Wednesday, November 25, 2009

Catatan 'Idul Adha di Egypt

12 comments

Salam 'Idul Adha dengan ucapan kullu 'am waentum bikhair..buat sahabat-sahabat yang membaca entry ini..
Antara kita sedar atau tidak, lusa hari Jumaat 10 Zulhijjah Insya Allah kita akan menyambut Idul Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban. Macam tidak begitu terasa kedatangan Idul Adha berbanding kedatangan Idul Fitri yang lebih meriah bagi masyarakat Islam di negara kita. Sedangkan Idul Adha juga hari istimewa anugerah Allah untuk umat Islam memuji dan membesarkan Allah serta disyariatkan ibadah korban yang besar fadhilatnya sebagai mengambil iktibar peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Entry kali ni saya nak cerita sedikit pengalaman menyambut Idul Adha di Mesir masa belajar dulu. Berbeza dengan Malaysia, sambutan Idul Adha di Mesir lebih meriah berbanding sambutan Idul Fitri. Semasa Idulfitri kita orang Malaysia yang sakan beraya tapi pak-pak, mak-mak dan anak-anak Arab macam tak teruja sangat sebab mereka lebih teruja time raya Haji/Korban.
Di Mesir hampir semua keluarga yang berkemampuan akan melaksanakan ibadah korban. Sebahagian masyarakat Mesir membeli binatang ternakan untuk tujuan korban beberapa minggu sebelum Idul Adha lagi. Kiranya dah booking siap-siaplah..malah ada yang beli lebih awal dari tu lagi. Kalau kat Malaysia biasanya kita akan memilih lembu untuk dikorbankan tapi kat Mesir biasanya kambing atau biri-biri. Tetapi ada juga yang berkorban lembu dan unta. Binatang-binatang ternakan ini akan diikat lehernya dengan tali berwarna-warni (biasanya; putih, merah dan hijau) untuk memberi tanda bahawa binatang-binatang itu sudah bersedia untuk dikorbankan.

Masih saya ingat, seminggu sebelum Idul Adha, di tepi-tepi jalan di Cairo malah di daerah lain juga meriah dengan kambing/biri2 yang ditawarkan pada orang-orang yang lalu lalang. Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ni, kalau dalam bulan Ramadhan terdapat maidaturahman (hidangan berbuka percuma) yang menghiasi dan mewarnai jalanan di Mesir, tetapi menjelang Idul Adha kambing/biri-biri/lembu yang dikumpulkan di tepi-tepi jalanan menanti diberi kehormatan untuk dijadikan haiwan korban. Situasi ini mungkin tidak akan kita temui di negara kita malah di negara lain juga. Dah macam pasar kambing dan biri-biri pulak..

Pada hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah, sehari sebelum Idul Adha kita akan mendengar anak-anak Mesir menyanyikan lagu-lagu rakyat yang menunjukkan bahawa esok waktu untuk menyambut Idul Adha dan melaksanakan ibadah korban.

Pada pagi Raya, selepas melaksanakan solat Idul Adha, binatang-binatang korban tersebut disembelih, dan dibahagi kepada 3 bahagian; 1/3 dibahagikan kepada fakir miskin, 1/3 dibahagikan sebagai hadiah untuk kerabat dan sahabat, dan 1/3 untuk yang berkorban.

Bagi orang Mesir yang tidak mampu menyembelih sendiri, mereka boleh menggunakan khidmat tukang sembelih profesional yang beredar dari satu tempat ke satu tempat menawarkan khidmat mereka. Satu perkara pelik pasti anda akan saksikan usai melakukan sembelihan atau membantu acara korban, lelaki-lelaki Mesir menyapu baju-baju mereka malah pada keldai dan kenderaan dengan darah binatang korban dan berjalan sekeliling kampung atau kawasan mereka..itu semua adalah amalan karut dan khurafat yang bercanggah dari Islam kerana mereka beranggapan ianya boleh mengelakkan mereka dari ditimpa bencana..syukran kepada hamba Allah yang menyampaikan info ini..
Itulah serba sedikit catatan kenangan Idul Adha di Mesir. Terasa rindu pulak nak melalui situasi sebegitu. Apa-apa pun situasi dan tempat sahaja yang berbeza namun konsep dan syariat korban dan Idul Adha adalah sama untuk semua umat Islam


Peringatan untuk diriku dan semua : Jom kita puasa sunat esok ! Hari Arafah - 9 Zulhijjah kerana fadhilatnya begitu banyak buat kita.


Puasa sunat 9 Zulhijjah ni disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujarnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa Hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmizi)

Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datang."
(Diriwayat oleh Muslim)





Untuk semua bloggers dan sahabat-sahabatku..





