Thursday, December 31, 2009

Catatan Hujung Tahun

8 comments
Salam mesra pembuka bicara..

Apa khabar semua? Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2009. Kerana esoknya taqwim kehidupan akan beranjak ke tahun 2010. 2009 berlalu dengan pelbagai catatan manis mahupun pahit dalam hidupku. Banyak yang manis. Namun banyak juga yang pahit. 

Paling pahit dugaan sepanjang tahun ini ialah pemergian bonda tersayang pada 18 Januari 2009. Sedar tak sedar, hampir genap satu tahun ibu meninggalkan kami. Masih saya ingat.. saat pemergiannya, umpama seluruh jiwa ini turut sama pergi..Namun sebagai hambaNya, di sebalik kehilangan ada rahsia tersendiri. Iaitu menjadikan diri kita redha dan sedar yang hidup ini hanya pinjaman sementara, sebelum kembali ke destinasi abadi yang hakiki di sisi Allah SWT.

Tahun berganti dan angka akan berubah. Namun adakah kita juga turut berubah? Bukan hanya berubah dari sudut jasmani, pencapaian, jumlah harta mahupun ahli keluarga tapi harus jua berubah dari sudut jiwa dan rohani pada tingkat yang lebih baik..

Masa adalah kehidupan kita. Kehidupan dan masa adalah amanah dari Allah. Setiap amanah akan dipersoal kelak pada hari kiamat. Orang yang hebat akan bijak mengurus masa untuk melaksanakan perintah Allah. Manakala orang yang lalai adalah orang yang sentiasa leka dari melaksanakan perintah Allah. Mereka mengharapkan keredhoaan Allah tetapi amat malas melakukan amalan ketaatan dan dalam masa yang sama tidak meninggalkan larangan Allah. 
   
Justeru ketibaan 2010, haruslah diawali dengan semangat dan tekad. Tanamkan azam yang baik. Kalau saya, banyak sekali azam saya. Tak perlu la dinyatakan di sini. Personal. Secara umumnya saya mahu menjadi manusia yang lebih baik dan hambaNya yang lebih bertakwa..Insya Allah. Anda bagaimana?

Selamat menempuhi cabaran 2010. Untuk renungan buat semua..hayatilah Sabda Rasulullah SAW :

Tidak akan berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya tentang empat perkara. Iaitu tentang umurnya ke mana dihabiskan. Tentang masa mudanya ke mana digunakannya. Tentang harta dari mana diperolehinya dan ke mana digunakannya dan tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya.               

Tuesday, December 29, 2009

Diet Putih Telur

16 comments
Salam ukhuwwah buat semua,
Cuti sekolah sudah sampai penghujungnya. Beerti saya akan kembali ke sekolah seperti biasa. Ini bidang yang saya pilih. Walaupun terasa berat hati nak kembali bertugas dek  dimanjakan dengan cuti yang panjang dan keseronokkan menjadi suri sepenuh masa..namun, saya kena ketepikan semua itu kerana life goes on dan tanggungjawab perlu dilunaskan..saya masih ada 23tahun untuk bergelar guru!


Entry kali ni saya nak sentuh pasal diet. Maklumlah bila cuti panjang ni. Kadang-kadang makan pun segala benda masuk. Jalan-jalan cari makan sana sini, kenduri kendara dan sebagainya. Sampai badan pun terasa lemah dan berat semacam je. Saya terfikir nak kembali berdiet. Berkunjung ke blog Zalani, sahabat saya semasa di Mesir dulu membuatkan saya tertarik dengan pengalaman dietnya.. hanya memulakannya dengan memakan putih telur..Ikuti pengalamannya dan untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh klik sini untuk artikel penuh.



Pertama sekali, untuk turunkan kadar gula dalam badan yang menjadi salah satu punca kegemukan adalah dengan memakan putih telur. Makanlah putih telur seberapa banyak yang anda mahu kerana ia tak memberi kesan kepada peningkatan berat. Cara memasaknya terpulang kepada anda, cuma jgn gunakan minyak (goreng) dan jangan makan bersama sos. Hanya telur putih semata-mata. Telur kuning? Boleh makan, tapi tidak lebih dari 2 biji sehari. Amalkan selama 7 hari. Macam petua 'gila-gila' aje kan? Terpulanglah... tapi saya dapat kurangkan 4.5kg setelah amalkan selama 4 hari (tak larat nak continue... tak biasa). Dan minumlah air masak kosong saja banyak-banyak.
 
Selepas 4 hari tersebut, oleh kerana teruja dengan penurunan itu, saya teruskan dengan petua selanjutnya iaitu memakan telur setiap pagi, sayur, daging, ayam atau makanan laut setiap tengahari, dan telur untuk makan malam (sebelum 8 malam). Cara masaknya mengikut kreativiti sendiri, asalkan tanpa minyak dan sos. 7 hari bersama menu ini. saya dapat kurangkan 3 kilo tanpa rasa lapar. Untuk keluarga, saya memasak seperti biasa dan dalam masa yang sama saya makan bersama mereka dengan menu saya sendiri. Apa kata suami? Teruskan... dia pun teringin nak tengok hasilnya.

 
Langkah saya yang ke-3 lebih kurang sama macam langkah sebelum ini, cuma banyakkan memakan buah-buahan. Nasi, mi dan seumpamanya yang tergolong sebagai makanan berat, belum boleh diambil untuk hidangan. Sabar, ye... Teruskanlah usaha ini selama 2 minggu.
Selepas langkah yang ketiga, bolehlah beransur-ansur mengambil makanan ruji kita, tapi berhentilah makan sebelum kenyang dan untuk waktu tengahari sahaja.

 
Bagi saya, setelah pelbagai pengalaman sejak remaja dalam menangani isu kegemukan ini, satu perkara penting yang semua orang tahu patut diamalkan iaitu makanan seimbang. Walaupun ketika langkah yang pertama ia tidak menggambarkan keseimbangan, namun itu cuma untuk menurunkan paras kandungan gula, seterusnya memudahkan proses pengurangan lelemak badan yang mungkin dah lama jadi 'kilang haram' dalam badan.

