Thursday, March 17, 2011

Setulus Doa Kukirimkan

Salam mesra buat semua..
Catatan seorang teman di dinding facebooknya hari ini benar-benar membuat saya terkedu dan sebak.
"Kepada sesiapa yg mengenali Ahmad Rifaie Ahmad Nasir, doakanlah untuk kesejahteraannya. Sayu hati menatap kaki yang dah membengkak dan berbalut. Hari2 terakhir Paie sebelum kakinya dipotong. Paru2nya sudah semakin sempit. Kanser sudah menjalar ke jantung. Mungkin juga akan ke hati. Ya Allah beratnya dugaan utk anak berhati mulia ini. Ringankanlah baginya Ya Rabb.."
Penderitaan bekas student saya  bernama Ahmad Rifaie ini sudah lama. Kanser tulang yang dideritainya sudah semakin parah dan sekarang terlantar di hospital  di JB. Teman saya ini adalah salah seorang guru yang paling rapat dengan Rifaie. Rapat seperti ibu dan anak. Keakraban bermula lantaran pelajar berbudi luhur ini banyak membantunya menggerakkan Kelab SPBT sehinggakan kami berdua sering menggunakan istilah "menantu" apabila merujuk kepada Rifaie. Beliau banyak mengetahui rahsia jerit perih dan penderitaan insan bernama Rifaie ini. Selain motivasi dan kata-kata semangat, bantuan dihulurkan menolong mencari dana dan bantuan untuk membiayai perubatan Rifaei sementelah dia bukan dari keluarga yang senang.
Secara peribadi, saya sempat mengajar Rifaie selama 4 tahun sebelum berpindah ke Terengganu. Apa yang boleh saya ceritakan mengenai pelajar ini melainkan  hanya yang baik-baik belaka. Tiada satu pun kata-kata mahupun perbuatan yang mencalar hati  ini sepanjang mengajar beliau. 
Baik budinya, mulia akhlaknya, bijak dan berkepimpinan. Namun, Allah lebih menyayanginya..lebih dari kami yang menyayanginya. Dia insan terpilih yang menerima ujian seberat ini. Mengorbankan masa depannya yang cerah dengan menghabiskan sebahagian usia remajanya menjalani kimoterapi dan rawatan. Namun semua itu dilalui penuh ketabahan dan redha. Tinggi sekali pergantungan jiwa muda ini pada takdir Allah sehinggakan kalau berada di tempatnya belum tentu kita mampu menjadi sekuat beliau. Saya yakin penderitaan yang ditanggung, pasti menanti di akhirnya rahmat dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Baqarah (155-157) :
"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya."
 
  
Dari kejauhan, saya hanya mampu memanjatkan doa agar Allah mengurniakan kekuatan, kesabaran dan ketenangan untuk beliau dalam menempuh ujian ini. Disembuhkan dari penyakit, diberi kesihatan dan dikurniakan rezeki dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ameen ya Rabb..
Buat anda yang membaca catatan ini..
sudilah kiranya mendoakan kesejahteraan untuk anak muda ini..
 

3 comments:

Irtiyah said...

Salam

semoga beliau tabah dan diberi kesembuhan oleh Allah. Amin

Dalam kesakitan sebenarnya beliau masih mentarbiah orang sekeliling, insyaAllah.

Hamizah said...

semoga dia terus diberi kekuatan utk mhadapi ujian yg besar ini..

Ummu Ammar said...

Irtiyah & Hamizah > Ameen. Insya Allah, deritanya derita di dunia..pasti di akhirat, ada ganjaran besar di sisi Allah. Bahagia kita bahagia di dunia..di akhirat..belum tentu?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...