Tuesday, November 24, 2009

Cuti Yang Bermakna

12 comments


Salam buat sahabat-sahabat semua..


Akhirnya cuti sekolah yang ditunggu-tunggu tiba jua. Bukan setakat para pelajarku dan anak-anak seronok kerana dapat cuti. Cikgu dan ummi mereka pun apa kurangnya. Part cuti ni lah yang paling istimewa apabila anda memilih kerjaya sebagai guru. Satu bulan setengah tempoh yang agak lama. Banyak yang sudah dirancang dalam kepala saya ni. Perancangan cuti untuk diri sendiri, keluarga, anak-anak malah untuk pelajar-pelajar saya bagi sesi tahun depan.

Masa untuk menjadi surirumah sepenuhnya

Surirumah sepenuhnya. Cita-cita yang tak mungkin tercapai kecuali saya resign dari kerjaya sekarang atau hanya mampu dilakukan sepenuhnya ketika cuti sekolah. Kadang-kadang jeles rasanya bila melihat kakak-kakak, jiran mahupun rakan yang menjadi surirumah sepenuhnya. Masa banyak dihabiskan menguruskan rumahtangga dan anak-anak membesar sepenuhnya di depan mata.

Sedangkan ibu dan isteri yang bekerja macam saya terpaksa berkejar-kejar ke sana ke mari. Alangkah indahnya kalau dapat stay kat rumah mencuba resepi-resepi baru, menunggu suami dan anak-anak pulang dari sekolah mahupun mengemas dan menghias rumah agar kemas sepanjang masa. Anak-anak tidak perlu dihantar ke taska atau ke rumah pengasuh tetapi ditangani sendiri penuh kasih sayang. So, harap cuti ini bermakna buat saya kerana inilah masa untuk menqada' semula tanggungjawab seorang suri dalam hidup suami dan anak-anak saya.

Masa untuk bersama anak-anak

Bila bekerja, waktu bersama anak-anak sangatlah terhad. Awal pagi sudah ke sekolah dan kadang-kadang lewat petang baru boleh bersama mereka. Saya bercadang cuti kali ini untuk sepenuhnya bersama anak-anak. Melakukan aktiviti bersama-sama. Ingatkan nak bawa mereka pergi bercuti tapi keadaan sekarang sangat tidak mengizinkan dengan hujan dan banjir sana-sini, so aktiviti banyak dilakukan di rumah jelah..memantau perkembangan pelajaran mereka dgn buku kerja yg dibeli, menghabiskan bacaan Al Quran paling kurang 1 juzuk setiap seorang mahupun bersama-sama melakukan aktiviti kegemaran mereka yang lain..

Masa untuk memanjakan diri

Siapa lagi nak memanjakan diri kita sepenuhnya kecuali diri kita sendiri kan? Cuti ni amat bermakna kalau saya dapat berehat sepenuhnya, tidak fikir langsung pasal kerja.. (kalau boleh la.). dan melakukan aktiviti kegemaran saya seperti membaca novel dan buku-buku ( yang sudah berhabuk lantaran tidak dibaca), blogging, pergi bercuti dan lain-lain lagi. Lagi bermakna waktu lapang sebegini boleh mendekatkan diri pada Ilahi sebanyak-banyaknya. Beribadah lebih khusyuk dan berkualiti. Insya Allah. Baca Al Quran, puasa sunat dan ibadah-ibadah yang lain..Oh! Alangkah damai dan tenangnya..

Masa untuk berbakti

Semestinyanya cuti ini masanya untuk pulang ke rumah ayahanda saya di Kuala Terengganu. Berbakti tika hayatku dan hayatnya masih ada. Melayan makan minum atau mencuci pakaian ayah sudah cukup membahagiakan. Apatah lagi dapat berbual dan berbicara dengan ayah buat mengubat kesepiannya selama ini. Jua tidak dilupakan menjenguk adik-adik iparku yang ditinggalkan ayah dan mak kerana mengerjakan Haji baru-baru ni..

Moga cuti kali ini betul-betul memberi makna..dan bukan sekadar hari-hari kosong tanpa erti...Insya Allah.


Monday, November 23, 2009

Kereta Baru

2 comments

Salam buat semua..

Meh! Kita cuci-cuci mata tengok kereta Perodua MPV Alza yang telah dilancarkan secara rasminya hari ini, 23 November 2009.



Model ini adalah adaptasi daripada Daihatsu Boon Luminas / Toyota Passo Sette yang telah menjadi bualan sejak hampir setahun yang lalu. Cantik kan?


Kenderaan yang menampilkan reka bentuk dinamik dan menyerlah itu antara lain dilengkapi ciri keselamatan terkini, termasuk sistem brek antikunci (ABS) dengan agihan brek elektronik (EBD) dan bantuan brek (BA) bagi varian terpilih.




