Ketenangan jiwa adalah dambaan dan keinginan setiap insan dalam kehidupan yang fana ini. Ramai yang bertanya..apakah yang dimaksudkan sebagai ketenangan jiwa? Dan bagaimanakah cara untuk mendapatkan sebuah jiwa yang benar-benar diertikan sebagai tenang, bahagia, luhur dan suci. Banyak orang beranggapan ketenangan jiwa hanya bisa didapati apabila ia telah mendapat harta yang banyak, dihormati orang, memiliki pekerjaan yang hebat dan keluarga yang sempurna. Yang pasti bukan itu ketenangan yang dimaksudkan. Dalam beberapa kajian yang dibuat, kita dapati kebanyakan manusia yang mempunyai kekayaan, kemahsyuran dan kehidupan yang hebat juga belum mampu untuk memiliki jiwa yang tenang dan mencapai bahagia yang hakiki. Allah Ta`ala Seperti mana Allah telah berfirman:
ونفس وما سواها فألهمها فجورها وتقواها قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها
Maksudnya: Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah), lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik. Sesungguhnya telah menanglah orang yang membersihkan jiwanya. Dan merugilah orang yang mengotorkannya.
(As Shams: 7 - 10)
Sesiapa yang ingin menjadi hamba kepada Allah maka hendaklah ia menyucikan jiwanya dan berusaha melawan hawa nafsunya serta mentaati suruhan Tuhan dan menjauhi segala laranganNya. Orang yang hanyut bersama hawa nafsu dengan segala keinginannya bermakna telah menjadi hamba kepada nafsunya sendiri. Kita melihat sebahagian besar masyarakat kita sekarang mengalami penyakit lemah dan kekosongan jiwa. Pada hakikatnya, sindrom inilah yang merupakan punca utama bercambahnya pelbagai gejala negatif dan seterusnya melatari budaya porno muda mudi umpamanya murtad, buang anak, dera, keruntuhan akhlak, seks bebas, hedonisme, ghairah kebendaan dan banyak lagi.
Sebelum kita mencari ketenangan jiwa yang diimpikan, di bawah ini ada senarai faktor-faktor yang menyebabkan berlaku kelemahan jiwa yang seterusnya menjadi benteng penghalang untuk kita mencari ketenangan jiwa yang sebenar. Saya petik faktor-faktor ini dari terjemahan kitab “ Fenomena Kelemahan Jiwa Dan Langkah Mengatasinya”. Buku ini adalah karangan daripada Dr Majdi Al Hilali yang merupakan seorang tokoh ulamak terbilang kelahiran Mesir Beliau juga adalah seorang pendakwah gigih yang telah banyak menulis buku-buku dan risalah-risalah agama.
Faktor-faktor Yang Menyebabkan Jiwa Manusia Menjadi Lemah
1) Taasub dengan pandangan peribadi.
Mereka yang tergolong dalam kategori ini sentiasa merasa taasub dengan pandangan peribadi, tak kira samada benar mahupun sebaliknya. Apabila pendapatnya disanggah maka dia akan cuba mempertahankannya dan tidak merasa tenteram sehinggalah orang yang menyanggahinya akur dan tunduk kepadanya.
2) Tidak mahu mengakui kesilapan diri sendiri.
Mereka ini terlalu sukar untuk mengakui kelemahan dirinya. Melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan dan ada kalanya memaksa diri sendiri untuk melakukan pendustaan agar tidak dianggap oleh orang lain dia telah melakukan kesilapan.
3) Merasa sempit dada bila dikritik dan dinasihati.
Merasakan kepahitan dan kesakitan yang teramat sangat apabila dikritik dan diberi nasihat. Adakalanya jika dibelenggu oleh perasaan yang terlalu menghimpit dia akan merasakan seolah-olah dunia ini miliknya. Lebih-lebih lagi jika orang yang memberi nasihat tersebut lebih muda daripadanya. Keadaan ini berlaku lantaran diheret oleh runtunan perasaan yang menyebabkan api kemarahannya memarak.
4) Bahagia dan seronok dengan pujian
Pengidap penyakit ini terlalu ramai, mereka merasa terlalu sukacita dan seronok bila mendapat pujian khususnya jika orang yang memuji itu memiliki kedudukan dan pangkat. Dia akan sentiasa mengulangi pujian tersebut dan membuat sesuatu agar manusia sentiasa menyebut-nyebut tentang kebaikan dan kejayaannya
5) Gembira dan seronok apabila mendapat perhatian.
Contohnya, ketika memberi pertolongan kepada golongan miskin dan mereka yang berada di dalam kesusahan atau ketika menjawab soalan. dan juga ketika melakukan ketaatan kepada Allah dan lain lain lagi. Sebaliknya kita dapati dia akan bermasam muka ketika manusia lain memandang rendah pada ketika dia memang selayaknya mendapat kejian. Keadaan ini boleh berlaku ketika ia melakukan maksiat atau perkara syubhah dan melakukan kesilapan dalam pekerjaannya atau tidak mampu menjawab pertanyaan orang.
6) Gila kuasa, ghairah untuk menonjolkan diri dan mahu sentiasa dipilih.
Golongan ini biasanya berasa gah dengan tanggung jawab dan sentiasa bergelut untuk merebut suatu jawatan dengan apa cara sekali pun. Masakan tidak? Ini semua adalah jalan untuk kemegahan dan meraih pangkat serta memikat hati manusia agar mereka sentiasa mengagungkannya dan mengikut pandangannya.
