-teman yang juga mempunyai impian yang sama..


TABIAT makan memang mampu mengubah diri apatah lagi jika rajin meneliti corak pemakanan yang diwarisi secara tradisional di pelbagai pelosok dunia.

Antara tabiat pemakanan yang sering menjadi tumpuan adalah diet warisan masyarakat Asia khususnya di Jepun, China, Korea, Vietnam, Thailand dan India manakala di Eropah, cara tradisional pemakanan masyarakat Perancis turut menjadi perhatian.

Hasil tulisan perunding pemasaran kelahiran Jepun, Naomi Moriyama menerusi bukunya berjudul Japanese Women Don’t Get Old or Fat, menyelongkar petua di sebalik gaya hidup wanita negara matahari terbit itu yang muda bertenaga. Dia bukanlah pengamal diet, tetapi rahsianya mudah saja, menikmati masakan rumah cara Jepun.

Dia juga yakin jangka hayat hidup yang panjang dan kadar obesiti yang rendah di kalangan masyarakat Jepun banyak berkait dengan jenis makanan disediakan di rumah.

Membesar di Tokyo dan kini tinggal di New York, Amerika Syarikat, Naomi pernah mengalami pertambahan berat lebih 10 kilogram dengan ketinggian hanya 150 sentimeter ketika menuntut di kolej kerana banyak menikmati makanan Amerika.Dia dan suaminya kini bertukar kepada cara makan tradisional Jepun.Lebih langsing dan bertenaga, dia berkongsi strategi pemakanannya yang digelar sebagai tujuh rahsia dapur Tokyo.

Rahsia pertama, makanan yang menjadi keutamaan termasuk ikan, soya, nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan. Kedua, sajian makanan adalah kecil.
Ketiga, sup miso menjadi sajian sarapan utama.
Keempat, memasak secara sederhana. Kelima, nasi menggantikan roti.
Keenam, hanya jamah makanan pencuci mulut.
Ketujuh, wanita Jepun lazimnya tidak mengamalkan diet sebaliknya hanya makan apa saja yang digemari dalam jumlah sedikit.

Naomi mengakui masyarakat Jepun juga tidak makan hingga kenyang sepenuhnya kerana lazimnya mereka makan hingga 80 peratus kenyang.Mereka juga banyak berjalan iaitu mereka mengambil peluang untuk berjalan ke mana saja.

“Makanan Jepun memberi tumpuan terhadap tenaga makanan yang dihasilkan dalam saiz yang memuaskan. Tidak perlu masak cara Jepun untuk menikmati asas diet yang menyihatkan, hanya makan lebih ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta tambah beberapa pilihan menyihatkan seperti taufu dan nasi,” kata Naomi.

Menurutnya, cara hidup dan diet itu juga membuatkan masyarakat Jepun baik lelaki atau wanita, hidup lebih lama dan sihat.Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat wanita dan lelaki Jepun adalah 86 serta 79 tahun berbanding warga Amerika, 80 tahun (wanita) dan 75 tahun (lelaki).

Selain itu, masyarakat Jepun mencatatkan kadar obesiti paling rendah di kalangan negara maju iaitu kira-kira tiga peratus berbanding 11 peratus untuk Perancis dan 32 peratus Amerika.“Mungkin ramai yang kata ia sebahagian daripada genetik kami, tetapi apabila orang Jepun mula mengamalkan cara pemakanan Barat, mereka cepat mengalami pertambahan berat badan,” kata Naomi sambil menambah petua, seseorang itu harus makan dengan mata.

Menurutnya, keajaiban makan cara Jepun adalah keseimbangan yang menyihatkan dari segi inti makanan serta menyajikan makanan lazat yang rendah kalori.Di samping itu, makanan harus disajikan cantik menerusi jumlahnya yang kecil dalam pinggan kecil molek.

“Menerusi cara itu, ia menggalakkan seseorang untuk ‘makan dengan mata’ dengan menikmati keindahan makanan. Hasilnya, kita akan makan dengan perlahan untuk menikmati setiap gigitan.“Ini juga bermaksud, seseorang itu akan makan dalam jumlah yang sedikit kerana ia memberikan masa kepada otak untuk sedar bahawa tubuh kita sudah kenyang,” katanya.

Menurutnya, secara purata masyarakat Jepun makan kira-kira 25 peratus kurang kalori setiap hari berbanding warga Amerika. Makan hanya lapan peratus kurang daripada jumlah kalori setiap hari sambil meningkatkan aktiviti fizikal secara sederhana, mungkin memadai untuk menggalakkan usia yang lebih panjang, menurut penyelidikan Kolej Perubatan Universiti Florida.

Diet Jepun juga banyak pengambilan nasi iaitu kira-kira enam kali ganda lebih banyak daripada jumlah diambil seseorang yang mengamalkan pemakanan di Amerika. Di Jepun, semangkuk kecil nasi dihidangkan bersama hampir semua sajian termasuk sarapan. Karbohidrat kompleks yang rendah lemak itu memang mengenyangkan justeru, seseorang itu kurang keinginan untuk makan makanan berlemak seperti biskut dan pastri.