Alza versi 1.5 liter akan ditawarkan dalam empat varian pada peringkat permulaan, iaitu versi standard dengan gear manual dan automatik serta versi premium dengan gear manual dan automatik dengan harga atas jalan antara RM56,000 hingga RM64,000 seunit. Versi mewah Alza dengan dengan gear manual dan automatik akan ditawarkan mulai Mac tahun depan pada harga atas jalan antara RM67,000 dan RM70,000 seunit.

Ia juga dilengkapi stereng dengan suis audio bagi varian premium dan sports; tempat rehat kaki dan tuil gear di panel papan pemuka untuk varian automatik, serta meter di bahagian tengah papan pemuka, juga yang pertama bagi MPV nasional.


Sebenarnya..Saya takdelah bercadang nak beli kereta buat masa ni..cukuplah dengan si Kancilku yang setia selama ini. Lagipun banyak lagi perancangan lain yang perlu diutamakan.


Friday, November 20, 2009

Budak 3 Tahun Hafaz Al Quran

11 comments

Salam buat semua..

Subhanallah..Masya Allah..terpegun saya dibuatnya..Umur 3 tahun sudah mampu hafaz Al Quran. Terfikir sejenak..Dimanakah kedudukan kita dengan Al Quran? Kalau nak menghafaznya pun kita tidak mampu, adakah membacanya pun kita abaikan...renungkanlah!




Didiklah anak-anak agar mampu membaca Al Quran dengan baik di awal usia kerana ianya tanggungjawab ibubapa yg terpundak dibahu kita..

Semoga Allah permudahkan kita untuk mencintai, membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al Quran dalam kehidupan harian..




Wednesday, November 18, 2009

Sanah Helwah Buatmu..

12 comments
Salam mesra dan ceria buat sahabat-sahabat semua.. Manusia memang mudah lupa. Begitu jua saya. Apalagi dihimpit kerja-kerja hujung tahun kat sekolah sampai saya lupa pada tarikh yang cukup penting. So, entry kali ini khas untuk menyatakan ucapan hari lahir..buat abangku, Azam yang ke 37. Banyak yang nak diucapkan sebenarnya, namun saya doakan semoga dia beroleh kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup di dunia ini mahupun di akhirat nanti. Jua didoakan semoga dapat complete study dengan jayanya dan dimurahkan rezeki serta dikurniakan zuriat yang ramai. Amin.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Jua, ucapan Sanah Helwah yang ke 28 untuk sahabatku Azie, Guru Data sekolahku yang sibuk amat hari ini dengan data-data SMMnya ..Happy Birthday Zie..moga ketenangan dan kebahagiaan hakiki mengiringi setiap perjalanan hidup dan moga sentiasa berjaya dalam setiap perkara yang dilakukan..

Monday, November 16, 2009

Ciri-ciri Ibu Sejati

13 comments
Salam mesra buat semua..

Ibu adalah insan terdekat dengan diri kita. Sentiasa ada dan bersedia bila-bila masa untuk anak-anak. Prihatin dan sentiasa mengambil tahu. Kasih sayangnya tak terluah hanya dengan kata-kata. Macam arwah ibu saya, dia sangat sayangkan anak-anaknya, tapi dia tidak pandai untuk menzahirkan keseluruhannya perasaan sayangnya itu..namun tetap perasaan itu sampai dek keikhlasannya. Walaupun dia tidak mengucapkannya, saya tahu dia sayangkan saya dan bangga dengan kejayaan saya selama ini..Ya Allah..rindunya saya pada arwah ibu..

Menjadi seorang ibu adalah antara anugerah Ilahi terbesar pernah saya terima dalam hidup ini. Tidak terungkapkan betapa indahnya perasaan bergelar ibu dan betapa bersyukurnya diri dikurniakan nikmat sebegini hebat. Walaupun untuk menyandang title ibu..bukan sedikit pengorbanan mengandung dan melahirkan terpaksa ditempuhi, namun disitulah istimewanya seorang ibu berbanding bapa..

Saya sudah memegang title ibu hampir tujuh tahun. Namun, adakah saya berjaya menjadi seorang ibu yang baik dan ideal buat anak-anak saya? Sabarkah saya seorang ibu menangani karenah anak-anak yang sedang membesar? Lembutkah tutur bicara saya bila menangani kemarahan dek tingkah laku anak-anak? Tertunaikah tanggungjawab saya sebagai seorang ibu mendidik dan membesarkan mereka? Cukupkah kasih sayang dan keprihatinan saya buat mereka?