8) Tidak mengakui kesilapan dan kekurangan diri.
Orang yang berkenaan sentiasa ingin lari daripada mengingati kepincangan diri dan cuba menyembunyikannya, agar orang lain akan menganggap bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang kesilapan atau meskipun ada tetapi terlalu sedikit. Untuk itu, ia sentiasa berusaha agar apa sahaja yang berlaku di masa lalu tidak lagi diingati, sekalipun ianya memang benar kesilapannya.
9) Tidak menunaikan hak orang lain.
Sentiasa merasa berat ketika melaksanakan hak orang lain seperti menziarahi orang sakit, melepaskan kesusahan orang lain, menolong orang dizalimi, menghulur bantuan kepada yang memerlukan dan sebagainya. Sebaliknya jika ia ditimpa sakit- contohnya- maka dia mestilah diziarahi, sekiranya orang lain tidak terdaya melaksanakan hak ziarah tersebut kerana urusan tertentu sudah pasti ia akan mengambil kira dan mencelanya.
10) Mengungkit-ungkit segala khidmat bakti dan amal kebaikkan.
Orang sebegini tidak jemu-jemu menyebut segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dihulurkan dan sentiasa mengharapkan ucapan terima kasih dan penghargaan dari sesiapa yang telah mendapat khidmatnya. Bahkan menghendaki orang lain segera menunaikan hajatnya, memulakan salam, berhenti ketika terserempak dengannya, berdiri tegap menghormatinya dan lain-lain perilaku yang melambangkan tanda hormat. Jika orang lain tidak melakukan itu semua nescaya cemuhan, celaan dan penghinaan merupakan balasan yang dinantikan.
11) Terpedaya dengan kebolehan dan kelebihan sendiri.
Mereka ini tidak menyandarkan segala kelebihan dan kenikmatan yang dikecapi kepada Allah. Sebaliknya menyandarkannya ke atas diri sendiri semata-mata. Tanpa kebolehan dan bakat yang dianugerahkan oleh Allah tersebut nescaya dia tidak akan memperolehi pelbagai nikmat yang lain. Sebagaimana yang berlaku kepada Qorun dengan segala kekayaannya yang berpunca daripada sikap dan kata-kata yang angkuh. Firman Allah:
قال إنما أوتيته على علم عندي
Maksudnya: Qorun berkata: “Aku memperoleh harta benda adalah dengan ilmu pengetahuan aku sendiri”.
(Al Qasas: 78)
12) Tidak suka orang lain memperolehi kebaikan.
Berasa sedih dan sempit dada apabila sahabatnya mendapat nikmat dan mengharapkan nikmat tersebut tidak kekal. Sebaliknya seronok dan gembira apabila sahabatnya ditimpa musibah.
13) Merasakan dirinya sahaja yang berhak untuk bercakap di dalam mana-mana majlis yang dihadiri.
Anda melihat mereka yang terdiri dari golongan ini sering memintas percakapan orang lain, menjawab apa sahaja yang diperkatakan, suka memperkatakan tentang perihal diri sendiri, kisah hidupnya, meninggi diri dengan tujuan untuk berbangga dengan pencapaian sendiri dan kehandalannya.
14) Menghebahkan amal kebajikan sendiri.
Apabila mendapat taufik daripada Allah untuk melakukan amal kebajikan atau amalan yang menghampirkan diri kepada Allah(taqarrub) dan meninggalkan perkara mungkar, dia akan menghebahkan segala amalan yang telah dilakukan samada secara sinis ataupun terus terang. Berusaha untuk menyandarkan segala yang telah dilakukan adalah hasil daripada usahanya sendiri, bukan hasil usaha orang lain. Golongan ini amat marah apabila hasil kerja dan kebajikannya disandarkan kepada orang lain dan jiwanya menjadi tidak tenteram. Sebaliknya jika disandarkan amalan orang lain kepadanya maka dia tidak akan melakukan sesuatu untuk menyatakan hakikat yang sebenarnya.
15) Sentiasa takutkan kemiskinan.
Ini juga merupakan salah satu daripada contoh kelemahan jiwa yang terdapat pada sesetengah orang. Terlalu bakhil, takut ditimpa kemiskinan dan kesempitan hidup adalah antara identiti mereka. Jiwanya sentiasa diburu ketakutan untuk menghadapi hari-hari mendatang yang belum pasti. Ini semua menjadikannya tidak mahu menyumbang khidmat bakti di jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
16) Tidak mampu untuk berhadapan dengan orang lain kerana merasa lemah diri.
Tidak terdaya menerima hakikat kesalahan diri sendiri dan cuba lari daripadanya. Jika orang lain menjelaskan kesalahannya dia sanggup berdusta untuk membebaskan diri dari dakwaan yang diajukan kepadanya.
Apa yang menyedihkan ialah dia telah telah tewas di hadapan orang lain dan diri sendiri tanpa disedari. Dia seringkali mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tetapi tidak berani untuk menyatakannya kerana takut celaan, dipersendakan dan seterusnya tewas di hadapan mereka.
Renungkanlah..antara 17 sebab di atas, berapa dapat kita lepasi dengan baik atau adakah kesemua sebab/faktor tersebut memang ada dalam diri kita. So, nilai la sendiri..sejauh mana ketenangan jiwa itu milik kita..
0 comments:
Post a Comment