Monday, July 05, 2010

Pemimpin Bahagia di Mahligai Berjuta Rakyat Derita Di Reban Ayam

Salam mesra buat semua..

Kalau anda semua baca paper utama hari ini anda akan dapat mengagak tajuk entry saya ni. Termenung saya seketika usai membaca deritanya sebuah keluarga di Pengkalan Chepa, Kelantan,  Yusuf Wahab, 35 dan Fatimah Jalin, 36 bersama 3 anak mereka tinggal di bekas reban ayam di bawah rumah keluarga mereka. Boleh baca penderitaan mereka di sini

Banyak yang mengelirukan saya. Kenapa keluarga sendiri membiarkan mereka hidup sebegitu?? Mana prihatin jiran dan masyarakat sekeliling..Atau mungkin mereka juga dhaif dan kesempitan..??

Dalam negara yang dicanang maju dan membangun, rakyat yang masih terpinggir tinggal merana. Ini bukan kali pertama,  di Pahang dulu pun ada kisah sebegini.  Ada  juga kisah rakyat yang tinggal di kandang lembu,bawah jambatan, atas pokok dan lain-lain..

Aduhai..di saat pemimpin berlumba-lumba membina mahligai berjuta atau mengukuhkan empayar kemewahan, rakyat dipinggir tanpa prihatin dan peduli. Tak resahkah jiwa mereka bila selesa dan bahagia tinggal di mahligai indah sedangkan rakyat di bawah amanahnya hidup berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi, berselerakah mereka menjamu hidangan lazat di hotel mewah sedangkan rakyat mengikat perut tanpa makanan??? Tidak takutkah mereka di saat dijulang dan dipuja sedangkan balasan Allah menunggu di akhirat kelak??


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu sekalian untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu dan sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat ". (An-Nisa ': 58).



Contohilah Saidina Umar r.a., khalifah Islam kedua yang sangat prihatin dan amanah. Hatinya sangat resah dan bimbang andai rakyat di bawah tanggungjawabnya masih dihimpit kemiskinan dan kelaparan.

Hayati kisah Saidina Umar ini..:


Tangisan anak-anak itu semakin nyaring. Penat menjerit, mereka hanya mampu menangis tersedu-sedu. Di sisi mereka seorang ibu yang kelihatannya sedang sibuk memasak sesuatu.
“Sabarlah anak-anakku. Ibu sedang memasak makanan. Tetapi makanan ini perlu dimasak agak lama. Sabarlah dahulu. Anak-anak ibu boleh tidur dahulu. Kelak kalau makanan ini sudah siap, ibu akan kejutkan kalian,” pujuk wanita itu sambil membelai kepala anak-anaknya yang ramai itu. Sedaya upaya ditahan agar air matanya tidak mengalir sedangkan dia merasa belas yang amat sangat.

“Maafkan ibu anak-anakku,” rintih wanita itu di dalam hati.

Kebetulan Saidina Umar yang lalu dan sedang meninjau keadaan rakyatnya lalu di rumah wanita itu. Didengarnya tangisan anak-anak kecil yang dari tadi tidak berhenti-henti. “Pasti mereka sedang menghadapi masalah,” detik Saidina Umar. Sememangnya menjadi rutin khalifah itu untuk turun sendiri melihat masalah yang dihadapi oleh rakyatnya. Kadangkala kelibat Saidina Umar tidak disedari sesiapa kerana dia seorang yang sederhana dan kelihatan seperti rakyat biasa yang lain. 

Saidina Umar memberi salam di hadapan pintu rumah itu dan dijawab wanita tadi. Terkejut melihat kehadiran Saidina Umar, wanita itu mempersilakan Saidina Umar masuk. 

“Ada apa kamu datang ke teratak burukku ini wahai Amirul Mukminin,” tanya wanita itu. Kelihatan anak-anaknya yang menangis tadi sudah tertidur kepenatan. Tubuh mereka kurus-kurus dan perut mereka pula kelihatan kempis. 

“Aku ingin sekali tahu kalau-kalau keluargamu sedang menghadapi masalah. Aku mendengar anak-anakmu menangis dari tadi. Apakah mereka ini sakit?” tanya Saidina Umar dengan prihatin. 

“Aku malu hendak bercerita pada tuan, tetapi inilah yang terpaksa kulakukan. Aku ini seorang ibu tunggal. Sudah beberapa hari rumah ini kehabisan bekalan makanan. Anak-anakku sudah tidak tahan menanggung kelaparan. Jadi, aku terpaksa menipu mereka dengan meletakkan batu dan air di dalam periuk. Jadi, anak-anakku akan menyangka aku sedang memasak makanan untuk mereka. Inilah yang aku lakukan sehinggalah mereka akan berhenti menangis dan tertidur menanti. Barangkali dengan tidur, mereka akan terlupa sebentar akan perut yang sedang lapar,” ceritanya sedih. 

Hampir-hampir menitis air mata Saidina Umar mendengar cerita itu. Lantas dijenguknya periuk di rumah itu yang sedang berasap. Memang benar, ada beberapa ketul batu sedang direbus. Mana mungkin batu-batu itu mampu bertukar menjadi makanan?

Saat itu juga Saidina Umar merasa bersalah yang amat sangat. Bagaimana dia sebagai pemimpin tegar membiarkan rakyatnya kelaparan begitu? Dihambat rasa sebak dan bersalah, dengan segera Saidina Umar menuju ke Baitulmal. Diambilnya seguni gandum dan dipikulnya guni gandum itu sendirian. Ketika pegawainya menawarkan bantuan untuk memikul sama guni gandum yang berat itu, Saidina Umar menolak dengan keras. 