 
Bermula Januari 2009 hingga sekarang, berat saya dapat dikurangkan sebanyak 14kg hasil dari disiplin pemakanan. Tidak lupa 'exercise' rutin setiap Sabtu dan Ahad iaitu 'jogging' sekitar taman perumahan. Hari biasa, cukuplah kerja-kerja rumahtangga untuk keluarkan peluh. Kalau di sekolah, dapat kelas yang banyak kena panjat tangga, lagi suka.

 
Pesanan untuk anda, minumlah air masak kosong banyak-banyak, makan seimbang, jangan makan lepas jam 8 malam, berhenti makan sebelum kenyang dan lakukanlah senaman dengan apa cara sekalipun. Setakat ini, berat saya belum pernah naik, tak rasa lapar, terbiasa makan sikit-sikit aje dan hati pun senang serta berkeyakinan. Suami pun senyum dengan kegigihan ini. Anak-anak gembira, murid-murid pun tak mengejek di belakang. Pakaian tahun 1996 dulu pun muat kembali. Alhamdulillah, duit pun tak habis dengan pelbagai barang di pasaran ataupun rawatan pusat kecantikan.

 
Untuk sesiapa yang ingin menurunkan berat badan, boleh cuba cara diet Zalani ni..selamat mencuba!

Sunday, December 27, 2009

Nilai Di Sebalik Tangisan

13 comments

Salam mesra di pagi 10 Muharram..


Bila kali terakhir kalian menangis? Kalau ditanya pada lelaki, mungkin jawabnya masa kecil-kecil dulu..berbeza dengan perempuan..mungkin beberapa minit yang lepas.. sebabnya kerana tengok cerita yang sedih-sedih kat TV, atau suami tidak membelikan barangan yang disukai semasa membelibelah. Mungkin juga menangis kerana merajuk hati dengan suami atau orang yang disayangi tidak menelefon pada waktu yang dijanjikan dan macam-macam lagi. Tapi tak semua perempuan begitu…

Lelaki sukar menangis mungkin sebab airmata lambang kelemahan seorang lelaki. Walaupun ditimpa perasaan, seboleh mungkin airmata dikawal dari jatuh kerana keegoan merajai segala-galanya. Masa kecil-kecil dulu mungkin apabila mereka menangis sebab jatuh, kesakitan atau sedih..ibu-ibu biasanya akan menggunakan skrip turun temurun..”Kamu ni lelaki..lelaki mana boleh menangis.”.Saya pun kadang-kadang menggunakan dialog yang sama pada hero-hero saya. Sebenarnya, niat di hati hanya untuk memberi semangat kepada mereka.

Perempuan dan airmata tak dapat dipisahkan. Ye ke? Perempuan dikurniakan hati yang sangat lembut. Kerana dengan kelembutan hatinya itu lahirnya naluri yang peka, prihatin, kasih sayang pada persekitarannya terutamanya pada suami, anak-anak dan keluarga. Justeru, hati perempuan sangat mudah tersentuh dan mudah mengalirkan airmata...

Untuk renungan semua sahabat-sahabat, tak kira lelaki atau pun perempuan..kadang-kadang kita perlu menangis. Menangis pada tempatnya. Baca dan renungkan artikel di bawah ini..Moga mampu memberi manfaat buat kita..

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan.

Penghuni syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia. Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid (kuat beribadat). Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.

Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang." (al- Hasyr: 20)

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang yang berdosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda :

"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur." 


Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.Lupakah kita Nabi pernah bersabda :
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun, Allah s.a.w. telah berfirman :
" Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda: "Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala." Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. 


Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata : "Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu." Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya : "Kenapa engkau menangis?" "Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang," jawabnya.

Ibnu Mas’ud r.a. berkata: " Seorang yang mengenal al Quran dikenali apabila waktu malam ketika orang lain tidur dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga. Seharunya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam lalai, bersuara keras dan pemarah.

Tanyailah orang-orang yang soleh mengapa dia tidak berhibur: "Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati tu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah. Menangisah di sini, sebelum menangis di sana……

Wednesday, December 23, 2009

Apa Kata Hati

16 comments

Salam bersua kembali buat sahabat-sahabat semua..



Hampir satu minggu saya biarkan blog ini tidak berupdate. Buntu fikiran memang menghalang ilham. Malah membalas coretan teman-teman di ruang komentar mahupun shoutbox pun saya buat sekadar sempat. Apalagi bertandang ke blog teman-teman blogger. Maafkan ketidakmampuan saya ini. Tambahan lagi apabila berada di rumah mertua saya ni, internet connection amatlah menjeruk rasa. Lembap sekali!

Kehidupan kita penuh dengan drama. Drama adalah kehidupan. Kadang-kadang drama yang pernah kita tontoni di kaca TV atau dengar cerita dari pengalaman orang lain..tiba-tiba berlaku dalam kehidupan peribadi kita dan keluarga, membuatkan kita terkesima dan kebingungan..Pernahkah kawan-kawan hadapi situasi sedemikian?

Hidup kita ini memang tak terlepas dari ujian yang menduga iman dan menguji silaturrahim sesama insan terutama orang-orang yang kita sayangi..Benarlah, kita tidak mampu memuaskan hati semua orang kerana kedhaifan kita manusia untuk menilai apa kata hati yang lain..Walaupun bukan saya yang memikul dugaan, namun bila melibatkan ahli keluarga yang lain..bak kata pepatah " Cubit peha kanan, peha kiri yang akan terasa."Justeru, saya pasrah dan bergantung harap pada petunjuk Ilahi untuk membantu dan memandu arah..agar dipermudahkan segala-galanya!

