Sunday, February 28, 2010

Syafia Humairah : Bersemadilah Dengan Aman!

25 comments
Salam mesra buat semua..

Wajahnya yang comel dan mulus benar-benar meruntun hati. Apalah salah si kecil yang hanya berusia 3 tahun sehingga diperlakukan sedemikian. Lagikan binatang sayangkan anak. Inikan pula manusia. Namun manusia yang ini lebih keji dari binatang. Sesak dada berhadapan kisah-kisah sebegini. Inilah akibatnya bila nafsu merajai diri, nyawa yang tidak berdosa menjadi galang gantinya..

Saya termenung seketika bila menatap cerita-cerita penderaan arwah Syafia di dada - dada akhbar. Bermula dari cara arwah dibunuh - disepak, dipijak dan ditendang  macam bola..( bleh baca kt sini ) sehingga meleret kisah bapa, ibu, teman lelaki ibunya sampailah kes perebutan hak pengebumian. 


Saya terfikir..Allah lebih menyayangi si cilik yang sudah banyak menderita ini. Kemungkinan hidupnya bakal berdepan penuh onak ranjau. Bayangkan! Membesar berayahkan seorang pembunuh yang sedang menjalani hukuman di penjara dan beribukan seorang perempuan yang bersekedudukan dengan teman lelakinya selama 6 tahun  ( sehingga mendapat cahaya mata 1tahun 6 bulan ) walaupun masih bergelar isteri! 

Syafia Humairah.. pemergiannya cukup tragis dan menyayat hati untuk dikenang.  Mungkinkah ada lagi pemilik nasib sebegini? Cukuplah..tak sanggup lagi untuk menatap  kisah-kisah sebegini..

Peringatan buat semua..Kembalilah pada jalan Allah. Kembalilah pada ajaranNya. Hayatilah kehidupan melalui nilai-nilai islami. Bajailah hati dengan iman dan taqwa bukannya nafsu serakah dan noda-noda hitam.Jagalah permata hati dengan didikan agama dan pakaian akhlak mulia. Kenalkan mereka dengan cinta ilahi. Insya Allah..hidup jauh dari kekalutan dan dirajai nafsu..

Bersemadilah dengan aman wahai Syafia Humairah..Kuiringi doa mewangi..

Friday, February 26, 2010

Sempurnakah Cinta Kita?

6 comments
Salam Maulidurrasul buat semua..

Tanggal 12 Rabiul Awwal, merupakan tarikh keramat kelahiran Junjungan Besar Rasulullah SAW. Bila tiba tarikh ini, terbayang di kotak fikiran perarakan beramai-ramai keliling kampung dengan pakaian berwarna warni sambil berselawat. Itu sahajakah pengisiannya?

Kita dianjurkan untuk menyambut Maulidurrasul sebagai memperingati dan menghayati keperibadian Rasulullah SAW dan perjuangannya dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Selain itu, memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah sebagai salah satu usaha untuk memperbaharui komitmen kita dalam melaksanakan sunnah Baginda dan menerus perjuangan Baginda dalam menegakkan agama Allah yang mulia ini.

Di samping itu, renungkan kembali.. sempurnakah cinta dan kasih kita pada Rasulullah SAW atau hanya ungkapan di bibir cuma tanpa ada penghayatan di jiwa dan amal perbuatan..Malu sendiri saya membicarakan tentang cinta pada Rasulullah..kerana diri  sendiri  jua tidak terlepas dari alpa menyempurnakan cinta pada kekasih Allah ini kerana lebih cinta pada kesayangan-kesayangan kita dan dunia yang fanaa ini..Astaghfirullah ala'dzim..

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Renungan bersama untuk diri-diri kita yang alpa..nyatakan cinta pada Rasulullah dan hidupkanlah sunnah harian Rasulullah  dalam kehidupan kita. Antara sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: 
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.


Kedua :
Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: 
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.


Keempat :
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: 
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. 

Nasyid kesukaan kami waktu sekolah dulu..lagu asal Nada Murni yang dinasyidkan semula oleh Inteam.

The Messenger Of Allah

Your face is bright like the shining moon
Lighting up darkness of the night
We are here we think of you
Oh Muhammad Rasulullah

The coming of you makes the brightest day
Shining through along the way
You bring the love of al islam
You are the symbol of unity

( chorus )
You bring the light to the entire world
You bring the hope into human life

You lead us to the way of truth
Oh Muhammad
Oh Muhammad Rasulullah

Well my friends the time has come
To have some peace and serenity
From the love of Rasulullah
Oh Muhammmad Rasulullah

Selamat Beramal! Salam Maulidur Rasul 1431H..

Wednesday, February 24, 2010

My Potato Wedges

18 comments
Salam ukhuwwah buat semua..

