Wednesday, November 30, 2011

Bacalah!

0 comments

Salam ukhuwwah,
Wajib dimiliki. Itu pendapat saya tentang buku ini. Jika kita mampu memiliki pelbagai buku dengan harga yang mungkin lebih mahal, apa salahnya kita memiliki buku ini sebagai panduan ke arah solat yang lebih sempurna. Sangat berbaloi.
 
 
Saya petik :
 
Merupakan sebuah ENSIKLOPEDIA SOLAT yang amat sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan di sekolah, masjid, surau, madrasah pengajian agama, institusi pengajian tinggi malahan juga amat sesuai dijadikan panduan dan kegunaan buat seisi rumah sesebuah keluarga.

Keistimewaan ensiklopedia ini adalah ;
  1. Mengandungi pelbagai keterangan daripada aspek fekah, falsafah, sejarah dan saintifik.
  2. Setiap isi kandungan disampaikan dengan mengintegrasikan semua aspek ilmu yang amat sesuai dan bertepatan dari segi kontemporari atau semasa.
  3. Disusun dengan pendekatan mesra pembaca.
  4. Setiap kandungan disertakan dengan ilustrasi, foto, gambar rajah, peta minda dan jadual sebagai memudahkan kefahaman penjelasan kepada pembaca. Turut memuatkan petikan hadis yang disertai dengan matan, sanad dan nombor hadits bagi memudahkan rujukan pembaca.

Antara tokoh istimewa yang menyumbangkan tenaga dalam melengkapkan dan menyiapkan ensiklopedia ini adalah Konsultan Syariah bersama Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid. Datuk Hj. Md. Hashim Yahaya dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin dengan kerjasama Team Penulis, Ustaz Rohidzir Rais, Fuad Ismail dan Haji Mohammad Wahid Abd Hanif .
 
Sumber : Telaga Biru Sdn Bhd 

Monday, November 28, 2011

Makaroni Goreng

7 comments

Hujan adalah rutin setiap hari di tanah kelahiranku sekarang. Kalau matahari muncul sekalipun, hujan tetap akan turun walaupun sebentar. Bila hujan turun, perut cepat lapar. Tatkala kerajinan datang bertimpa-timpa untuk memasak, layan sahajalah permintaan yang tersayang. Makaroni goreng yang dimasak ini ala kadar menggunakan apa yang ada di dapur sahaja. Banyak bahan yang kurang. Saya masak pun ala-ala mee goreng biasa. Apa-apa pun, yang penting semua makan dengan berselera sekali.


Cara-cara memasak :
  1. Rebus makaroni dengan sedikit minyak zaitun dan garam. Rebus sehingga lembut dan toskan.
  2. Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis kisaran bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili kisar, kacau hingga sekata. Masukkan sedikit sos tomato dan sos tiram. Masukkan sedikit air.
  4. Masukkan daging lembu/ayam kisar dan kacau sehingga hampir masak.
  5. Masukkan sayur dan makaroni. Kacau hingga sekata.
  6. Perisakan makaroni anda secukup rasa. Angkat dan siap untuk dihidangkan.

Saturday, November 26, 2011

Senyumlah

3 comments
Salam mesra,

Setelah seketika "bercuti" , akhirnya kesempatan menulis di sini tiba juga. Barangkali saya bukanlah superwoman yang tahan ke sana ke mari.  Setelah melalui seminggu yang memenatkan fizikal dan mental, dua hari saya demam kepenatan.

Hanya kepada Allah saya pohon agar dipermudahkan segala urusanku. Tidak putus-putus doa itu bermain di bibir saya. Paling penting, saya pohonkan keikhlasan hadir dalam diri, agar segala yang dilakukan tidak sia-sia. Alhamdulillah, segala dipermudahkan akhirnya.

Kata orang, lihatlah dunia ini dengan jiwa yang  tersenyum. Kalau kita diuji dengan kesibukan dan tekanan, ada lagi insan lebih teruk dari kita. Kalau kita rasa masalah kita cukup besar untuk ditanggung, ada lagi insan yang lebih merana. Kalau kita serba kekurangan, ada insan yang langsung tak punya apa-apa.


 Senyum mampu mengubat keresahan hati, membantu kita menjadi kuat. 
Biarpun, hati dan minda kita berkecamukan maha hebat.
Senyum bukan sahaja menyenangkan diri sendiri,
Tetapi juga memberi orang lain makna tersendiri.
Senyumlah! Walau ketika ini anda tertekan amat hebat..

