Saturday, October 30, 2010

Jika Bahagia Yang Kau Cari

7 comments
Salam mahabbah buat semua,

Kagum betul saya dengan insan yang seorang ini. Orangnya cantik dan hati budinya menawan sekali. Semuanya cukup sempurna apabila bercerita tentang dia. Punya suami kaya raya dan tinggal di rumah besar bak istana. Kehidupannya tampak bahagia dengan anak-anak yang baik dan berjaya.

Namun, setiap kelebihan yang dikurniakan Allah pasti ada kekurangan yang mendatang sebagai ujian penguji keimanan. Setelah suaminya beristeri baru, kehidupannya berantakan dan jiwanya dirundung kesedihan lantaran kasih sang suami yang tidak mampu  berlaku seadilnya. Meskipun janji manis suami saat meminta izin masih lagi segar melekat diingatan. Alangkah baik jika rasa bahagia yang dikecapi sebelum ini kekal berpanjangan. Sampai bila-bila. Namun wang ringgit dan kemewahan tidak mampu membeli harga sebuah kebahagiaan.


Kisah di celah-celah kehidupan ini membuatkan saya berfikir tentang definisi bahagia yang sebenarnya. Bahagia dan kebahagiaan yang hakiki adalah nikmat pemberian Allah buat hamba-hambanya yang beriman. Justeru, beruntung bagi orang yang beroleh bahagia, dapat menikmatinya walau sebentar dalam kehidupannya. Rugi bahkan malang bagi orang yang tidak mengenal erti bahagia hakiki, jauh sekali menikmatinya seperti insan yang menghadapi tekanan sepanjang hidup kerana dosa, kekayaan mahupun kemahsyuran, keluarga berantakan dan anak-anak jauh yang dari Tuhan.

Jika bahagia yang dicari, maka tahukah kita dari mana datangnya asal kata bahagia itu. Takrif bahagia adalah selamat, sejahtera, damai dan tenang. Asal dari kosa kata Arab  iaitu as salam. Dan as salam adalah antara 99 nama Allah. Maka sesungguhnya yang kita cari itu adalah Allah pemilik segala rasa bahagia.

Justeru carilah Allah, kenalilah Allah, ingatilah Allah dan cintailah Allah – nescaya hidupmu bahagia. Kerana kita sedang mendekati pemilik segala rasa bahagia iaitu Allah. Bahagia itu bukan pada harta bertimbun, bukan pada wanita, bukan pada kereta, tidak juga pada pangkat, darjat, anak dan semua materialis yang ada di dunia ini. Seperti kenyang bukan terletak pada nasi, seperti sihat tidak terletak pada ubat; maka bahagia itu tidak terletak pada benda tetapi pada empunya rasa bahagia iaitu Allah.



Bermula dari saat ini mari kita berusaha sekuat mungkin, dengan segala tenaga dan kudrat yang ada. Walau sesibuk mana, luangkan masa, peruntukkan waktu sebelum tiba saat waktu itu terhenti buat kita – carilah Allah. Seperti nabi Musa mencari Allah di gunung Thursina, seperti nabi Ibrahim mencari Allah dibalik bintang dan matahari, seperti nabi Muhammad mencari Allah disaat sunyi di Jabal Nur.

Selamat berbahagia dengan mencintaiNya!

Sumber tulisan : Koleksi takzirah

Sunday, October 24, 2010

10 Tips Menangani Anak Yang Kuat Makan

7 comments
Salam mesra buat semua..


Kali ini saya ini berkisah tentang hero pertama saya, Ammar. Selain games dan bola sepak, perkara yang sinonim dengannya ialah makan. Memang dia aktif dan tidak duduk diam tapi dia aktif makan juga. Kadang-kadang selera makannya sangat merisaukan saya. Bayangkan umurnya baru 7 tahun tapi beratnya sudah mencecah 40kg. 

Dek kerisauan tu la kadang-kadang ummi membataskan dia makan itu dan makan ini walaupun dia nak sangat. Bila keinginannya tidak dipenuhi, dia akan memberontak dan menangis. Betulkah tindakan saya ni...?


Jika anda ada tips berguna untuk saya, bolehlah berkongsi dengan saya untuk menangani situasi ini dengan baik tanpa melibatkan "tekanan" perasaan pada anak tersayang.

Saya ingin menampal artikel menarik tentang menangani kanak-kanak yang mempunyai berat berlebihan ( dah lupa link asalnya ). Mungkin ibu-ibu yang berhadapan situasi sama dengan saya, boleh mengambil tips yang berguna untuk si comel kesayangan anda .

