Saturday, January 30, 2010

Hagemaru Oh Hagemaru!

22 comments

Salam mesra buat semua..

Wajahnya comel. Berkening lebat dan rambutnya tiga urat. Gelagatnya mencuit hati dan kadang kala sangat menjelikkan.

Inilah dia Hagemaru. Hagemaru merupakan anak tunggal kepada Hagezo dan Tsuruko. Dia ialah seorang pelajar gred 4 di sekolah rendah. Watak Hagemaru digambarkan dengan sifat kedekutnya. Malah mama dan papanya turut mempunyai sifat kedekut yang melampau.

Dalam babak-babak tertentu, kelihatan Hagemaru lewat ke sekolah dan sering dimarahi guru kelasnya, Cikgu Sakura. Hagemaru dilihat sebagai tidak tahu membaca dan selalu ketinggalan dalam akademiknya . kerana sering mendapat markah ‘0′ dalam setiap ujian yang mana ia menghampakan guru kelasnya itu.Hagemaru juga dilihat sebagai seorang yang suka menipu dan memperdayakan orang lain.

Sebenarnya, anime Hagemaru diadaptasi dari  sebuah mangga sekitar tahun 1985-1986. Manga ini mendapat sambutan yang hangat di seluruh pelusuk Jepun. Dengan popularitinya, sebuah anime telah diterbitkan oleh studio animasi Shin’ei Doga pada 1988. 

Siri televisyen yang mengandungi 59 episod itu turut mendapat sambutan yang hangat, dan atas popularitinya sebuah permainan turut dicipta bagi warna Game Boy. Sejak daripada itu, Tsurupika Hagemaru disiarkan di seluruh dunia terutamanya di India melalui Pogo TV.

Di Malaysia, Hagemaru cukup terkenal di kalangan kanak-kanak kerana disiarkan hampir setiap hari di saluran 611 Astro  Ceria. Termasuklah anak-anak saya. 

Dulu masa anime ni mula-mula keluar kat TV, saya lihat anak-anak cukup suka dengan cerita anime yang satu ini. Siap gelak-gelak lagi. Saya turut menganalisis watak Hagemaru, papa dan mamanya. Bohonglah kalau saya kata saya tidak terhibur mahupun ketawa dengan kelucuan mereka

Lepas duk perhati watak Hagemaru ni, saya selalu terangkan pada anak-anak saya Hagemaru  bukan contoh yang baik untuk anak-anak teladani. Kerana secara sedar atau tidak ,watak kedekut, pentingkan diri sendiri, malas belajar, tidak bersopan, bercakap bohong dan sebagainya yang dimainkan oleh Hagemaru boleh mempengaruhi jiwa anak-anak yang masih kecil.

Wednesday, January 27, 2010

Bila Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang

17 comments

Salam mesra buat semua..

Memetik kata-kata Winston Churchill , "Pena lebih tajam daripada pedang." Sementara Napoleon Bonaparte pula pernah mengatakan, "Saya lebih takut pada sebuah pena daripada seratus meriam." 

Berhati-hatilah bila menyusun kata. Walaupun kita mungkin tidak menggunakan pena untuk menulis berbanding hanya menekan huruf-huruf pada keyboard komputer sahaja. Istilah "pena" yang dimaksudkan adalah tulisan atau karya yang kita hasilkan.

Menulis membuta tuli dan berpaksikan emosi tanpa ilmu, hanya memudaratkan dan boleh menimbulkan keraguan dan pertelingkahan pendapat pada pembaca. Apatah lagi apabila ia berkaitan tentang akidah dan syariat. Islam mengajar kita halus dan lembut dalam bicara dan tutur kata apatah lagi jika ditulis dalam bentuk karya untuk dibaca. Percayalah, kadang-kadang kesedaran mahupun keinsafan akan lahir dengan hanya membaca tulisan yang jujur, penuh mutiara ilmu dan ditulis penuh berhemah!

“Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu. Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengeraskan hati yang lunak seperti sutera.” - Pujangga

Sehari dua ni, nama Aduka Taruna cukup panas diperkatakan. Semuanya kerana penangan "Mata pena lebih tajam dari pedang."  Ekoran daripada itu, berpuluh-puluh laporan polis dibuat kerana tulisan Aduka Taruna yang  dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor. Blog Aduka Taruna pada hari Isnin, 25 Januari 2010 dikatakan dikunjungi hampir 113,111 kunjungan dan menerima beratus-ratus komen luahan rasa tidak puas hati pengunjung. Bahkan hari yang sama, AT telah menyerah diri dan direman 4 hari untuk siasatan..Cukup besar impak yang diterima oleh Aduka Taruna!

Renungilah kata-kata hikmah ini :

 Beruntunglah orang yang perkataannya zikir, diamnya fikir dan pandangannya iktibar.