Wednesday, November 16, 2011

Stress?

6 comments

17-18 Nov : Kuliah Statistics in Education (akhir)
19 Nov : Majlis pernikahan adik iparku
20-22 Nov : Berkursus di Selangor
24 Nov : Final exam Statistik

Sunday, November 13, 2011

Untukmu Ibu

3 comments
Hawa udara di Changchun, Tiongkok, sangatlah dingin. Li Yuanyuan memanggul ibunya yang lumpuh. Dia tergesa-gesa ke rumah sakit kerana ibunya perlu mendapatkan rawatan sakit jantungnya. Orang yang lalu lalang memandang mereka dengan mata terbeliak. Semuanya rasa terharu dan takjub melihat seorang wanita yang kelihatannya kurus lemah, namun memiliki tenaga untuk memanggul ibu sambil menggendong anaknya.

Menurut laporan City Evening Post, pada awal pagi 13 Februari 2008, Li Yuanyuan memakaikan baju  anak dan ibunya yang sering mengalami masalah jantung. Tepat jam 10 pagi, Yuanyuan bersiap sedia untuk ke rumah sakit. Yuanyuan menggunakan kedua-dua tangannya untuk memanggul ibunya, manakala ibunya membantu merangkul cucunya dari belakang. Dengan cara inilah tiga beranak ini ke rumah sakit.

Ibu Yuanyuan lumpuh sejak 21 tahun lalu. Selama 21 tahun itu, Yuanyuan memanggul ibunya keluar masuk rumah sakit. Kemalangan jalan raya yang meragut fungsi kaki ibunya berlaku ketika Yuanyuan berusia 7 tahun. Kejadian itu benar-benar merubah kehidupan Yuanyuan dan ibunya. Lebih parah, ayahnya menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Sejak saat itu, Yuanyuan menjadi tulang belakang keluarganya. Yuanyuan menyara keluarganya dengan memungut dan menjual barangan lusuh dan terpakai. Dengan pendapatan yang tidak seberapa itulah, dia menyara keluarga dan membayar kos perubatan ibunya.

Pengorbanan Yuanyuan kepada ibunya sangat menyentuh hati para tetangga. Mereka cuba membantu sekadar yang termampu. Seorang jiran yang mempunyai kemahiran sebagai tabib membantu mengurangkan penderitaan ibu Yuanyuan dengan memberikan terapi akupunktur. Tabib itu bahkan mengajar Yuanyuan teknik akupunktur untuk mengurangkan penderitaan ibunya. Sepanjang tahun, ibunya hanya terbaring, manakala otot kakinya sering kejang, dan sakitnya begitu memeritkan. 

Tiga tahun lalu, Yuanyuan menikah dengan suaminya. Setahun kemudian, Yuanyuan melahirkan anak perempuannya. Namun, biar apa-apapun Yuanyuan tidak pernah meninggalkan ibunya, malah dia dan suami bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga ibunya.

Bagi Yuanyuan, selama 21 tahun berbakti tanpa mengenal jemu dan putus asa, dia merasakan dirinya sangat bahagia kerana masih memiliki seorang ibu.

Antara kata Li Yuanyuan yang menusuk jiwa pembaca termasuklah "Saya rela menjadi tongkat ibu sepanjang hidup..." -DCM
Dipetik dari : laman duniacacamarba.blogspot.com
 

Saturday, November 12, 2011

Imtihan November

6 comments

November tiba membawa kesibukan buatku. Minggu hadapan adalah minggu akhir persekolahan sesi 2011. Menyempurnakan kerja-kerja rutin akhir tahun pastinya 
menjadi agenda utama guru-guru seperti saya.

Sementara itu semester 4 pengajianku pula bakal berakhir dengan final exam yang menanti di penghujung bulan ini. Maka, bersusunlah assignment dan projek yang nak disempurnakan. Saya mengharapkan segala-galanya berjalan dengan baik dan lancar dengan izin Allah SWT, kerana Dia lah yang menentukan segala-galanya. 

Hingga bertemu lagi. Doakan saya.