Banyak persoalan bertemu persoalan. Dan jawapannya ..tepuk dada tanyalah iman..Dengan izin Allah, masih jauh lagi perjalanan saya sebagai seorang ibu..banyak lagi rentak kehidupan yang harus diikuti dan berbagai cabaran yang bakal menanti. Justeru, peringatan buat diriku dan ibu-ibu semua..semasa saya singgah di laman Halaqah. Net saya terjumpa artikel yang menarik untuk renungan dan panduan seorang ibu...bacalah, moga jadi pedoman..

Sifat utama yang dibekalkan oleh Allah kepada mana-mana ibu adalah sifat kasih sayang yang tinggi. Dengan kasih sayang inilah seorang ibu itu benar-benar dapat menjadi ibu. Dari sifat kasih sayang ini bercambah sifat-sifat lain yang menyerlahkan lagi sifat keibuan sejati pada dirinya.


Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, berikut adalah antara ciri-ciri yang selalunya ada pada ibu-ibu yang memiliki sifat keibuan sejati:

1. Kasih sayangnya menyerlah Ibu yang sejati di dalam Islam akan memberi kasih sayang bukan saja dalam bentuk belaian dan kemanjaan tapi juga didikan. Di samping keperluan fizikal anaknya dipenuhi, keperluan rohani turut diisi. Kerana tingginya kasih sayang ibu ini, dia mengharapkan kejayaan yang berkekalan buat anaknya. Justeru anak itu dididik dan dibentuk peribadinya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. “Anak itu milik Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah,” ujar Us. Hj. Mohd Nasib Zawawi dari firma motivasi Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

2. Prihatin dan ambil berat Kadang-kadang anak sudah besar panjang pun, ibu masih prihatin, ambil berat dan ambil tahu tentang diri anaknya. “Ibu saya sampai sekarang, bila jumpa dia akan tanya, kamu dah solat ke belum,” kata Hj. Mohd Hanim Mohd Tahir, pakar motivasi.

3. Halus perasaan Ibu yang sejati dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar ‘bahasa badan’ anaknya. “Ibu dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anak tidak beritahu,” kata Ustazah Nasiyah Hj. Abd. Razak.

4. Suka beri nasihat Sifat seorang ibu sejati, dia suka dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Oleh itu dia selalu menjadi kaunselor dan tempat rujuk anak-anaknya. Dalam kitab ada dinukilkan pesanan seorang ibu terhadap anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan. Sifat suka memberi nasihat ini didorong oleh keinginan untuk melihat anaknya mendapat yang terbaik dalam hidupnya.

5. Sangat sabar dan berlapang dada Dari wajahnya sudah dapat dibaca sifat sabar dan lapang dadanya. Bukan dia tidak pernah marah tapi dia pandai dan mampu mengawal perasaan. “Mak saya bila anak-anaknya datang, dia layan semuanya dengan wajah dan senyum yang manis,” cerita seorang teman mengenai ibunya yang berusia akhir 70-an. “Tak pernah dia tunjuk rasa tak senang atau marah. Walhal bukan tidak ada antara kami yang pernah mengecilkan hatinya. Bagi saya, itulah ibu sejati.”

6. Lembut tapi tegas Wataknya ‘adjustable’. Di mana perlu berlembut, dia akan berlembut. Di mana perlu tegas dan tidak boleh beri muka, dia akan tunjukkan ketegasan. Namun waktu tegas, sifat kelembutannya masih terjaga. Dia tegas bila melibatkan soal disiplin, peraturan atau perintah Allah, tapi wataknya yang lembut tidak pula bertukar keras dan kasar.

7. Suka meraikan Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu yang tinggi sifat keibuannya masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Bila anak balik bercuti misalnya, dia akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak. Dia mahu anak-anaknya selesa dan terpenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

8. Tidak pilih kasih Tidak ada di kalangan anak-anak yang berasa dirinya kurang disayangi. Selain terhadap anak-anak sendiri, sifat menyamaratakan kasih sayang ini dapat dilihat pada layanannya terhadap anak orang lain. “Anak orang lain macam anak dia juga,” ungkap seorang kawan ketika bercerita tentang seorang mak cik yang pernah ditemuinya. Dengan kekuatan sifat keibuannya, seorang ibu dapat membentuk dan mencorak anak-anak di rumah, mencorak anak-anak didiknya di sekolah jika dia seorang guru, atau membentuk ‘anak-anak’ di pejabat jika dia seorang ketua pejabat.

Wednesday, November 11, 2009

Pesona Cleopatra

9 comments


Salam mesra buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entry ini..

Seorang rakan bertanyakan saya tentang siapakah sebenarnya Cleopatra yang diagung-agungkan pencinta kecantikan meskipun kewujudan Cleopatra sudah berkubur ribuan tahun dahulu. Kecantikannya diceritakan penulis-penulis dalam tulisan mereka, juga digambarkan dalam filem-filem, opera mahupun drama. Film “Cleopatra” yang dibuat pada tahun 1963 menampilkan aktres paling cantik pada masa itu, Elizabeth Taylor. Filem berkaitan yang dibuat sebelumnya, seperti “Antony and Cleopatra” dan "Cleopatra, The Queen of Egypt”. .