Maaflah kalau coretan apa kata hati saya ini agak menimbulkan tandatanya. Bukan niat untuk membuat korang semua saspen atau cuak. Cuma ingin meluahkan rasa yang agak tidak selesa yang sedang bersarang dalam diri saya ini. Saya tidak mampu berkongsi sepenuhnya apa yang sedang melanda kerana ia terlalu peribadi. Justeru, doa sahabat-sahabat amat saya harapkan untuk kesejahteraan kami sekeluarga..


Sebagai tasliah (hiburan) jiwa, saya membaca kembali buku La Tahzan ( Don’t be Sad ) karangan Dr ’Aidh bin Abdullah Al Qarni ,kali ini dalam versi Bahasa Melayu. Sangat bagus untuk menyuburkan jiwa kita yang keresahan mahupun kesedihan agar kembali redha dan tenang. Seorang bijaksana berfalsafah mengenai bangkit dari musibah dalam kehidupan, ”Buatlah minuman yang manis dari air limau nipis yang masam.”.

Banyak mutiara-mutiara indah yang saya jumpai dalam buku ini. Baca dan adaptasi dalam kehidupan kita. Hingga bersua kembali.

Thursday, December 17, 2009

Bicara Tentang Hijrah

16 comments
Salam ukhuwwah buat semua yang sudi menatap coretan kali ini..




Antara kita sedar ataupun tidak, setahun sudah berlalu selepas 1429H kita tinggalkan. 1431H datang membawa harapan baru. Begitu cepat putaran masa berlalu. Benarlah pepatah Arab yang berbunyi :"Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita."

Biasanya bila fajar tahun hijriah baru muncul, masing-masing sibuk menanam azam. Saya pun tak berkecuali. Bagaimana dengan koreksi kalendar kehidupan 1430H yang lepas. Bermaknakah 1430H yang kita tinggalkan ? Macam mana nak tahu bermakna atau tidak? Renung sebentar. Selam ke dasar hati dan carilah di situ. Ada jawapannya. 

Kalau kita menjadi lebih baik dari sudut amalan dan keimanan kepada Allah dan makin mantap dari aspek akhlak dan tanggungjawab dalam kehidupan kita sesama manusia  sebagai khalifah Allah, pemimpin, suami, isteri, ibu, bapa, anak, sahabat dan lain-lain beerti kita sudah berhijrah kepada fasa perubahan. 

Kalau masih di takuk lama mahupun berubah kepada yang lebih teruk, beerti kita dikalangan orang-orang yang rugi. Sebagaimana firman Allah :"Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh."

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. 

Justeru, semoga kedatangan 1431H ini, menyuntik keazaman untuk menjadi insan yang lebih baik dari sudut hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Selamat beramal!



Tuesday, December 15, 2009

Tatkala Diri Diuji

28 comments
Ujian dan cabaran sesuatu yang normal kita hadapi dalam kehidupan seharian.Betul lah kata orang, kadangkala kita rasa ujian yang Tuhan berikan pada kita sudah terlalu berat, rupanya ada lagi ujian yang lebih berat diturunkan kepada hambaNya yang lain. 

Contohnya, setiap hari paparan kehidupan insan yang berdepan dugaan hebat kita tatap dalam dada-dada akhbar. Antara yang amat menyayat hati, seorang bapa , Samsuri Maulana, 46, yang kehilangan empat orang anak sekali gus di hadapan matanya sendiri termasuk sepasang kembar di tali air di ladang kelapa sawit di Kota Shahbandar, Rompin pada pukul 1.30 petang 7 Disember yang lepas. Empat anak Samsuri yang mati lemas ialah anak kembarnya yang berusia 15 tahun, Mohd. Shukri dan Syafiqah, Mohd. Syafik, 12, serta Nursyakirah, 7.

Beberapa hari lepas juga, tragedi pengantin baru, Allahyarham Mohd Ariff Abdul Kadir maut bersama kedua ibubapa dan seorang rakan selepas hanya 3 jam bergelar suami. Saya tidak mengenali isteri Allahyarham, Teh Afifah Syahirah, tapi sebagai seorang perempuan tersentuh jiwa saya dengan ujian yang menimpa Teh Afifah. Bak kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.. 

Dari kelembutan wajahnya, Teh Afifah punya jiwa yang kuat. Catatan Teh dalam laman friendsternya  : Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempunakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami…[18:10] sudah mengambarkan sedemikian. Justeru, Mampukah saya setabah dia apabila berdepan dugaan sedemikian?

Pernahkah anda semua berdepan ujian yang dahsyat seperti En Samsuri mahupun Teh Afiffah?

Semua yang bergelar insan pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat insan yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Bahkan Allah SWT sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Dan dalam ayat yang lain Allah menerangkan

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi?”

Setiap insan akan diuji dengan ujian dan cabaran yang berbeza. Bentuk-bentuk ujian ni ada macam-macam :
1.   Ada yang diuji dengan kegagalan, kemiskinan, sakit, penindasan dan kehilangan, masalah
2.      Ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kejayaan dan lain-lain
3.      Ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya.
4.      Ada ujian bagi orang perseorangan
5.      Ada ujian ke atas kumpulan, masyarakat, negara atau jemaah

Bagaimana seharusnya apabila kita berdepan dengan ujian dan dugaan dari Allah SWT?

Redha dengan ketentuan dan takdir dari Allah SWT
Allah SWT tidak pernah bersikap zalim terhadap hamba Nya. Bahkan Dia Maha Adil dalam segala sesuatu. Sebaliknya manusialah yang mempunyai sifat gopoh. Mereka selalu menghadapi Qadha’ Allah dengan rasa kesal dan tidak reda, lebih-lebih lagi kalau yang menimpanya itu sesuatu yang pahit. Dia mengira kalau dia mendapat kesenangan itu membuktikan bahawa Allah reda kepadanya. Sebagaimana dia mengira bahawa Allah benci kepadanya jika ia mendapat bencana.Inilah gambaran akal manusia yang sangat terbatas.

Sedangkan Allah menafikan sekeras kerasnya anggapan yang salah dan keliru tersebut di dalam firman-Nya:  

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberikan-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian). 

Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik.
Rasulullah SAW menjelaskan: 

“Sungguh mengkagumkan keadaan seorang mukmin, keadaan mereka sentiasa dalam kebaikan. Tidak terjadi hal yang demikian itu melainkan bagi seorang mukmin. Jika mendapat kesenangan ia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan. Dan jika ia tertimpa kesusahania bersabar dan itu juga merupakan kebaikan baginya”. 

Sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah.

Dari Abdullah Bin Mas”ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: 

Barangsiapa yang selalu ditimpa kesedihan/kegundahan maka hendaklah dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, dan anak abdi-Mu, dan anak-anak-Mu, dan (berada) didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku keatas (diri) ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dia di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku”

Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan.
Dan dalam firman Allah menjelaskan:  

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo`a kepadaKu apabila dia berdo`a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk”. 

Bersabar dan Bersikap pro aktif serta tidak reaktif apabila menghadapi cabaran dan ujian. 
Sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu. Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. 
Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu `Abbas ketika itu dia masih kecil: Maksudnya: 

Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah.

Amat pasti, manusia adalah milik Allah, dan setiap inci tubuhnya berada dalam genggamanNya. Namun kenyataan bahwa segala sesuatu itu pasti kembali kepada pemiliknya, Allah swt, jarang sekali untuk dihayati dan bersedia.

Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun". (QS. 2:155-156)

Insya Allah, dengan membiasakan meresapi hikmat kalimat Inna lillahi wainna ilahi roji’un ini, kita menjadi lapang dada dalam menghadapi setiap peristiwa, seburuk apapun, yang sudah menjadi takdir kita. Semakin dalam seseorang menghayati zikir ini semakin ringan dia menghadapi kehidupan yang berat ini, tanpa harus berdepan dengan stres mahupun putus asa.

Sunday, December 13, 2009

50 Pesanan Untuk Suami

16 comments
Salam ukhuwwah buat semua..

Dalam sehari dua ni entah kenapa saya kehilangan idea untuk mengupdatekan blog kesayangan ni. Rutin harian pula berjalan seperti biasa dan tiada yang istimewa untuk dikongsi dan dipapar di sini.

Saya on PC dan capai folder koleksi tazkirah dalam simpanan saya. Cari punya cari, tajuk ini menjadi pilihan saya. Masih berkenaan suami isteri. Tapi kali ini khusus untuk para suami. Mana aci kan..asyik-asyik pasal isteri je..sedangkan rumahtangga yang bahagia dan harmoni, haruslah ada sifat give and take antara suami dan isteri.


 Gambar sekadar hiasan

Mungkin satu kebetulan yang disengajakan. Fikir saya, supaya ada kaitan dan kesinambungan dengan entry yang lepas. Jangan pula kawan-kawan anggap saya ni pakar rumahtangga pula. Hanya berkongsi peringatan dan harap sedikit sebanyak ia mampu menyuntik kesedaran dalam diri kita.

Jom baca..buat para suami..renung2kan dan amalkan dalam kehidupan.

  1. Sentiasa berdoa agar disayangi.
  2. Sentiasa lakukan ibadah bersama
  3. Bila balik rumah, tegur dan sentuh isteri sebelum buat kerja lain.
  4. Tunjukkan keperihatinan dengan bertanya secara khusus mengenai kegiatan isteri sepanjang hari.
  5. Berlatih untuk mendengar dengan baik.
  6. Jangan  tergesa-gesa  untuk  menyelesai masalah isteri. Apa yang lebih penting adalah simpati.
  7. Berikan  masa  sekurang-kurangnya 30 minit perhatian yang “berkualiti” terhadap isteri.
  8. Belikan bunga atau seumpamanya sebagai hadiah atau untuk memujuk.
  9. Tolong masak atau ajak makan diluar sekali-sekala.
  10. Beri pujian mengenai penampilan isteri  --  rambut, wajah, pakaian dll.
  11. Pujuk bila isteri marah atau kecil hati.
  12. Beri bantuan atau kerjasama setakat yang mampu.
  13. Luangkan masa yang lebih agar tidak mendesak isteri untuk lebih cepat bergerak atau bertindak.
  14. Bila lambat pulang, beritahu lebih awal atau telefon rumah.
  15. Bila isteri minta bantuan, nyatakan “boleh” atau “tidak boleh” dengan tidak mengungkit atau banyak komen.
  16. Jika perlu menjauhkan diri sekali-sekala, beritahu bila anda akan pulang. Beritahu yang anda perlu bersendirian untuk berfikir.
  17. Bila  sudah sejuk, beritahu isteri apa yang mengganggu fikiran secara sopan. Jangan menyalahkan isteri.
  18. Bila isteri bercakap, beri perhatian sepenuhnya, letakkan surat khabar atau tutup televisyen.
  19. Bila keluar, tanya isteri kalau ada sesuatu yang ingin dipesan.
  20. Peluk isteri dengan penuh kasih sayang empat kali sehari.
  21. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin memberitahu “I love you”.
  22. Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurang dua kali sehari.
  23. Tolong kemaskan katil dan bilik tidur.
  24. Tolong  terbalikkan  stokin  atau seumpamanya untuk memudahkan isteri mencuci.
  25. Tolong buang sampah tanpa disuruh.
  26. Bila keluar out-station, telefon isteri untuk memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu yang kita sudah selamat sampai.
  27. Sentiasa kemas, kacak dan wangi sebelum tidur bersama.
  28. Sokong pendapat isteri kalau beliau bertentangan pendapat dengan oranglain.
  29. Peluk dan belai isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual.
  30. Sabar dan tenang bila mendengar cerita dan masaalah isteri.
  31. Jangan tukar-tukar saluran televisyen bila menonton bersama isteri.
  32. Pamerkan  kasih  sayang bila dikhalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkan jauh bila berjalan.
  33. Buatkan air minuman atau seumpamanya untuk isteri sekali-sekala.
  34. Bila  makan  di  luar,  jangan  harapkan isteri memilih tempat makan setiap masa.
  35. Sabar bila isteri terlambat sedikit atau tiba-tiba ingin menukar baju yang dipakai atau menukar rancangan.
  36. Beri  perhatian  yang  lebih  pada  isteri  dari  orang  lain semasa dikhalayak ramai.
  37. Lebihkan isteri dari anak-anak.
  38. Belikan  hadiah-hadiah  kecil dari semasa ke semasa—minyak wangi, jamu atau seumpamanya. 
  39. Beri respond yang positive bila mendengar isteri bercerita.
  40. Bila isteri kurang sihat, beri perhatian yang sewajarnya.Manjakan isteri sepertimana mereka memanjakan kita.
  41. Belai isteri sebelum pergi kerja.
  42. Cuba  ketawa  bila  isteri  buat  lawak  atau  bercerita sesuatu yang melucukan.
  43. Ucapkan terima kasih diatas setiap khidmat yang isteri berikan.
  44. Cari masa untuk berdua-duaan sekali-sekala.
  45. Lakukan riadhah bersama isteri.
  46. Pergi berkelah / picnic sekali-sekala bersama-sama isteri dan anak-anak.
  47. Tolong cuci atau jemur pakaian sekali-sekala.
  48. Cuba berikan / tunaikan apa yang isteri hajati.
  49. Nyatakan yang anda merinduinya bila berjauhan.
  50. Bawa pulang ole-ole / kuih kegemaran isteri sekali-sekala.