Menurut Naomi, masyarakat Jepun juga gila makan sayur. Sayur-sayuran seperti lada benggala merah, lada benggala hijau, kacang hijau, terung, bawang, tomato, kobis, lobak merah, bayam, pucuk rebung, akar teratai, cendawan shitake, kentang manis serta rumpai laut adalah antara yang digemari dalam pemakanan Jepun.

Malah, tiada siapa fikir ia sesuatu yang ganjil apabila mereka menyediakan sup sayur-sayuran atau salad untuk sarapan. Sayur-sayuran itu biasanya disediakan dengan rebusan berperisa, tumis bersama minyak kanola atau dikukus perlahan, semua kaedah itu mengekalkan jumlah khasiat yang maksimum.

Ikan seperti salmon, tuna, makerel dan sardin adalah sumber penting asid lemak omega-3 yang dikenali kerana manfaat kesihatannya untuk jantung. Cuma, diet Jepun mungkin mengandungi sodium yang tinggi, justeru kurangkan pengambilannya terutama di dalam sos soya atau teriyaki atau menggunakan sos berkenaan dalam jumlah yang kecil.

Rahsia diet masyarakat Jepun itu jika diteliti, sesetengahnya ada persamaan dengan tabiat pemakanan yang diwarisi secara tradisional oleh masyarakat Perancis. Seperti diketengahkan penulis Mireille Guiliano yang menghasilkan buku yang cukup laris beberapa tahun lalu, French Women Don’t Get Fat, ada sesuatu yang harus dipelajari daripada sikap orang Perancis terhadap makanan.

Baginya, seseorang itu harus menikmati makanan, bukannya takutkan makanan.Masyarakat Perancis rata-rata bukan saja menikmati makanan mereka, tetapi pada masa sama, mengawal berat badan menerusi perubahan kecil dalam tabiat pemakanan. 

Mireille mengakui wanita Perancis biasanya makan mengikut waktu. Mereka juga tidak kisah mengenai jumlah kalori makanan sebaliknya menjalin hubungan yang seimbang dengan makanan. Ini bermakna seseorang itu harus memberi penekanan terhadap kualiti, bukannya kuantiti dan belajar untuk makan secara perlahan supaya dapat menikmati makanan, sekali gus mengelak tabiat makan dengan gelojoh.

Baginya, seseorang itu boleh menikmati apa saja makanan, tetapi ia harus secara sederhana.
Makanan Perancis biasanya mengandungi beberapa hidangan, tetapi sajiannya kecil dan makanan berkenaan berkualiti tinggi. Saranan Mireille, menikmati secubit coklat berkualiti tinggi adalah lebih memuaskan selera daripada sekeping coklat bersaiz besar.

Keseimbangan dimaksudkan penulis ini bukan saja membabitkan makanan, tetapi aspek lain. Misalnya, jika seseorang itu menikmati pencuci mulut ketika makan tengah hari, dia lazimnya memilih hidangan makan malam yang agak ringan atau bersenam dengan berjalan sekeliling kediaman.

Meskipun tiada kajian saintifik disentuh dalam bukunya, penyelidikan perubatan turut menyokong hasil tulisan wanita yang mencecah usia 60 tahun ini. Kajian Universiti Pennsylvania, Amerika misalnya mendapati meskipun kebanyakan makanan Perancis mempunyai kandungan lemak yang tinggi, masyarakat Perancis biasanya menikmati saiz hidangan yang lebih kecil dan kebanyakannya mengambil jumlah kalori yang lebih sedikit berbanding kebanyakan masyarakat AS.

Friday, January 01, 2010

Anugerah Komentator Disember 09

7 comments
Salam mesra buat semua..



Thank You Very Much! Syukran jazilan! Hanya itu yang mampu saya ucapkan buat teman-teman blogger yang setia memberi sokongan pada coretan-coretan saya tiap kali bersiaran. Walaupun hanya sebaris kata namun ia amat bermakna buat saya. Sekurang-kurangnya saya tahu, saya bukan menulis syok sendiri atau bersendirian. Saya perlu bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis kerana ada insan-insan prihatin yang sentiasa sudi berkongsi idea, pendapat, pengalaman mahupun kisah suka duka.

Berikut adalah carta 10 komentator terbanyak blog saya sepanjang bulan Disember.
  1. mamalieyna (11)
  2. Nida (11)
  3. Hamizah (10)
  4. Nadiah Sidek (10)
  5. yatie chomeyl (8)
  6. anaklaut (6)
  7. Ibuhani (6)
  8. The Queen Of My Heart (4)
  9. QuEeN Of 2 Heroes (4)
  10. fa10 (4)
Untuk menghargai keprihatinan teman-teman blogger sekalian, saya telah menyediakan satu ruang khusus " My Top Commentator" untuk mereka dalam blog saya ni. So, untuk bulan Disember 2009..anugerah komentator terbanyak ialah mamalieyna dan nida iaitu sebanyak 11 komen. Tahniah diucapkan..sorry la sebab tak dapat sediakan hadiah atau award yang lebih baik. Harapan saya agar mamalieyna, nida dan sahabat-sahabat blogger lain terus memberi sokongan pada blog saya ni..

Selamat berkongsi idea dan pengalaman! Coretan anda amat saya hargai..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...