Friday, September 18, 2009

Memori I'dulfitri di Mesir




Duhai bonda duhai ayahanda
Dengarlah rayuan anakanda
Yang jauh di mata…

Tanpa ku sedari airmata ku mengalir
Terdengar ayat suci seruan takbir
Betapa daku gembira dekat di samping keluarga
Di pagi mulia hari raya

Kan ku sujud di kakimu bila kita bertemu
Kan ku cium tangan mu ku pohon restu
Oh maafkan daku kesalahan diri ku

Walau jauh di mata namun kau tak dapat ku lupa
Doa ku sepanjang masa agar kau bahagia
Ku pohon restu dari mu oh ayah dan ibu
Agar tercapai cita ku membela nasib mu

Kan ku sujud di kakimu bila kita bertemu
Kan ku cium tangan mu ku pohon restu
Oh maafkan daku kesalahan diri ku

Lagu ini pasti akan menyentuh hati jika anda anak rantau yang berada di bumi orang dan tidak dapat pulang beraya bersama ibubapa dan keluarga di hari yang mulia ini. Saya selalu menitiskan airmata di setiap pagi hening 1 Syawal ketika menuntut di Mesir dahulu apabila tergiang-giang lagu dan lirik ini di minda. Seolah jiwa disentap begitu hebat, sayu dan pilu membelit-belit tangkai hati apabila wajah ayah dan ibu jua ahli keluarga bermain di mata. Apatah lagi suasana meriah pagi 1 Syawal yang sepatutnya disambut bersama keluarga tersayang, namun yang ada di sisi cuma teman-teman yang masing-masing membisu di pagi mulia mungkin mengalami situasi dan emosi yang sama. Apabila mula menyedari situasi sedih yang wujud, kami cuba memujuk diri, memberi semangat antara satu sama lain dan cuba merancang agar pengisian hari kemenangan itu tidak terabai begitu sahaja.

Masih saya ingat, pagi-pagi lagi selepas mandi sunat I'dulfitri dan menjamah sedikit sarapan, kami bersalaman dan berpelukan, saling bertukar maaf dan ucapan..lantaran apabila tinggal di perantauan teman-teman umpama keluarga dan darah daging sendiri. Jadi, sebarang khilaf perlulah dijauhi. Langkah kemudian di atur ke masjid berdekatan rumah untuk menunaikan solat I'dulfitri. Masjid tersebut iaitu Masjid Musa yang terletak di Hayyu Sabie', berdekatan Maktabah Al Isra' di jalan yang sama untuk menuju ke Rumah Kelantan. PMRAM akan menempah masjid ini untuk sembahyang sunat Aidilfitri di kalangan pelajar Malaysia khususnya yang tinggal di sekitar Kaherah tanpa kehadiran orang Arab penduduk setempat.

Sebenarnya orang-orang Arab sejak awal-awal pagi lagi mereka sudah bersembahyang sunat Aidilfitri. Selepas itu mereka pulang ke rumah masing-masing. Mungkin menyambut Idulfitri bersama keluarga mereka. Tiada suasana meriah sambutan Idulfitri di kalangan orang Arab seperti di Malaysia kerana mereka hanya berpesta untuk menyambut bulan Ramadhan berbanding I'dulfitri seperti yang saya pernah ceritakan dalam entri sebelum ni.
Hari raya kedua, keadaan sudah kembali seperti biasa. So, peluang yang ada untuk bersolat bersama di masjid tersebut dimanfaatkan oleh semua pelajar Malaysia untuk mengeratkan silaturrahim dan sama-sama menyambut kemenangan Idulfitri. Masa ni lah agak terasa raya ala Malaysia apabila pelajar-pelajar Malaysia berpakaian tradisi baju Melayu terutamanya di kalangan ikhwah berkumpul, bertakbir, bermaafan dan bersembahyang bersama-sama walaupun berada dalam budaya berbeza. Selain dari cara sambutan yang berbeza cara takbir I'dulfitri kita juga berbeza dengan takbir Arab. Takbir Arab rasanya lebih tegas dan semangat berbanding takbir kita yang agak syahdu dan menyentuh hati.

Usai solat sunat Idulfitri, biasanya kami akan mengunjungi jiran-jiran Arab terdekat dan rapat sebelum menziarahi sahabat-sahabat yang lain. Kebiasaannya kami akan mengadakan giliran membuat rumah terbuka, untuk memastikan Hari Raya disambut meriah dan gembira walaupun berada nun jauh beribu batu dari kampung halaman.Itulah serba sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama. Sebenarnya saya mencatat kenangan menyambut Aidilfitri di Mesir ini sebagai ingatan untuk saya dan anak-anak. Manalah tahu, kut2 10 tahun akan datang saya sudah lupa kenangan tersebut..sebenarnya sekarang ni pun dah banyak yg lupa..sekurang-kurangnya catatan ini menjadi nostalgia untuk saya dan tatapan untuk anak-anak saya di masa akan datang..Hingga ketemu lagi. Selamat Hari Raya Aidilfitri..Maaf Zahir dan Batin

3 comments:

Nadiah Sidek said...

seronoknya dpt gi mesir. sempat buat umrah/haji tak ms belajar kat sana?

Ummu Ammar said...

Nadiah, alhamdulillah sempat buat umrah je..pg dengan kapal laut, 3 hari 3 mlm br sampai..byk sgt pengalaman manis masa tu..haji susah sikit nk pg sbb kena ada mahram mcm abg, adik @ suami..

Anonymous said...

Latie, nanti k.dah pinjam ayat2 latie je deh utk kongsi citer ngan anak2.. 'kut dah lupa' bila2..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...