Sunday, July 10, 2011

BERSIHkan Minda

6 comments


Mereka datang dari jauh dan dekat
Utara, Selatan,Timur jua Barat,
Satu tekad, satu matlamat, satu harapan
Untuk sistem pilihanraya yang lebih telus,bersih &mampan 

BERSIH 2.0 sudah berakhir.  Samaada anda seorang pemerhati, penyokong, pendokong atau pembangkang..semoga anda mempelajari sesuatu dari peristiwa ini.  Saya agak pelik juga bila masih ada yang bertanya BERSIH 2.0 ni apa sebenarnya? Rupanya,di zaman teknologi ini masih ada lagi yang tidak celik dan sensitif pada isu-isu setempat. Sayang sekali kalau yang bertanya itu adalah golongan profesional dan bijak pandai sedangkan orang awam lain lebih terbuka, memahami dan prihatin. Rakyat Malaysia di seberang laut juga lebih tahu dan prihatin hal ehwal negara sendiri. Buktinya di sini.

Ayuh! Bukalah minda dan buat kajian secara mendalam dan menyeluruh tanpa sebarang prejudis. Rujuk pandangan cerdik pandai, analisis pro jua kontra dan cuba fahami rasional tanpa emosional. Selepas itu, anda buatlah pilihan berdasarkan kebijaksanaan dan hujah yang betul. Pasti yang kabur jadi terang, yang palsu jadi benar.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah SAW :
“Menyelidik dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah 
adalah daripada syaitan.”


Wednesday, July 06, 2011

Kerana Senyuman

15 comments



Sahsiah peribadi dan senyuman yang sering terukir diwajah Imam Muda, Hassan Adli Yahaya, berjaya memikat hati mursyid-mursyid juri untuk menobatkannya sebagai juara Imam Muda musim kedua.

“Hassan pernah dua kali dipilih sebagai Imam Muda contoh dan keperibadiannya itu turut diambil kira untuk menjadi seorang Imam Muda yang terbaik.

“Dia suka senyum, itu adalah satu lagi kelebihan Hassan,” kata Mudir Imam Muda tersebut pada sidang akhbar, di sini hari ini - Internet

Saya petik keratan berita dari internet tentang keistimewaan Imam Muda musim ke 2, iaitu seseorang yang tenang dan suka tersenyum sehingga memikat hati-hati insan sekeliling dengan keperibadiannya. 

Berbicara tentang kuasa sebuah senyuman, saya teringat saat mula mengajar di sekolah saya sekarang, selalunya  saya berwajah serius bila masuk mengajar kelas-kelas hujung (pelajar lemah&bermasalah displin). Senyuman pun agak mahal ditambah aksesori rotan pelengkap gaya. Tujuannya, saya mahu ketegasan saya membuatkan mereka fokus pada pelajaran dan tidak main-main.

Sehinggalah suatu hari, semasa memantau pelajar membuat latihan, hati saya tercuit dengan kelucuan salah seorang dari mereka, sehingga saya senyum dan ketawa.
 
Di hujung pendengaran saya, seorang pelajar membisikkan sesuatu kepada rakan sebelahnya. "Kau tau tak.. hari ni, pertama kali aku tengok ustazah senyum." Ucapan pelajar yang terkenal dengan kenakalan itu, kedengarannya cukup ikhlas. Keegoaan saya lebur. Saya terfikir apa salahnya sesekali kita senyum dan membuatkan orang senang dengan kehadiran kita. 

Sejak dari itu, saya masih tegas tapi bertempat. Sesekali bergurau dan cuba menarik perhatian mereka dengan stail tersendiri. Persekitaran pelajar banyak membekalkan pengalaman berguna bagaimana untuk menangani situasi dan senyuman adalah salah satu penawar berharga.