Thursday, December 10, 2009

Dari Jiwa Seorang Lelaki

20 comments

Salam takzim buat yang sudi membaca entry ini..

Saya ingin berkongsi artikel yang menarik ini ( dr Utusan Malaysia ) kerana ia mengandungi banyak nasihat berguna buat perempuan yang bergelar  isteri..Kisah dan luahan hati seorang lelaki bergelar suami amat menyentuh hati seorang isteri seperti saya. Mahu menjadi isteri sempurna dambaan sang suami, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Buat kawan-kawan semua…baca, hayati, renungi dan take action!




Saya adalah seorang profesional yang telah berumah tangga dan mempunyai lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan. Perkahwinan saya diatur oleh kawan dan dipersetujui oleh ibu saya. Sebelum saya memilih bakal isteri, saya telah memberikan beberapa spesifikasi kepada emak saya untuk memilih calon menantu yang menyebabkan emak saya jadi bingung. Antara syaratnya gadis itu tidak berkaca mata, rambut lurus dan panjang dan yang paling penting mestilah muda daripada saya sekurang-kurangnya enam tahun dan lebih utama tidak bekerja. 


Perbezaan umur begitu penting bagi saya supaya isteri saya menghormati saya kerana saya lebih tua. Kedua, supaya mendapat persetujuan ibu saya sendiri agar tidak jadi masalah kemudian hari antara hubungan mereka sebab ibu sendiri dah setuju.

Saya memang bernasib baik sebab kedua-dua ibu bapa mertua saya sangat baik hati dan mempunyai didikan agama. Masa meminang dulu oleh kerana saya tiada mempunyai bapa dan ibu saya pun jenis tak kisah maka perbincangan mas kahwin dan hantaran saya pergi berbincang sendiri bersama rombongan. Masa tu bapa mertua saya beritahu mas kahwin cuma RM150 dan hantaran tak perlu.

Terkejut saya bila tak ada hantaran, bila saya tanya mengapa, bapa mertua saya jawab tidak perlulah. Oleh kerana masa untuk saya berlepas ke UK hendak sambung belajar cuma tinggal dua minggu sahaja, maka kenduri kahwin pun diadakan serba ringkas, cuma jemput rakan dan saudara terdekat saja. Oleh kerana saya bawa isteri bersama ke UK, semasa di airport saya beri peluang isteri saya berbicara dengan ayahnya sementara saya melayan sahabat handai yang lain.

Masa dalam kapal terbang saya tanya isteri saya apa yang dibicarakan dengan ayahnya? Isteri saya jawab ayahnya memberi beberapa pesanan sehingga menitiskan air matanya. Antaranya ialah: mesti utamakan keluarga suami dahulu dan keluarga sendiri sudah jadi nombor dua, mesti siapkan makanan suami dengan baik sebelum suami keluar. Jangan lawan suami dan hormatilah mertua. Apa-apa hajat dan keperluan mesti mendapat izin suami. Saya rasa amat bernasib baik kerana ayah mertua saya memberi penjelasan yang baik. Sekarang saya merasakan perkara yang sama akan saya lafazkan kepada anak perempuan saya apabila dia berkahwin nanti.

Sebenarnya isteri saya ni seorang `hafizah' (hafaz quran). Dan saya bersyukur sehingga sekarang tiada suatu pun yang menjadi masalah dalam hidup saya. Pertama kerana dia seorang isteri yang taat. Hinggakan dia boleh membaca gerak hati saya tentang apa juga pun.

Oleh kerana saya pandai memasak, maka sayalah yang ajar dia memasak dan ibu saya pun selalu berpesan kalau isteri tak pandai masak ajar dia, jangan marahkan dia.Sekarang alhamdulillah dia dah pandai memasak.

Semasa dia melahirkan anak yang pertama di UK, sayalah yang buat segala persediaan daripada membuat selimut hinggalah tilam dan bantal semua saya buat sendiri, hingga kawan-kawannya hairan dengan kebolehan saya. Saya juga selalu berkata kepada isteri bahawa tiada perkataan tiada masa dalam hidup. Hanya dua perkara, iaitu sama ada kita malas atau rajin.

Sebagai suami banyak tugas rumah yang saya buat yang jarang dipikul oleh suami-suami yang lain. Segala urusan membeli-belah, ke pasar, perhiasan dan kelengkapan rumah saya beli dan tentukan sendiri hatta pakaian isteri dan anak-anak. Pernah juga orang rasa pelik bagaimana isteri saya dapat menerima segala pakaian yang saya beli, jawapan isteri saya ialah dia memakai pakaian adalah untuk menyukakan suami dan apa yang saya suka pasti dia akan suka.

