Sunday, August 14, 2011

Setiap Kali Ramadhan Tiba

Salam Ramadhan.

Di facebook, teman seperjuangan saya ketika di Mesir dulu, ada mencatat tentang perasaan rindunya berpuasa di ardhul kinanah itu. Saya turut berkongsi perasaan sama. Jujurnya, itulah yang saya rasa setiap kali Ramadhan tiba. Biarpun sudah 10 tahun, memori indah itu masih segar dan mekar dalam ingatan. Saya pernah mencatatnya dalam entry bertajuk Indahnya Ramadhan di Mesir.

Suasana Ramadhan begitu terasa, siang dan malam "hidup" dengan aktiviti memakmurkan bulan mulia ini. Seawal pagi di bulan Ramadhan, sudah menjadi budaya di sini, musaharti iaitu orang yang bertugas mengejutkan warga setempat untuk bangun sahur akan memecah keheningan pagi sama ada dengan memukul gendang atau laungan suara yang kuat.  

Ayat-ayat suci Al Quran bergema di masjid-masjid. Sana-sini budaya membaca Al Quran dapat kita saksikan ~ sungguh mengkagumkan!. Tiada bazar ramadhan yang gah umpama pesta makanan seperti di tempat kita, cuma yang ada hanyalah deretan khemah Maaidatur Rahman (jamuan berbuka puasa percuma) di tepi-tepi jalan. Menurut suamiku, dulu dia dan rakan-rakan merupakan pengunjung setia Maaidatur Rahman setiap kali Ramadhan. Santapan lazat yang disediakan merupakan sedekah orang-orang kaya Arab yang cukup bermurah hati setiap kali tibanya Ramadhan. Cuma saya yang kurang teruja dan lebih suka memasak sendiri kerana tekak saya yang agak payah menelan makanan-makanan Arab.

Hayyu Sabie' - google

Solat terawih menjadi pilihan pastinya di Masjid Amru Al Ash, Kaherah bersama imamnya yang terkenal dengan kelunakan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci Al Quran iaitu Sheikh Muhammad Jibril. Khabarnya makmum melimpah hingga ke luar masjid dan sampai ke jalan besar. Oleh kerana lokasi yang agak jauh dan faktor keselamatan, saya dan teman-teman serumah hanya bersolat di masjid-masjid kawasan tempat tinggal kami di Hayyu Sabie' dan Madinat Nasr seperti Masjid Musa, Masjid Bukhari, Masjid Nuri dan lain-lain. Oleh kerana masjid-masjid di sini banyak dan berdekatan, kami biasanya bergilir terawih untuk merasai suasana terawih yang berbeza.

Apabila 10 Ramadhan terakhir,  masjid-masjid di sini penuh dengan jemaah. Umat Islam di Mesir semakin kuat beribadat dengan melakukan iktikaf, qiamulail dan lain-lain kerana mereka bimbang mereka tidak akan berjumpa lagi dengan bulan mulia ini. Sangat berbeza sekali suasananya di tempat kita. Makin hujung, makin kurang. Semoga, suatu hari nanti suasana itu juga akan kita rasai di sini. Insya Allah.

Berharap akan kembali menjejak kaki di bumi para nabi ini. Entah untuk keberapa kali lagi saya akan menulis tentang Mesir. Pengalaman seketika yang akan menjadi kenangan dan iktibar sepanjang hayat saya.
 


8 comments:

Zaid Akhtar said...

Ramadhan karim.

Kita "beruntung" sebab berada di sana ketika musim sejuk. Puasa lebih kurang 12 jam sahaja. Pelajar-pelajar sekarang melalui Ramadhan pada musim panas. Bayangkan 17-18 jam berpuasa!

Tapi itulah nikmatnya!

yatie chomeyl said...

indahnya suasana ramadhan kat mesir ye kak. harap2 suatu hari nanti Malaysia pun boleh ada suasana macam tu..insya Allah

Unknown said...

SALAM,
RAMADHAN MEMANG DINANTI2KAN ! SELAMAT BERIBADAH BULAN RAMADHAN DAN BULAN2 SETERUSNYA

Alan Rizque said...

17-18 jam berpuasa? Cabaran..
Kalau di Mesir pun meriah dengan pesta Ibadah bagaimana la dengan suasana di Mekah kan?Mesti lagi meriah..

ummu_afdhal said...

masyaALLAH.. Teringinnya nak lalui saat mcm tu

Ummu Ammar said...

Zaid.

Memang kita beruntung sekali. Namun, lagi besar cabaran Ramadhan yang mereka hadapi, lagi tinggi ganjarannya di sisi Allah.

Ummu Ammar said...

Yatie..

Insya Allah. Ditangan kita untuk memulakan semua itu, semoga kita mampu mencipta suasana sedemikian.

Luah Fikiran.

Tuan..Selamat menunaikan ibadah puasa buat Tuan sekeluarga.

Ummu Ammar said...

Alan Rizque.

Musim panas, siangnya lebih panjang berbanding malam. Rasanya, Ramadhan di Makkah lagi meriah. Teringin untuk merasainya jika ada peluang.

ummu_afdhal.

Insya Allah. Moga diberikan kita kesempatan untuk melalui dan merasainya suasana sedemikian. Yang penting, kita juga boleh mencipta suasana itu dalam ruang lingkup kita sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...