Wednesday, January 20, 2010

Memberi Dan Menerima



Salam ukhuwwah, salam mahabbah, salam mawaddah..

Anda suka memberi hadiah? Atau lagi seronok hanya menerima hadiah? Hadiah merupakan pengikat kasih, pengerat ikatan dan pendamai jiwa. Hadiah juga bahasa hati yang disuarakan melalui pemberian.

Saya suka menerima hadiah tapi sebenarnya saya lagi suka memberi hadiah. Terutamanya untuk ibubapa, suami dan anak-anak. Untuk teman-teman juga, malah kadang-kadang untuk pelajar-pelajar yang memenuhi permintaan saya semasa mengajar. Bagi saya melihat senyuman dan kegembiraan penerima, ia cukup membahagiakan...

Saya masih ingat hadiah pertama saya untuk suami ( masa tu belum jadi suami lagi ) ialah sebuah jam tangan Alba yang saya beli di Abbaz A’qad, Kaherah. Saya bagi pada hari saya berangkat pulang ke Malaysia. setelah tamat pengajian. Jam tangan biasa je. Cuma yang istimewa sikit ada catatan hari dan tarikh dalam bahasa Arab. 

Manakala hadiah pertama dari suami saya ialah dua buah buku ilmiah juga dalam Bahasa Arab. Satu tentang wanita solehah dan satu lagi tentang pembentukan keluarga dalam Islam. Kata suami, dia bagi saya buku-buku tersebut supaya saya faham ’harapan’ yang ingin disuarakannya. Saya cakap kat dia. Usahkan membaca..tengok tajuknya pun saya dah tahu..

Bagi saya, hadiah tidak semestinya mahal atau berjenama. Tapi cukup kalau ianya bermanfaat buat penerima. Hadiah juga termasuk dalam konsep hibah dalam Islam. Hibah bermaksud pemberian. Di dalam Islam, hibah adalah pemindahan harta tanpa balasan mengikut syarat-syarat tertentu. Manakala, pemindahan milik yang dibuat dengan niat memperolehi pahala di akhirat dipanggil sadaqah (sedekah). Apabila barang pemberian dibawa kepada penerima kerana menunjukkan rasa horrmat kepadanya ianya dikenali sebagai hadiah .

Memberi hadiah sangat dituntut dalam islam.
Baginda Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang. Sabda Nabi SAW:
تهادوا تحابوا
Maksudnya;

”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.) 
 
Memberi pemberian digalakkan oleh Islam. Rasulullah S.A.W bersabda: 

"Berilah hadiah kepada seseorang lain kerana hadiah menghindari rasa cemburu"

Seseorang boleh menurut undang-undang memberi hartanya kepada seseorang yang lain secara inter vivos, iaitu semasa hidup dan ia tidak terhad jumlahnya. Tetapi jika dia membuat pemberian melalui Wasiat pemberian adalah terhad iaitu hanya setakat satu pertiga daripada keseluruhan hartanya.


Hadiah merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Peranan hadiah sebagai pengikat kasih dan pendamai jiwa memang tidak boleh dinafikan.
Hal ini terbukti dan pernah dialami sendiri oleh tokoh gerakan Islam Imam Hasan Al-Banna. Diceritakan bahawa semasa Imam Hasan Al-Banna sering menyampaikan kuliah agama. Dalam kuliah beliau itu, terdapat seorang Pak Cik tua yang sering mengemukakan soalan-soalan dengan niat untuk merendahkannya. Soalan yang dikemukakan itu, bukan dengan tujuan untuk mendapat ilmu, tetapi bagi menjatuhkan kredibiliti Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang tokoh gerakan Islam di Mesir.

Melihat tindakan Pak Cik tersebut, Imam Hasan Al-Banna berfikir tentang cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sedang menimpa itu. Akhirnya, Imam Hasan Al-Banna terfikir kepada hadis nabi yang menyebut tentang hadiah, menyebabkan Imam Hasan Al-Banna telah membelikan satu hadiah dan diberikan kepada Pak Cik tersebut.

Ekoran dari kejadian tersebut, menyebabkan Pak Cik itu sudah mula merasa malu dengan Imam Hasan Al-banna, dan selepas dari kejadian itu, Pak Cik tersebut tidak lagi mengemukakan soalan-soalan ”pekena” seperti yang selalu dilakukan sebelum ini.

Dari kisah ini, jelas kepada kita bahawa hadiah merupakan faktor penting dalam menaikkan semangat sayang menyayangi antara manusia. Lebih-lebih lagi, dalam usaha hendak melahirkan kasih sayang antara suami dan isteri.

Nabi SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu dijadikan tauladan dalam pengurusan rumah tangga ini. ini kerana, didapati baginda SAW juga sering memberikan hadiah kepada isterinya. Semuanya ini adalah bertujuan, untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.