Thursday, November 03, 2011

Surat Untuk Anakku

13 comments

Hujung minggu lepas, saya menziarahi ayah setelah beberapa minggu dihambat kesibukan. Damai singgah di hati tatkala menatap wajah dan mendengar bicaranya. Terima kasih buat kakakku yang menjaga dan melayan ayah dengan baik. Terima kasih kakak..kerana membuatkanku  dan anak-anak ayah yang lain tenang dan lega apabila memikirkan keselesaan ayah dibawah jagaanmu.Jazakillahi khairan khatira.

Saya pernah berbicara dengan anak-anak, kalau tiba saat saya tua seperti ayah, apakah mereka mahu menjagaku sebagaimana yang ibu saudara mereka lakukan? Mereka mengangguk mahu, meskipun saya tahu mereka masih muda untuk memahami situasi itu. Namun, harapan di hati ini tetap berbunga agar mereka mampu menjadi sandaranku kelak. Insya Allah.

Saya kongsi satu puisi dari laman youtube. Surat ayah dan ibu untuk anaknya. Sangat menyentuh hati.


Anakku ...ketika aku semakin tua,  
Aku berharap kamu memahami,dan memiliki kesabaran untukku
Saat ketika aku memecahkan piring,
atau menumpahkan sup di atas meja
Lantaran penglihatanku yang kian pudar,
aku berharap kamu tidak memarahiku
Ketahuilah orang tua sepertiku sensitif jiwanya, s
elalu merasa bersalah jika kamu membentak

Ketika pendengaranku semakin hilang  
Dan aku tidak bisa mendengar apa yang kamu katakan
Aku berharap kamu tidak memanggilku TULI.

Mohon diulangi apa yang kamu katakan atau tuliskan untukku

Maaf, anakku . . aku semakin tua

Ketika lututku mulai lemah, aku berharap kau miliki kesabaran 
Untuk membantuku berdiri, sebagaimana aku selalu membantumu, 
Sewaktu kamu masih kecil dan bertatih

Aku mohon jangan pernah bosan denganku, ketika aku terus mengulangi apa yang aku katakan umpama kaset yang rosak,
Aku berharap kamu terus mendengar bicaraku

Jangan sesekali mengejekku atau bosan tuk mendengarkan suaraku ...

Apakah kamu ingat waktu kamu masih kecil dan kamu inginkan sebiji belon ???

Kamu ulangi permintaanmu berulang-ulang kali,
sehingga kamu dapat apa yang kamu inginkan

Maafkan juga bauku ..bau insan yang sudah tua

Aku mohon jangan memaksaku untuk mandi..tubuhku lemah
sekali
Orang tua sepertiku mudah sakit kerana alah pada kedinginan

Aku jua berharap aku tidak jijik di matamu

Apakah kamu ingat ketika kamu masih kecil ???

Aku selalu mengejarmu kerana kamu enggan mandi,

Anakku, aku menagih kesabaranmu terhadapku ...


Aku harap kamu bersabar ketika aku selalu lemah ...lantaran fitrah seorang tua ..

Kamu akan pasti mengerti jika kamu melaluinya kelak


Jika kamu memiliki waktu luang, aku berharap kita bisa berbicara

Walau hanya beberapa minit

Kerana aku kesunyian sepanjang waktuku,
tiada teman untuk berbicara,
Aku tahu kesibukanmu dengan kerjaya

Jika kamu tidak berminat dengan bicaraku sekalipun
Aku mohon luangkan waktumu bersamaku ...
Apakah kamu ingat waktu kamu masih kecil ...

Aku selalu mendengar apapun bicaramu, tentang segala alat mainanmu ...

Maaf, ketika saatnya tiba ...saat aku hanya terbaring kesakitan

Ketika aku tidak mampu mengurus diriku

Aku berharap kamu memiliki kesabaran untuk menjagaku..

Untuk saat-saat terakhir dalam hidupku

Aku mungkin tidak akan hidup lebih lama ...

Ketika kematian menjemputku, aku berharap kamu selalu bersamaku,
Dan memberikan kekuatan untukku menghadapinya
 
Dan jangan kamu bimbang wahai anakku ...

Pada Sang Pencipta ...aku akan memohon Kepada-Nya ..

Agar sentiasa memberkatimu
 
Kami menyayangimu, Terima kasih atas segala perhatianmu ...
Kami selalu mencintaimu sepenuh kasih sayang yang mendalam



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...