Selepas entry tentang resepi potato salad hari tu, temanku Nida ada bertanyakan resepi potato wedges. Saya sebenarnya bukanlah pakar benar masak memasak ni, cuma kalau ada masa luang, saya suka mencuba resepi baru terutama yang simple dan mudah. 

Resepi potato wedges ni pun saya ambil dari internet. Ada banyak cara memasaknya, tapi ini paling mudah dan cepat setelah saya ubahsuai resepi-resepi sedia ada. Anak-anak saya cukup suka hingga tak cukup selalunya. Saya tak kisah menyediakan sendiri untuk mereka, kerana kami sudah berazam untuk tidak membiasakan mereka dengan restoren makanan segera. Lagipun, apa kurangnya air tangan ummi ni. Selamat dan jimat belanja.

Bahan-Bahan:
5-6 biji kentang (dipotong seperti wedges)
sedikit garam (atau secukup rasa)
3 sudu besar serbuk kari ikan
Sedikit serbuk lada hitam Ajishio
Air (secukupnya untuk merebus kentang)
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara memasaknya:
  1. Kentang dibasuh bersih tanpa dibuang kulitnya dan dipotong seperti wedges.
  2. Rebus kentang sehingga separuh masak
  3. Angkat dan toskan. Kemudian lumurkan dengan serbuk kari, serbuk lada hitam dan garam.
  4. Perapkan seketika.
  5.  Kemudian digoreng secara 'deep fry' hingga kekuningan.
  6. Angkat dan hidangkan bersama sos cili, mayonis atau sos Thousand Island.
Tengah berbaris untuk digoreng!
Selamat Mencuba!

Monday, February 22, 2010

Ketika Cinta Bertasbih

20 comments

Salam mesra buat semua..

Dua-dua novelnya sudah saya khatamkan. Cuma belum berkesempatan menonton filem ini apatah lagi nak memuat turun. Pernah menonton di internet tapi saya bukan lagi anak remaja yang punya banyak waktu untuk berbuat demikian. Hanya sekerat jalan je..

Satu usaha yang baik untuk tayangan percuma filem berunsurkan islamik ini daripada disogokkan cerita hantu dan aksi ganas yang bertali arus di pawagam atau media di negara kita dewasakini. Kesannya, lahirlah acuan-acuan generasi kita dari filem -filem sedemikian. Ramai yang jadi "hantu" dari menjadi manusia!

KCB 1 dan KCB 2 yang diangkat dari karya Habiburrahman El Shirazy  ( Kang Abik ) ini merupakan alternatif hiburan islamik yang menggunakan Mesir sebagai latar cerita ini berbanding Ayat-Ayat Cinta yang menggunakan tempat di Indonesia sahaja. Itu sebab saya suka..banyak membangkitkan kenangan dulu-dulu di Mesir..

Menurut seorang sahabat, membaca novelnya lebih menarik dan  bermakna  berbanding dari menonton ceritanya. Banyak yang ingin disampaikan oleh Kang Abik tidak mampu diterjemahkan sepenuhnya dalam filem tersebut. Ada benar juga pendapat sahabat saya tu.

Friday, February 19, 2010

Bubur Lambuk Terengganu

18 comments

Salam ukhuwwah buat semua..

Petang semalam, menikmati semangkuk bubur lambuk memang membahagiakan. Pernah merasa keenakan bubur lambuk Terengganu? Kalau belum..apa kata anda cuba, pasti anda akan terpikat dengan rasanya. Kalau nak tahu, inilah favourite saya. Paling saya tak lupa bubur lambuk masakan arwah ibu saya. Sekarang, saya suka masakan ibu mertua pula. Air tangan ibu memang ajaib kan?

Kat sini, bubur lambuk cukup popular semasa bulan Ramadhan seperti di tempat-tempat lain juga. Cuma, bubur lambuk Terengganu berbeza dengan bubur lambuk negeri lain dan ada  sedikit persamaan dengan bubur lambuk Kelantan. 

 daun kadok

Istimewanya kerana menggunakan sayuran kampung seperti pucuk ubi, daun cekur manis, pucuk paku merah, pucuk paku hijau, kangkong, daun kadok, daun kesom, daun kemangin dan daun kunyit.  Lagi satu, kebiasaannya isi ikan yang dibakar menjadi rencah "pemanis'" bubur lambuk Terengganu berbeza dengan bubur lambuk tempat lain yang menggunakan hirisan daging atau ayam.

 pucuk paku merah dan hijau

Campuran sayur-sayuran kampung, lada hitam, halia dan lain-lain menjadikan bubur lambuk sajian yang menyihatkan. Kat bawah ni ada resepi. Selamat mencuba!