Oleh itu senyumlah..sebagaimana murahnya senyuman IM Hassan Adli. Saya bukan peminat  tegar Hassan Adli tetapi saya amat mengkagumi ibu beliau, Puan Arpah Mohd Nor yang membesarkan 9 anak selepas kematian suami dengan rezeki menoreh getah. Sangat  besar ketabahan dan kesabarannya sehingga Allah menganugerahinya anak sebaik Hassan Adli. Tidak hairannya, anak muda ini sentiasa menitiskan airmata apabila berbicara tentang ibu kesayangannya itu. Saya berharap untuk dikagumi dan dikenangi oleh anak-anak sendiri suatu hari nanti. Insya Allah.

Monday, July 04, 2011

Aku, Isabella & Tok Kenali

4 comments

"Dia akhirnya menyapa hidayah Tuhan yang datang, dan kini sanggup berdada dengan sebongkah ujian. Dia sanggup menjalani kehidupan yang sederhana, membuang pakaian kesombongan yang dipakainya dalam dunia seni dengan seribu sihir yang memukau. Dia telah merasai dunia ketawa, dan kini tibalah masanya untuk dunia menangis, bersama gerakan Islam untuk memanggil insan lain bagi bersama-sama merengkuh kasih-sayang Tuhan, Sang Pencipta yang penuh dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

“Aku akan mati berjuang bersama dakwah dengan panduan alim ulama. Doakan aku teman…” ujar Bob Lokman dengan lirih, juga memanggil seluruh peminatnya untuk berada di jalan hidayah ini. 

Petikan Buku : TRAVELOG HIDAYAH : AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI.

Hidayah Allah tidak mengenal siapa. Allah memilih sesiapa sahaja di kalangan makhlukNya untuk diberi hidayah dan kemuliaan. Kalau berkesempatan, saya teringin untuk menyelami kisah hidayah saudara Bob Lokman, penulis lirik lagu yang  menjadi siulan ramai, Isabella. Buku travelog hidayah ini, bukan fiksyen atau rekaan tetapi realiti sebenar perjalanan seorang manusia. 

Untuk maklumat lanjut tentang buku ini, anda boleh berkunjung ke laman penulisnya, Ustaz Riduan Mohamad Nor.

Saturday, July 02, 2011

Bibir Tersenyum, Hati Menangis

12 comments
Salam ukhuwwah..

Menyuruh orang lain bersabar dengan musibah adalah mudah, namun apabila ujian  dan dugaan terpikul di bahu sendiri, hakikatnya ia sungguh payah.


Sebagai hamba Allah, kita tidak dapat lari dari ujian dan dugaan yang meremukredamkan hati kita dengan kekecewaan dan kesedihan. Sudah lumrah manusia untuk merasa sedih dan kecewa. Lain orang lain cara menanganinya. Ada yang menzahirkan kekecewaan dengan airmata yang mencurah, ada yang berlawan dengan keegoan dan ada juga yang menangis di dalam hati, meskipun bibirnya tersenyum lebar...

Menangis dan sedih bukanlah beerti kita hilang harapan. Jauh sekali untuk menjadikan kita putus asa dengan rahmat Tuhan.  Sesekali menangis, hati kita akan bangkit sedar bahawa kita hanyalah hambaNya yang lemah dan kerdil. Sesekali menangis, jiwa kita dididik dengan indahnya sabar dan redha...Sesekali menangis, percayalah..bukan Allah tidak tahu hancur dan luluhnya hati kita menanggung kecewa dan sedih, tetapi Dia mahu kita rapat padaNya, lantaran hati-hati sebeginilah yang lebih lunak dan lembut beribadat kepadaNya. Subhanallah!

Setelah kita jatuh dan terluka, bangkitlah semula melangkah. Namun, jika kita jatuh tersungkur dan sukar untuk bangun, percayalah sinar harapan tetap ada. KasihNya sentiasa dekat, cuma kita yang selalu alpa dan lalai. 


Yakinlah, Allah tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti terdapat hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – [Surah Al-Baqarah, 2: 216]


Antara senyuman yang mampu menenangkan hatiku yang gundah..
Terima Kasih Tuhan atas kurniaanMu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...