Monday, March 29, 2010

Bukan Wanita Pilihan

12 comments
Salam mesra buat semua..

Kebahagiaan istana kasih yang dibina bergantung pada pemilihan pasangan hidup. Andai pilihan yang tepat dan mengikut apa yang dianjurkan agama, Insya Allah..bahagialah yang sentiasa mewarnai segenap ruang kehidupan. Jika sebaliknya, derita dan sengsaralah jawabnya. Lebih teruk kalau terpaksa berpisah kasih dan bercerai sayang mencari haluan masing-masing.

Seorang isteri memainkan peranan penting dalam sesebuah rumahtangga. Dialah isteri, suri dan ibu pada anak-anak bakal dilahirkan. Justeru pemilihan seorang isteri mestilah bukan sekadar cantik dipandang pada luaran tapi juga cantik pada akhlak, ilmu dan pegangan agamanya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya; ”Wanita itu dikahwini kerana 4 perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya maka utamakanlah kerana agamanya nescaya engkau bahagia.” 

Hukama' ada berkata :
 “Jangan engkau nikahi wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau nikahi yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah.”
 
1) Wanita Ananah ( انانة ) : banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat dibuat-buat sakit.

2) Wanita Mananah ( منانة ): suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.

3) Wanita Hananah ( حنانة ) : menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dinikahinya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4) Wanita Hadaqah ( حداقة ) : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya

5) Wanita Baraqah ( براقة ) : ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6) Wanita Syadaqah ( شداقة ) : banyak cakap, tidak menentu lagi bising.

Jika anda lelaki yang mencari suri penyeri mahligai kasih..pastikan tidak memilih ciri-ciri wanita sedemikian demi kelangsungan hidup yang diidami.

Ingatan buat gadis-gadis muslimah, hiasilah diri dengan pakaian taqwa, akhlak mulia dan perelokkanlah pekerti. Nescaya kalian semua akan menjadi bakal isteri dambaan lelaki-lelaki soleh.

Tidak lupa buat yang sudah menjadi seorang isteri,seperti diriku ini, jangan buatkan suami menyesal memilih anda menjadi permaisuri hidup kerana sifat-sifat di atas. Muhasabah diri masing-masing. Berubahlah untuk kebaikan demi kebahagiaan yang hakiki  di dunia dan akhirat.

Sunday, March 28, 2010

Kini Usiamu 7 Tahun

14 comments
Salam mesra buat semua...

Bila tibanya tarikh 28 Mac, tiba-tiba hati saya jadi sebak. Tarikh keramat yang cukup bermakna dalam hidupku. Saat pertama saya menjadi seorang ibu setelah melalui saat-saat getir melahirkan bayi lelaki comel seberat 3.4kg ke dunia ini jam 3.00 pagi 28 Mac 2003. 

Sepanjang tempoh 7 tahun ini, banyak susah senang membesarkannya. Saya pernah menangis tanpa henti dalam bas semasa perjalanan dari K Terengganu - Segamat semasa meninggalkannya untuk kembali bertugas di Segamat selepas tamat tempoh cuti 60hari. Satu minggu di sana, saya hanya berendam airmata kerana rindukan Ammar apatah lagi dia menyusu badan. Lalu saya nekad membawanya bersama saya selepas tu.

Ammar seorang anak yang manja dan aktif. Sentiasa inginkan perhatian. Suka bercakap dan bercerita dan mahukan kita mendengar apa yang diperkatakannya. Kuat makan juga. Kadang-kadang suka memberontak dan degil  juga tapi ada beberapa sisi dalam dirinya yang saya kagumi.Pintar, prihatin dan bertanggungjawab.

Di bawah ni, gambar-gambar pilihanku sepanjang tempoh Ammar membesar dan memberi erti yang amat bermakna dalam hidup kami sekeluarga.

Ammar 7 bulan

Ammar 2 tahun

Bersama adik Afiq

Ammar 5 tahun -  Masa ni dah start montel..

Ammar 6 tahun


Ammar di usia 7 tahun. Makin montel dan sihat..

Menginjak usia ke-7. Sanah Helwah ya bunayya, semoga menjadi anak yang soleh, taat ibadah, patuh dan hormat pada ibubapa dan orang tua , semakin cerdas, pintar, kreatif, berdikari dan percaya diri. Ummi dan Abi hanya bisa mendoakan dan berusaha sedaya mungkin membahagiakanmu dan melengkapi keperluan duniawi dan ukhrawi buatmu. 