Selamat berkarya! Menulis terus menulis..

Monday, January 25, 2010

Nil Nadi Mesir

11 comments

Salam mahabah dan salam ukhuwwah..

Saya sebenarnya suka mengunjungi travelog sahabat-sahabat yang berada di perantauan serata dunia. Membaca entry mereka tentang pengalaman hidup dalam budaya dan situasi berbeza di bumi orang sangat menyeronokkan. Apatah lagi dapat melihat panorama indah ciptaan Allah di serata dunia. Sungguh menakjubkan. Kalau nak berkunjung ke sana, memang sesuatu yang agak mustahil..so apa salahnya menumpang pengalaman sahabat-sahabat.


 Nil merupakan nadi kehidupan Mesir

Sudah lama saya tidak menulis entry tentang Mesir. Kali ini saya nak mengimbau kenangan tentang Sungai Nil. Kalau anda menyusur bandar Cairo/Kaherah melalui Sungai Nil. Panoramanya sangat mengasyikan kerana sepanjang perjalanan mata leka memandang keindahan sungai Nil. 

Masih saya ingat pengalaman menaiki bot menelusuri Sungai Nil. Hotel-hotel mewah tersergam megah di sepanjang Sungai Nil di tengah kota Kaherah. Tidak lupa kapal-kapal mewah berlabuh gagah dengan irama dentuman muzik bergema. Mungkin ada pesta agaknya. Namun lain pula kalau anda menelusuri Sungai Nil di perkampungan. Anda akan dapat saksikan kehidupan masyarakat Mesir luar bandar yang sebenarnya. Kata orang Nil adalah Mesir dan Mesir adalah Nil. Saling lengkap melengkapi.

 
 Nil di celah kesibukan Kaherah

“Nil” berasal dari perkataan greek yang bermaksud lembah sungai. Uniknya, Sungai Nil membelah 9 buah negara iaitu Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi  Sudan, dan sudah tentunya Egypt/Mesir. Sepanjang sungai ini, tertera sejarah yang cukup panjang, sesuailah ia digelar sungai terpanjang di dunia. Sungai ini berakhir di lautan Mediteranean.



 Menelusuri perkampungan Mesir di sepanjang Sungai Nil

Bahagian utara Sungai Nil mengalir hampir pada keseluruhannya merentasi gurun , dari Sudan masuk ke Mesir, sebuah negara yang tamadunnya bergantung kepada sungai ini sejak dari zaman purba lagi. Kebanyakan penduduk Mesir dan kesemua kotanya, kecuali kota-kota yang terletak berhampiran dengan pantai, terletak di sepanjang lembah Nil di utara Aswan; hampir semua tapak kebudayaan dan sejarah Mesir Kuno terletak di sepanjang tebing sungai ini.
 
Kini sungai Nil adalah simbol kepada peradaban manusia. Satu hakikat yang tidak boleh dinafi bahawa air adalah sumber kepada ketamadunan. Kerajaan Mesir bermula di lembah sungai Nil. Pada mulanya ia adalah kawasan pertanian dan secara perlahan-lahan membentuk wilayah-wilayah kecil di pinggir sungai. Pada 3200 S.M, Firaun Menes telah menyatukan wilayah-wilayah ini menjadi kerajaan Mesir dan era dinasti pun bermula.
 
Nil dan Kaherah tetap dalam kenangan. Kalau ada peluang pasti akan saya jejakinya lagi..


Sunday, January 24, 2010

Relax!

13 comments
Salam mahabbah buat semua..

Hujung minggu yang memenatkan. Hari Jumaat, sepanjang hari dalam kereta. Semasa on the way pulang dari menziarahi jenazah kakak ipar di Kemaman, Ammar minta singgah ke Mini Zoo Kemaman yang terletak tidak berjauhan dari situ. Permintaan Ammar terpaksa kami tangguhkan. Maaf yer sayang..mungkin cuti sekolah nanti kita berkunjung ke sana.

Mesra Mall yang gah berdiri seolah menggamit kami untuk bertandang. Pantai Kemasik yang tenang dan indah seolah memanggil-manggil juga. Namun kesuntukkan masa membataskan kami untuk berbuat demikian. 

Mungkin bukan masa tepat untuk bersantai atau berehat kerana kami perlu pulang awal untuk ke rumah ayahku. Rutin hujung minggu, giliran saya untuk menjenguk dan menjaga ayah. Kalau bersantai dan bersuka hati, hati saya tidak akan tenang sepenuhnya kerana teringatkan ayah sendirian di rumah.Tunggu la bila ada masa terluang nanti...

Awal malam hari Sabtu, ketika sampai ke rumah kami di Setiu, tiada yang saya inginkan melainkan..