Isteri saya di rumah cuma bertanggungjawab untuk menjaga rumah dan makan minum keluarga. Dan dia jenis yang tak suka berjalan, kecuali ziarah ke rumah kawan-kawan dan saudara-mara.

Sebenarnya hati lelaki adalah lembut jikalau wanita tahu memainkan peranan yang baik di dalam urusan rumah tangga atau keluarga. Tanyalah pada semua lelaki apakah yang dikehendaki oleh para suami? Hanya tiga perkataan sahaja iaitusifat `taat dan hormat.' Di sini saya ingin senaraikan apakah perkara yang diingini oleh suami daripada seorang isteri atau bagaimana menjaga hati suami.

Mungkin ramai isteri menganggapnya sebagai remeh tapi percayalah bahawa perkara yang remeh inilah yang akan membawa kepada masalah yang besar. Sebab semua orang inginkan kepada benda yang cantik dan baru. Biarpun barang lama tetapi jikalau dijaga dan dihias dengan sebaiknya maka akan lebih berharga lagi.Percayalah sesungguhnya dunia luar amat mencabar dan mungkin ramai suami membuat perbandingan apa yang ada di rumah dan apa yang berlegar di luar. 


Di sini saya turunkan beberapa panduan untuk kaum wanita kaji diri sendiri :
Sentiasa berpakaian kemas dan bersih sepanjang masa di rumah. Hindari memakai T-shirt dan kain batik. Ramai wanita cuma berpakaian cantik bila ke pejabat atau bersiar-siar. Cuba kita tanya diri sendiri, pakaian yang cantik untuk suami atau untuk orang lain? Tidak dinafikan ramai isteri selalu memberi alasan susah untuk berkemas dan memasak. Tetapi cuba bandingkan apabila seseorang itu bekerja di restoran dan di pejabat bukankah tidak ada perbezaan langsung. 


Pernah saya ajukan perkara ini kepada kakak-kakak saya dan rakan sepejabat, tetapi semuanya tidak bersetuju. Kalau kita amati lagu Tiru macam saya nyanyian allahyarham Saloma, bait-bait lirik lagu ini begitu sinis sekali pada kaum wanita. Ramai isteri anggap mudah. Tapi lagu itu sindiran kepada mereka.

Satu lagi bangun dan mandi pada awal pagi sebelum suami bangun. Supaya suami merasa senang melihat wajah isteri bila bangun tidur. Dan tunjukkan minat dan keinginan kepada minat suami. Selagi suami mempunyai minat yang tidak bertentangan dengan agama maka selagi itulah isteri perlu memberi sokongan dan galakan. Jangan memperlekehkan minat suami.

Hidangkan makanan yang dimasak sendiri, elakkan daripada membeli makanan di kedai. Cuba tarik perhatian suami dengan pelbagai masakan dan juadah supaya suami sentiasa memuji kebolehan isteri. Sifat ini juga mendorong suami lebih suka duduk di rumah daripada menghabiskan masa di luar.

Isteri juga mesti mentaati suami dan elakkan melawan atau bersifat kurang hormat kepada suami. Rumah tangga perlu dibina seperti syurga yang bahagia dan penuh dengan kenikmatan. Malah isteri juga perlu sama-sama memikul tanggungjawab untuk rela berkorban bersama-sama hatta harta dan nyawa.

Amalkan sikap berterus terang kepada suami dan elakkan perasaan syak wasangka. Segala masalah hendaklah bemuzakarah dengan suami dengan penuh hikmah. Dan setiap perbincangan mesti dilaksanakan pada waktu yang sesuai. Janganlah berbincang sesuatu masalah ketika suami dalam keadaan letih atau tidak tenteram melainkan berita-berita yang menggembirakan.

Jangan meleteri anak-anak di hadapan suami terutama sekali apabila suami baru pulang dari kerja. Bagi wanita yang bekerja beri masa mendampingi anak-anak. Apa yang saya kesalkan ada sesetengah wanita kawan pejabat sayalah mendakwa dia lebih suka berada di pejabat daripada di rumah kerana malas hendak layan kerenah anak-anak. Pada saya ini satu sikap yang cukup buruk jika wanita amalkan.

Jika terasa bersalah tentang tingkah laku cepat-cepat meminta maaf dan jauhilah sifat merajuk serta bermasam muka pada suami. Dan nasihat saya lagi jangan serahkan tugas mengurus suami kepada orang gaji. Banyak masalahnya kemudian hari. Isteri mesti tahu tugas sendiri dan tugas pembantu rumah. Sebab kalau tersilap langkah jangan marahkan suami bila jatuh cinta dengan pembantu rumah.


Justeru para isteri sekalian...moga luahan dari jiwa seorang lelaki ini mampu menyuntik kesedaran kita untuk berusaha menjadi isteri solehah yang didambakan suami...

Wednesday, December 09, 2009

Yang Perlu Anda Tahu Tentang Facebook

14 comments
 

Salam mesra buat semua..

Saya sudah agak lama ingin menulis entry berkenaan dengan facebook. Namun kecetekan ilmu berkenaan dengan laman jaringan sosial paling popular masakini menyebabkan saya  menangguhkan dulu hasrat tersebut. Masih banyak kajian dan pemahaman perlu dibuat. Banyak pro dan kontra dalam penggunaan facebook ni..ini yang mahu saya tahu..

Saya baru beberapa bulan membuka akaun facebook. Matlamat saya hanya ingin menjalinkan ukhuwwah dengan sahabat-sahabat kenalan sahaja dan menjadikan ia sebagai medan berkongsi cerita, pendapat dan permasalahan mahupun sebagai satu ruang dakwah.

