Monday, May 23, 2011

Khabar Duka Dari Hulu Langat

4 comments
Salam ukhuwwah,

Apabila berbicara tentang kematian, sebagai hambaNya kita  hendaklah redha dengan segala ketentuanNya. Siapalah kita untuk menghalang sebuah pemergian melainkan yang berhak hanya Dia Yang Maha Kuasa. Namun pemergian penuh tragis dan menyayat hati, meruntun hati-hati kita yang menatap khabar duka dari Hulu Langat ini, petang Sabtu lepas. Berat mata memandang, hiba hati merasa, berat lagi bahu yang memikul, hancur luluh hati yang menanggung..

Saya paling tersentuh dan hiba dengan kasih seorang abang, Mohd Awie (gambar) yang cuba menyelamatkan adiknya yang tertimbus. Kerana keadaan tidak mengizinkan, dia hanya mampu menyaksikan tragedi dahsyat itu meragut nyawa adik kesayangannya di hadapan matanya sendiri. Anda boleh baca kisahnya di sini.

Tragedi duka ini ada mesej tersendiri. Iktibar buat kita yang masih hidup. Kembalinya kita kepada pencipta, adalah suatu kepastian. Cuma waktu tidak diketahui, entahkan esok, entahkan bila. Beringatlah sentiasa. Hargai kehidupan dengan menghayati keindahan nikmat iman, islam dan taqwa dalam setiap sisi kehidupan. Moga bahagia kita tidak hanya di dunia, tapi di akhirat yang kekal abadi.


Takziah buat anggota keluarga mangsa tanah runtuh di Madrasah At Taqwa, Hulu Langat, Selangor. Semoga mereka ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.

Saturday, May 21, 2011

Kunci Sebuah Kejayaan

5 comments
Salam ukhuwwah..

Mutiara kata insan-insan hebat sebagai motivasi buat diriku sendiri yang dilanda kelemahan semangat. Sememangnya tiada jalan pintas dalam mencari ilmu dan dalam mendamba sebuah kejayaan. Segalanya perlukan pengorbanan dan kesabaran. Motivasi ini untuk yatie chomeyl juga..Chaiyok!


Berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik 
dan yang lebih baik menjadi paling baik. 
(Larry Bielat)

Manusia cemerlang fokus kepada kerja penting walaupun tidak seronok. Sementara manusia lemah fokus kepada kerja seronok walaupun tidak penting. 
(Dr. Shukri Abdullah)

Kejayaan bergantung kepada apa yang anda lakukan dengan diri anda. 
(Ron Jenson)

Kegagalan bukan muktamad. Kita gagal kerana terlalu cepat 
mengaku kalah dan mudah putus asa. 
(Lewis Timberlane)

Buatlah apa yang anda mampu buat, dengan apa yang anda ada dan di mana sahaja anda berada kerana tiada alasan di dalam kamus pemburu kejayaan. 
(Henry Truman)

Secara semulajadi semua manusia itu sama, 
tetapi ilmu menjadikan mereka cukup berbeza.
(Bidalan Cina)

Memulakan sesuatu itu adalah hebat tetapi menyelesikannya adalah lebih hebat! (H.W Longfellow)

Kesusahan yang dialami kerana berusaha untuk berjaya hanya sekejap sahaja 
kemudian akan senang seumur hidup. 
(Ibnu Yusuf)

Ya ALLAH..permudahkanlah urusan kami..

Wednesday, May 18, 2011

Masa & Kehidupan

4 comments
Salam mesra,

Hidup memerlukan motivasi dan semangat. Andai tiada peringatan, manusia yang alpa akan terus alpa dengan tujuan dan matlamat kehidupan di dunia yang fanaa ini. 

Jangan sia-siakan hidupmu dengan hanya mengisi kantung perut, mendamba harta kemewahan, mencari sanjungan dan pangkat, memuja segala kesayangan kerana segalanya hanyalah pinjaman semata. Hidup kita ada tujuan dan matlamat yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Masa adalah kehidupan. Manfaatkan hidupmu..Jangan mati sebelum ajal!

Renungi kata-kata ulamak ternama ini, moga dapat manfaat dan pedoman..


”Sesungguhnya dalam kehidupan ini ada manusia yang mati sebelum datang ajalnya, kerana masa yang ada dalam kehidupannya itu sama sekali tidak memberikan manfaat dan faedah samada bagi dirinya ataupun orang lain, sementara itu ada manusia-manusia yang terus hidup meskipun ajalnya telah sampai menjemput, kerana masa yang ada dalam hidupnya berjaya digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah sama ada untuk dirinya atau masyarakat ramai berupa warisan ilmu pengetahuan, anak-anak soleh atau para murid yang bertaburan di pelbagai tempat untuk melanjutkan misi perjuangan atas dunia ini. Perjuangan yang berlanjutan itu menjadikan seolah-olah ia masih hidup dan bergerak dibuka bumi, meskipun jasadnya sudah lama dikandung tanah”.

~ Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi~
 
 

Sunday, May 15, 2011

Catatan 16 Mei

11 comments
Salam mesra..

16 Mei ialah hari istimewa buat insan bergelar guru. Seperti jua guru lain, kehadiran tarikh keramat ini seakan mengimbau kenangan tersendiri. Perjalanan saya dalam bidang pendidikan ini yang baru mencecah 10 tahun, menghidangkan pengalaman pahit manis yang sukar diganti dengan harta dan wang ringgit. Saat menjalani latihan praktikum di SMAP Kajang  mahupun hari pertama rasmi bergelar seorang guru di SMKA Segamat..segalanya bagai berlaku semalam. Kini, bakti dan sumbangan saya adalah di daerah negeri sendiri, yang suatu ketika cukup asing buatku. Jujur saya katakan, saya mula menyayangi bidang yang saya ceburi ini walaupun pernah suatu ketika dulu, ia bukan pilihan saya.


Setiap kali Hari Guru disambut, saya selalu berfikir tentang sumbangan saya dalam mendidik. Adakah saya sudah menjadi guru (mua'llim) dan pendidik (murabbi) dalam erti kata yang sebenarnya?..atau hanya guru yang menghitung hari untuk menerima gaji bulanan atau imbuhan tahunan semata. Hanya doa dipanjatkan agar diri ini sentiasa thabat dan teguh meneruskan perjuangan sebagai seorang guru sebenar di dunia penuh cabaran kini. Semoga hari-hari mendatang akan menjadikan saya seorang mua'llimah dan murabbiah yang lebih baik. Insya Allah.

Sajak penuh inspirasi, walaupun "umurnya" hampir sebaya dengan umurku sendiri..

Berburu  ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia, Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala, Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat, 
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Atas Segala Tunjuk Ajar buat semua insan yang pernah bergelar guru buat diri ini. Jazakumullahi khairan khatira.



Selamat Hari Guru buat semua guru di mana saja anda berbakti! Selamat bertugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Tugasmu adalah satu kemuliaan kerana dari tanganmu akan lahir seorang "insan"!

Terima kasih buat anak-anak didik yang sudi dan masih mengenangku sebagai guru mereka..biarpun sekadar ucapan Selamat Hari Guru..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...