“Biarkan aku memikul guni gandum ini sendirian. Di dunia ini mungkin kau boleh membantu aku, tapi bagaimana di akhirat kelak? Bagaimana aku hendak menjawab ketika aku ditanya tentang tanggungjawabku terhadap rakyat?". 

"Lihatlah, wanita itu terpaksa menipu anak-anaknya yang kelaparan dengan merebus batu. Jika aku tidak tahu, apakah anak-anak itu akan terus kelaparan sampai bila-bila? Aku pemimpin yang lalai dan cuai. Hanya dengan bantuan ini, aku mampu menebus kesalahanku,” ujar Umar sambil tergesa-gesa menuju ke rumah wanita tadi. 

Bagi Saidina Umar, tiada sebarang alasan lagi untuk dia mengelakkan diri. Dengan hati yang hiba, dia sendiri memasak dan menyediakan makanan untuk keluarga wanita itu. Dihidangkannya makanan lantas dikejut anak-anak yang sedang menahan lapar itu. 

Dengan tangannya sendiri, Saidina Umar menyuapkan makanan ke mulut anak-anak kecil itu. Nampak jelas anak-anak itu sedang lapar kerana mereka makan dengan laju dan cukup berselera. Saidina Umar terus melayan mereka sehinggalah dia yakin anak-anak itu sudah kekenyangan. 

Selepas itu, Saidina Umar memberikan mereka sedikit bekalan wang untuk menampung perbelanjaan mereka seharian. Begitulah sikap Saidina Umar yang begitu bertanggungjawab terhadap rakyat. Malah, selepas peristiwa itu, Saidina Umar lebih berhati-hati dan meningkatkan lagi usahanya untuk membantu rakyat. Hatinya cukup bimbang, kalau-kalau masih ada rakyatnya yang kelaparan dan tidak diketahuinya.

9 comments:

Nurul Izza said...

AKAK..

mcm tula realiti kehidupan sekarang. yg diatas menindak yg dibawah.walaupun bukan secara direct tindasan nya tu, masih lg tertindas.

kalau pemimpin mengamalkan ISlam, iza rs tak mcm tu kot.kdg tu duit rakyat yg digunakan.

kata mama, bukan senang nak jd pemimpin

sebebnya :

antara org pertama dihisab diakhirat esok dalah pemimpin dan ditanya dengan pelbagai tanggungjawab..

Makbonda61 said...

Pemimpin kini akan membawa wakil media bersamanya untuk menyempaikan waima sebungkus hamper,rugi tak masuk akhbar,nanti rakyat tak tahu yang dia berjiwa rakyat.;-(

Nadiah Sidek said...

kat mana2 pun berlaku hal mcm ni. sibuk nak bina bangunan2 tinggi & mewah sedangkan nasib rakyat ramai yg tak terbela. biarlah rakyat papa kedana asal negara megah dipandang dunia..huhu..

deena farhana said...

salam kak..

hurmm....kesian..xtau lah nk kata..pemimpin suku sakat semua kaya raya...

Chik Na said...

takkan kita jumpa pemimpin sehebat saidina umar

Ummu Ammar said...

makbonda > Taktik biasa pemimpin..kalau tak prihatin, nanti bila PRU takde yg mengundi..

Ummu Ammar said...

Chik Na > Memang sukar mencari pemimpin sehebat Umar..

Saya suka nasyid ni..bleh cari kt youtube..

Aku Hanya Umar : Hijjaz

Sebelum disapa sinar iman
Kau bagaikan singa yang mengganas
Membunuh anak perempuanmu
Tanpa rasa belas dan kasihan
Dipandu hati sekeras batu
Jahiliah yang menyesatkan

Bila nur Al-Quran menusuk ke jiwa
Lunturlah segala keangkuhanmu
Berubah dan beralih arahmu
Terbentur segala kekejaman
Menjadi wira miskin nestapa
Membela yang tak berupaya

Tidurmu di rimbunan tamar
Tenangmu tiada tercalar
Berbantal lengan tanpa pengawal
Berselimut embun keimanan

Di malam yang hening
Meratap menyesali diri
Pada dosa kealpaan
Dibasuh dengan airmata
Memohon keampunan Tuhan

Engkau khalifah berjiwa hamba
Mentadbir tanpa singgahsana
Menghina diri di hadapan Allah
Kemuliaan diri manusia

Mulia hidup bersulam taqwa
Mulia matimu kau syuhada
Pergi rohmu ke alam tinggi
Terbang menuju ke syurgawi

Aku hanya seorang Umar
Kemuliaanku kerana Islam
Semua ke syurga kecuali dia
Ku bimbangi dialah diriku?

Hati sekeras batu
Menjadi selembut air
Jadi teman kebenaran
Jadi musuh pada kebatilan

Ummu Ammar said...

Izza > Pemimpin ni tggjawab dia besar. Perlu telus, tulus dan ikhlas. Kes kt Kelantan, ramai terpinggir sbb hak rakyat kelantan dinafikan sbb politik.

makbonda > Itulah realitinya. kdg2 ada udang disebalik batu. Kalau tak buat camtu, bila PRU org tak undi..hehehe

Ummu Ammar said...

Nadiah > Ingat lagu nasyid dulu2..Pilihlah pemimpin yg takutkan Allah..hehehe..Insya Allah..adil dan saksama..

deena > Yup! Kdg2 masa time jd YB ni lah nak kumpul harta sendiri dan kroni banyak2..ada tu br setahun jd YB, rumah dah berubah jd istana...rakyat? Camtu jugak..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...