Bahan
2 cawan beras [rebuskan dalam slow cooker]
1/2 kg keledek [warna merah/jingga]...potong kecil
1 s/b lada hitam
2 cm. halia
5 ulas bawang merah
5 tangkai pucuk ubi
5 tangkai daun cekur manis
1 ikat daun paku merah
1 ikat pucuk paku hijau
5 pokok kangkong
2 tangkai dan kadok
4 tangkai daun kesom
4 tangkai daun kemangin
1 helai daun kunyit
1 cawan udang basah saiz kecil atau sedikit isi ayam [tak der pun tak per]
2 ekor ikan kembung [bakar dan ambil isi]
air secukupnya
garam

Cara membuat 

  1. Semua sayuran dipotong, basuh dan toskan. 
  2. Tumbuk lada hitam hingga lumat, setelah itu masukkan 10 ulas bawang merah, halia dan tumbuklah lagi sehingga lumat bersama isi ikan tadi.
  3. Masukkan keledek dan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi bersama ikan yg dihancurkan kedalam bubur nasi tadi.
  4. Masukkan udang/ayam dan kacau sehingga rata.
  5. Bila sudah hampir untuk diangkat, masukkan sayur-sayura & garam secukupnya sambil dikacau hingga cukup rata dan sayur layu.
  6. Angkat dan hidangkan.

Wednesday, February 17, 2010

Jasamu Dikenang

18 comments

Salam mesra buat semua..

Kisahnya sangat panjang. Perjalanannya juga amat jauh. Yang pasti ’dia’ sentiasa menemani saya. Saat belajar nun jauh di negara orang mahupun di negara sendiri. Begitu juga saat saya mula berkerjaya seorang pendidik. Jasanya sangat besar buatku..Namun saya terpaksa melepaskan dia pergi..mungkin untuk selama-lamanya..

Wah! Saya bikin anda semua suspen dengan coretan di atas. Sebenarnya saya ingin menulis catatan mengenai PC kesayangan saya ni. PC ini adalah PC pertama milikku. Saya beli di Egypt  pada 1998 dengan duit biasiswa. Saya sudah lupa harganya. Mungkin sekitar RM2000 - RM 2500. Harga komputer agak mahal ketika itu jika dibandingkan sekarang. Lagipun tak ramai yang mampu memilikinya. Mujurlah ada duit biasiswa. Alhamdulillah saya mampu memilikinya.

Selain digunakan untuk study, ia melengkapkan minat saya dengan komputer dan penulisan. Cuma waktu itu, blog belum popular lagi. Yang baru meledak waktu itu selain e-mail ialah chatting programs seperti MiRC dan sebagainya.

Selepas tamat belajar, lantaran tidak sanggup melepaskannya ke tangan orang lain..saya turut membawa PC pulang bersama saya ’terbang’ ke Malaysia. Biarpun saya terpaksa membayar untuk lebihan muatan. Bayangkan CPU, Monitor, Printer dan lain-lain peralatan..semuanya dah berkilo-kilo beratnya..namun saya tak kisah..

Setelah saya mendapat tawaran KPLI di MPI Bangi, saya turut membawanya bersama untuk kegunaan saya seperti menyiapkan assignments dan tugasan yang lainnya. Jangan tak tahu saya mengangkutnya sendiri untuk menaiki  bas dari K Trg ke Kajang. Dari bas ke perut teksi. Dari teksi ke bilik saya di tingkat 3. Segalanya saya buat sendiri...dengan kudrat yang ada...yang penting dia ada bersama saya..

Saya melalui latihan praktikum untuk melengkapkan diri sebagai pendidik di SMAP Kajang, Selangor. Pun saya angkut ’dia’ bersama dari MPI ke asrama SMAP Kajang  untuk membantu saya.Bila habis latihan praktikum, sekali lagi kami bersama pulang dengan bas ke kampung halaman di Kuala Terengganu. Perjalanannya tidak tehenti di situ, setelah saya ditempatkan sebagai guru di Segamat, sekali lagi saya membawanya bersama ke Segamat juga menaiki bas.

Pada 2007, saya membeli laptop jenama Compact yang saya gunakan sekarang, untuk lebih praktikal dan senang diurus dan dibawa. PC lama pula sudah beberapa kali dicheck doktor bertauliah dan sudah banyak 'organ dalaman' diganti tukar. Setelah hampir 12 tahun, sekarang dia setia menemani anak-anak saya bermain games dan belajar. Namun sudah tidak berupaya lagi untuk bertahan lebih lama walaupun sesetengah peralatan seperti monitor,keyboard dan peralatan lain masih berfungsi dengan baik. 

Dari Egypt ke Malaysia. Selama hampir 12 tahun, PC ini mengajar saya erti kesusahan untuk menggapai kejayaan. Dari kesusahan itu lahir kepuasan dan kesyukuran. Berbanding pelajar-pelajar zaman moden ini yang mampu memiliki laptop sendiri yang lebih praktikal dan mudah. 