Kemurahan hati Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam memberikan hadiah untuk isterinya terbukti seperti yang digambarkan dalam hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita; Maksudnya;

“Ketika Rasulullah baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi.
Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Sekiranya hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu”. Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti bersabda Rasulullah SAW; “jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu Salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu” (Musnad Ahmad : 26016)

Hadis ini amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana Rasulullah SAW menaikkan semangat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri. Memberi hadiah menjadi rutin bagi Nabi SAW. Oleh itu, bagi mereka yang sedang berada dalam krisis rumah tangga, perlu sangat mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini sebagai panduan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Disamping itu juga, bagi mengeratkan kasih sayang antara dua suami isteri, sewajarnya menjadikan pemberian hadiah antara pasangan sebagai sesuatu yang rutin.


Pemberian hadiah itu, tidak semestinya dari suami kepada isteri, bahkan tidak ada salahnya jika isteri yang memberikan hadiah kepada suami dalam mengeratkan hubungan kasih sayang dalam berumah tangga.

Begitu juga, bagi mereka yang berpoligami, kadangkala berlaku sedikit krisis antara isteri-isteri. Jadikan hadis ini sebagai panduan dalam mencari jalan penyelesaian. Mungkin suami memberikan hadiah kepada isteri-isteri masing-masing, atau bagi isteri yang sedar kesilapan ini berlaku, beliau bertindak memberikan hadiah kepada isteri yang lain.Semuanya adalah bertujuan, untuk melahirkan keluarga yang bahagia, berasaskan kepada contoh tauladan Nabi Muhammad SAW.

Selamat memberi dan menghargai..




10 comments:

Hamizah said...

ada lg ke jam pemberian pah utk suami tu?saya br jam jg utk suami sbg hantaran kawin sbb dia xsuka pakai cincin tp dah rosak.terkilan jg..

Ummu Ammar said...

Tahun 2008 dah tukar baru..sbb dah lama sgt..talinya dah 2-3 kali tkr..Kiranya dia setia memakai jam saya tu kt 8 thn gak la..

Skrg saya plak setia ngan jam Bonia yg dia bg kt saya pd 2007..tak tahu la btahan sampai bila..bleh tak agaknya atasi rekod dia tuh..hihihi

Nurul Izza said...

iza suka diberi hadiah.ekekek..memberi tu suka juga tapi jarang sekali.kalu dgn hubby dia yg suke surprisekan hadiah.haha even sekeping card tp ianya sgt bermakna.;) tpi iza bg hadiah apa eh? lupa daaaa..xde duit nk bg mahal2.cukup buku je..

Ummu Ammar said...

Romantiknya hubby Izza..suka buat surprise..akak plak, akak yg suka memberi dan surprise kan dia...tp dia ada gak bg hadiah..jam, baju, tudung dlln

Yg plg akak suka..jam tu la..

Nadiah Sidek said...

ada ke orang tak suka dapat hadiah? hehe. nadiah suka bagi hadiah kat orang. rasa macam ada 1 kepuasan kat situ. bila tengok orang happy dapat hadiah kita, kita pun jadi happy jugak :)

Nida n' Hanafi said...

Seronok bila dapat hadiah... memberi pun seronok juga terutama bila ada budget..hehe

p/s: selalunya kalau bab besday2 ni cukup sekadar makan yang best2.. kalau dapat hadiah kira bonus ler tu :)

Ibuhani said...

hadiah pun x semestinya mahal....tp keikhlasan n peringatan yg lebih berharga dr nilai hadiah tu sendiri disamping ia jugak adalah pengikat siratulrahim antara ummah :)

Dayah @ Real Ummu said...

salam kenal Ummu amar
kebetulan n3 yang lebih kurang sama, tapi saya tulih merapu saja, bukan mcm tulisan ummuAmmar yg penuh dgn ilmu...jemput baca

Ummu Ammar said...

Nadiah..

Sama la kita..suka bg hadiah..dpt hadiah pun suka juga...

Nida..

Akak setuju bab birthday tuh..tak perlu hadiah2 yg mahal sgt tp cukup sebagai ingatan..yg penting meraikan kegembiraan dan kesyukuran bersama..

Ummu Ammar said...

Kak Ani..

Setuju sgt2..tak perlu mahal tapi boleh beri manfaat pd penerima.lg satu keikhlasan..mesti Kak Ani pernah terima byk hadiah sempena hari guru kan? Macam saya, dlm byk2 hadiah masa hari guru tu, yg paling menyentuh hati ialah hadiah dr pljr2 miskin..biarpun murah tp saya terasa keikhlasan mrk..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...