Have a good sleep macam baby ni...

Boleh ke? Lagipun nak kena buat preparation ni untuk suami, anak-anak dan saya sendiri untuk ke sekolah esok..

Saya teringat betapa benarnya kata-kata As Syahid Imam Hasan Al Banna :
"Kewajipan itu lebih banyak dari masa yang kita ada..."

Saturday, January 23, 2010

Dalam Kenanganku..

13 comments

Salam mesra buat semua..

Masih terbayang raut wajahnya. Sentiasa ditemani senyuman dan keramahan pada setiap tutur katanya. Sungguh! Sepanjang hampir 20 tahun lebih mengenalinya..sedikit pun hati ini tidak pernah tercalar dengan perilaku mahupun tuturnya. Seorang yang sangat menyenangkan. Namun apakan daya, takdir dan ketentuanNya haruslah kita akuri. Siapalah kita untuk menghalang sebuah pemergian melainkan yang berhak hanyalah Dia Yang Maha Kuasa.

Khabar duka selepas subuh Jumaat semalam saya terima dari kakak saya. Kakak ipar saya, Kak Noor , isteri kepada abang saya yang no 3 menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Sayyidul Ayyam ( ketua segala hari) yang mulia ini. Sebenarnya arwah sudah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu kerana penyakit yang dideritai 2-3 tahun kebelakangan ini. Hajat di hati ingin mengunjunginya semalam, namun pemergiaannya mendahului. 

Tatkala menziarahi jenazah di Kemaman semalam, hati amat tersentuh melihat anak-anak buah yang ditinggalkan ibu. Yang sulung berumur 20an bakal bertunang tidak lama lagi, pasti sedih melalui detik-detik berharga dalam hidupnya tanpa ibu di sisi. 

Si bongsu pula, anak keenam , baru berumur 6 tahun, walaupun nampak aktif dan riang bertemu sepupu-sepupu dan saudara mara pasti merindui kelibat ibunya nanti. Bila ditanya " Emak mana?". Pantas dia menjawab, " Emak pergi jumpa Allah.".Ya Allah..kurniakanlah ketabahan dan kekuatan buat anak-anak buahku menempuhi kehidupan ini tanpa ibu di sisi..Amin.


Kak Noor, tetap dalam kenangan saya. Keperibadian sebagai isteri, ibu, menantu dan ipar sangat saya kagumi dan pasti akan dirindui. Al Fatihah..moga damailah dirimu di sana..Al Fatihah..

Maafkan saya, bukan niat saya untuk memenuhi entry Januari ini dengan coretan-coretan sedih seperti ini.

Wednesday, January 20, 2010

Memberi Dan Menerima

10 comments


Salam ukhuwwah, salam mahabbah, salam mawaddah..

Anda suka memberi hadiah? Atau lagi seronok hanya menerima hadiah? Hadiah merupakan pengikat kasih, pengerat ikatan dan pendamai jiwa. Hadiah juga bahasa hati yang disuarakan melalui pemberian.

Saya suka menerima hadiah tapi sebenarnya saya lagi suka memberi hadiah. Terutamanya untuk ibubapa, suami dan anak-anak. Untuk teman-teman juga, malah kadang-kadang untuk pelajar-pelajar yang memenuhi permintaan saya semasa mengajar. Bagi saya melihat senyuman dan kegembiraan penerima, ia cukup membahagiakan...

Saya masih ingat hadiah pertama saya untuk suami ( masa tu belum jadi suami lagi ) ialah sebuah jam tangan Alba yang saya beli di Abbaz A’qad, Kaherah. Saya bagi pada hari saya berangkat pulang ke Malaysia. setelah tamat pengajian. Jam tangan biasa je. Cuma yang istimewa sikit ada catatan hari dan tarikh dalam bahasa Arab. 

Manakala hadiah pertama dari suami saya ialah dua buah buku ilmiah juga dalam Bahasa Arab. Satu tentang wanita solehah dan satu lagi tentang pembentukan keluarga dalam Islam. Kata suami, dia bagi saya buku-buku tersebut supaya saya faham ’harapan’ yang ingin disuarakannya. Saya cakap kat dia. Usahkan membaca..tengok tajuknya pun saya dah tahu..

Bagi saya, hadiah tidak semestinya mahal atau berjenama. Tapi cukup kalau ianya bermanfaat buat penerima. Hadiah juga termasuk dalam konsep hibah dalam Islam. Hibah bermaksud pemberian. Di dalam Islam, hibah adalah pemindahan harta tanpa balasan mengikut syarat-syarat tertentu. Manakala, pemindahan milik yang dibuat dengan niat memperolehi pahala di akhirat dipanggil sadaqah (sedekah). Apabila barang pemberian dibawa kepada penerima kerana menunjukkan rasa horrmat kepadanya ianya dikenali sebagai hadiah .