Cleopatra edisi Elizabeth Taylor

Teringat pula saya pada novelis Ayat-Ayat Cinta : Habibur Rahman El Sharazy dalam novelnya "Pudarnya Pesona Cleopatra" menggambarkan obsessi watak hero dalam cerita tersebut yang tergila-gilakan kecantikan wanita2 Mesir yang persis Cleopatra sehingga menutup mata hatinya pada Raihana sang isteri yang
solehah lagi setia dan jelita.Segala-galanya tentang Cleopatra dan kecantikan!

Saya pun tak arif sangat tentang sejarah Cleopatra kerana saya beranggapan ia tidak begitu penting untuk saya mengetahuinya secara mendalam. Meskipun begitu, sedikit sebanyak tahu la jugak
melalui pembacaan tentang sejarah Cleopatra. Saya juga pernah melawat beberapa tempat yang berkaitan dengan Cleopatra semasa menuntut di Mesir dulu seperti Ain Cleopatra ( Perigi/Kolam Cleopatra) dan Pantai Cleopatra yang indah sekali di Matrouh, Mesir

Pantai Cleopatra


Cleopatra adalah keturunan Ptolemy yang berdarah Yunani, dan berasal dari Macedonia. Dia mampu bertahan dalam keluarga, dimana adik-beradiknya saling bunuh - membunuh untuk meraih kekuasaan. Cleopatra adalah nama Macedonianya, sedangkan nama takhta Mesirnya adalah Netjeret Mer-it-es yang bermaksud ‘dewi kesayangan ayahnya’.


Cleopatra dinobatkan menjadi ratu pada usia 18 tahun. Dia berkahwin dengan adiknya yang baru berusia 12 tahun, yang kemudian menjadi raja. Konsep incest (menikahi saudara kandung) merupakan kebiasaan pada masa itu dalam budaya Mesir, kerana sebagai Pharaoh mereka dianggap keturunan dewa, dan dewa hanya boleh berkahwin sesama dewa sahaja.


Sewaktu naik takhta, Cleo menerima simbol pharaoh, iaitu tongkat keemasan, cemeti, dan tongkat kerajaan. Dia mengenakan jubah linen dan pakaian kulit rasmi. Pita emas yang disebut uraeus melingkar di kepalanya, memperlihatkan ular kobra – ular penjaga bangsa Mesir.


Gambaran Cleopatra oleh seorg pengukir patung Yunani


Cleopatra ialah Ratu Mesir yang digambarkan mempunyai kecantikan tiada tandingan. Selain kecantikan luaran Cleopatra dikatakan mempunyai kecantikan dalaman . Dia dapat berbicara dalam sembilan bahasa. Otaknya tajam. Karismanya kuat. Kebijaksanaannya mengagumkan. Cleo berpendidikan tinggi, dan memiliki keyakinan luar biasa sejak kecil. Gabungan kecantikan luaran dan dalaman inilah yang digunakan untuk menyelamatkan Mesir dari dikuasai oleh kerajaan Romawi. Cleopatra menyebabkan tiga pemimpin Romawi iaitu Julius Caesar, Mark Anthony dan Octavianus bertelingkah dan bermusuhan antara satu sama lain.

Pada masa itu, kerajaan Romawi bercita-cita untuk menguasai Mesir, negeri yang kaya dan subur. Cleopatra selaku ratu Mesir, berusaha sedaya upaya untuk melindungi Mesir dari penguasaan Romawi. Cleopatra mengetah ui bahawa tentera Mesir yang ada tidak akan mampu melawan kekuatan tentera Romawi. Maka Cleo mendekati panglima tentera Romawi, Julius Caesar. Caesar terpikat dan jatuh cinta setengah mati kepada Cleo. Dia berkahwin dengan Cleo, meskipun Caesar sudah mempunyai isteri di Romawi bernama Calpurnia. Kerana cinta dan kekagumannya kepada Cleo, Caesar membiarkan Cleo tetap menjadi ratu di negerinya sendiri.


Setelah Caesar dibunuh oleh kabinet Romawi, Cleo merasa harus mencari pelindung lain supaya dia terus kekal menjadi ratu di Mesir. Sasarannya ialah Mark Antony, teman seperjuangan Julius Caesar. Antony adalah kapten pasukan tentera Romawi yang mengawal seluruh wilayah Mediteranian.

