Friday, October 16, 2009

Menghargai & Dihargai


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam buat semua. Entry kali ini saya ingin sentuh mengenai menghargai dan dihargai. Satu perkara penting yang perlu ada dalam kehidupan ini. Apabila kita menghargai individu di sekeliling kita terutamanya orang-orang yang kita sayang, maka kita akan dihargai juga. Begitulah sebaliknya.

Dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk memberikan penghargaan dan juga sebagai tanda kasih sayang yang tidak terhingga kepada sesiapa sahaja. Sebenarnya cara kita mahu menghargai orang yang kita sayang terpulang la kepada kreativiti masing-masing. Tidak semestinya memerlukan perbelanjaan wang ringgit yang banyak atau memakan masa yang lama..simple saja... mungkin hanya dengan sentuhan dan pelukan..


Perbualan biasa dua beranak petang semalam. Antara saya dan Afiq.

" Afiq, mari kat ummi jap.." pinta saya. Afiq tengah syok menonton saluran Astro 611 kegemarannya.

" Ada apa, ummi ", ujarnya apabila menghampiri saya.

" Afiq belum sayang umi lagi hari ini." Sayang yang saya maksudkan di sini ialah ciuman dan pelukan.

" Afiq kan dah sayang ummi pagi tadi." Pantas si kecil menjawab. Merujuk ciuman yang diberikan pagi tadi sebelum dia ke sekolah.

" Cium lepas balik dari sekolah dok lagi..". Saya masih tidak mahu mengalah. Dia menurut kemahuan saya. memeluk dan mencium kedua pipi saya sebelum saya pula membalasnya dengan penuh kasih sayang.

" Ummi ni suka la suruh Afiq sayang ummi sokmo ( selalu ). " Omelnya.

" Ummi suruh sebab ummi nak kita selalu sayang menyayangi sampai bila-bila." Terang saya.

Dia macam termenung memikirkan kata-kata saya. Saya tahu dia masih kurang memahami erti sebenar di sebalik kata-kata saya itu. Biarlah, saya yakin satu hari nanti dia pasti mengerti.

Rutinnya, memang saya akan mewajibkan diri saya memeluk dan mencium anak-anak saya paling kurang 3 kali dalam sehari. Pagi sebelum ke sekolah, petang bila pulang dari sekolah dan malam sebelum mereka tidur. Kalau tidak sempat sekalipun, satu kali dalam sehari sudah memadai. Itu penghargaan saya buat anak-anak.! Saya mahu mereka rasa dihargai dan disayangi. Saya mahu mereka merasakan diri mereka penting dan bermakna buat saya dan suami. So, takkan rugi kalau kita amalkan rutin ni..Menurut kajian pakar psiologi dan perkembangan kanak-kanak : Anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

Di bawah ini ada tips untuk menyatakan penghargaan kepada yang tersayang. Jangan sekadar baca sahaja tapi mesti dan wajib diamalkan..

Penghargaan Kepada Anak
- Selalu memberikan pujian yang ikhlas kepada anak
- Rangsang anak-anak untuk buat yang terbaik
- Berikan hadiah atas kejayaan anak-anak walaupun kejayaan yang kecil
- Selalu berikan pelukan dan ciuman
- Sekali sekala puji anak-anak di hadapan orang lain
- Hadirkan diri dalam acara atau pertandingan atau peraduan yang disertai oleh anak anda

Penghargaan Kepada Ibu Bapa
- Selalu telefon bila berjauhan
- Jangan lupa kirimkan wang walaupun sedikit (andai sudah bekerja )
- Berikan hadiah pada hari-hari penting (Hari Ibu, Hari Bapa & Hari Lahir)
- Cium tangan ibu bapa
- Bila anda sudah berkeluarga, selalu pulang ke kampung kerana selalunya ibu bapa kita rindu untuk bertemu dengan cucu-cucu mereka.
- Minta pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah
- Pulang apabila mereka sakit

Penghargaan Kepada Suami
- Selalu berikan senyuman
- Berhias di hadapan suami
- Masak masakan kegemaran suami
- Minta pandangan suami jika ada masalah
- Selalu urut-urutkan suami
- Menjaga maruah suami
- Puji suami di hadapan keluarga atau orang lain
- Berikan hadiah hari jadi
- Pandai mengambil hati suami
- Selalu memberikan sokongan bila suami ada masalah
- Membina hubungan baik dengan keluarga suami
- Minta izin suami sebelum buat sesuatu
- Mohon maaf dengan suami sebelum tidur

Penghargaan Kepada Isteri
- Ingati tarikh-tarikh penting bersama isteri (Hari Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Lahir)
- Ingati tarikh kelahiran anak-anak
- Bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah (memasak, membasuh & jaga anak)
- Ungkapkan kata-kata cinta sebelum tidur
- Selalu berikan pelukan dan kucupan kepada isteri
- Membina hubungan baik dengan keluarga isteri
- Ucapkan terima kasih apabila bersama
- Selalu memberikan kejutan-kejutan yang menggembirakan
- Selalu berpenampilan segak (sebab suami kacak, orang akan puji isteri)
- Memberikan kemaafan dan memohon maaf andai tersilap
- Panggil isteri dengan panggilan yang manja
- Puji isteri depan anak-anak dan keluarga
- Berikan hadiah apabila isteri anda melahirkan anak

2 comments:

Nida n' Hanafi said...

Salam ummu ammar:
Kadang2 saya musykil kerana kenapa masih ramai insan yang di luar sangat susah nak menghargai orang lain... even nak ucapkan terima kasih pun sangat berat dan payah.. bak kata ummu, bukannya memerlukan wang ringgit pun...

Ummu Ammar said...

Betul tu Nida..bg saya sebahagian org yang sukar menghargai orang lain mungkin dia tak pernah rasa dihargai kut sejak kecil..so, didiklah anak2 kita dgn norma2 yg baik seperti budaya berterima kasih, hormat org lain dan sbgnya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...