Teruskan langkahmu
Capailah impianmu
Luaskan ilmu dan pemikiranmu
Gapailah awanmu
Jangan lupa pada Tuhanmu
Kerana Dialah Yang Satu
Penentu kebahagiaanmu
Di dunia yang menipu
Dan di akhirat yang diburu

Friday, March 26, 2010

Nostalgia Dulu-dulu

18 comments
Salam mesra buat yang sudi membaca..

Biasanya kalau ada masa, kadang-kadang saya akan tidurkan anak-anak walaupun mereka sudah berusia 7 dan 6 tahun. Sebelum tidur, macam biasa.. permintaan mereka inginkan saya bercerita. Cerita apapun mereka suka. Antara cerita-cerita pilihan biasanya sekuel Sang Kancil, cerita-cerita rakyat dan kisah-kisah Nabi. 


Ammar pernah bertanyakan cerita kegemaran ummi masa kecil-kecil dulu. Saya beritahu dia saya cukup suka cerita Hikayat Sang Kancil dan Monyet  di TV. Penuh pengajaran. Malah dialog cerita tu masih melekat sampai sekarang.

Kebetulan pula, baru-baru ni..seorang kawan ada upload video Hikayat Sang Kancil dan Monyet  terbitan Filem Negara Malaysia ni di Facebook. Memang nostalgia sungguh cerita ini, lagi nostalgia bila teringat TV hitam putih nenek saya yang ada sliding door tu. 

Kalau anda membesar di tahun 80an, anda akan faham maksud saya. Cerita ini sangat popular ketika itu dan ditayang berulang kali di TV. Terkenal juga dengan tag line " Jangan monyet..jangan..!" .Kisahnya mengenai monyet yang pemalas tetapi sangat tamak dan gelojoh sehingga memakan diri. 



Apalagi, saya berkongsi video ini dengan anak-anak. Seronok mereka dapat menonton sendiri cerita favourite ummi masa kecil-kecil dulu. Di samping itu dapatlah menyelitkan pengajaran buat mereka..


Tuesday, March 23, 2010

Berpisah Kasih Bercerai Sayang

13 comments
Salam mesra bagi yang sentiasa setia..


Saya cukup terkedu dan cukup tidak suka menerima berita perceraian terutamanya di kalangan orang-orang yang saya kenali dengan rapat. Bukan sekali. Bukan dua. Malah lebih dari itu. Seorang sahabat dipaksa bercerai dengan suami oleh keluarga mertua, hanya kerana tiada zuriat. Kisah lain, suami isteri tinggal berjauhan kerana tuntutan kerjaya, berpisah kasih bila suami berpindah hati pada rakan sekerjanya sendiri. Dan macam-macam lagi..ada kisah dan sebab yang tersendiri di sebalik musibah yang berlaku.

Nampaknya cerai berai bukan lagi perkara yang pelik. Daripada artis yang hidup dalam dunia glamour sampailah orang biasa-biasa macam kita. Apakah ini trend kehidupan di dunia yang penuh cabaran dan tipu daya ini? Atau adakah cinta sebenarnya begitu rapuh bila dilanda badai ujian, tidak seutuh saat melafazkan " Aku terima nikahnya..." dulu..

Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.

Jika semua usaha-usaha ini telah mereka laksanakan, namun rumahtangga mereka masih tidak dapat diselamatkan, maka Islam membenarkan pasangan tersebut bercerai. Perceraian merupakan perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah swt. Firman Allah di surah Al Baqarah ayat 229 yang bermaksud,
 

"Rujuklah mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik"
 
Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar'ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,
 

"Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : "Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syarie, maka haram ke atasnya bau syurga" (Riwayat : Abu Daud)

Pada saya, apabila berdepan kisah perceraian, jangan cepat menghukum atau memandang serong pada pasangan yang terlibat kerana mungkin ada rahsia dan sebab musabab yang tersendiri. Muhasabah rumahtangga kita dan ambil iktibar daripada coretan kehidupan masyarakat sekeliling. Perbaiki yang rosak, kukuhkan yang utuh, hargai dan syukuri apa yang ada..

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami suami dan isteri yang soleh dan solehah serta keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah. Kekalkanlah keharmonian dalam rumah tangga kami sehingga ianya mampu menghadapi badai kehidupan yang mungkin boleh merosakkan atau meruntuhkan mahligai kerukunan rumah tangga yang telah kami bina selama ini.
 
Ameen Ya Rabbal A'laamin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...