Memberi hadiah sangat dituntut dalam islam.
Baginda Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang. Sabda Nabi SAW:
تهادوا تحابوا
Maksudnya;

”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.) 
 
Memberi pemberian digalakkan oleh Islam. Rasulullah S.A.W bersabda: 

"Berilah hadiah kepada seseorang lain kerana hadiah menghindari rasa cemburu"

Seseorang boleh menurut undang-undang memberi hartanya kepada seseorang yang lain secara inter vivos, iaitu semasa hidup dan ia tidak terhad jumlahnya. Tetapi jika dia membuat pemberian melalui Wasiat pemberian adalah terhad iaitu hanya setakat satu pertiga daripada keseluruhan hartanya.


Hadiah merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Peranan hadiah sebagai pengikat kasih dan pendamai jiwa memang tidak boleh dinafikan.
Hal ini terbukti dan pernah dialami sendiri oleh tokoh gerakan Islam Imam Hasan Al-Banna. Diceritakan bahawa semasa Imam Hasan Al-Banna sering menyampaikan kuliah agama. Dalam kuliah beliau itu, terdapat seorang Pak Cik tua yang sering mengemukakan soalan-soalan dengan niat untuk merendahkannya. Soalan yang dikemukakan itu, bukan dengan tujuan untuk mendapat ilmu, tetapi bagi menjatuhkan kredibiliti Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang tokoh gerakan Islam di Mesir.

Melihat tindakan Pak Cik tersebut, Imam Hasan Al-Banna berfikir tentang cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sedang menimpa itu. Akhirnya, Imam Hasan Al-Banna terfikir kepada hadis nabi yang menyebut tentang hadiah, menyebabkan Imam Hasan Al-Banna telah membelikan satu hadiah dan diberikan kepada Pak Cik tersebut.

Ekoran dari kejadian tersebut, menyebabkan Pak Cik itu sudah mula merasa malu dengan Imam Hasan Al-banna, dan selepas dari kejadian itu, Pak Cik tersebut tidak lagi mengemukakan soalan-soalan ”pekena” seperti yang selalu dilakukan sebelum ini.

Dari kisah ini, jelas kepada kita bahawa hadiah merupakan faktor penting dalam menaikkan semangat sayang menyayangi antara manusia. Lebih-lebih lagi, dalam usaha hendak melahirkan kasih sayang antara suami dan isteri.

Nabi SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu dijadikan tauladan dalam pengurusan rumah tangga ini. ini kerana, didapati baginda SAW juga sering memberikan hadiah kepada isterinya. Semuanya ini adalah bertujuan, untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.

Kemurahan hati Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam memberikan hadiah untuk isterinya terbukti seperti yang digambarkan dalam hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita; Maksudnya;

“Ketika Rasulullah baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi.
Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Sekiranya hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu”. Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti bersabda Rasulullah SAW; “jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu Salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu” (Musnad Ahmad : 26016)

Hadis ini amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana Rasulullah SAW menaikkan semangat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri. Memberi hadiah menjadi rutin bagi Nabi SAW. Oleh itu, bagi mereka yang sedang berada dalam krisis rumah tangga, perlu sangat mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini sebagai panduan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Disamping itu juga, bagi mengeratkan kasih sayang antara dua suami isteri, sewajarnya menjadikan pemberian hadiah antara pasangan sebagai sesuatu yang rutin.


Pemberian hadiah itu, tidak semestinya dari suami kepada isteri, bahkan tidak ada salahnya jika isteri yang memberikan hadiah kepada suami dalam mengeratkan hubungan kasih sayang dalam berumah tangga.

Begitu juga, bagi mereka yang berpoligami, kadangkala berlaku sedikit krisis antara isteri-isteri. Jadikan hadis ini sebagai panduan dalam mencari jalan penyelesaian. Mungkin suami memberikan hadiah kepada isteri-isteri masing-masing, atau bagi isteri yang sedar kesilapan ini berlaku, beliau bertindak memberikan hadiah kepada isteri yang lain.Semuanya adalah bertujuan, untuk melahirkan keluarga yang bahagia, berasaskan kepada contoh tauladan Nabi Muhammad SAW.

Selamat memberi dan menghargai..




Monday, January 18, 2010

Duka 18 Januari

21 comments


Salam mesra di hari yang penuh ketenangan…

18 Januari kembali lagi. Saya tidak pernah lupa tarikh ini. Pagi tadi sempat saya baca coretan abang saya di blognya. Kami berkongsi rasa yang sama. Tarikh yang penuh duka buat kami setahun yang lalu.  Kehilangan bonda tersayang benar-benar menguji ketabahan seorang insan. Separuh jiwa seakan turut sama di bawa pergi.

