Thursday, September 10, 2009

Indahnya Ramadhan di Mesir

Setiap kali Ramadhan tiba bersama barakahnya, hati saya pasti teringat Mesir.  Empat tahun saya di sana menjalani ibadah puasa tanpa keluarga di sisi, cuma kehadiran sahabat-sahabat bersama-sama melalui madrasah Ramadhan sebagai anak rantau menguatkan jiwa saya yang kerinduan pada keluarga dan tanahair tercinta… kalau dulu semasa di sana saya rindu benar ingin berpuasa dan bersahur bersama keluarga di Malaysia tapi sekarang jujur saya katakan saya begitu rindukan suasana berpuasa di Mesir…kerana pengalaman menjalani ibadah puasa di Mesir meninggalkan satu kenangan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Sebenarnya saya cukup terpegun dengan suasananya yang berbeza sama sekali dengan sambutan Ramadhan di Malaysia.Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini mengenai suasana Ramadhan di Mesir. Di sana, kedatangan Ramadhan disambut melebihi sambutan Aidilfitri, berbeza di Malaysia, kita begitu teruja dengan persiapan sambutan Aidilfitri dan keberkatan Ramadhan kita biarkan berlalu sahaja.

Di Mesir menjelangnya 10 hari terakhir bulan Syaaban, masyarakat Islam Mesir sudah mula membuat persediaan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak. Contohnya kebanyakan masjid mula menukar karpet-karpet lama dengan yang baru. Tak cukup dengan menukar karpet baru, ada juga masjid dicat dengan cat yang baru dan ditambah dengan peralatan-peralatan baru…kira-kiranya semua bertukar baru. 

Di tepi-tepi jalan, para peniaga mula menjual begitu banyak sekali tamar (kurma kering), aprikot, pelbagai jenis kacang, kismis dan sebagainya. Selain dari itu, antara yang popular bila tibanya Ramadhan Al Mubarak..ialah fanus (tanglung. Mungkin agak pelik bagi kita, tapi fanus menjadi pilihan masyarakat Mesir untuk dipasang dirumah ketika menyambut Ramadhan.


Mereka saling berbalas ucapan “kullu sanah wa antum bikhoir” atau “kullu ‘aam wa antum bikhoir” bila tibanya 1 Ramadhan iaitu ucapan tersebut bertujuan mendoakan kesejahteraan dan keberkatan di atas kedatangan bulan Ramadhan yang ditunggu-tunggu itu.


Satu yang menarik perhatian saya ialah budaya membaca Al Quran semasa bulan Ramadhan dalam masyarakat Mesir. Bayangkan apabila ke mana sahaja anda pergi –dalam bas, dalam metro, di pasar, di universiti, di masjid2, di perhentian kenderaan awam atau di mana sahaja kita akan dapat lihat rata-rata masyarakat Mesir menjadikan bacaan Al Quran sebagai rutin mereka. Al Quran di bawa ke mana sahaja sebagai peneman setia..pernah sekali semasa berada dalam bas, saya melihat seorang “mat rock” Arab…kalau diperhatikan dari pakaian dan penampilannya la..membaca Al Quran dalam keadaan berdiri ( kerana bas sesak ) sambil satu lagi tangannya memegang palang besi dalam bas..Terpegun betul la saya masa tu…sedangkan di tempat kita nak pegang Al Quran di tempat awam pun kita malu apatah lagi membacanya…takut la dikata wara’ atau menunjuk-nunjuk pulak. 

Satu lagi suasana Ramadhan yang cukup indah bagi saya konsep “maaidatul rahman” iaitu hidangan berbuka yang disediakan untuk semua orang tidak kira sama ada kaya atau miskin,kecil ataupun tua yang kebanyakkannya anda boleh lihat, diadakan di tepi-tepi jalan dengan didirikan khemah atau kanopi yang bertulis label “maaidatul rahman”.Biasanya juadah berbuka yang dihidangkan adalah sumbangan dan sedekah dari orang-orang Arab yang kaya yang menyambut sunnah Nabi iaitu pahala menyediakan makanan untuk orang lain berbuka puasa adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa itu. 


Maaidatul rahman ini merupakan rahmat kepada fakir miskin yang susah untuk mendapatkan makanan sebelum ni, atau kepada musafir-musafir dan sesiapa sahaja la yang berhajat kerana juadah berbuka dihidangkan secara percuma selama sebulan. Seronok sekali..di tempat kita mungkin ada tapi kebiasaannya diadakan di hotel-hotel, masjid-masjid, di rumah-rumah..tapi mungkin untuk satu hari atau lebih tapi Maidatul Rahman - untuk sepanjang bulan Ramadhan..terbuka dan percuma!. Insya Allah dalam entry akan datang kalau berkesempatan saya akan cerita pula tentang bagaimana suasana saya berpuasa dan berterawih di perantauan..Hingga ketemu.

2 comments:

Ummu Mishkah said...

Ku juga merindui Ard al-Kinanah!

Ummu Ammar said...

Satu hari nanti, ble anak2 dah besar..kita pakat pergi Mesir...jalan2 dan pergi blk tmpt2 yg pernah kita pergi dulu..lps tu kita pg buat umrah ke..haji ke...best kan?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...