PCku..susah senang bersamamu. Jasamu ku kenang selamanya..

Sunday, February 14, 2010

Ada Apa Di Kota Bharu?

22 comments
 

Salam mesra buat semua..

Cuti Tahun Baru China kali ini saya dapat cuti seminggu..maklumlah hari tu dah berganti hari persekolahan dua kali Sabtu. Destinasi pilihan kami sekeluarga ke Kota Bharu. Idea kakak ipar saya. Kota Bharu?

Apa yang uniknya di Kota Bahru ni. Macam ada aura tersendiri. Apa tidaknya..biasa kalau hujung minggu jalan arah ke Kota Bharu agak sesak dengan deretan kereta. ( Saya tinggal di laluan alternatif Kuala Terengganu - Kota Bahru atau dikenali sebagai jalan pantai ). Rata-ratanya menuju arah KB dan kebanyakannya berplat kereta dari Pantai Barat.

Ada apa dengan Kota Bharu? Mungkin pada keramahan dan bahasa budi penduduknya. Atau mungkin juga pada keindahan lanskap alam semulajadi. 

Sudah pasti pada keenakan makanan tradisi seperti nasi kerabu, nasi tumpang, laksam atau solok lada? Pernah dengar makanan seperti Tahi Itik, Kuih Kartun, Badak Berendam, Abang Balik Gelisah, Che Abang Guling, Lompat Tikam, Lidah Buaya dan macam-macam lagi nama yang diberi. Di sebalik nama yang pelik itu, kata orang rasanya amatlah lemak dan manis sekali. Nak kena cuba ni..

Makanan tradisi, tahi itik.

Sudah tentu kerana Kelantan syurga membeli belah idaman semua dengan harga barangan yang jauh lebih murah. Sebut sahaja nama Pasar Besar Siti Khadijah, Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Wakaf Che Yeh dan lain-lain pastinya berkunjung ke sana satu kenangan amat manis walaupun duit di poket turut surut..

Pada saya, uniknya Kota Bharu dan Kelantan pada biaah ( suasana ) Islamiah yang ada di situ. Hatta pada papan iklan di tepi-tepi jalan sekalipun. Kuliah agama bertali arus di masjid-masjid dan surau. Menggamit pendengar berteleku menginsafi diri. Saya teringat sahabat saya, orang Penang.  Mengambil peluang berkhidmat di Besut, rutinnya setiap hujung minggu menghadirkan diri untuk membasuh jiwa di kuliah Tok Guru. Mana nak cari kat Penang? Tak dapat..katanya!

Esok saya akan bertamu di Kota Bharu, bandar Islamik.  Moga meninggalkan banyak momen indah untuk dikenang. Jua pengalaman untuk dihayati dan diadaptasi dalam kehidupan. Harap-harap poket saya kekal penuh esok..boleh caya ke ni?

Friday, February 12, 2010

Jerat Valentine

19 comments

Salam mesra buat semua..


Tanggal 14 Februari dianggap tarikh keramat meraikan hari kasih sayang atau memperingati kekasih. Tak terkecuali di negara kita sendiri. Bagai sudah menjadi satu budaya pulak. Filem-filem bertema  romantik dan kasih sayang yang bakal ditayangkan di kaca TV pada 14 Februari sudah hampir sebulan dipromosi penuh hebat. 

Begitu juga dengan pakej-pakej istimewa yang disediakan oleh kebanyakan restoran dan hotel. Penjual bunga terutamanya ros merah yang melambangkan kasih sayang sudah bersedia mengaut keuntungan berganda. Semua ini umpama isyarat kepada umat Islam yang cetek ilmu dan iman bahawa Hari Valentine boleh diraikan. Bermula dengan bicara di telefon atau SMS, pertemuan, hadiah dan lain-lain semuanya dilakukan tanpa rasa bersalah.

Asal usul Valentine
Hari Valentine dikaitkan dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
 

Menurut pendapat yang lain Hari Valentine dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim. 

Bagi umat Islam yang cetek pengetahuan agama dan kering jiwa terutamanya remaja dan muda mudi Islam, mengganggap Hari Valentine tidak salah diraikan. Inilah yang sangat membimbangkan. So, sebarkanlah dan sama-sama la kita mengingatkan saudara dan rakan di sekeliling kita yang masih 'kabur' dan "buat-buat kabur"  mengenai Hari Valentine di sisi Islam

Hukum Menyambut Hari Valentine
Menyambut Valentine Day (Hari Kekasih) hukumnya haram. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.’’ (al-Isra: 32) 

Mafhumnya, Allah s.w.t. tidak mengharamkan zina semata-mata malahan apa-apa yang boleh membawa kepada zina juga hukumnya haram. Apa yang jelas dalam sambutan Valentine Day ialah pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Justeru, bagi menzahirkan rasa cinta, pelbagai aktiviti dilakukan yang jelas haram dan bertentangan dengan Islam. Apa yang pasti ialah pasangan kekasih akan mengadakan pertemuan demi melahirkan perasaan cinta. Pada waktu itu yang ketiga ialah syaitan yang menghasut mereka supaya melakukan perkara-perkara terkutuk.