Dulu saya pernah mendengar, pemergian ibu mahupun bapa sangat memeritkan. Selain pemergiannya diiringi kesedihan ia turut mengundang kekesalan yang bertamu di hati. Sedih kerana dialah ibu yang mengharungi kesulitan mengandungkanku dan membesarkan diri ini. Kesal kerana tidak dapat membalas sepenuh jasa-jasanya dan tidak dapat menghabiskan sesempurna mungkin waktu bersamanya pada detik-detik terakhir ..

Saya masih ingat ketika pulang di hari-hari terakhir, ibu sudah tidak banyak bicara. Namun dia ada mengangguk bila melihat wajah saya. Kata adik, sudah beberapa hari ibu menyebut nama saya. Ketika itu ibu demam. Sangkaan saya demam ibu demam biasa. Rupanya demam ibu tanda pemergian sudah tiba.

Sehari sebelum ibu pergi, antara khidmat terakhir untuk ibu, saya ada mandikan dia, potong rambutnya yang agak panjang dan menyuap bubur nasi untuknya. Semuanya saya lakukan tanpa respon ibu. Tubuhnya sudah tidak bermaya. Nampak payah benar apa yang ibu sedang lalui.

Kami mengambil keputusan membawa ibu ke hospital pada 17 Januari. Hari yang sama Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Banyak insiden yang berlaku sepanjang perjalanan ke hospital kerana banyak laluan ditutup dan jalan jam teruk kerana pilihanraya termasuk laluan utama ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Alhamdulillah, Allah permudahkan, kami berjaya melepasi halangan dengan bantuan polis.

Namun, takdirNya, ibu pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya awal pagi 18 Januari. Allah lebih menyayangiNya. Ibu pergi dengan tenang dan saya dapat lihat pada wajahnya. Bersemadilah ibu dengan aman di sana. Jasa ibu tidak dapat saya balas sepenuhnya. Namun saya berusaha untuk  menjadi anak yang sentiasa mendoakan ibu. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW : Apabila mati seseorang, akan terputus amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Terima kasih atas kasih sayang dan segala-galanya..Rindu yang tidak pernah akan terhenti buat ibu. Akan selama-lamanya ada di hati saya. Sekarang saya cuba berbakti sebaik mungkin buat ayah yang masih di sisi. Insya Allah..

Buat insan-insan yang masih ada ibu dan bapa dalam hidup anda. Hargailah mereka sebagaimana mereka menghargai kita dan menghadiahkan kehidupan buat kita sejak dari kecil hinggan dewasa. Usah ditangisi pemergian mereka dengan kekesalan lantaran keegoan dan ketidakendahan kita pada mereka. Selamat berbakti!

Sayu terpisah
Hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
Berhembus angin rindu
Begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu

Hujan lebat mencurah kini
Bagaikan tiada henti
Kaulah laguku kau irama terindah
Tak lagi kudengari

Kau pergi.. pergi..
Sepi tanpa kata
Terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
Apa pun kata mereka
Biarkan kenangan berbunga di ranting usia

Hujan lebat mencurah kini
Bagaikan tiada henti
Kaulah laguku kau irama terindah
Tak lagi kudengari

Kau pergi.. pergi..

Hujan lebat mencurah kini
Bagaikan tiada henti
Kaulah laguku kau irama terindah
Tak lagi kudengari

Kau pergi.. pergi..
 

Saturday, January 16, 2010

Airmata Seorang Ayah

13 comments

Salam ukhuwwah pembuka bicara..


Malam tadi semasa mengikuti Buletin Utama di TV3, hati saya amat-amat tersentuh dengan berita tentang seorang bapa Othman Samah, 60 tahun telah ditinggalkan anaknya di Pusat Hemodialisis di Seriab, Kangar Perlis. Berita tentangnya anda boleh klik sini.

Si Ayah yang berkerusi roda kelihatan beberapa kali mengesat airmata di pipi tuanya. Saya tidak mampu lagi menahan airmata bila melihat kesan rawatan yang masih berbalut di dadanya. Ya Allah..sampainya hati seorang anak yang ditatang sejak sebesar tapak tangan membuang ayah dari hidupnya. 

Saya ada juga terfikir mungkin si anak  tidak menghargai ayahnya kerana kurang kasih sayang sang ayah sejak mereka kecil. Namun, walau apapun alasan si anak, perbuatannya itu amat keji kerana ia bertentangan dengan ajaran agama Islam kita. Baik atau buruk seorang ayah, dia tetap insan penting yang perlu dihormati selepas ibu.


