Sunday, May 15, 2011

Catatan 16 Mei

Salam mesra..

16 Mei ialah hari istimewa buat insan bergelar guru. Seperti jua guru lain, kehadiran tarikh keramat ini seakan mengimbau kenangan tersendiri. Perjalanan saya dalam bidang pendidikan ini yang baru mencecah 10 tahun, menghidangkan pengalaman pahit manis yang sukar diganti dengan harta dan wang ringgit. Saat menjalani latihan praktikum di SMAP Kajang  mahupun hari pertama rasmi bergelar seorang guru di SMKA Segamat..segalanya bagai berlaku semalam. Kini, bakti dan sumbangan saya adalah di daerah negeri sendiri, yang suatu ketika cukup asing buatku. Jujur saya katakan, saya mula menyayangi bidang yang saya ceburi ini walaupun pernah suatu ketika dulu, ia bukan pilihan saya.


Setiap kali Hari Guru disambut, saya selalu berfikir tentang sumbangan saya dalam mendidik. Adakah saya sudah menjadi guru (mua'llim) dan pendidik (murabbi) dalam erti kata yang sebenarnya?..atau hanya guru yang menghitung hari untuk menerima gaji bulanan atau imbuhan tahunan semata. Hanya doa dipanjatkan agar diri ini sentiasa thabat dan teguh meneruskan perjuangan sebagai seorang guru sebenar di dunia penuh cabaran kini. Semoga hari-hari mendatang akan menjadikan saya seorang mua'llimah dan murabbiah yang lebih baik. Insya Allah.

Sajak penuh inspirasi, walaupun "umurnya" hampir sebaya dengan umurku sendiri..

Berburu  ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia, Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala, Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat, 
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Atas Segala Tunjuk Ajar buat semua insan yang pernah bergelar guru buat diri ini. Jazakumullahi khairan khatira.



Selamat Hari Guru buat semua guru di mana saja anda berbakti! Selamat bertugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Tugasmu adalah satu kemuliaan kerana dari tanganmu akan lahir seorang "insan"!

Terima kasih buat anak-anak didik yang sudi dan masih mengenangku sebagai guru mereka..biarpun sekadar ucapan Selamat Hari Guru..


11 comments:

Nadiah Sidek said...

selamat hari guru kak :)

Nini Hartini said...

Kak..Selamat Hari Guru :)

Syukri Kamaruddin said...

owh guru upernya... mulia keje awk.. kalo ikhlas.. btambah2 pahalanya..
selamat hari guru :)

cik Jue Aka Ibu Farisyah said...

selamat hari guru buat akak dan suami..

Hamizah said...

slamat hr guru,pah..
thn dpn klu pjg umur bolehlah saya sambutnya semula..

Bintun Sazali said...

Salam alaiki ustazah..:)

Selamat Hari Guru, syukran jazilan atas segala ilmu yg ustzh berikan..jasa ustzh takkan dikenang hanya utk 16 mei shj, tp berpanjangan insyaAllah..:)

Moga terus ikhlas menabur bakti..May Allah bless u always, aminn Ya Rabb..:)

Chik Na said...

selamat hari guru!!!

Ummu Ammar said...

Nadiah & Nini...

Syukran atas ucapan kalian berdua. Doakan yang terbaik!

Syuk Kamaruddin ...

Insya Allah. Semua tugas & tanggungjwb adalah mulia selagi ianya disandarkan mencari keredhaan Allah

Ummu Ammar said...

Cik Jue...

Syukran jazilan atas ingatanmu untuk akak dan suami. Semoga berbahagia sentiasa

Ummu Ammar said...

Mizah..

Insya Allah. Sekejap je masa berlalu kan... tak sabar tunggu awak kembali lagi ke Saujana...

Ummu Ammar said...

Nadiah..

Syukran jazilan kerana masih menghargai jasa uzh yang tak seberapa...Selamat bergelar guru...moga jadi guru yang bersifat pendidik...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...