Tuesday, July 19, 2011

Ringkas Tapi Signifikan

7 comments
Salam ukhuwwah,

Semalam, tatkala melihat rakan saya begitu asyik membaca buku Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok tulisan Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim, saya teringat saat mula bertemu naskah hebat ini dahulu. Saya sendiri tidak menyangka dapat menghabiskan bacaan dalam tempoh hanya beberapa jam sahaja.


Membaca pengalaman dan perjalanan mencari nilai kehidupannya terutamanya menerusi buku bestseller beliau, Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman umpama jiwa turut sama merasai dan menghayati setiap baris yang tertulis. Bertemankan airmata yang sesekali keluar tanpa dipaksa-paksa, sungguh saya sebenarnya jatuh cinta pada karya beliau di sebalik susun atur bicara yang ikhlas, tulus, ringkas dan bermakna. Ringkas tapi signifikan.


Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim ~ Insan yang berkongsi negeri kelahiran dengan saya ini, sesungguhnya anugerah Allah yang sungguh istimewa. Dia memperolehi kejayaan dan kecemerlangan hidup yang diimpikan oleh semua insan, namun dirinya sirna dari suluhan hidayah berpuluh-puluh tahun hidupnya. Ketika kesedaran mula menyapa, hidayah disambut tanpa berpaling lagi. 

Antara ayat yang menyentuh hati saya..

"Saya belajar Al Quran ketika usia menghampiri 41 tahun. Ketika saya sudah tewas dan bersedia menerima kematian dalam keadaan buta Al Quran, saya dijemput menunaikan haji. Saya menangis, merayu dan mengadu pada Allah atas segala kekurangan diri. Rayuan dan pengaduan yang mencerminkan ketakutan, kefakiran dan kehinaan diri pada Allah yang maha perkasa. Ketika itu bermulalah episod baru dalam hidup seorang insan yang bergelar profesor, berguru dengan seorang penghafal Al Quran yang tidak pernah menduduki peperiksaan SPM."
Profesor Muhd Kamil Ibrahim: Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok.



Sungguh indah sekali apabila hidayah yang dimilikinya kini menjadi perkongsian utama beliau bersama insan-insan di sekelilingnya lewat karya tulisannya, ceramah-ceramah, tazkirah-tazkirah dan lain-lain. Anda juga boleh berkongsi pengalaman dan ilmu di blog beliau. Klik sini. 

Buat yang belum dijodohkan dengan kedua-dua buku ini, saya cadangkan anda sendiri membacanya. Jika perasaan anda tidak terusik dan iman anda tidak tercuit, anda sememangnya berhati batu. Maaf!

Monday, July 18, 2011

Perginya Sebutir Permata

11 comments

Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam tadi di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun meninggal dunia setelah berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya.


Dr Lo'Lo adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah. Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi. - Sumber :Malaysiakini

Saya mengkagumi beliau sejak zaman persekolahan lagi. Kebijaksanaan dan ketokohannya serta semangat perjuangan yang tinggi menjadikan kehilangannya sukar dicari ganti.

Saya suka menampal bersama entry ini sajak As-Syahid Sayyid Qutb sebelum kematiannya, memberi inspirasi dan ketenangan buat insan-insan yang masih bernyawa, untuk meneruskan perjuangan  menegakkan kalimah  Allah dan mencari keredhaan Allah di muka bumi ini. Moga ia mengubat kesedihan kita di atas pemergian tokoh berjasa ini.

Saudara,
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang sudah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini..dan …
Teruskan perjalanan ke Gerbang Jaya

Saudara,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman syurga Tuhanku bangga menerimaku
Burung burungnya berkicau riang menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di alam abadi

Saudara,
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
Jangan gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar..

Al Fatihah. Semoga beliau ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan beroleh ganjaran di sisi Allah. Ameen.
Perginya sebutir permata yang tiada gantinya.

Friday, July 15, 2011

Damai Tasik Kenyir

7 comments
pic :google

Biarpun kaki belum menapak di sana..
 Ketenangan dan kedamaiannya sudah menghuni jiwa, 
Meskipun ada tugas yang menanti, 
Saya berharap dapat menghirup kedamaian dan keindahannya sepuas hati,
Tasik Kenyir, kita bertemu lagi..

Wednesday, July 13, 2011

Catatan Harapan

2 comments


Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya:
“Serulah manusia ke jalan Rabb-mu (Allah) dengan jalan hikmah (hujjah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” 
(Surah an-Nahl : 125)


Bermula dari minat, blog ini lahir  pada awalnya penuh kekurangan. Minatlah yang mengeksploitasi bakatku yang secubit garam ini untuk menulis. Biarpun tidak bergelar penulis hebat, saya berharap sepatah dua kata yang tertulis di sini mampu menyumbang kepada penyuburan jiwa dan rohani ke arah merebut redha Ilahi. 

Beralaskan cerita dan rentak kehidupan, saya cuba berkongsi pengalaman, perasaan, ilmu  dan sudut pandang agar kita sama-sama lebih menghayati kehidupan kurniaan Ilahi ini dari perspektif jiwa yang sebenar.

Cukup 2 tahun saya menulis di pentas maya ini.  Percayalah, saya sebenarnya lebih banyak belajar berbanding dengan apa yang saya tulis. Saya berharap untuk terus berblog dan menulis selagi dikurniai Allah daya dan tenaga. 

Terima kasih buat semua yang membaca dan mengikuti blog ini. Kesetiaan anda saya dambakan. Mohon dimaafi segala kekurangan.

Rasulullah SAW bersabda:
“Jika manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga macam: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak shaleh yang mendoakan kedua orang tuanya” (HR. Muslim)

 "Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah." - Pramoedya Ananta Toer

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...