Selasa lalu, kita sudah dikejutkan dengan kisah seorang anak membuang bapanya dengan sebuah beg pakaian di tepi jalan. Ceritanya sangat menyentuh hati. Boleh klik sini, untuk mengetahuinya lebih lanjut. Ini baru dua kisah yang terbongkar, sebenarnya kita tidak tahu ada berapa banyak lagi kisah sebegini dalam masyarakat kita. Mungkin lebih dari apa yang kita bayangkan kerana di dunia masakini, kekayaan dan kesenangan adalah keutamaan. Bukan lagi kemanusiaan dan kasih sayang walaupun darah daging sendiri.


Moga coretan kehidupan ayah yang dibuang anak ini menjadi pengajaran buat kita. Seorang anak mestilah menghormati dan menjaga ayahnya hingga hujung nyawa mereka. Seorang ayah pula perlulah menyayangi anaknya dan mendidik mereka dengan didikan agama agar mereka menghargai dan menjaga kita bila sudah tua.

Setiap anak wajib berbakti kepada ayah jua ibu, lebih-lebih lagi bagi orang Islam yang sangat dituntut untuk berbuat baik terhadap orang tuanya. Ini sebagaimana ditegaskan pada ayat 36, daripada surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada orang tua (ibu bapa).”

Penegasan ini disusuli dengan sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana dinyatakan oleh at-Tabrani, maksudnya: “Berbaktilah kamu kepada dua ibu bapa kamu agar anak-anakmu kelak akan berbakti kepadamu.”

Sedarilah yang bergelar anak-anak semua..Ada banyak contoh yang menunjukkan pengajaran betapa azabnya derita yang ditanggung derhaka di dunia. Seksa ini datang dalam bentuk penderitaan sakit, baik rohani atau jasmani, sukar mencari nafkah, gagal mendapatkan pekerjaan dan tiada ketenteraman dalam kehidupan.

Kisah Wail bin Khattab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, satu peristiwa yang boleh dijadikan teladan. Disebabkan terlalu cintakan isteri, Wail selalu mencaci ibunya, mem percayai segala yang dilaporkan isterinya berkaitan ibunya.

Waktu Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan sakit yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar keringat dingin membasahi seluruh badan. Mati tidak, sembuh pun tidak ada harapan.

Selama berpuluh hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka lebar tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, manakala kaki dan tangannya kaku.

Sahabat menunggu kematiannya, namun tidak tiba. Mereka berasa terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka bersilih ganti mengajarkan Wail mengucap kalimah syahadah, namun semuanya buntu. Wail cuba sedaya upaya mengucap dua kalimah syahadah tetapi yang kedengaran daripada mulutnya hanya perkataan “oh, oh, oh, oh”. Keadaan semakin mengerikan.

Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad meminta ibu Wail dijemput menemui beliau. Nabi mahu mengetahui bagaimana keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.

Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencaci lantaran hasutan isterinya. Dia percaya dan me ngikut apa saja yang dilaporkan isterinya tanpa usul periksa. Ini menyebabkan ibunya berasa sakit hati kepadanya. Nabi Muhammad s.a.w memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya yang derhaka. Tetapi perempuan itu berkeras tidak mahu memenuhinya. Dia berkata, air matanya belum kering lantaran perbuatan Wail yang me nyakitkan hatinya.

Melihat keadaan itu, nabi termenung seketika. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api. Wail akan dibakar hidup-hidup. Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail akan derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti.

Mendengar kata-kata nabi itu, ibu Wail segera berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku telah ampuni dia. Kesalahannya aku telah maafkan.” Menurut sahabat, sebaik saja Wail diampuni ibunya, wajahnya mula berubah. Akhirnya dia dapat mengucap syahadah dan menghembuskan nafas terakhir.



Satu
Kasih nan abadi,  
Tiada tandingi
Dia Yang Satu

Dua
Sayang berpanjangan 
Membawa ke syurga 
Kasihnya ibu

Tiga
Lapar dan dahaga 
Rela berpayahan 
Setianya ayah

Empat
Mudah kau ketemu
Berhati selalu
Beza antara 
Kasih dan kekasih

Ibu
Ku ingat dahulu 
Menyisir rambutku 
Kemas selalu

Ayah
Menghantar ke sekolah 
Bergunalah ilmu
Bila dewasa

Sayang
Dengar lagu ini 
Untuk kau sandarkan
Buat pedoman

Jangan
Manis terus ditelan
Pahit terus dibuang
Itu bidalan
Harus kau renungkan

Andai
Kau beroleh bahagia
Ingat itu bukan
Untuk selamanya

Andai
Kau dalam sengsara
Ingat itu bukan
Untuk selamanya
Hidup ini sementara



Thursday, January 14, 2010

Pemalu Bak Semalu

12 comments

Salam ukhuwwah buat semua..