Apakah cara untuk membantu anak yang berlebihan berat badan?
  1. Pengambilan yang dihadkan
    • Kanak-kanak tidak patut dihadkan pengambilan makanannya bagi menurunkan berat badan melainkan atas penyeliaan pegawai perubatan. Adalah berbahaya sekiranya pemakanan mereka dihadkan kerana ia mengganggu pertumbuhan dan tumbesaran mereka.
    • Bagi menyokong tumbesaran yang baik dan mencegah berlebihan berat badan, pertambahan berat badan, ibu bapa harus memberi sumber makanan yang pelbagai berdasarkan kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.
    • Sebahagian besar makanan dalam diet harian anda harus datang daripada kumpulan bijirin.
    • Kumpulan susu serta daging dan kacang panjang harus diambil dengan sederhana.
    • Makanan yang tinggi lemak dan gula harus diambil dengan sedikit.
    • Lemak tidak harus dihadkan dalam diet kanak-kanak berumur kurang dari 2 tahun.
Berbincang dengan pakar pemakanan sekiranya anda kurang pasti tentang cara untuk memilih dan menyediakan pelbagai makanan untuk keluarga, berbincang dengan pakar pemakanan.
  1. Kurangkan jumlah lemak di dalam diet keluarga dengan berhati-hati
    • Mengurangkan lemak adalah cara yang baik bagi mengawal kalori anak anda tanpa menghadkan nutrien lain. Cara mudah untuk mengurangkan lemak di dalam diet keluarga anda termasuklah menghadkan makanan atau hidangan bergoreng, menyediakan ayam tanpa kulit dan menggunakan daging tanpa lemak di dalam hidangan. Bijirin dan roti rendah atau tanpa lemak juga adalah pilihan yang baik.
    • Lakukan perubahan kecil dalam jumlah lemak dalam diet keluarga. Walau bagaimanapun perubahan yang besar harus di bawah penyeliaan pakar pemakanan.
    • Lemak tidak harus dihadkan dalam diet kanak-kanak yang berumur kurang dari 2 tahun. Dari umur 2 tahun sehingga 5 tahun, kanak-kanak harus mengamalkan diet yang mengandungi tidak lebih 30 peratus kalori daripada lemak.
  1. Jangan terlalu menghadkan gula-gula atau manisan
    • Makanan yang mengandungi lemak, garam dan gula harus dimakan dengan sederhana.
  1. Bantu keluarga membuat pilihan makanan dan bukan mengarah
    • Sediakan pelbagai pilihan makanan di rumah. Ini akan membantu anak anda belajar bagaimana membuat pilihan yang  sihat.
  1. Galakkan anak anda makan secara perlahan
    • Seorang kanak-kanak boleh merasa kenyang apabila makan secara perlahan.
  1. Makan bersama keluarga seberapa kerap yang boleh
    • Jadikan waktu makan masa yang seronok dengan berbual dan saling berkongsi, bukannya masa untuk berbalah. Jika waktu makan tidak disenangi, anak-anak akan makan dengan cepat untuk beredar secepat mungkin. Mereka akan kaitkan waktu makan dengan tekanan.
  1. Libatkan anak-anak ketika membeli dan menyediakan makanan
    • Dengan melakukan aktiviti-aktiviti ini, ibu bapa dapat mengetahui makanan kegemaran anak-anak, mengajar tentang pemakanan dan membuat mereka rasa berjaya. Tambahan pula, anak-anak lebih suka makan makanan yang mereka sediakan sendiri.
  1. Rancang waktu snek
    • Memakan snek secara berterusan boleh menyebabkan makan secara berlebihan. Walau bagaimanapun snek yang berjadual boleh dijadikan sebahagian daripada diet yang berkhasiat tanpa mengganggu selera makan anak.
    • Sediakan snek yang berkhasiat tanpa menghadkan snek seperti kentang goreng atau biskut sekali sekala terutamanya di parti-parti atau aktiviti sosial lain.
  1. Tidak menggalakkan makan snek ketika menonton tv
    • Sukar untuk berasa kenyang jika makan sambil menonton tv. Ini boleh menyebabkan makanan secara berlebihan.
  1. Jangan jadikan makanan sebagai hukuman atau ganjaran kepada anak anda

Wednesday, October 20, 2010

Nota Hati Ummi Di Hari Lahirmu Yang Ke 6

21 comments
Salam mesra..

Tanggal 20 Oktober kembali lagi. Tarikh istimewa Allah menganugerahkan kami cahaya mata kedua. Bersyukur padaNya kerana 6 tahun yang cukup indah untuk dilalui sebagai seorang ummi pada belahan jiwaku, Afiq. 