Nabi telah menegah kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dengan sabdanya yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.’’

Islam mengharamkan sambutan seperti itu bagi menghalang berlakunya perkara yang lebih buruk. Islam menghalang demi membatasi perhubungan lelaki dan perempuan supaya masing-masing dapat memelihara kehormatan diri.

Menyambut Valentine Day adalah bertentangan dengan syiar dan norma-norma budaya masyarakat Islam Melayu. Malah budaya itu diimport dari Eropah yang menghalalkan perhubungan lelaki dan perempuan atas dasar suka sama suka.Perlu difahami bahawa Islam bukan satu agama yang rigid atau ekstrem tetapi Islam bermatlamat membawa kesejahteraan demi memelihara nama baik umat Islam supaya menjadi umat contoh.

Untuk mendalami lebih lanjut sila ke blog Ustaz Zaharuddin atau Ustaz Hasrizal.
.

Wednesday, February 10, 2010

Afiq di Hari Sukan

15 comments
Salam mahabbah buat semua..


Entry kali ini dedikasi buat Afiq. 2 hari lepas, kami berpeluang menjenguk acara perasmian dan kejohanan sukan tahunan di sekolahnya. Walaupun baru di prasekolah, mereka turut mengambil bahagian dalam perarakan kontigen dan acara sukaneka yang dipertandingkan khusus untuk  murid prasekolah seperti bawa bola ping pong dalam sudu, lari junjung pundi kacang dan lain-lain.. kebanyakkan acara dalam kumpulan so semua dapat hadiah la..
 Dua hari berpanas di padang..'masak' kulit si Afiq ni..
 
 
Afiq tengah bersiap dgn bantuan gurunya

Afiq pula telah dipilih untuk memegang bunga manggar semasa perarakan kontigen prasekolahnya..Kelakar tengok Afiq memakai baju Melayu purple yang besar. Entah baju siapa agaknya. Cikgunya ada meminta saya menyediakan baju Melayu hijau untuknya.  Saya takde masalah sebab memang baju Melayunya ada sepasang bewarna hijau. Tapi saat akhir ditukar warna purple plak. Tu yang cikgu pinjam jer baju orang lain sebab Afiq takde  baju warna purple. 
Pahlawan kecil berbaju besar..
Gambar snap dr jauh jer...Afiq si pemegang bunga manggar..

Tengah berbaris untuk mengikuti acara yang dipertandingkan..
Nampak penat je anak ummi ni..

Acara suka bermula dari pagi tetapi saya sempat meluangkan masa menjenguknya di waktu petang. Abi plak sempat singgah on the way balik dari sekolah. Masa ni Ammar macam biasa la ketiduran dalam kereta.. nak kejutkan kesian plak...

Anak dan ayah yang banyak persamaan..

Tuesday, February 09, 2010

Indahnya Pagi!

14 comments

Salam mesra di pagi penuh ceria..

Pagi? Apa yang anda semua bayangkan? Biasanya pagi dikaitkan dengan kedinginan dan ketenangan. Bayu pagi menghembus lembut menyentuh pipi. Burung-burung bersiulan. Cengkerik berlagu riang. Kalau di kota-kota besar, deruman enjin kenderaan mungkin memecah ketenangan . 


Pagi adalah satu detik yang sangat tenang dan nyaman. Permulaan hari yang penuh nikmat dan di sebaliknya terselindung rahsia yang sangat indah. Saya sukakan suasana pagi. Saya rasa anda semua pun sama. Kata orang pagi dikaitkan dengan rezeki? Betul ker? Tapi kalau hari minggu..ramai menghabiskan awal pagi untuk me’qada’’ waktu tidur..sayang sekali kan?

Sebahagian ulama melarang tidur selepas subuh dan asar malah ada sebahagian ulama yang meletakkan hukum makruh tidur selepas waktu subuh. Sepertimana yang diriwayatkan bahawa Rasulullah tidak tidur selepas solat subuh kerana Allah s.w.t memberkati umat yang berpagi-pagi iaitu waktu untuk mencari rezeki.

Dalam satu hadith diriwayatkan bahawa Rasul telah berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagian. Sabda Nabi:


 باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح
 
Maksudnya: Berpagi-pagilah(subuh)dalam mencari rezeki,sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan.                         (Riwayat oleh at-Tabarani dalam al-Awsath)

Dalam kisah yang lain, Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur diwaktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya: "Bangun! Apakah kamu tidur diwaktu rezeki dibahagi-bahagikan?