Sebagaimana Julius Caesar, Mark Antony cair berhadapan Cleopatra. Ia menjadi kekasih Ratu Mesir itu, dan lebih suka tinggal di istana Cleo daripada mengurus pasukan tenteranya atau berperang untuk menaklukki jajahan baru. Pewaris Caesar, Octavianus, sangat marah, dan bersama tentara Romawi Octavianus berniat menyerang Cleopatra dan Antony di Mesir. Antony kalah dalam peperangan di Actium, dan akhirnya memutuskan untuk bunuh diri dengan meminum racun.


Setelah kematian Antony, Cleopatra merasa dirinya tidak mampu mempertahankan Mesir dari serangan Octavianus. Dia tidak sanggup melihat negeri yang dicintainya bakal dihancurkan Romawi. Dia juga tidak sudi dijadikan tawanan oleh Octavianus dan diarak dalam kehinaan di hadapan rakyatnya sendiri. Maka ketika pasukan Romawi tiba di Mesir, Cleo mengakhiri hidupnya dengan membiarkan ular Asp - kobra, yang sangat beracun menggigit tubuhnya.


Cleopatra meninggal dengan mahkota masih berada di atas kepalanya. Dia tak pernah kehilangan takhtanya. Dia lebih suka mati daripada jatuh ke tangan lelaki yang akan menghina dan meragut takhta ratu dari dirinya. Begitulah tragisnya lagenda Cleopatra yang dianggap antara wanita yang mampu meruntuhkan sebuah kerajaan kerana pesonanya.

Sedikit info ini harap dapat dikongsi bersama dan diambil pengajaran disebaiknya.

I





Monday, November 09, 2009

Tentang Dia

15 comments
Salam sedingin dan setenang angin tengkujuh buat semua..

Biasanya saya akan silent mode handphone bila time masuk kelas apatah lagi bila time peperiksaan macam hari ni. Sebab saya tak suka bila phone berbunyi masa mengajar. Saya terganggu. Dan saya rasa pelajar saya turut terganggu.

Bila habis kelas, saya aktifkan balik phone dan saya ada 4 missed calls dari suami saya. Alamak..mesti kena sound ni..kalau dah 4 missed calls, mestilah ada perkara penting. Saya call balik suami saya. Segera diangkat. Salam dihulur dengan lembut dengan harapan tak kena marah. Suara yang menyahut bukan milik suami saya, tapi suara comel si Ammar.

"Ummi, dah banyak kali Ammar telefon Ummi tadi..Ummi gi mana?," pandai dia mengomel. Mesti ada perkara penting nak dikhabarkan. Jarang dia bersikap macam tu.

"Ummi ada kelas tadi, ni abang nak bagitau apa kat ummi..beria-ria benar.." Khabar disampaikan dengan ceria sekali. Sebenarnya apa yang dikhabarkan pada saya, sudah saya tahu lebih awal dari suami awal pagi tadi. Ammar dapat tempat pertama dalam kelas prasekolahnya dan akan menerima hadiah dalam majlis penyampaian hadiah kecemerlangan minggu hadapan.

Dia berkongsi markah yang sama dengan seorang budak perempuan kat kelas dia. Menurut suami saya yang juga guru di sekolah itu, mungkin cikgunya akan bagi ujian ringkas untuk menentukan mana yang terbaik antara mereka berdua. Tak kisah la, tempat pertama atau kedua. Sebagai ibu saya sudah cukup berbangga. Ini first achievement dalam pelajarannya. Permulaan yang cukup baik. Harapnya berterusan sampai bila-bila. Insya Allah.

Saya sebenarnya tidak menjangkakan Ammar dapat focus dengan baik dalam pelajarannya. Semua paper dapat 100% kecuali paper Sains 99% dan Matematik 98%. Ammar sejak lahir adalah anak yang sangat aktif - tak duduk diam. Ada perkara yang nak dibuatnya. Banyak yang nak dicuba. Jatuh, cedera, luka-luka itu perkara biasa. Banyak perkara yang berlaku dalam usianya 3-4 tahun terutamanya. Memang memenatkan menjaga dia masa tu.

Masih saya ingat kalau pergi berjalan atau shopping kat mana-mana, dia tak mahu dipegang-pegang. Bila dibiarkan, hilanglah dia. Pernah hilang kat supermarket ( nasib baik bukan kat mall ). Panik seketika saya dan suami bila sedar dia tiada di sisi. Ammar pula bila dia tak jumpa kami, meraung la dia kuat-kuat..nasib baik.!.so senang la kami cari arah untuk mencarinya. Kat kedai kain Jakel Segamat, pernah hilang juga. Sebab main-main sembunyi celah kain dengan adiknya. Macam-macam lagi la ragamnya. Nak cerita kat sini tak habis punya.