Hasilnya, saya dapat bertemu di alam maya dengan sahabat-sahabat lama semasa sekolah dahulu, semasa belajar di Mesir, rakan-rakan guru di Johor mahupun bekas-bekas pelajar saya yang sekarang menuntut di dalam mahupun di luar negara. Memang menyeronokkan. Menyoroti perkembangan terbaru mereka lewat gambar-gambar yang dimuatkan.  Sangat efektif dan lebih mudah berbanding  melalui telefon bimbit mahupun email.


Facebook ialah sebuah laman sosial untuk anda berhubung dan bersosial dengan individu-individu lain. Ia adalah kombinasi e-mail, blog mikro dan aplikasi lain untuk anda berhubung, bermain game dan berkongsi cerita anda dengan kawan-kawan secara ‘live’. 

Anda boleh menyertai kumpulan yang mempunyai minat yang sama dan menjemput mereka menyertai anda. Lebih 200 juta pengguna (sehingga April 2009) di seluruh dunia menggunakan facebook untuk berinteraksi, berbual-bual dan mengeratkan tali persahabatan.

Mereka yang menceburi bidang perniagaan juga menggunakan facebook sebagai salah satu medium untuk mempromosikan diri mereka dan juga perniagaan mereka. Di sini mereka dapat leveragekan masa dan tenaga mereka untuk faedah perniagaan – meningkatkan jualan, membuka pasaran baru dan bertemu dengan rakan kongsi yang berpotensi.

Selain dari itu pemimpin-pemimpin kerajaan atau parti politik mahupun pertubuhan-pertubuhan tertentu menggunakan facebook sebagai medan untuk berkongsi aspirasi, mengenengahkan pandangan, menangkis tuduhan atau dakwaan tentang sesuatu perkara mahupun sebagai cara supaya rakyat dan orang ramai mengenali mereka dengan lebih dekat.


Tahukah anda bahawa Facebook telah berjaya mengaut keuntungan sebanyak USD300 juta pada tahun 2008?  Ini tidak menghairankan kerana ia disokong oleh 140 juta pengguna aktif di seluruh dunia dan sejumlah 8.5 juta foto dimuat turun setiap hari.


Pengasas Facebook ialah Mark Zuckerberg dilahirkan dalam sebuah keluarga Yahudi-Amerika dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester County , New York. Mark Zuckerberg semasa menuntut di Universiti Harvard telah menggodam laman sesawang universiti untuk mendapatkan profail peribadi para pelajar tanpa kebenaran mereka. Maka, adakah jaminan terhadap profail peribadi para pelanggan Facebook tatkala kini beliau adalah merupakan CEO-nya?

Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara ‘tokoh paling berpengaruh dunia 2008?, iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama. Majalah Forbes Top 400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke-321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008.

Namun apa yang lebih penting, Zuckerberg merupakan individu termuda pernah disenaraikan Forbes, ketika usianya baru mencecah 24 tahun dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1.5 billion. Mark Zuckerberg, CEO Facebook adalah merupakan seorang ahli aktif kepada sebuah pertubuhan persaudaraan Yahudi Amerika Utara, Alpha Epsilon Pi Fraternity (AEPi)

Info tentang AEPi:
1) Diasaskan untuk membantu lelaki Yahudi mencari pasangan Yahudinya.
2) Ia juga bertujuan untuk mengekal dan menguatkan hubungan sesama Yahudi diperingkat sekolah tinggi dan di bidang pekerjaan nanti…
3) Mengekalkan idealisme Yahudi supaya terjaga di sudut nilai, etika, dan menyiapkan peserta untuk menjadi pemimpin negara dan organisasi Yahudi pada masa depan dan dalam pelbagai lapangan bidang profesional.
4) Mark Zuckerberg termasuk dalam senarai alumni AEPi yang masyhur namanya .
5) AEPi berkait secara langsung dengan Israel melalui Ikatan Inisiatif Israel
6) AEPi sangat berkait rapat dengan kebanyakan pertubuhan Yahudi/Zionis antarabangsa seperti AIPAC , Hillel , Israel on Campus Coalition , Aish HaTorah , Chabad on Campus , Hasbara Fellowships , B’inai Brith International , Shaare Zedek , Chai Lifeline , Holocaust Museum , dan Gift of Life . 

Keuntungan Facebook datang daripada iklan-iklan yang dipapar. Semakin banyak pengguna dan pengunjung Facebook , maka semakin banyak pulalah keuntungannya. Pergi ke manakah pula semua keuntungan tersebut?? Persoalan paling besar di sini ialah, adakah keuntungan besar yang diperolehi oleh Facebook turut digunakan untuk membiayai dana perang Israel menentang umat Islam di Gaza, Palestin dan umat Islam di seluruh dunia seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak? 

Bagaimana pula hukum penggunaan facebook menurut pandangan Islam. Saya kongsi bersama anda pendapat Ustaz Hasrizal yang saya petik dari kupasan tentang facebook di blog beliau.


Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu.


Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan. Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.


Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala: “Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan. Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook. Untuk pemahaman lebih lanjut, sila rujuk artikel penuh dilaman Ustaz Hasrizal.

Justeru, maklumat yang dapat dikongsi ini moga memberi manfaat buat kita bersama. Gunalah facebook secara positif. Bukan sebagai satu wadah yang melekakan dan melalaikan kita dari tanggungjawab sesama insan dan tanggungjawab kita terhadap Allah. Fikirkanlah...

Tuesday, December 08, 2009

Al Azhar : Universiti Kehidupan

12 comments

Salam buat semua..

Entry kali ini menjejak semula kenangan permusafiran ilmu saya di bumi Anbiya'  : Mesir/Egypt untuk tatapan buat anak-anakku khususnya yang selalu tertanya-tanya tentang Mesir, universiti Al Azhar , keistimewaan dan lokasinya. Catatan ini untuk mereka, moga ada pengajaran beharga di sebaliknya.


Mesir indah dan unik kerana dua perkara Al Azhar dan panorama  Mesir serta budayanya. Gabungan inilah yang membuatkan Mesir dikenali dengan khazanah ilmu para ulama dan sejarah dan keunikkannya yang tersendiri.


