Saturday, August 20, 2011

Antara Almond London, Vantage & Sulam Labuci


Ketika Ramadhan sudah di penghujung, 
Pasti kesibukan beralih pada I'dulfitri yang bakal menjelma.
Barangkali sibuk menyiapkan Almond London 
atau kuih muih yang sewaktu dengannya.
Atau mungkin bersengkang mata menjahit labuci 
pada baju Raya yang beberapa pasang cuma.
Mungkin juga melayan keterujaan mengayakan set Vantage yang baru dibeli. 
Pasti membulat mata tetamu yang bertandang nanti.
Belum lagi cerita pasal langsir, perabot, juadah dan lain-lain?

Peringatan buat diriku dan sahabat-sahabat semua..

Ramadhan sudah menginjak ke penghujung. Penghujung yang penuh keberkatan dan kelebihan. 10 malam terakhir yang perlu diberi sepenuh penghayatan beribadah kerana Allah telah menganugerahkan Lailatul Qadar ~ malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Lantaran mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu. 

Saat-saat ini, umat Islam dianjurkan mempertingkatkan ibadah. Membaca Al Quran, qiamullail, iktikaf, bersedekah dan lain-lain. Insan mukmin yang sejati akan memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk merebut ganjaran yang Allah sediakan. Mereka tidak mahu alpa walau sesaat tanpa mengingati Allah. Hati mereka sedih dan sayu apabila memikirkan mungkinkah Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir? Apakah mereka masih berpeluang bertemu Ramadhan akan datang?

Di penghujung Ramadhan ini..dimanakah kita??

Kalau tergolong dalam golongan yang mempertingkatkan ibadah. Alhamdulillah.

Atau, tenaga sudah kehabisan, semangat sudah berkurangan, prioriti pula sudah beralih arah? Bukan lagi pada ibadah tapi pada persiapan Idulfitri yang bakal menjelma?

Kalau begitu, layakkah kita berhari raya meraikan kemenangan?? 
Apabila kita sudah kalah sebelum waktunya?

Selamat Beramal. Semoga amal ibadah kita diterima di sisi Allah.

2 comments:

Ibu Yusuf Maryam said...

Terima kasih utk peringatan ini..:D
Alhamdulillah, mlm tadi jemaah wanita di masjid kami lebih ramai dari hari2 sblumnya walau tak seramai minggu pertama.. :D

Ummu Ammar said...

Zefa..

Alhamdulillah. Semoga Allah memberkati usaha dan ibadat mereka. Insya Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...