Di dalam riwayat lain pula, sebagaimana yang diriwayatkan oleh ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sohihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah radiallah anha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda:


يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس '


Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan org yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.'                                                      (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Selain dari itu..pagi juga dikaitkan dengan waktu untuk berdamping dengan ilmu. Sebagaimana dinyatakan dalam hadis : 

عن أبي بكر رضي الله عنه، عن النبي صمى الله عليه وسلم، قال : أغد عالما أو متعلّما أو مستمعا أو محبا ولا تكن الخامسة فتهلك.


Maksudnya : Daripada Abu Bakar r.a, daripada Nabi S.A.W, berkata : Mulakan pagi mu sebagai seorang guru atau pelajar atau pendengar atau orang yang mencintai ilmu, dan janganlah menjadi orang yang kelima , kamu akan binasa.

Hadis ini penuh motivasi buat saya. Kerana itulah rutin kehidupan saya. Kalau dekat sekolah, ikut pengalaman saya sendiri, pembelajaran di waktu pagi sangat berkesan. Pelajar-pelajar akan memberi tumpuan yang luar biasa berbanding waktu menginjak ke tengahari dan petang. Memang sungguh indah waktu pagi...



Berbicara pasal pagi ni, saya teringat satu nasyid zaman sekolah dulu . Cukup sinonim. Motivasi untuk menuntut ilmu. Sungguh! Semuanya mengingatkan saya pada sahabat-sahabat seperjuangan yang dirindui - Alang, Ateh, Achik, Kak Yong, Che Sue, Kak Wan, Adik..dan exspecially Umm..suka benar dia pada nasyid ni..


 Suasana pagi makin berseri-seri
Bila matahari mula menjenguk diri
Terlukis keindahan dalam keharmonian
Terpamer kekuasaan ar-Rahman

Burung-burung berkicau di celah pohon hijau
Menitislah embun dari hujung dedaun
Lembut bayu menyepah bagai membelai jiwa
Menggilap dosa-dosa yang terseksa

Redhalah aku hanya padamu dan kurniaan kehidupan rabbani
Redhalah aku hanya padamu dan limpahan nikmat di bumi ini

Keindahan alam keindahan Islam
Kemanisan iman nikmat yang disyukurkan
Islam jadi pegangan, taqwa jadi hiasan
Biarpun kehinaan di mata insan

Segala keperitan jadi rencah perjuangan
Itulah sunnatullah dari zaman Rasulullah
Biarpun tumpah air mata dan darah
Berjuang menegakkan Illahi

Wahai teman-teman majulah ke hadapan
Islam takkan kalah begitu janji Allah
Kemenangan milik kita
Syahid adalah cita 


Untuk semua yang membaca... 
'Setiap kali bangun dari tidur, berfikirlah tentang kehidupan anda yang baru bermula."

Saturday, February 06, 2010

Menjadi Personaliti Yang Disenangi

12 comments
Salam mawaddah buat semua..

Dalam kehidupan ini, kita akan bertemu dan berhadapan dengan ramai orang  setiap hari terutamanya bagi yang berkecimpung dalam bidang kerjaya yang memerlukan  situasi sedemikian. Sebagai seorang manusia, kita tidak sunyi dari kelemahan mahupun kesilapan..Tapi bagi saya, belajarlah untuk menghargai dan menghayati perasaan dan nilai diri orang lain sebagaimana kita mahu diri kita dihargai dan dihormati...ini bukannya entry melepas perasaan yer..cuma peringatan bersama..

Tips menjadi seorang yang disukai oleh orang ramai. Ini saya baca di blog Dr Inspirasi. Menurut beliau tips ini, daripada Dale Carnegie’s yang merupakan motivator ulung pada zamannya.  

  1. Jangan mengkritik atau merungut. Tidak semua orang suka dikritik. Hakikatnya, walaupun idea yang diberi itu salah, manusia tetap tidak suka dikritik. Kritikan bagi manusia seumpanya mendedahkan kelemahannya lagi. Oleh itu, belajarlah untuk menolak secara halus. 
  2. Senyum. Senyum adalah komunikasi bukan verbal yang penting. Ianya menghantar isyarat selamat kepada orang disekeliling. Ianya seolah-olah memberi signal atau isyarat kepada orang ramai tanpa sedar bahawa anda seorang yang boleh dihubung.
  3. Buatkan mereka rasa penting. Lakukan perkara itu dengan jujur. Setiap orang inginkan perasaan dihargai. Mereka inginkan perasaan bahawa mereka seorang yang penting. Jadi, jadikan mereka itu penting. Dan lakukanlah dengan jujur dengan mencari kelebihan mereka untuk dibualkan. 
Selamat beramal dengan tips ini dan semoga anda disenangi ramai..berbaloi kan?