Malu dan perempuan tidak dapat dipisahkan. Ia bukan sekadar ciri keperempuanan Melayu sahaja tapi lebih daripada itu ia dikaitkan dengan tahap keimanan seseorang.

Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan ‘Laa ilaha illallah’ (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman.”( Riwayat al- Baihaqi). 

Sesak jiwa bila melihat anak-anak  gadis remaja terutamanya yang masih  belajar tiada segan silu atau malu dengan fesyen berpakaian umpama telanjang. Ada yang lengkap dengan tudung tapi pakaian melekat di badan. Bukankah antara syarat pakaian menutup aurat itu tidak ketat, tidak jarang dan tidak nipis sehingga menampakkan anggota yang menggamit pandangan lelaki?

Rasulullah SAW menegaskan di dalam sabda Baginda yang bermaksud :“Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah, kaum yang memegang cemeti bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh” (Riwayat Muslim)

Realiti saya hadapi dalam kehidupan pendidik, sebahagian pelajar perempuan sengaja  mengetatkan pakaian sekolah yang mereka pakai. Kain sekolah pula dijahit bahagian atas tepi pinggang agar ketat dan sendat. Selalunya kalau nampak depan mata saya, time tu jugak saya minta dirungkaikan jahitan tersebut. Tudung pulak disingkatkan dari had yang sepatutnya. Ada pulak tu pakaian dalam pun tak pakai...ditambah dengan kuku panjang bak langsuir dan kening dicukur sesuka hati. Belum diusik lagi pasal akhlak dan perilaku yang melemaskan mata memandang. Entah la..mungkin matlamat pergi sekolah sudah beralih kepada 'menggatal' dari menuntut ilmu..Dalam hal ini, tepat sekali sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :“ Bila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, lakukanlah apa saja yang kamu inginkan,” ( Hadis Riwayat Bukhari )

Justeru, pada saya tarbiah ibubapa amat penting dalam pembentukan akhlak dan jatidiri anak-anak. Tanamkan dalam diri anak-anak untuk menghiasi diri mereka dengan sifat malu. Saya selalu meminta pelajar-pelajar perempuan saya menjadi pemalu bak semalu. Semalu? Satu tumbuhan kecil dan misteri yang penuh rahsianya tersendiri. Hayati dan renungi kisah ini.

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.
Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.
Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).
Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.
Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.
Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.
Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

Tuesday, January 12, 2010

Sindrom Anak Kedua

25 comments

Salam syukur, salam takzim buat semua...

Sudah beberapa hari, saya menghilang seketika. Bukan disengajakan tapi terpaksa. Lalai dan busy punya pasal, bil broadband saya 2 bulan tidak berbayar. Maka no internet, no blogs, no FB dan lain-lain sebab dah kena potong..Hari tu masa settlekan bil2 lain. Entah macam mana boleh tercicir bil broadband ni kat kampung. Bila tertangguh dari hari ke sehari. Macam ni la jadinya..Lepas ni kena bayar bil secara online la nampaknya..jimat tenaga dan masa..

Hari tu lepas keluarkan entry pasal Ammar dan fasa persekolahannya yang baru bermula. Saya bercadang pula nak tulis entry pasal adiknya, si Afiq. Tapi dek kesibukan  membuatkan saya tidak dapat mengupdate selepas entry tu. Afiq ada terpandang entry tu kat blog saya..maka merajuk la dia. Siap cakap lagi.."Ummi ni asyik gambar Ammar jer..Afiq takde pun.." Moncong2 mulutnya merajuk sambil matanya menjeling tajam ke arah saya. 

Kalau Ammar mengikut abinya bersekolah di Kuala Terengganu, Afiq pula bersekolah di prasekolah SK Saujana. Bersebelahan dengan sekolah saya. Oleh kerana sejak umur 4 tahun Afiq sudah ke taska. Jadi rutin pagi seperti bangun awal dan bersedia ke sekolah merupakan perkara yang mudah baginya. Sekali sekala ada la jugak meragam sebab mengantuk atau kurang sihat. Selain dari itu Alhamdulillah, mudah sekali menguruskannya. Dia pun seronok dan teruja macam abangnya. Namun, dia lebih berdikari kalau dibandingkan dengan abangnya semasa mula-mula bersekolah dulu.


Saya suka memerhati pembesaran anak-anak dari pelbagai sudut : fizikal, mental, emosi, sosial dan sebagainya. Banyak beza perilaku antara mereka berdua. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing yang tersendiri.

Ammar walaupun aktif sangat tapi jiwanya sangat lembut dan manja. Mudah tersentuh dan cepat menangis kalau dimarahi. Tapi mudah membantu bila diperlukan. Satu lagi Ammar ni suka sharing dengan kami tentang pengalaman hariannya tatkala di sekolah ataupun tentang perkara-perkara baru yang dtemuinya. Memang gemar bercakap.

