Kisah ini adalah perkongsian pengalaman Ustazah Norhafizah Musa, pensyarah UTM yang juga merupakan pendakwah bebas dan tetamu jemputan program Tanyalah Ustazah, TV9. Setelah membacanya di sini, saya berasa perlu untuk berkongsi dengan anda semua. Sungguh menyentuh rasa dan membangkitkan keinsafan. Kadang-kadang hidayah Allah itu datang walau hanya dari impian murni seorang anak...
Suatu hari selepas saya memberikan satu pengisian
di dalam slot bersama remaja, datang seorang remaja darjah 6 duduk di tepi meja
saya.
“Ustazah, doakan saya supaya dapat 5A dalam
UPSR.”
“InsyaAllah, UPSR 5A.”
Selepas saya berkata sedemikian, dia masih tidak
berlalu pergi. Dia tetap duduk sahaja dekat dengan meja saya. Katanya lagi,
“Ustazah, ini serius tahu!”
Saya senyum sembil berkata;
“Ya, saya tahu. Memang UPSR 5A dari dahulu
hingga sekarang. Atau sudah bukan 5A lagi sekarang?”
“Ustazah ini beriya-iya mahu doa, tetapi
tidak pula bertanya siapa nama saya.”
Saya mula merasakan anak ini serius dengan
kata-katanya. Saya bertanyakan namanya. Setelah diberitahu nama, dia berkata
lagi,
“Ustazah mesti doakan saya dapat 5A ya.”
“Boleh ustazah tahu, mengapa kamu
bersungguh-sungguh mahu ustazah doakan?”
Dia menyambung lagi,
“Ustazah, saya meminta untuk didoakan agar
dapat 5A dalam UPSR kerana saya mahu menuntut hadiah daripada ibu saya. Ibu
tidak tahu lagi, apa hadiah yang saya mahukan.”
Dalam fikiran saya, tentulah hadiah yang
dimahukan seperti Basikal, PS2, video game atau yang seumpama dengannya.
“Boleh kamu kongsi dengan ustazah dahulu,
hadiah apakah yang kamu mahukan daripada ibu kamu sekiranya kamu mendapat 5A?”
“Ustazah, saya harus dapat 5A. Kerana
sekiranya saya dapat 5A, saya mahu tuntut hadiah daripada ibu supaya dia
menutup aurat dengan sempurna, memakai tudung.”
Pada ketika itu juga, saya menadah tangan berdoa,
“Wahai Allah, Engkau mendengar luahan hati
anak ini. Sekiranya dengan 5A boleh menjadi penyebab ibunya mendapat
hidayah-Mu, Engkau berikanlah 5A kepada anak ini wahai Allah.” ~ Ustazah Norhafizah Musa
Semoga kita dikurniakan anak-anak yang soleh/solehah, harta berharga di dunia mahupun akhirat. Insya Allah.