 

Friday, February 05, 2010

Apa Ada Pada Nama?

17 comments

Salam buat semua..

Seorang sahabat ada bertanyakan saya beberapa nama cadangan untuk anaknya yang bakal dilahirkan. Pesannya nama-nama tu mestilah yang ada maksud baik dan sedap disebut. Atau dalam erti kata yang lain, ada komersialnya.

Pada saya nama yang baik, cukuplah yang ringkas dan ada makna yang baik. Macam nama saya sendiri. Maksudnya yang lemah lembut. Memang menggambarkan diri saya. Ye ke? 

Nama anak-anak pun cukup ringkas. Ammar saya yang pilihkan. Satunya kerana ia adalah nama sahabat nabi iaitu Ammar bin Yasir dan satu lagi kerana makna di sebalik nama tersebut, yang memakmurkan. Harapannya moga kelahiran si anak bakal memakmurkan hidup kami di dunia ini mahupun setelah kami tiada lagi nanti. Afiq, nama pilihan suami saya. Maksudnya yang berpengetahuan. 

Masa mula-mula menamakan anak dulu, ramai yang bertanya itu jer ke? Kenapa tidak diberi murakkabnya ( nama sambungan )? Kami fikir, satu nama sudah memadai. Ditambah dengan gelaran "raja" dari sebelah keturunan suami saya, yang mahu dikekalkan, bagi kami itu sudah cukup panjang. 

Kadang-kadang nama panjang berjela pun, tapi dipanggil orang, dua tiga huruf sahaja. Macam nama salah seorang murid saya. Namanya sahaja sudah 4 patah ditambah dengan nama ayah yang 3 patah perkataan jadilah 7 patah perkataan. Jenuh nak menulisnya. Apatah lagi nak mengisi borang-borang atau apa-apa urusan yang berkaitan..tak pasal-pasal bila dia dewasa nanti, dia pulak akan menyalahkan ibubapa dengan nama-nama yang panjang tu.


Nama adalah identiti dan nilai diri. Pengenalan awal diri seseorang bergantung kepada nama. Bahkan, harta pertama yang diberikan ayah atau ibu kepada anaknya adalah nama. Islam menetapkan ibu bapa menamakan anak dengan nama yang bermaksud baik. Sifat manusia sukakan yang indah dan baik. Islam itu indah. Allah sukakan yang indah.

Justeru, pemilihan nama anak tidak harus dipandang ringan. Nama anak yang didaftarkan tidak boleh ditukar, melainkan atas keperluan tertentu. Sebagai Muslim kita percaya kepada hari kebangkitan atau hari akhirat. Sesungguhnya nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan nama seperti nama di dunia.


Sabda Rasulullah bermaksud: “Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Pemilihan nama anak secara tidak langsung melambangkan identiti ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak mereka dengan penuh teliti dan berhemah. Nama yang baik adalah doa, harapan ibu bapa kepada anak mereka. Dengan memberikan nama yang baik, mencerminkan niat suci ibu bapa supaya anaknya menjadi manusia yang baik seperti tersirat di sebalik namanya.

Sebaliknya, nama yang bermaksud buruk diumpamakan seperti sumpahan. Nama buruk mencemarkan taraf kedudukan manusia sebagai makhluk paling mulia di muka bumi
. Sebagaimana pepatah (Arab) menyebut, ‘Melalui namamu, sudah kukenal siapa ayah kamu’...

Setiap ibu bapa ingin melihat permata hati mereka membesar dan hidup dalam baik, berjaya dan selamat. Permulaan hasrat itu perlu dilakukan dengan memilih nama yang baik. Nama dapat memberi pengaruh terhadap orang yang diberi nama.

Memilih nama baik untuk diberikan kepada anak adalah kewajipan ibu bapa. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat mengenai kewajipannya sebagai ayah. Lalu Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: “Hendaklah kamu memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di tempat sebaik-baiknya. ” (Hadis riwayat at-Tausi).

Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati tiru pengaruh Barat. Makin ramai tertarik dengan nama berbau kebaratan yang didakwa lebih moden dan sedap itu.


Saya jumpa artikel berguna panduan memilih nama anak di blog Abu Umair. Boleh klik di sini

Sebelum memberikan suatu nama bagi anak yang lahir, wajar diperingatkan dengan beberapa perkara. Secara ringkasnya seperti berikut:

1) Nama memberi kesan kepada kehidupan seseorang. Pepatah (Arab) menyebut: ‘Bagi setiap yang empunya nama, pasti ada bahagian daripada namanya’. Hakikat ini diperakui oleh Ibnul Qayyim. Katanya: “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka munasabah dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.