Manakala Afiq lebih keras dan degil. Kadang-kadang dia memberontak dan agak cemburu dengan abangnya. Sengaja dicarinya ruang untuk bergaduh dengan abangnya. Dia juga sukar untuk menceritakan apa yang dilalui dan dipelajari di sekolah. Kadang-kadang kalau mood dia ok ada la jugak dia bercerita. Ini menyebabkan saya sukar untuk mengagak prestasinya di sekolah. Tahu-tahu dia dah pandai membaca. Namun kelebihannya, dia pandai berdikari dan membawa diri. Sangat teliti dan kemas. Kadang-kadang dia agak sensitif juga. Bila dia tengok saya menangis, dia turut menangis sama.

Bagi saya, mahupun ibu-ibu lain di dunia ini, kasih sayang pada anak-anak adalah sama rata. Tiada beza walau sedikit pun. Setiap anak ada keistimewaan dan kekurangan masing-masing. Walaupun anak yang keras dan degil lebih kerap dimarahi berbanding yang mendengar kata ia semuanya adalah fasa pendidikan bukannya pilih kasih. Afiq mahupun Ammar, kalian berdua adalah permata hati dan belahan jiwa ummi yang sangat ummi sayangi..

Mungkin anda pernah mendengar sindrom anak kedua. Rata-rata anak kedua mempunyai sikap yang hampir sama. Lebih keras, degil, panas baran dan mudah memberontak berbanding anak sulung dan anak-anak yang lain..Dialog biasa yang kita dengar...”Biasalah.. anak kedua memang macam tu...”.Tapi saya rasa tidak semua anak kedua begitu. Apa-apa pun untuk panduan ibubapa semua terutamanya yang merancang untuk mendapatkan anak kedua ...mungkin info di bawah boleh membantu..

Berlaku kerana kehamilan tak dirancang
- Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

" Sindrom anak kedua ini terjadi kerana berlakunya kehamilan yang tidak diduga atau tidak dirancang. Secara idealnya, kehamilan yang dirancang, dikehendaki dan dihajati menjadikan seseorang ibu itu berada pada tahap yang sangat baik," Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pusat

"Ini dapat dilihat kepada situasi di mana ketika isteri disahkan mengandung cahaya mata sulung yang begitu dinanti-nanti selepas perkahwinan. Kebanyakan pasangan suami isteri akan lebih teruja dan tidak sabar-sabar menunggu kehadiran orang baru. Bagi isteri, inilah masa dirinya begitu disayangi oleh suami dan ibu mentua. Sehinggalah tiba detiknya, kelahiran anak pertama disambut dengan persediaan yang selengkapnya, penuh meriah dan begitu diagung-agungkan.

"Wanita mengandung memerlukan persediaan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari sudut emosi dan spiritual. Ini kerana mereka akan berhadapan dengan proses kehamilan yang lebih panjang dan juga proses kelahiran. Dengan membekalkan diri dengan persediaan sebaiknya dapat membantu para ibu menghadapi situasi lebih tenang dan bersedia.

"Masalah hanya akan timbul apabila pasangan yang tidak mengehendaki anak dalam tempoh tertentu terutamanya selepas kelahiran anak pertama disahkan mengandung terpaksa menerimanya dalam keadaan yang tidak bersedia. Sayangnya pula, sebelum itu mereka tidak pula melakukan perancangan yang sebaiknya bagi mengelakkan diri daripada mengandung. Akibatnya, ibu ini akan melalui tempoh mengandung dengan penuh tekanan.

Tekanan pula boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuklah beban kerja yang ditanggung dan kos kehidupan yang membebankan hingga menyebabkan ibu berasa risau dan tidak tenang. Ada juga suami yang tidak begitu bersedia untuk menyambut anak kedua. Malah kajian mendapati kadar penceraian, keganasan rumah tangga dan kecurangan lebih tinggi ketika isteri sedang mengandung atau melahirkan anak.

Ini menimbulkan kebimbangan kepada isteri yang juga menjadi faktor menyumbang kepada perasaan tertekan si isteri.

Anak Kedua Lebih Fleksibel
- Dr HM Tuah Iskandar -Pakar Motivasi Three Extra Training & Solutions.

"Terdapat tiga kategori anak iaitu anak sulung, tengah dan bongsu. Anak kedua jatuh dalam kategori anak tengah. Melalui kajian psikologi yang dijalankan mendapati mereka yang berada dalam kumpulan ini merupakan seorang yang fl eksibel, pandai membawa diri dan lebih berdikari. Bukan itu sahaja mereka juga mempunyai kepercayaan diri yang tinggi dan keyakinan diri terutamanya ketika membuat keputusan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...