Saturday, March 05, 2011

Allah Sentiasa Bersamamu

11 comments
Salam mesra, salam ukhuwwah..

Maaf lama tidak bersiaran di sini. Kesihatan yang kurang mengizinkan dan kesibukan yang tak pernah habis, membataskan saya untuk menulis di sini. Catatan  kali ini sekadar berkongsi rasa dan pengalaman tentang cabaran kehidupan yang masing-masing tidak dapat lari darinya.


Mac kali ini datang membawa khabar yang cukup indah dan memberi harapan yang baru untuk meneruskan perjuangan pengajian saya yang belum selesai. Semester 2 pengajian cukup payah diharungi, cukup pahit untuk dikenang dan membuatkan saya hampir berputus asa untuk menghabiskan pengajian. 

Tugasan dan projek yang banyak dan pensyarah yang sangat teliti mungkin cabaran biasa yang harus dihadapi, tetapi kekangan masa dan kerja adalah penghalang utama yang cukup menguji rasa. Kalau anda guru, anda mungkin memahami situasi saya apabila hampir setiap malam berjaga sehingga 2-3 pagi  menyiapkan  assignment dan perlu berkerja awal pagi hingga petang. Urusan rumahtangga dan anak-anak pula satu kewajipan yang perlu dilunaskan.

Airmata paling banyak tumpah kali ini dan beberapa kali saya menyatakan pada suami, mungkin ini noktah pengajian saya. Kalau bukan kerana semangat dari abang, mungkin saya tidak akan sekuat ini. Dan yang pasti, Allah SWT, Sumber Segala Kekuatan telah memberi keyakinan dan kekuatan hati untuk saya meneruskannya.

Keputusan dua-dua kursus dengan A (4.00) yang tidak dijangka sama sekali, saya terima dengan airmata kesyukuran. Serta merta hilang semua kepayahan, lenyap semua  rasa putus asa. Sesungguhnya kasih sayangNya amat tinggi hingga saya malu menerima kurniaanNya ini. Saya malu kerana hampir putus asa, kerana putus asa adalah bukan sikap mukmin sejati yang yakin pada rahmat Allah. 

Buat sahabat-sahabat semua, jika anda mengalami kesulitan dan kesusahan, jua diuji dengan cabaran dan dugaan, yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita;

إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya; Tatkala Rasulullah berkata kepada sahabatnya (Abu Bakar). Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama kita, lalu Allah s.w.t memberikan ketenangan kepadanya.

Allah jua hampir dengan kita dan mendengar rintihan hambaNya serta gembira dengan hamba yang kembali kepadaNya;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya;Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Allah sayang kepada hamba-hambaNya yang kembali kepadanya;

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya; Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya.

Semester 3 sudah bermula kelmarin. Moga kurniaanNya ini menjadi pemangkin semangat untuk meneruskan perjuangan dalam menimba ilmu. Insya Allah.

Saturday, February 26, 2011

300km

9 comments
Salam mesra dan selamat berhujung minggu..

300km! Ya..memang 300km! Satu jarak yang sangat jauh. Kalau naik kereta, memakan masa hampir 1 hari untuk sampai ke tempat yang dituju inikan pula perjalanan dengan motosikal. Kisah nekad seorang siswi tahun akhir menunggang motosikal seorang diri sejauh 300km semata-mata untuk membuang bayinya menarik perhatian saya hari ini. Bayangkan! Klik di sini untuk baca kisah sepenuhnya.


Seingat saya, sehari selepas melahirkan anak sulung, hendak duduk dan bergerak pun masih tidak selesa inikan pula menunggang motosikal sejauh 300km. Tapi malu punya pasal, redah sahaja la..Terfikir saya, tahu  pula dia malu kan? Masa buat dosa, tidak malu-malu langsung dengan Allah SWT. Rasulullah sendiri pernah bersabda :"Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu" (Hadis Riwayat Bukhari) 

Realiti yang menyakitkan ini adalah bukti betapa kritikalnya iman dan akhlak anak-anak muda akhir zaman ini. Inilah akibatnya bila malu sudah tidak lagi berfungsi sebagai perisai diri. Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda: "Iman terdiri daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu dari bahagian-bahagian iman." Dalam hadis lain Rasulullah juga mengingatkan: "Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan."
 
Justeru, tanamkanlah sifat malu dalam diri anak-anak kita terutamanya apabila melibatkan  perkara-perkara yang menyumbang kepada dosa dan kehancuran. Semoga malu menjadi perisai diri mereka dari melakukan dosa kepada Allah SWT.

Wednesday, February 23, 2011

Doa Buat Rakyat Libya

3 comments
Salam mesra..

Keangkuhan sang diktator Muammar Gaddafi tidak dapat disangkal lagi. Makin jelas kezaliman dan kegilaannya hingga sanggup mengorbankan rakyat sendiri sehingga ke titisan  darah terakhir mereka untuk kekal berkuasa, mengarahkan polis dan tentera membedil dan menembak penunjuk perasaan Libya dengan menggunakan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang..Mayat-mayat bergelimpangan, kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan...Sesungguhnya dia telah melampaui batas!



 Bersabarlah rakyat Libya! Pertolongan Allah pasti tiba.




Ulama Muslim berpengaruh Mesir, Yusuf al-Qaradawi, telah mengeluarkan fatwa yang menegaskan bahawa setiap tentera Libya yang memiliki kesempatan untuk menembak pemimpin Muamar Gaddafi harus melakukannya 'demi membebaskan Libya dan rakyatnya dari kejahatan'.

"Saya di sini memfatwakan siapapun di dalam angkatan bersenjata Libya yang mampu dan memiliki kesempatan menembak peluru ke arah Gaddafi harus melakukannya," kata Qardawi  kepada televisyen Al Jazeera.

Wednesday, February 16, 2011

Kisah Sebiji Limau

4 comments


Ya Rasulullah..Tidak terjangkau tinggi pekertimu, Tidak tergambar indahnya akhlakmu..kisah Rasulullah dan sebiji limau ini membuktikan segalanya, menjadi tauladan buat kita semua..Cerita ini dipetik dari razzyy.com



“Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.

Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.

Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya.

Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan :

“Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya.”

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula.

Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di’tewas’kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Semoga beroleh manfaat dari cerita ini. Selamat beramal..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...