Pernah ada yang mengandaikan dia anak hyperaktif, sesuatu yang agak merisaukan saya dulu sebab anak hyperaktif ni dikategorikan sebagai kanak-kanak istimewa yang perlu diberi perhatian khusus. Kakak saya sendiri pun pernah kata.." Ammar ni kalau sekolah nanti camne ye...".Sebenarnya saya pun terfikirkan perkara yang sama! Bagi mengatasi masalah keaktifannya, saya banyak mengkaji tentang anak-anak aktif dari sudut pemakanan, pendidikan @ tarbiah, emosi dan sebagainya melalui pembacaan buku-buku, majalah atau bahan-bahan ilmiah dari internet. Selain tu sebelum tidur, saya amalkan baca ayat 1-5 surah Tooha dan doa pelembut hati dan tiupkan pada ubun-ubun anak-anak saya.

Bila dia dah masuk 5 tahun kami masukkan dia ke kelas prasekolah di sekolah Abinya. Senang untuk Abi memantau perkembangannya. Bila cikgu laporkan cerita kenakalannya kat sekolah. Siap kena marahlah dia kat rumah. Bila dah penghujung tahun, ada perkembangan positif bila saya lihat dia dah slow down sikit. Alhamdulillah.

Usia 6 tahun, masih kat prasekolah. Dia makin matang dan sudah banyak perkembangan positif dari sudut kognitif, emosi dan sudah tentuk jasmani... kuat makan! Hari ini satu catatan manis buat saya sebagai seorang ibu, walaupun nampak kecil, kerisauan saya dulu bertukar harapan. Harapan semoga dia akan membesar sebagai anak yang soleh, pintar, beriman dan berguna buat keluarga, agama, bangsa dan negara
. Insya Allah.

Buat ibu-ibu yang ada anak-anak yang aktif, nakal atau degil, untuk melembutkan hati mereka ada tips berguna di bawah:
  1. Baca doa pelembut hatiاللَّهُم لَيِّنْ قَلْبَه / قلبها كَمَا لَيَّنْتَ الحَدِيدَ لِدَاوُودَ عَلَيهِ الصَّلاة وَالسَّلام : :
  2. Bacalah surah Thoohaa ayat 1 hingga 5
    • Caranya:
      Bacalah ayat di atas semasa anak kita tidur.
      Hembuskan perlahan-lahan ke dalam hidung semasa anak menarik nafas dalam lena. Ulanginya beberapa kali @ seberapa mampu.
  3. Bacalah surah Al-Hash ayat 21 hingga 24
    • Caranya:
      Baca dan tiupkan pada ubun-ubun anak kita sambil berdoa semoga anak-anak kita dilembutkan hati.

:
Selamat Mencuba. Sampai bertemu lagi.


Friday, November 06, 2009

Bila Hujan Turun

9 comments
Salam buat sahabat-sahabat semua..

November dan Disember cukup sinonim sebagai musim tengkujuh atau musim hujan di negeri-negeri Pantai Timur. Sejak minggu lalu, apabila Oktober sampai di penghujungnya, tanda-tanda tengkujuh sudah ada. Hujan mula turun hampir setiap hari. Kalau tidak pada siangnya maka malamnya hujan turun mencurah-curah malah disambung gerimis sampai ke pagi. Kalau nak tahu saat saya menaip entry ni pun hujan turun lebat sekali.

Hujan pagi tadi, view dr bilik saya di rumah mertuaku

Bagi saya, tengkujuh ada kenangan tersendiri. Kawasan saya bukanlah kawasan banjir teruk. Seingat saya paling teruk pun semasa banjir besar dalam tahun 80an - air sampai paras peha. Bukan main seronok lagi. Maklumlah masa tu masih lagi kanak-kanak. Mandi, berenang, mengharung air bah satu kemestian. Apalagi dilakukan bersama saudara dan taulan yang sebaya. Seronoknya sampai tak ingat dunia. Kena leter dan dimarahi baru berhenti.

Anak-anak saya juga cukup suka dengan hujan. Bila hujan turun aje, pasti minta izin untuk bermandi hujan. Biasanya kami biarkan sahaja mereka bermain dengan hujan. Tapi tengok keadaanlah, kalau hujan yang disertai kilat atau petir, kami tidak benarkan sama sekali. Mesti ada yang beranggapan, tak bahaya ke? Tak jatuh sakit ke budak-budak tu?. Biasanya kami benarkan anak-anak main depan rumah sahaja supaya senang kami memantaunya. Oleh kerana sudah dibiasakan dari kecil, mereka sukar jatuh sakit seperti demam atau selsema bila kena hujan, mungkin dah ada ketahanan badan kut..macam kita zaman kecil-kecil dulu..mana ada pantang larang bab mandi hujan ni..cuma bila dah besar sikit dah reti malu barulah tak layan semua tu..