2) Waktu memilih nama. Dalam sunnah Nabi SAW, terdapat kelonggaran pada waktu memberi nama. Samada pada hari pertama, atau dalam masa tiga hari pertama, atau pada hari ketujuh. Pilihlah mana-mana yang digemari.

3) Siapakah yang berhak memberi nama? Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan satu nama, maka ia suatu yang baik. Tapi, kadangkala mereka berselisih. Dalam situasi ini, yang berhak ialah bapanya. Tapi, jika kuasa veto bapa boleh menjejaskan keharmonian keluarga, eloklah dicari nama yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ataupun meminta orang lain yang memberikan nama yang elok, sebagaimana sesetengah sahabat meminta Nabi SAW meletakkan nama anak-anak mereka.

4) Nama anak mesti dibinkan kepada bapanya, bukan ibunya. Demikianlah arahan Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud, “Serulah mereka dengan nama bapa-bapa mereka”.

 5) Pilihan nama yang baik. Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah (Arab) menyebut, ‘Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik’.

 6) Contoh nama-nama yang digemari syarak ialah;
- Abdullah dan Abdul Rahman
- Nama yang dimulakan dengan ‘Abd’, seperti: Abdul Malik, dan Abdul Aziz.
- Nama para Nabi seperti: Muhammad, Ibrahim, dan Musa.
- Nama orang-orang soleh, seperti nama-nama sahabat.

7) Mengelak daripada memberi nama-nama yang haram. Seperti:
- Nama ‘Abd’ yang dihubungkan dengan selain Allah, kerana Abd bermaksud ‘hamba’. Maka haram memberi nama: Abdul Syams, Abdul Qamar, Abdul Nabi, Abdul Husain, dan seumpamanya.
- Nama yang khas untuk Allah sahaja, seperti: Al-Rahman, Al-Khaliq.
- Nama-nama berhala, seperti: Al-Laat, Al-Uzza, Isaaf dan Naelah.
- Nama yang menunjukkan sifat yang tidak layak bagi diri seseorang, seperti: Malikul Amlak (Raja segala raja), dan Sayyid al-Naas (Penghulu segala manusia).
- Nama-nama Syaitan, seperti: Al-Walhan, Al-A’war, dan Al-Ajda’.

8)Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh. Antaranya:
- Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).
- Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin
فاتن (Penggoda).
- Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri).
- Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.
- Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).
- Nama-nama yang digabungkan dengan perkataan ‘Al-Din’ (Agama) dan ‘Al-Islam’, seperti: Dhiyauddin, Saiful Islam, Nurul Islam, dan seumpamanya. Tujuannya untuk memelihara kedua-dua nama ini (Al-Din dan Islam) daripada menjadi nama individu yang tidak layak.
- Nama-nama yang digabungkan daripada dua nama.
Kerana para salaf dahulu tidak memberi nama melainkan satu perkataan sahaja. Pada zaman-zaman terkemudian, timbul nama-nama gabungan, seperti: Muhammad Ali, Ahmad Yunus dan lain-lain.

9) Menukar kepada nama yang baik. Jika ditakdirkan seseorang diberikan nama yang tidak menepati kehendak syarak, contohnya nama yang diharamkan, maka penyelesaiannya ialah dengan menukar nama. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah SAW menukar nama yang buruk kepada nama yang baik. Direkod oleh Tirmizi.

Moga jadi panduan berguna buat semua..

Tuesday, February 02, 2010

My Potato Salad

18 comments

Salam mesra buat semua..

Sehari dua ni saya agak busy dengan tugas-tugas kat sekolah sampai makan pun tak sempat. Bila petang , perut pun dah tak ingin nak terima nasi dah. So, saya buatkan potato salad untuk minum petang. Resepi yang sangat simple. Kegemaran suami dan Ammar. Afiq tak suka sangat. Katanya.." Mayonis menggemukkan.." Amboi! Macam perli ummi jer..Ummi tak kisah la..sekali-sekala nak juga makan makanan macam ni. Lagipun, macam salad ni, makan sikit pun dah mengenyangkan..

Sebenarnya potato salad ni banyak versi - ada yang letak telur rebus, sayur campur, tuna, lada capsicum, serbuk kari dan sebagainya..tapi saya suka cara yang simple dan sedap..resepi potato salad ni mudah je..

BAHAN-BAHAN:
7 biji ubi kentang ( buang kulit,dipotong dadu, rebus dengan sedikit garam sampai empuk)
1 labu bawang besar (dimayang halus)
Mayonis biasa
Sedikit perahan lemon
Serbuk lada hitam/lada sulah

CARA MENYEDIAKAN:
Setelah ubi kentang diproses. Angkat dan toskan. Gaulkan ubi kentang bersama bawang besar, mayonis, perahan lemon sehingga rata. Taburkan sedikit serbuk lada hitam atau lada sulah. Kalau nak sejuk, masukkan dalam peti ais sebelum dinikmati.

Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...