Berbanding seorang anak, hati seorang ibu biasanya akan lebih tersentuh pada ulangtahun kelahiran anak. Mana boleh lupa, saat indah menatang permata hati setelah melalui kepayahan, adalah detik indah yang tak mampu diungkap dengan kata-kata. 

Setiap kali ulangtahun kelahiran mereka, hati saya akan terusik dan merindui semua saat-saat indah melihat mereka membesar hari demi hari...

4 tahun

 5 tahun


Kini 6 tahun..

Anakku..
Wajahmu adalah ketenangan,
Senyummu adalah kedamaian,
Tawamu adalah semangat,
Ragammu adalah sabar,
Tangismu adalah kepedihan,
Doa dan kasih tidak bertepi,
Adalah iringan hari-hari kedewasaanmu, 
Sentiasa akan begitu..
Cinta dan sayang tak akan pernah padam,
Selagi ada nyawa dikandung badan..
Semoga keredhaan Allah milikmu
Dunia dan akhirat..

Sunday, October 17, 2010

Anak Perempuan Sukar Dididik?

17 comments
Salam mesra..

Semalam, semasa mengunjungi sebuah pasar raya di Kuala Terengganu." Ya Allah.. besar sungguh tanggungjawab ibubapa mendidik anak gadis zaman sekarang, kan bang?." Ujar saya pada suami sambil merujuk kepada sekumpulan anak-anak gadis remaja yang melintasi hadapan kami dengan gaya dan cara berpakaian yang sungguh menyakitkan mata (walaupun sebahagian mereka bertudung). Anda sendiri maklum apa yang saya maksudkan.

"Lagi besar tanggungjawab, lagi banyak pahala kalau ibubapa berjaya mendidik anak sebaiknya menurut acuan Islam sebenarnya." balas suami. Memang benar apa yang dikatakan. Mendidik anak tidak kira lelaki atau perempuan adalah merupakan amanah dari Allah dianggap satu jihad dan tugas yang besar.

Sumber gambar : google

Berbalik pada gadis-gadis remaja tadi..Apakah agaknya perasaan ibubapa mereka? Banggakah dengan penampilan anak yang seiring dengan perubahan semasa tapi mendedah diri pada api neraka? Tidakkah ditegur atau dimarahi? Tidakkah dididik sejak dari kecil tentang aurat dan adab pekerti seorang muslimah?? Tidak takutkah  ibubapa menanggung dosa atas semua kegagalan itu?



Kata orang mendidik anak perempuan lebih sukar dari anak lelaki. Betul ke? Pernah dengar kiasan berbunyi : Menjaga lembu sekandang lebih mudah dari mendidik anak perempuan seorang? Pada saya, tanggungjawab mendidik anak lelaki mahupun perempuan tetap sama.

Saya punya dua anak lelaki. Memang  mendidik anak di zaman siber ini sedikit menduga.  Cabarannya bukan sedikit. Tetap ada getar kebimbangan di hati saya apabila mereka semakin meniti usia. Melepaskan mereka membesar di sekolah dan bersahabat dengan anak-anak dari latar belakang berbeza memang merisaukan. Namun pokok pangkalnya, saya  tetap yakin bahawa ibubapa adalah sekolah pertama anak-anak mengenal Islam, mengenal akhlak mulia, mengenal adab, mengenal ibadat dan tanggungjawab.
Anak-anak perempuan khususnya perlu diasuh dengan kelembutan dan kesantunan dalam aspek bicara, perlakuan mahupun berpakaian sejak dari kecil lagi. Seorang sahabat saya mempunyai 4 orang anak perempuan. Melihat caranya mendidik anak-anak sangat mengagumkan. Sejak dari kecil sudah dibiasakan memakai tudung dan pakaian longgar walaupun berseluar. Mereka sudah diasuh apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam menutup aurat, sehingga mereka membesar dalam acuan yang sangat sejuk mata memandang. Pokok pangkalnya, ibubapalah yang memain peranannya.

Saya hanya menyentuh aspek berpakaian dan aurat, belum lagi berbicara pasal akhlak, kelakuan dan agama anak-anak gadis remaja. kita. Realitinya, sama ada anda sedar atau tidak, gadis-gadis remaja kita sangat kritikal akhlak mereka sekarang. 



Ayuh! Buat ibubapa..melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mendidik haruslah sejak dari bayi lagi. Didiklah puteri-puteri kalian khususnya dengan ajaran agama yang sebetulnya. Usahlah dipakaikan mereka dengan keindahan duniawi dan kemewahan yang hanya sementara. Kelak, kita juga yang akan merana..


“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” ( Surah Al-A’raaf: ayat 26 )

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...