Satu lagi bila time hujan turun ni, resepi paling best dan ialah ubi kayu rebus dicicah dengan kelapa muda atau gula. Pekena plak dengan kopi O. Tambah lagi bila hujan dan sejuk2 tu..perut lapar memanjang je..Memang terangkat! Kalau kt Kuala Terengganu ni, kalau mahu cari ubi kayu atau segala macam jenis ubi lagi boleh la berkunjung ke Kampung Batu Enam - Kuala Terengganu dekat tepi jalan Kampung Kubang Jela. Macam-macam ada. Ada ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak, ubi tongkol dan lain-lain.

Banyak kisah bila hujan turun ni. Itu belum masuk lagi fasa banjir. Harap-harap banjir tak berlaku dan moga-moga tiada nyawa yang akan menjadi korban dek bencana alam tahunan ini.

Sebagai manusia, seharusnya bersyukur dengan kurniaan Allah. Tapi tu la..kita ni lebih banyak merungut dari bersyukur. Lantaran hujan juga biasanya dikaitkan dengan becak sana sini, pakaian sukar kering, sukar beraktiviti luar, banjir dan sebagainya. Percayalah semua itu adalah aturan tersendiri dari Allah SWT pentadbir mutlak alam ini.

"Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (Al-A'raf : 57

Hujan yang turun bagaikan mutiara,
Bekilau bersinar bekerdipan,
Subur menghijau bumi tebentang,
dan bayu berpuput lembut.



Sampai bertemu. Nanti kita bicara pasal hujan lagi..



Thursday, November 05, 2009

Menjadi Tetamu Allah di Haramain

8 comments

Salam buat semua..

Minggu ini agak sibuk buat saya. Itulah jawapan kenapa blog ini sudah tidak berupdate untuk beberapa hari ini. Sesi persekolahan untuk tahun ini cuma tinggal 2 minggu sahaja lagi. Selain peperiksaan akhir tahun dan menanda skrip jawapan pelajar banyak lagi kerja yang nak dilunaskan. Maklumlah, sebelum bermula sesi baru 2010 Januari nanti, segala kerja-kerja 2009 perlu diselesaikan sebaik mungkin.

Musim Haji juga sudah bermula. Menjadi tetamu Allah di Tanah Haramain - Makkah al Mukarramah dan Madinah al Munawwarah untuk mengerjakan Haji merupakan impian setiap umat Islam. Siapa yang tidak mahu menunaikan rukun Islam yang ke lima ini bukan? Apabila berkemampuan wajiblah disegerakan. Jangan tunggu bila usia sudah menginjak dan badan sudah tidak kuat.

Firman Allah swt, “Dan kamu sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah” (Al-Baqarah : 196).

Firman Allah swt, “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan Haji di Baitullah (Kaabah) bagi sesiapa yang mampu pergi ke sana (Ali Imran : 97).


Erti berkemampuan ialah : 1) berkuasa dengan sendiri, atau 2) berkuasa dengan pertolongan orang lain.


Berkuasa dengan sendiri ialah memiliki perbelanjaan perjalanan dan tempat tinggal di Tanah Suci dan cukup bekalan untuk ditinggalkan bagi orang-orang yang dibawah tanggungannya di Tanahair, ada kenderaan, aman perjalanan, sihat tubuh badan dan berkesempatan masa. Syarat-syarat tambahan bagi wanita ialah mendapat izin suami dan hendaklah ditemani oleh suami atau mahramnya ke Tanah Suci.


Berkemampuan dengan pertolongan orang lain ialah :


* Orang yang memiliki perbelanjaan untuk ke Tanah Suci tetapi tidak dapat mengerjakan sendiri kerana terlalu uzur dan sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua umurnya yang telah putus asa tidak dapat ke Tanah Suci.

* Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hayatnya tetapi tidak sempat mengerjakan Haji.

Dalam hal ini terhutanglah fardhu Hajinya ke atas warisnya atau orang yang menerima wasiatnya untuk menyelenggarakan hutang hajinya dengan upah yang yang berpatutan atau sukarela. Ini dinamakan Badal Haji atau Upah Haji.


Semalam saya berada di Lapangan Terbang Kuala Terengganu untuk menghantar ibu dan bapa mertua saya berlepas ke Kuala Lumpur sebelum berlepas malam ini ke Makkah al Mukarramah untuk mengerjakan Haji. Alhamdulillah impian mak terutamanya tercapai jua untuk menunaikan kewajipan ini ditemani ayah yang sudah masuk kali kedua. Kami sekeluarga mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat mak dan ayah sepanjang menunaikan ibadat yang mulia ini. Dipermudahkan segala ibadat dan urusan dan moga dikurniakan Haji yang mabrur jua kembali di sisi keluarga dengan selamat. Insya Allah. Amin.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...