Universiti Al-Azhar, Mesir : Allah mentakdirkan jejak saya bertapak di universiti tertua di dunia ini untuk menimba ilmu buat bekalan dunia dan akhirat. Terima kasih tidak terhingga buat ayah khususnya. Kalau dulu saya agak memberontak dalam diam kerana pilihan ayah buat saya selepas UPSR adalah sekolah agama. Sebagai anak yang dididik untuk taat pada ibubapa, saya akur. Lepas SPM, walaupun menerima tawaran memasuki IPT lain ,ayah masih mahu saya meneruskan pelajaran di aliran Thanawi ( Arab) di SMA ( Atas) Sultan Zainal Abidin.  

Setelah layak memasuki Al Azhar, hampir-hampir saya putus asa untuk ke Mesir kerana beberapa cabaran dan dugaan yang datang menguji kesabaran. Namun, takdir Allah sudah tertulis. Tercapai juga hasratku untuk melanjutkan pelajaran di bumi barakah ini.




 Kampus induk Universiti Al Azhar, Kaherah bersebelahan Masjid Al Azhar , Kaherah.

Universiti Al Azhar dikenali sebagai al-Azhar al-Shareef, "Azhar yang Mulia", adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan. Mula dibina pada 969, ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi. Kini Al-Azhar adalah salah sebuah pusat pendidikan terpenting dalam dunia islam, universiti ini boleh memuatkan pelajar seramai 90,000 orang dalam satu masa. di beberapa cawangannya.


Apabila Jawhar Komander Sisila (Italia) ketua pasukan dihantar oleh Khalifah Fatimid Almuiz untuk menawan Mesir, beliau mengasaskan Kaherah pada tahun 358 hijrah / 969 masehi dan mereka membina Al-Azhar yang dahulunya adalah sebuah masjid. Masjid ini siap dibina selepas 2 tahun pembinaannya dan dibuka pada pertama kalinya untuk bersolat pada 7hb Ramadan 361 hijrah/ June 22, 972 masihi.

Ahli kaji sejarah berselisih pendapat bagaimana masjid ini mendapat namanya. Sesetengah pendapat mengatakan ianya mendapat nama Al Azhar (yang bermaksud bunga-bunga ) kerana semasa mereka menemui Kaherah kawasan ini di kelilingi/dipenuhi oleh ratusan bunga-bungaan . Ada yang berpendapat ianya diberi nama sempena gelaran Saidatina Fatimah iaitu Al-Zahraa yang merupakan anak kepada Nabi Muhammad S.A.W . Tujuannya ialah bagi memuliakan/mengabadikan nama anak baginda S.A.W.




Inilah universiti tempat saya berhempas pulas menuntut ilmu selama 4 tahun di Mesir. Rindu benar rasanya.. Gambar terbaru ni..saya ambil dari google.  Dulu takde pokok-pokok kat tepi pagar tu. Kosong je..Sekarang dah banyak pengubahsuaian.


Dikenali sebagai Kuliyyatul Banat Al Azhar ( cawangan untuk mahasiswi2 Al Azhar) dan terletak di Madinat Nasr, Kaherah. Ada dua fakulti iaitu Falkuti Dirasat Islamiyyah ( pengajian Islam ) dan Fakulti Insaniah ( Sosial dan Kemasyarakatan). Untuk pengetahuan semua, Al Azhar mengasingkan kampus mahasiswa dan mahasiswi. Selain dari kampus mahasisiwi di Kaherah. Ada dua lagi, iaitu satu di Iskandariah dan satu lagi di Mansourah. Manakala untuk mahasiswa pulak selain kampus di Kaherah ada beberapa cawangan iaitu kampus di Tanta, Damanhur, Shibin el-kom, Zaqaziq, Syubra dan lain-lain.

Ilmu Allah SWT itu luas. Sangat luas. Al Azhar ialah salah satu dari gedungnya. Melahirkan  para ilmuan dengan ilmu duniawi dan ukhrawi. Mungkin lain tempat, lain ragam dan  situasinya. Namun bagi saya, merantau di bumi para Nabi ini memerlukan kesabaran dan ketabahan yang bukan sedikit.  Kerana, menuntut ilmu Allah, mempelajari rahsia Al Quran  dan as Sunnah membutuhkan keikhlasan dan keyakinan. Bukan untuk main-main atau kerana mengenggam ijazah semata. Mahu lulus di Al Azhar bukan mudah. Ramai yang berjaya dengan jayanya. Ramai yang masih bergelut dengan pengajian sehingga bertahun-tahun. Tidak kurang juga yang mengalah  di pertengahan jalan. Saya rasa tidak ada situasi sebegini berlaku di mana-mana universiti di seluruh dunia. Kalau ada pun, mungkin hanya segelintir mahasiswa/wi yang menghadapi situasi berkenaan.


Itulah Al Azhar - universiti kehidupan bagi saya. Mengajar saya erti kehidupan sebenar di muka bumi Allah ini dalam menggapai kebahagiaan hakiki di dunia mahupun di akhirat. Terima kasih ayah. Sekarang saya sangat menghargai pilihan ayah buat saya kerana dengan mempelajari agama, kehidupan ini lebih terarah dan sempurna. 

Alhamdulillah. Syukur tak terhingga saya panjatkan pada Yang Maha Kuasa. Segala urusan pengajian saya dipermudahkan. Rezeki saya begitu murah sekali. Pengajian dapat saya habiskan  dengan baik dalam tempoh 4 tahun sahaja. 

Penghujung tahun 2000, salam perpisahan buat Al Azhar dan Mesir dihulur penuh kesedihan tapi sarat dengan kelegaan dan kepuasan kerana berjaya mengharungi kepayahan menuntut ilmu dan menjalani kehidupan sebagai anak rantau di bumi asing. Kini, secebis ilmu yang ada saya  jadikan pedoman diri dan disebarkan dalam masyarakat menerusi bidang/kerjaya saya sekarang..pendidikan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...