Hari ni sudah masuk hari yang ke 27 Ramadhan. Ini bermakna beberapa hari lagi Syawal akan menjelma dan Idulfitri akan disambut meriah. Saat-saat akhir ini rata-rata umat Islam sangat sibuk dengan persiapan Raya. Jalan-jalan ke pusat bandar semuanya jam. Pusat-pusat membeli belah atau pusat-pusat perniagaan tak usah cakap la..sentiasa penuh dengan pelanggan sehinggakan tak menang tangan mereka dibuatnya. Masing-masing mengambil peluang membuat persiapan terakhir. Bagi saya dan keluarga, persiapan awal yang kami buat di awal Ramadhan dulu sedikit sebanyak membuatkan kami tenang dan relaks di hujung Ramadhan ini. Hanya menyediakan apa yang patut sahaja. Itupun semuanya dibuat secara ala kadar .
Yang penting bagi saya bayar zakat fitrah, solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur bonda saya dan bertemu mata serta bermaafan dengan adik beradik, ipar duai jua saudara mara yang sebelum ini terpisah kerana tinggal berjauhan. Tidak dilupakan ziarah-menziarahi merupakan amalan yang mesti. Dek kerana tuntutan tugas dan masa , kadang-kadang 1 kali sahaja dalam setahun saya sempat untuk menziarahi mereka iaitu di Idulfitri!
Bagi orang-orang yang beriman, Idulfitri ialah hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.
Di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara‘ untuk kita melakukannya ialah :
1.Berdoa di malam raya
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.
2 . Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri
Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.
3. Zikir, Takbir, Tahmid, Taasbih dan Tahlil. Banyak berzikir membesarkan Allah, bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil seawal bermulanya malam 1 Syawal. Ia dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah s.a.w., takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.
4. Membersih dan mengemas diri.Kita patut membersih atau mengemas diri seperti menggunting rambut di bahagian kepala dan anggota badan agar tampil kemas, segak dan bergaya pada hari raya mulia. Dalam hal ini, bau-bauan yang harum seperti minyak wangi, atar dan sebagainya juga digalakkan bagi meraikan hari mulia ini.
5. Mandi Sunat.Mandi juga di sunatkan pada pagi 1 Syawal sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar di dalam kitab al-Muwatta’, bahawa Rasulullah s.a.w. mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bertolak ke masjid.
6. Makan sebelum menunaikan solat sunat hari raya.Disunatkan juga makan terlebih dahulu sebelum berangkat ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berpandukan hadis Anas bin Malik yang menjelaskan bahawa Baginda s.a.w. makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
7. Mengerjakan Solat Sunat Aidil Fitri. Acara yang paling kemuncak pada Hari Raya Aidil Fitri ini adalah solat sunat Aidilfitri. Sunat pula pergi menunaikan solat itu dalam keadaan berjalan kaki sebagaimana mafhum hadis Ali bin Abi Talib dalam Sunan Tirmizi. Cuma bagi yang agak jauh jarak rumah ke masjid, maka bolehlah mereka menaiki kenderaan kerana agama Islam bersikap terbuka dalam bab ini.
8. Mendengar Khutbah. Baginda juga menyuruh seluruh umat Islam datang ke lapangan terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran tersebut seperti riawayat Ummi ‘Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.
9. Memakai pakaian cantik dan terbaik. Pada pagi hari raya yang indah ini juga, sunat bagi kita memakai pakaian yang terbaik dan tercantik yang termampu. Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.
10. Ucapan Tahniah dan Ucap Selamat Hari raya dan Doa. Pada hari lebaran ini juga sunat bagi kita umat Islam mengucapkan tahniah dan selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang Ramadan lepas diterima Allah.
1 comments:
Selamat Hari Raya Angah.. moga ada kesempatan uhtuk kita ketemu!
Post a Comment