Saturday, October 30, 2010

Jika Bahagia Yang Kau Cari

Salam mahabbah buat semua,

Kagum betul saya dengan insan yang seorang ini. Orangnya cantik dan hati budinya menawan sekali. Semuanya cukup sempurna apabila bercerita tentang dia. Punya suami kaya raya dan tinggal di rumah besar bak istana. Kehidupannya tampak bahagia dengan anak-anak yang baik dan berjaya.

Namun, setiap kelebihan yang dikurniakan Allah pasti ada kekurangan yang mendatang sebagai ujian penguji keimanan. Setelah suaminya beristeri baru, kehidupannya berantakan dan jiwanya dirundung kesedihan lantaran kasih sang suami yang tidak mampu  berlaku seadilnya. Meskipun janji manis suami saat meminta izin masih lagi segar melekat diingatan. Alangkah baik jika rasa bahagia yang dikecapi sebelum ini kekal berpanjangan. Sampai bila-bila. Namun wang ringgit dan kemewahan tidak mampu membeli harga sebuah kebahagiaan.


Kisah di celah-celah kehidupan ini membuatkan saya berfikir tentang definisi bahagia yang sebenarnya. Bahagia dan kebahagiaan yang hakiki adalah nikmat pemberian Allah buat hamba-hambanya yang beriman. Justeru, beruntung bagi orang yang beroleh bahagia, dapat menikmatinya walau sebentar dalam kehidupannya. Rugi bahkan malang bagi orang yang tidak mengenal erti bahagia hakiki, jauh sekali menikmatinya seperti insan yang menghadapi tekanan sepanjang hidup kerana dosa, kekayaan mahupun kemahsyuran, keluarga berantakan dan anak-anak jauh yang dari Tuhan.

Jika bahagia yang dicari, maka tahukah kita dari mana datangnya asal kata bahagia itu. Takrif bahagia adalah selamat, sejahtera, damai dan tenang. Asal dari kosa kata Arab  iaitu as salam. Dan as salam adalah antara 99 nama Allah. Maka sesungguhnya yang kita cari itu adalah Allah pemilik segala rasa bahagia.

Justeru carilah Allah, kenalilah Allah, ingatilah Allah dan cintailah Allah – nescaya hidupmu bahagia. Kerana kita sedang mendekati pemilik segala rasa bahagia iaitu Allah. Bahagia itu bukan pada harta bertimbun, bukan pada wanita, bukan pada kereta, tidak juga pada pangkat, darjat, anak dan semua materialis yang ada di dunia ini. Seperti kenyang bukan terletak pada nasi, seperti sihat tidak terletak pada ubat; maka bahagia itu tidak terletak pada benda tetapi pada empunya rasa bahagia iaitu Allah.



Bermula dari saat ini mari kita berusaha sekuat mungkin, dengan segala tenaga dan kudrat yang ada. Walau sesibuk mana, luangkan masa, peruntukkan waktu sebelum tiba saat waktu itu terhenti buat kita – carilah Allah. Seperti nabi Musa mencari Allah di gunung Thursina, seperti nabi Ibrahim mencari Allah dibalik bintang dan matahari, seperti nabi Muhammad mencari Allah disaat sunyi di Jabal Nur.

Selamat berbahagia dengan mencintaiNya!

Sumber tulisan : Koleksi takzirah

7 comments:

Makbonda said...

Salam,

Bila sesaorang itu hartanya bertimbun,pangkat dan darjatnya tinggi,kemasyhuran yang menjulang2 tapi hatinya dekat dengan Allah,akan menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan orang lain.

Setuju?

ummu said...

Assalamualaikum UmmuAmmar

Kisah wanita ini seperti juga kisah yang sering berlaku di sekeliling saya. Ada kalanya, suami bukanlah kaya. Namun tetap ingin menambah cawangan. Sesekali, saya menjadi pendengar setia kawan2 saya ini.

"Justeru carilah Allah, kenalilah Allah, ingatilah Allah dan cintailah Allah – nescaya hidupmu bahagia. Kerana kita sedang mendekati pemilik segala rasa bahagia iaitu Allah. "

Setuju dengan frasa ini.

Ummu Ammar said...

mak bonda > Itulah sebaiknya..
Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ibrahim ayat 7, “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Ummu Ammar said...

ummu> Semoga mereka2 yg ditimpa nasib yang sama dgn kisah wanita ini cekal menghadapi dugaan dgn tabah dan redha..hidup perlu diteruskan dan kita ada agenda utk diselesaikan - iaitu menyediakan bekalan utk kembali pd Tuhan..

cikpuanhady said...

mau mencari bahagia di dunia & bahagia di akhirat..Aminnn..

Ummu Ammar said...

has> Insya Allah..moga hasratmu tercapai..Ameen.

Unknown said...

SALAM SYAWAL,
KEBAHAGIAAN DI DUNIA YANG MEMBAWA KITA KEPADA KEBAHAGIAAN DI AKHIRAT. ANTARA CIRINYA IALAH HATI YANG TENANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...